Friday, September 11, 2009

Kitakah Umat Yang Selektif Itu?


Jika ditanya mengapa segenap umat muslimin pada hari ini berpuasa, tentunya jawapan yang akan diberikan adalah kerana ianya adalah arahan yang terkandung di dalam ajaran Islam. Malahan yang tidak bersolat pun akan bersungguh-sungguh menunaikan ibadah puasa. Bukan sedikit pula yang mampu memberikan dalil kefarduan berpuasa seperti yang tertinta di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 183;


[Wahai orang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertaqwa]

Baiklah, itu adalah dalil kefarduan puasa. Arahan Allah swt yang tidak boleh diingkari. Cuba kita berundur 5 ayat ke belakang di dalam surah yang sama dan bersama merenung ayat 178;


[Wahai orang beriman! Diwajibkan ke atas kamu hukum qisas dalam pembunuhan iaitu orang merdeka dengan merdeka, hamba dengan hamba dan perempuan dengan perempuan. Sesiapa yang mendapat kemaafan daripada saudaranya (mangsa) dengan pembayaran yang sesuai maka hendaklah ia mengikutnya secara baik dan membayar (diyat) kepadanya dengan cara yang baik. Demikian itu suatu keringanan dan rahmat daripada Tuhan kamu. Sesiapa yang melampau batas sesudah itu maka baginya azab yang sangat pedih]

Bukankah kedua-dua ayat adalah hampir sama. Mengapa kita pada hari merasa sangat berdosa jika dengan sengaja meninggalkan puasa namun tidak berasa apa-apa apabila tidak melaksanakan arahan Qisas yang merupakan sebahagian undang-undang Islam.

Analogi seorang majikan memberikan 2 arahan yang wajib ditunaikan kepada pekerjanya. Namun, pekerja tersebut hanya melaksanakan satu sahaja arahan dan mengabaikan arahan yang kedua. Maka, apa akan terjadi kepada pekerja tersebut. Mungkin sahaja pekerja tersebut akan dimarahi, diberi memo ataupun yang paling malang dipecat kerana sebagai pekerja, dia tidak sepatutnya bersifat selektif di dalam melaksanakan tugasan.

Justeru, apakah layak untuk kita tidak timbul sedikit pun perasaan bersalah apabila sehingga kini masih gagal menjalankan arahan Majikan kepada segala majikan Yang Maha Gagah lagi Maha Gedebe di dalam ayat 178 tersebut walaupun arahan tersebut telah diberikan lama dahulu.

Jika tidak terbit secuit pun perasaan bersalah di hati, dengan segala dosa dan kebejatan yang dilakukan, maka janganlah kita mengeluh dengan sedikit memo yang dihantar oleh Allah yang mungkin berupa H1N1, kemelesetan ekonomi, kadar jenayah semakin meningkat dan banyak lagi. 'Memo-memo' kecil tersebut sekadar peringatan sementara buat kita sementara menunggu datangnya 'memo' yang lebih besar.

Adat bala akan mengena semua; yang taat mahupun yang maksiat. Semoga Allah tidak mengecop kita dengan cop "Umat Selektif" di akhirat kelak, nauzubillah.

Tuesday, September 1, 2009

Kelekatu Ramadhan

Kelekatu
Keluar dari persembunyian
Sesudah hujan
Menghurung api pengharapan
Penyudah sisa penghidupan

Manusia
Sebaik Ramadhan menjelma
Berbondong menghurung rumah ibadat
Mungkin luasnya sekadar celahan kelangkang kera
Namun ramainya tidak terkata

Terdetik di minda sedar
Apakah kita hamba Yang Esa
Atau sekadar hamba Ramadhan

10.30 malam, 25 Ogos 2009
Kuantan, Pahang

Tag Pertama

Salam Ramadhan Kareem,

Perkara pertama dibuat adalah membersihkan sesawang di Samudera Tinta. Seterusnya cuba menjawab tag dari seorang doktor.huhu. Terima kasih buat Dr Siti yang menge'tag'.

1) Anda rasa anda hot? ( Do you think you're hot ?)
Ya, sangat hot. Kerana bilik di rumah baru saya tidak mempunyai ruang pengudaraan yang baik. Terpaksa memasang kipas dengan kelajuan maksimum setiap kali pulang ke rumah.Sigh..

2) Upload gambar kegemaran anda. (Upload your favourite picture)



3) Kenapa suka gambar ni ? (Why do you like this picture?)
Di puncak Gunung Ledang 5 tahun yang lampau bersama teman-teman seperjuangan semasa kem kepimpinan@tamrin. Rasa seumpama berada di puncak Everest pula. Hajat untuk ke puncak Kinabalu belum tercapai.

4) Bila kali terakhir anda makan pizza ? ( When was the last time you eat pizza? )
Sudah lupa. Jika tidak silap perhitungan, ramadhan tahun yang lalu. Budak-budak lab buat jamuan buka puasa. Tak kenyang langsung. Nak harap beli sendiri memang jauh panggang dari api.

Teman serumah baru, Farimeow pernah menyuarakan hasrat untuk membuat home-made pizza baru-baru ini namun akhirnya hanya tinggal impian yang belum menjadi kenyataan.

5) Lagu terakhir yang anda dengar.( The last song you've been listening to )
PadaMu Ku Bersujud nyanyian Afghan. Terdengar sekali di Pahang FM, terus jatuh cinta.Uhuk! (Kenapa lagu indonesia banyak yang sedap banget?)

6) Apa yang sedang anda buat selain selesaikan tag ni ? ( What else have you been doing besides answering this tag? )
Periksa kertas soalan pertengahan semester budak-budak. Tension tengok jawapan budak-budak ni.

7) Selain nama anda sendiri, apakah lagi nama yang anda suka orang panggil anda? (Apart from your own name, what other name you would like others to call you ?)
Kimone / Kimong. Nama ini menampakkan saya kelihatan cute dan comel....Serius maa!

8) Do tag five other persons

(i)Azli
(ii)Pokli
(iii)Suri
(iv)Eyamujahidah
(v)Inas

9) Siapa orang no. 1 ? ( Who's on the first place in the list ?)
Bendahari JASA. Teman seperjuangan di kampus UKM dahulu dan di dalam NGO. Mula-mula kenal ayat yang pertama keluar adalah, "Macam sombong je mamat ni,". Muka serius.huhu..

10) Orang nombor tiga dalam hubungan dengan siapa ? (Who's on the third place ?)
Mantan UKM dan teman seperjuangan di dalam JASA. Mahir ICT dan selalu ditugaskan untuk membuat multimedia presentation walaupun kadang-kadang siap lambat.hehe.

11) Kata sesuatu berkenaan orang no. 5 ( Say something about person on the 5th place)
Teman blogger. Seorang penulis yang prolifik yang rajin berkunjung ke blog-blog bagi menyuarakan pandangannya.

12) What about the 4th person ?
Junior di fakulti dan sekarang adalah pelajar Sarjana UKM. Teman seperjuangan di dalam BKHES, JASA. Sedang meneruskan perjuangan BKHES di Bangi.hehe..

13) Who's the 2nd person ?
Teman satu fakulti. Eksekutif halal yang baik hati, rajin dan akan berkahwin selepas raya.

P/s: Apabila telah habis menjawab soalan-soalan tag ini, terasa seperti selepas menyelesaikan soalan peperiksaan pula.

Friday, August 7, 2009

Hadiah Istimewa Daripada FRU

Seminggu sudah berlalu Himpunan Aman Mansuhkan ISA. Sekembalinya aku daripada himpunan tersebut ahad lalu, semangatku meluap-luap untuk mencoretkan sedikit pengalaman yang terkumpul pada semasa perhimpunan. Namun disebabkan perlu menyiapkan satu tugasan penting, perkara tersebut berlalu dengan begitu sahaja.

Himpunan kali ini jauh lebih hebat berbanding BERSIH. BERSIH yang terjadi di zaman Pak Lah masih lagi memperlihatkan sifat perikemanusiaan pihak polis. Situasi yang sangat berbeza di zaman Najib. Pihak polis bertindak seolah mereka tidak pernah mengenal undang-undang. Tembakan gas pemedih mata dan siraman air asid mencurah-curah tanpa henti.

Lebih menyedihkan, peserta perhimpunan yang sedang bersolat hajat di atas jalan raya setelah diasak dengan begitu teruk, ditembak dengan gas pemedih mata sebelum sempat menghabiskan solat. Aku yang turut sama bersolat hajat yang diimamkan oleh Ustaz mujahid Yusuf Rawa tidak mampu menyudahkan solat walaupun sudah berada pada kedudukan tahiyat akhir apabila seketul canister gas pemedih mata betul-betul jatuh di sebelahku. Aku tidak mempu bertahan. Pantas aku menarik tuala kecil yang aku jadikan pelapik sujud dan melarikan diri.

Jika sahabat-sahabat sekalian membaca blog Zaid Ibrahim terdapat satu pernyataan yang menyatakan " Di Jalan Kuching dekat Selangor Club pun polis sudah melemparkan bom pemedih mata. Bom dari canisters yang tidak ada jenama kata kawan saya. Bererti bom jenis buatan haram..". Ya, perkara ini bukan bohong. Aku ada buktinya.

Aku sempat mengambil seketuk canister gas pemedih mata yang ditembak oleh polis. Memang kosong. Tiada jenama. Berasap-asap canister itu semasa aku memegangnya dengan sehelai tuala basah. Entah dari mana pihak polis seludup senjata haram ini. Patutlah aktiviti penyeludupan tidak berjaya dikawal. Rupanya mereka pun penyeludup juga.


Aku juga tercari-cari juga di mana pihak pro-ISA yang mencanangkan mereka akan menurunkan 70, 000 orang. Cari punya cari tidak jumpa juga. Alih-alih esoknya tersiar di dalam media bahawa seorang wakil pro-ISA kononnya berjaya menghantar memorandum kepada pihak istana setelah menyusup dan menyelinap macam sang tikus yang bacul. Lebih melucukan, pihak polis pula menafikan wakil pro-ISA berjaya menghantar memorandum tersebut. Kesimpulannya, orang-orang yang pro-ISA memang bodoh, bacul lagi pengecut. Cakap berdegar-degar, akhirnya kosong! Useless!

Jika ada yang mengatakan bahawa himpunan ini telah mengakibatkan huru-hara dan kesesakan di ibu kota, sah mereka tersilap besar. Yang menyebabkan segala hiruk-pikuk bukan himpunan ini tetapi pihak polis. Apa perlunya sekatan jalan raya yang melampau? Mengapa perlu menggunakan gas pemedih mata dan air berasid. Himpunan ini sememangnya aman jika tidak diganggu gugat oleh polis.

Buktinya? Himpunan membantah Geert Wilders dan Belanda yang aku sertai dulu kerana membantah filem pendek Fitnaa yang berkumpul di Masjid Tabung Haji selepas solat jumaat dan berarak ke Kedutaan Belanda melalui jalan raya di ibu kota. Pihak polis memberikan kerjasama yang cukup baik dengan mengawal lalu lintas. Semuanya berlangsung aman daripada awal sehingga akhir.


Demonstrasi membantah kebiadapan Salman Rushdie dan menyokong HAMAS di hadapan Kedutaan Amerika turut berlangsung dengan aman apabila polis membantu segala urusan pergerakan di jalan raya. Tiada kesesakan lalu lintas, tiada provokasi dan tiada sebarang ancaman.


Peserta-peserta himpunan aman tidak pernah membawa senjata. Mereka datang dengan tangan kosong. Selebihnya mungkin kain rentang, kad manila sebagai manifestasi tanda protes kami terhadap kezaliman ISA. Nah sekarang, siapa yang mencetuskan huru-hara? Jelas, sudah tentunya pihak FRU dan polis!

Jadi, kepada peniaga-peniaga yang ingin menuntut ganti rugi kerana kerugian konon-kononnya RM200 juta, sila minta dengan pihak polis. Saman pihak polis. Jangan jadi bengap!

Terima kasih buat pihak FRU dan polis untuk hadiah kenangan yang tidak ternilai ini. Jumpa lagi di siri himpunan aman seterusnya. Lawan Tetap Lawan!!

Sunday, August 2, 2009

Himpunan Mansuhkan ISA



Maklumat lanjut sila klik di Himpunan Mansuhkan ISA


DIJEMPUT HADIR BERAMAI-RAMAI!!!!!!!!!

Monday, July 20, 2009

Belalang Goreng Kunyit


Musim itu adalah musim menuai padi. Kanak-kanak dan orang-orang dewasa berkerumun di tepi bendang padi melihat jentera pengetam padi mengerjakan petak-petak sawah padi yang luas dan sedang menguning laksana permaidani alam yang cukup indah. Bunyi jentera tersebut begitu bising sekali. Suasananya ibarat sebuah pesta.

Kanak-kanak yang hadir masing-masing membawa plastik. Di dalam golongan kanak-kanak itu termasuklah aku. Kami berhimpun di sini untuk mengutip belalang-belalang yang terperangkap bersama-sama padi yang telah dituai oleh jentera pengetam. Sebaik sahaja jentera pengetam padi mencurahkan hasil padi yang telah dituai di tepi bendang, kami akan berebut-rebut mengutip belalang-belalang yang terlompat-lompat cuba melarikan diri. Orang-orang dewasa hanya tersenyum-senyum dan ketawa melihat telatah kami.

Setelah plastik yang dibawa terisi penuh dengan belalang-belalang padi, aku akan pulang ke rumah dan memberikannya kepada ibuku. Biasanya ibuku tidak mahu menyiang belalang tersebut dan menyuruh aku sendiri melakukannya. Mahu tidak mahu terpaksalah aku melakukannya sendiri walaupun berasa sangat malas. Cara menyiangnya mudah sahaja. Mula-mula buang kateh(kaki)nya. Kemudian, buang pula bahagian sayapnya. Tak perlu buang kepala dan perutnya kerana jika dibuang kedua-dua bahagian tersebut, tiada apa lagi yang boleh dimakan.hehe..

Selepas siap menyiang belalang tersebut, aku akan meminta ibu masakkan belalang-belalang tersebut. Selalunya, ibu akan meletakkan sedikit kunyit bersama-sama beberapa sudu kecil garam dan belalang-belalang tersebut digaul sehingga sebati. Kemudian, digoreng sehingga garing dan diletakkan bawang besar serta sedikit kicap apabila belalang-belalang tersebut hampir masak.

Akhirnya, siaplah masakan 'belalang goreng kunyit'. Baunya memang sangat menyelerakan. Jika dimakan bersama dengan nasi kosong yang masih panas-panas, memang terangkat! Sedap sehingga menjilat jari. Rasanya lebih enak berbanding ikan bilis goreng.

Selain pada musim menuai padi, belalang juga boleh diperolehi apabila musim bah tiba. Hujan yang berterusan selama 2,3 hari akan menyebabkan air sungai di belakang rumahku melimpah menjadikan petak-petak sawah ditenggelami air sehingga paras dada. Mujurlah air bah tersebut tidak pernah sampai ke tangga rumahku kerana kedudukannya yang agak tingi

Belalang-belalang yang kesejukan dan mengalami kesukaran untuk terbang kesan daripada sayapnya yang basah akan berteduh pada 'pulau-pulau' kecil dan semak-samun yang terapung-apung di permukaan air. Kami yang terkadang berperahu akan menyerang 'pulau-pulau' dan semak-samun ini dan bermaharaja lela mengutip belalang untuk dijadikan hidangan di meja makan nanti. Cuma perlu untuk berwaspada disebabkan di situ mungkin terdapat binatang buas seperti ular air,lipan dan kala jengking yang tumpang berteduh.

Selain mengutip belalang, kami juga turut memeriksa pukat yang telah dipasang jika ada haruan, terbul, keli, puyu atau anak sepat yang terlekat pada pukat. Haruan sangat enak jika dimasak gulai lemak kuning bersama daun kesum manakala keli boleh sahaja dimasak asam pedas. Terbul pula sangat sedap jika digoreng rangup sehingga tulang-tulangnya boleh dimamah sekali.

Itulah kenangan zaman anak-anak yang jarang-jarang terlintas di fikiran. Entah mengapa kenangan itu mengambil tempat di fikiranku kala ini. Mungkin kerana diriku yang merasakan keseorangan di tempat baru.

Sebenarnya aku baru sahaja berpindah ke Kuantan, Pahang setelah mendapat tawaran mengajar secara sambilan di sebuah IPT. Walaupun terasa sangat berat meninggalkan Bangi yang sangat disayangi, namun aku gagahkan diri untuk datang ke sini demi mencari sedikit pengalaman.

Jangka masa menunggu untuk viva sangatlah lama disebabkan kepelbagaian proses birokrasi. Jika hanya terus menunggu tanpa mengambil apa-apa tindakan, maka itu dikatakan membuang masa. Masa yang seharusnya diisi dengan aktiviti bermanfaat. Maka aku mengambil keputusan menerima dahulu tawaran ini walaupun gaji yang ditawarkan cukup-cukup makan sahaja. Sekurang-kurangnya ini menjadi nilai tambahan di dalam resume ku nanti.

Jika sahabat-sahabat sekalian melihat Samudera Tinta jarang dikemaskini, maka bersaksilah ketika itu aku sebenarnya bukan tidak menghiraukan Samudera Tinta, jauh sekali membenci, cuma mungkin sedang sibuk menyiapkan nota kuliah subjek Fizik untuk diajar kepada pelajar-pelajarku (best tak alasan?).huhu. Alamak, nota kuliah esok pun belum siap lagi (sigh)..

Salam Ikhlas Penuh Ukhuwwah buat semua sahabat Samudera Tinta..

(Gambar diambil dari sini)

Wednesday, July 8, 2009

Hijrah Yang Terkandung Kebaikan

Friday, July 3, 2009

Biografi Seorang Pejuang

Biografi sejarah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bahagian 1



Bahagian 2

Wednesday, July 1, 2009

Minggu Mesra Pelajar @ Minggu Membodohkan Pelajar?


Alhamdulillah, adikku yang ketiga turut terpilih untuk memasuki UKM menjadikan dia adalah generasi ketiga daripada keluargaku memasuki UKM setelah adikku yang kedua turut menjejakkan kaki di sini 2 tahun lalu. Aku mendapat sms nakal daripada adik perempuanku mengatakan sekarang UKM telah bertukar menjadi Universiti Keluarga Mereka. Semua adik-beradik berkumpul di sini. Apa-apalah...

Bermula 28 Jun 2009 - 4 Julai 2009 merupakan Minggu Mesra Pelajar (MMP) untuk mahasiswa-mahasiswi baru UKM bagi sesi 2009/2010. MMP ini lebih kurang seperti minggu orientasi. Minggu suai kenal untuk pelajar-pelajar baru untuk mereka lebih mesra dengan keadaan dan persekitaran UKM.

Setelah beberapa hari program MMP berjalan aku mula mendapat feedback yang kurang elok daripada adikku yang turut sama-sama menjalani MMP. Pertama, masa solat adalah sangat terhad iaitu kira-kira 10 minit. Malahan di dalama jadual tidak diletakkan secara khusus waktu untuk solat. Mana mungkin untuk solat dalam keadaan baik dan sempurna dalam masa 10 minit. Lebih-lebih lagi bagi seorang perempuan. Apakah solat bukan lagi agenda penting bgi pentadbiran UKM?

Mahasiswa-mahasiswi baru juga diajar untuk taksub kepada kolej masing-masing. Kena menyanyi lagu kolej lah, kena menyanyi lagu sambil buat gaya lah. Jika ada yang dilihat tidak bersungguh-sungguh melakukan aktiviti tersebut, maka individu terbabit akan didenda.

Lebih teruk apabila berkumpul di dalam Dewan Canselor Tunku Abdul Rahman, DECTAR (perkumpulan adalah mengikut kolej-kolej), mahasiswa-mahasiswi diajar untuk menyorak dan saling 'boo' antara kolej. Ketika zaman aku dahulu perkara ini dikenali sebagai Perang DECTAR. Apa yang menyedihkan fasilitator yang mengambil jurusan Pengajian Islam turut bersungguh-sungguh dan menjadi 'palo haliyan' terlibat di dalam aktiviti tidak cerdik ini.

Tolonglah, wahai fasilitator sekalian. Jangan melayan dan mengajar mereka seperti budak-budak sekolah menengah. Jangan rendahkan keintelektualan mereka dengan aktiviti bodoh seperti itu. Sepatutnya mereka lebih didedahkan dengan pelbagai aktiviti keilmuan dan meningkatkan daya fikir mereka.

Adikku turut memberitahu turut diadakan satu sesi bersama pemimpin yang membicarakan soal kebebasan bersuara di kalangan mahasiswa. Aku tidak diberitahu pula siapa panel-panelnya. Namun yang menarik apabila sesi soal jawab dibuka, mahasiswa-mahasiswi baru ini tanpa berasa takut maju ke hadapan mikrofon dam membidas kembali hujah-hujah yang dikemukakan oleh panel-panel. Siap ada yang menyebut nama Tok Guru Nik Aziz.

Ada juga yang membidas PPSMI sehingga panel terpaksa memberikan respon terdesak " Anwar Ibrahim dulu pun tak guna juga jika dibanding dengan Muhyiddin Yassin". Moderator sesi pula yang jika tidak perhitunganku merupakan Dekan Fakulti Undang-Undang ditempelak oleh mahasiswa-mahasiswi baru sebagai hanya memberikan pandangan dan pendapat lapuk yang tiada apa-apa makna. Aku agak panel-panel dan moderator adalah jenis totok UBN. Mungkin mereka ingat mahasiswa-mahasiswi baru jenis akan menelan bulat-bulat apa yang mereka berikan. Heh, silap besar beb! Ini generasi ICT, bukan generasi spoon-feeding!

Apa yang lebih mengujakan, panelis siap mengugut mahasiswa-mahasiswi baru untuk tukar kolej jika menentang dan tidak mematuhi arahan. Pergh, memang sebiji UBN! Biru ketu! Ingat semua orang jahil macam dia. Aku sms kepada adikku, jangan takut. Duduk kat rumah sewa di luar UKM jauh lebih menyeronokkan berbanding duduk di kolej yang penuh dengan 1001 kongkongan. Minda dan jiwa terjajah. Kolej-kolej akan menanggung kerugian besar jika tiada pelajar. Padan muka!

Sebenarnya, aku memang kagum dengan keberanian mahasiswa-mahasiswi baru ini berhujah dan melawan balik hujah panelis. Ya, ini bukan perkara biasa kerana mereka baru sahaja tiba di UKM dalam sehari dua. Jika tidak kerana keberanian dan jatidiri yang tinggi, mana mungkin perkara begitu mampu dilakukan. Inikah generasi ICT yang akan melakukan perubahan?

Jauh di sudut hati aku menaruh harapan dan berdoa semoga generasi inilah yang akan mengembalikan semula suasana biah solehah dan sinar keilmuwan serta keintelektualan lalu yang telah gersang dek perbuatan Aspirasi & Tindakan Siswa Bersatu (TSB).

Adik-adikku sekalian, ayuh rampas kembali parlimen PMUKM dari tangan-tangan sekularisme dan sinarilah UKM yang kita cintai kembali dengan sinar Islam. Walaupun mungkin ketika itu jasadku bukan lagi di sini, namun semangat dan hatiku tetap bersemadi di perbukitan ilmu yang dicintai ini.

The Road Not Taken


Two roads diverged in a yellow wood,
And sorry I could not travel both
And be one traveler, long I stood
And looked down one as far as I could
To where it bent in the undergrowth;

Then took the other, as just as fair,
And having perhaps the better claim
Because it was grassy and wanted wear,
Though as for that the passing there
Had worn them really about the same,

And both that morning equally lay
In leaves no step had trodden black.
Oh, I marked the first for another day!
Yet knowing how way leads on to way
I doubted if I should ever come back.

I shall be telling this with a sigh
Somewhere ages and ages hence:
Two roads diverged in a wood, and I,
I took the one less traveled by,
And that has made all the difference.

(P/s:Salah satu sajak yang aku gemari masa belajar untuk SPM dulu. Aku merasakan aku berada di dalam situasi 'The Road Not Taken' sekarang ni)
Related Posts with Thumbnails