Monday, July 20, 2009

Belalang Goreng Kunyit


Musim itu adalah musim menuai padi. Kanak-kanak dan orang-orang dewasa berkerumun di tepi bendang padi melihat jentera pengetam padi mengerjakan petak-petak sawah padi yang luas dan sedang menguning laksana permaidani alam yang cukup indah. Bunyi jentera tersebut begitu bising sekali. Suasananya ibarat sebuah pesta.

Kanak-kanak yang hadir masing-masing membawa plastik. Di dalam golongan kanak-kanak itu termasuklah aku. Kami berhimpun di sini untuk mengutip belalang-belalang yang terperangkap bersama-sama padi yang telah dituai oleh jentera pengetam. Sebaik sahaja jentera pengetam padi mencurahkan hasil padi yang telah dituai di tepi bendang, kami akan berebut-rebut mengutip belalang-belalang yang terlompat-lompat cuba melarikan diri. Orang-orang dewasa hanya tersenyum-senyum dan ketawa melihat telatah kami.

Setelah plastik yang dibawa terisi penuh dengan belalang-belalang padi, aku akan pulang ke rumah dan memberikannya kepada ibuku. Biasanya ibuku tidak mahu menyiang belalang tersebut dan menyuruh aku sendiri melakukannya. Mahu tidak mahu terpaksalah aku melakukannya sendiri walaupun berasa sangat malas. Cara menyiangnya mudah sahaja. Mula-mula buang kateh(kaki)nya. Kemudian, buang pula bahagian sayapnya. Tak perlu buang kepala dan perutnya kerana jika dibuang kedua-dua bahagian tersebut, tiada apa lagi yang boleh dimakan.hehe..

Selepas siap menyiang belalang tersebut, aku akan meminta ibu masakkan belalang-belalang tersebut. Selalunya, ibu akan meletakkan sedikit kunyit bersama-sama beberapa sudu kecil garam dan belalang-belalang tersebut digaul sehingga sebati. Kemudian, digoreng sehingga garing dan diletakkan bawang besar serta sedikit kicap apabila belalang-belalang tersebut hampir masak.

Akhirnya, siaplah masakan 'belalang goreng kunyit'. Baunya memang sangat menyelerakan. Jika dimakan bersama dengan nasi kosong yang masih panas-panas, memang terangkat! Sedap sehingga menjilat jari. Rasanya lebih enak berbanding ikan bilis goreng.

Selain pada musim menuai padi, belalang juga boleh diperolehi apabila musim bah tiba. Hujan yang berterusan selama 2,3 hari akan menyebabkan air sungai di belakang rumahku melimpah menjadikan petak-petak sawah ditenggelami air sehingga paras dada. Mujurlah air bah tersebut tidak pernah sampai ke tangga rumahku kerana kedudukannya yang agak tingi

Belalang-belalang yang kesejukan dan mengalami kesukaran untuk terbang kesan daripada sayapnya yang basah akan berteduh pada 'pulau-pulau' kecil dan semak-samun yang terapung-apung di permukaan air. Kami yang terkadang berperahu akan menyerang 'pulau-pulau' dan semak-samun ini dan bermaharaja lela mengutip belalang untuk dijadikan hidangan di meja makan nanti. Cuma perlu untuk berwaspada disebabkan di situ mungkin terdapat binatang buas seperti ular air,lipan dan kala jengking yang tumpang berteduh.

Selain mengutip belalang, kami juga turut memeriksa pukat yang telah dipasang jika ada haruan, terbul, keli, puyu atau anak sepat yang terlekat pada pukat. Haruan sangat enak jika dimasak gulai lemak kuning bersama daun kesum manakala keli boleh sahaja dimasak asam pedas. Terbul pula sangat sedap jika digoreng rangup sehingga tulang-tulangnya boleh dimamah sekali.

Itulah kenangan zaman anak-anak yang jarang-jarang terlintas di fikiran. Entah mengapa kenangan itu mengambil tempat di fikiranku kala ini. Mungkin kerana diriku yang merasakan keseorangan di tempat baru.

Sebenarnya aku baru sahaja berpindah ke Kuantan, Pahang setelah mendapat tawaran mengajar secara sambilan di sebuah IPT. Walaupun terasa sangat berat meninggalkan Bangi yang sangat disayangi, namun aku gagahkan diri untuk datang ke sini demi mencari sedikit pengalaman.

Jangka masa menunggu untuk viva sangatlah lama disebabkan kepelbagaian proses birokrasi. Jika hanya terus menunggu tanpa mengambil apa-apa tindakan, maka itu dikatakan membuang masa. Masa yang seharusnya diisi dengan aktiviti bermanfaat. Maka aku mengambil keputusan menerima dahulu tawaran ini walaupun gaji yang ditawarkan cukup-cukup makan sahaja. Sekurang-kurangnya ini menjadi nilai tambahan di dalam resume ku nanti.

Jika sahabat-sahabat sekalian melihat Samudera Tinta jarang dikemaskini, maka bersaksilah ketika itu aku sebenarnya bukan tidak menghiraukan Samudera Tinta, jauh sekali membenci, cuma mungkin sedang sibuk menyiapkan nota kuliah subjek Fizik untuk diajar kepada pelajar-pelajarku (best tak alasan?).huhu. Alamak, nota kuliah esok pun belum siap lagi (sigh)..

Salam Ikhlas Penuh Ukhuwwah buat semua sahabat Samudera Tinta..

(Gambar diambil dari sini)

Wednesday, July 8, 2009

Hijrah Yang Terkandung Kebaikan

Friday, July 3, 2009

Biografi Seorang Pejuang

Biografi sejarah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bahagian 1



Bahagian 2

Wednesday, July 1, 2009

Minggu Mesra Pelajar @ Minggu Membodohkan Pelajar?


Alhamdulillah, adikku yang ketiga turut terpilih untuk memasuki UKM menjadikan dia adalah generasi ketiga daripada keluargaku memasuki UKM setelah adikku yang kedua turut menjejakkan kaki di sini 2 tahun lalu. Aku mendapat sms nakal daripada adik perempuanku mengatakan sekarang UKM telah bertukar menjadi Universiti Keluarga Mereka. Semua adik-beradik berkumpul di sini. Apa-apalah...

Bermula 28 Jun 2009 - 4 Julai 2009 merupakan Minggu Mesra Pelajar (MMP) untuk mahasiswa-mahasiswi baru UKM bagi sesi 2009/2010. MMP ini lebih kurang seperti minggu orientasi. Minggu suai kenal untuk pelajar-pelajar baru untuk mereka lebih mesra dengan keadaan dan persekitaran UKM.

Setelah beberapa hari program MMP berjalan aku mula mendapat feedback yang kurang elok daripada adikku yang turut sama-sama menjalani MMP. Pertama, masa solat adalah sangat terhad iaitu kira-kira 10 minit. Malahan di dalama jadual tidak diletakkan secara khusus waktu untuk solat. Mana mungkin untuk solat dalam keadaan baik dan sempurna dalam masa 10 minit. Lebih-lebih lagi bagi seorang perempuan. Apakah solat bukan lagi agenda penting bgi pentadbiran UKM?

Mahasiswa-mahasiswi baru juga diajar untuk taksub kepada kolej masing-masing. Kena menyanyi lagu kolej lah, kena menyanyi lagu sambil buat gaya lah. Jika ada yang dilihat tidak bersungguh-sungguh melakukan aktiviti tersebut, maka individu terbabit akan didenda.

Lebih teruk apabila berkumpul di dalam Dewan Canselor Tunku Abdul Rahman, DECTAR (perkumpulan adalah mengikut kolej-kolej), mahasiswa-mahasiswi diajar untuk menyorak dan saling 'boo' antara kolej. Ketika zaman aku dahulu perkara ini dikenali sebagai Perang DECTAR. Apa yang menyedihkan fasilitator yang mengambil jurusan Pengajian Islam turut bersungguh-sungguh dan menjadi 'palo haliyan' terlibat di dalam aktiviti tidak cerdik ini.

Tolonglah, wahai fasilitator sekalian. Jangan melayan dan mengajar mereka seperti budak-budak sekolah menengah. Jangan rendahkan keintelektualan mereka dengan aktiviti bodoh seperti itu. Sepatutnya mereka lebih didedahkan dengan pelbagai aktiviti keilmuan dan meningkatkan daya fikir mereka.

Adikku turut memberitahu turut diadakan satu sesi bersama pemimpin yang membicarakan soal kebebasan bersuara di kalangan mahasiswa. Aku tidak diberitahu pula siapa panel-panelnya. Namun yang menarik apabila sesi soal jawab dibuka, mahasiswa-mahasiswi baru ini tanpa berasa takut maju ke hadapan mikrofon dam membidas kembali hujah-hujah yang dikemukakan oleh panel-panel. Siap ada yang menyebut nama Tok Guru Nik Aziz.

Ada juga yang membidas PPSMI sehingga panel terpaksa memberikan respon terdesak " Anwar Ibrahim dulu pun tak guna juga jika dibanding dengan Muhyiddin Yassin". Moderator sesi pula yang jika tidak perhitunganku merupakan Dekan Fakulti Undang-Undang ditempelak oleh mahasiswa-mahasiswi baru sebagai hanya memberikan pandangan dan pendapat lapuk yang tiada apa-apa makna. Aku agak panel-panel dan moderator adalah jenis totok UBN. Mungkin mereka ingat mahasiswa-mahasiswi baru jenis akan menelan bulat-bulat apa yang mereka berikan. Heh, silap besar beb! Ini generasi ICT, bukan generasi spoon-feeding!

Apa yang lebih mengujakan, panelis siap mengugut mahasiswa-mahasiswi baru untuk tukar kolej jika menentang dan tidak mematuhi arahan. Pergh, memang sebiji UBN! Biru ketu! Ingat semua orang jahil macam dia. Aku sms kepada adikku, jangan takut. Duduk kat rumah sewa di luar UKM jauh lebih menyeronokkan berbanding duduk di kolej yang penuh dengan 1001 kongkongan. Minda dan jiwa terjajah. Kolej-kolej akan menanggung kerugian besar jika tiada pelajar. Padan muka!

Sebenarnya, aku memang kagum dengan keberanian mahasiswa-mahasiswi baru ini berhujah dan melawan balik hujah panelis. Ya, ini bukan perkara biasa kerana mereka baru sahaja tiba di UKM dalam sehari dua. Jika tidak kerana keberanian dan jatidiri yang tinggi, mana mungkin perkara begitu mampu dilakukan. Inikah generasi ICT yang akan melakukan perubahan?

Jauh di sudut hati aku menaruh harapan dan berdoa semoga generasi inilah yang akan mengembalikan semula suasana biah solehah dan sinar keilmuwan serta keintelektualan lalu yang telah gersang dek perbuatan Aspirasi & Tindakan Siswa Bersatu (TSB).

Adik-adikku sekalian, ayuh rampas kembali parlimen PMUKM dari tangan-tangan sekularisme dan sinarilah UKM yang kita cintai kembali dengan sinar Islam. Walaupun mungkin ketika itu jasadku bukan lagi di sini, namun semangat dan hatiku tetap bersemadi di perbukitan ilmu yang dicintai ini.

The Road Not Taken


Two roads diverged in a yellow wood,
And sorry I could not travel both
And be one traveler, long I stood
And looked down one as far as I could
To where it bent in the undergrowth;

Then took the other, as just as fair,
And having perhaps the better claim
Because it was grassy and wanted wear,
Though as for that the passing there
Had worn them really about the same,

And both that morning equally lay
In leaves no step had trodden black.
Oh, I marked the first for another day!
Yet knowing how way leads on to way
I doubted if I should ever come back.

I shall be telling this with a sigh
Somewhere ages and ages hence:
Two roads diverged in a wood, and I,
I took the one less traveled by,
And that has made all the difference.

(P/s:Salah satu sajak yang aku gemari masa belajar untuk SPM dulu. Aku merasakan aku berada di dalam situasi 'The Road Not Taken' sekarang ni)

Monday, June 22, 2009

Rompakan Besar-Besaran 'One Malaysia'


KOTA BHARU, 22 Jun (Hrkh) - Slogan 1 Malaysia sebenarnya hanya retorik Umno-BN. Jelas rakyat Malaysia, khususnya di negeri Serambi Mekah, Kelantan dinafikan hak mendapat royalti petroleum.

Sedangkan anggaran pengeluaran petroleum di Kelantan dalam satu tahun kira-kira RM2.5 bilion.

Sehubungan itu kerajaan Kelantan akan membuat tuntutan sebanyak RM1 bilion kepada kerajaan pusat sebagai royalti minyak yang tertunggak sejak tahun 2004.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Dato' Husam Musa berkata, Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak wajar menimbangkan tuntutan tersebut selaras dengan konsep '1 Malaysia' yang diperkenalkannya.

"Kerajaan negeri bersetuju supaya Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menulis surat rasmi kepada Perdana Menteri berhubung perkara tersebut," katanya selepas mesyuarat Exco Rabu lalu.

Menurutnya berdasar kepada laporan Jabatan Perdana Menteri yang diedarkan kepada pegawai kerajaan negeri, pengeluaran petroleum di perairan Kelantan sebanyak RM2.5 bilion setahun.

Kata beliau Kelantan antara negeri yang disenaraikan sebagai pengeluar petroleum sejak 2004 dan sepatutnya turut mendapat royalti seperti Sabah, Sarawak dan Terengganu.

Katanya, menurut Jabatan Perangkaan empat negeri terbabit disenaraikan sebagai pengeluar petroleum melalui buletin jabatan tersebut bermula 2004 sehingga sekarang.

"Tahun 2009 merupakan tahun keenam kerajaan pusat tidak membayar royalti kepada kerajaan dan rakyat Kelantan sedangkan hasil yang diperolehi setiap tahun bernilai antara RM2.5 hingga RM2.7 bilion.

"Adalah satu perkara yang sangat memalukan jika kerajaan pusat tidak dapat membayar wang royalti itu lebih-lebih lagi kerajaan kini mengutamakan rakyat," katanya.

Ketika ditanya mengapa mengambil tempoh lama untuk membuat tuntutan tersebut beliau berkata, kerajaan negeri baru menerima maklumat Mac lalu dalam mesyuarat di Jabatan Perdana Menteri.

~ Sumber Harakahdaily ~

P/s: Zionis Israel merampas hak rakyat Palestin sejak sekian lama tanpa perikemanusiaan. UMNO merampas dan menganaktirikan rakyat Qlate sejak sekian lama. Jadi, apa beza UMNO dengan Zionis Israel?

Thursday, June 18, 2009

Program Ceramah Terdekat di Bangi


Dengarkan penjelasan isu-isu semasa terkini daripada pemidato-pemidato terhebat.

Dijemput hadir beramai-ramai!!!

Tuesday, June 16, 2009

Isu Pendidikan; Keutamaan Yang Tidak Diutamakan


Isu pendidikan negara tidak pernah sunyi dari kontroversi. Apabila seseorang menteri pelajaran baru dilantik, pasti akan ada sesuatu perkara yang disifatkan sebagai 'agenda baru' akan diperkenalkan. Tujuannya mungkin sebagai satu transformasi ke arah menjadikan sistem pendidikan negara lebih berdaya maju dan mampu bergerak seiring dengan kepesatan perkembangan ilmu dasawarsa ini.

Umum mengetahui akan isu PPSMI yang senantiasa menjadi perdebatan hangat di kalangan para ilmuwan dan pakar-pakar bahasa masih belum menemui jalan penyelesaian yang konkrit. Walaupun telah banyak seminar, wacana, perbahasan berkaitan isu PPSMI telah dibuat sehinggalah kepada kemuncak himpunan aman besar-besaran rakyat membantah penyalahgunaan kuasa kerajaan dalam isu bahasa, namun itu belum cukup untuk membuka hati nurani pihak berwajib untuk memahami apa kehendak rakyat yang sebenarnya.

Baru-baru ini pula Menteri Pelajaran yang baru merangkap Timbalan Perdana Menteri mencadangkan agar Bahasa Inggeris patut dijadikan mata pelajaran wajib untuk lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Cuma di sini pihak berwajib mengambil sikap yang berbeza berbanding isu PPSMI dengan membuka peluang untuk orang awam memberikan pandangan dan buah fikiran mereka. Berdasarkan PPSMI dan cadangan terbaru untuk menjadikan Bahasa Inggeris sebagai salah satu mata pelajaran wajib lulus memberikan gambaran kepada kita betapa kerajaan memandang serius akan peri pentingnya Bahasa Inggeris dalam kehidupan.

Persoalannya, benarkah itu adalah isu Bahasa inggeris adalah isu pokok di kalangan pelajar-pelajar sekarang? Bukankah hampir saban hari kita didedahkan dengan kelakuan liar dan tidak sopan di kalangan anak-anak sekolah. Kes membuli, memukul guru, berzina di sekolah, mengandung luar nikah bukan lagi perkara taboo yang boleh dilindungkan menzahirkan kepada umum bahawa akhlak remaja berada di tahap kritikal.

Sepatutnya soal moral dan akhlak yang perlu lebih dibimbangkan oleh Muhyiddin. Berbanding cadangan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai salah satu matapelajaran wajib lulus, keutamaan sebenarnya adalah menjadikan matapelajaran pendidikan islam/moral/sivik sebagai salah satu subjek wajib lulus dengan merangka silibus yang lebih mapan dan lebih komprehensif dan bukan sekadar melepas batuk di tangga.

Penulis pernah bersarapan di sebuah kedai dan duduk di sebuah meja bersebelahan meja makan yang diduduki oleh sekumpulan remaja yang masih di bangku sekolah sambil cuba mengamati topik yang diperbincangkan dan patah-patah perkataan yang dikeluarkan oleh mereka. Nyata perkataan-perkataan seperti sial, celaka, bodoh, babi, bangang, p*k*m*k, p*nt** sudah menjadi butir zikir yang kerap keluar dari mulut mereka tanpa segan silu dengan ketawa yang kuat dan terbahak. Tidak terkecuali samada pelajar lelaki ataupun perempuan. Malahan ada yang dengan bangganya menyedut dan menghembus asap rokok dengan berpakaian sekolah.

Saidina Ali pernah berpesan, jika ingin melihat nasib sesuatu bangsa di masa hadapan, lihatlah kepada kualiti generasi mudanya pada hari ini. Adakah kita yakin negara kita akan terus berada di dalam keadaan seperti hari ini pada 50 tahun lagi dengan kualiti pewaris anak-anak mudanya dalam keadaan tidak menetu. Jawablah persoalan ini dengan ikhlas dari lubuk hati yang paling dalam.

Jiwa anak-anak remaja sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru dan sentiasa tertarik kepada benda-benda baru. Perasaan inilah yang perlu dikawal dengan sebaik mungkin mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh agama. Didikan agamalah merupakan senjata yang ampuh untuk menjadikan seseorang lebih bersifat keinsanan kerana di dalam agama tersemat di dalamnya konsep syurga pahala dan pembalasan di sana. Tiada yang terlepas daripada hitungan Allah.

Sistem pendidikan yang ada sekarang tidak mampu melahirkan insani. Ia lebih kepada membentuk robot-robot yang tidak berjiwa. Jika menjadi seorang doktor, dia tidak akan merasa belas terhadap pesakit-pesakit miskin dan kurang berkemampuan. Jika menjadi seorang ahli politik, dia tidak akan segan silu untuk memberi atau menerima rasuah. Hatta dari serendah-serendah pangkat sehinggalah setinggi pangkat, bukan kecil jumlahnya mereka yang terlibat dalam jenayah kolar putih dan pecah amanah. Mungkin inilah bahana lantaran jiwa-jiwa yang gersang tanpa pengisian.

Sewajarnya saranan menjadikan matapelajaran agama/moral/sivik menjadi subjek wajib lulus seharusnya dipertimbangkan oleh kerajaan. Walaupun ia mungkin tidak menyelesaikan sepenuhnya masalah kebejatan akhlak para remaja, sekurang-kurangnya dengan langkah ini akan membantu sedikit sebanyak membendung permasalahan moral di kalangan anak-anak remaja. Sekurang-kurangnya dalam masa yang terdekat.

Namun, sejujurnya perlu diketahui untuk menjadikan sistem pendidikan kita benar-benar mampu melahirkan insan yang memiliki sifat insani, perjalanannya masih jauh kerana ia memerlukan satu reformasi dan transformasi besar-besaran dengan mengambil kira semua aspek keperulan manusia samada fizikal, mental dan rohani. Hanya dengan cara ini sahaja generasi Ulul Albab dan modal insan bertaraf dunia mampu dilahirkan.

Akhirnya persoalan yang mungkin timbul adalah adakah mereka, kita, kamu, saya dan semua rakyat Malaysia sudah bersedia ke arah itu?

(Gambar di atas diambil dari sini)

Sunday, June 14, 2009

Perginya Seorang Ulama


Daripada Abdullah bin Amru bin al-Ass radiallahu anhuma berkata, Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: “Bahawasanya Allah SWT tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu sekaligus dari (dada) manusia, tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat dan menyesatkan orang lain.” (Hadith riwayat Imam Muslim)

Ulama tersohor dunia Sheikh Dr Fathi Yakan dikhabarkan telah meninggal dunia pada usia 76 tahun. Siapa yang tidak mengenali beliau. Salah satu buku karangannya yang popular bertajuk 'Apa Ertinya Saya Menganut Islam' sentiasa meniti di bibir kumpulan-kumpulan usrah pelbagai wadah sebagai salah satu silibus asas. Walaupun ramai tidak pernah berjumpa beliau, namun nama beliau tidak lekang di kalangan penggerak dan aktivis dakwah serata dunia.

Di dalam IslamonLine.net tertulis Dr. Fathi Yakan ialah ulama' dan pendakwah Islam yang terkemuka. Berkelulusan Ph.D. dalam Bahasa Arab dan Pengajian Islam, beliau merupakan antara penggerak awal gerakan Islam sekitar tahun 1950.


Beliau juga merupakan Setiausaha Agung Al-Jamaa Al-Islamia Lubnan sehingga beliau memenangi kerusi Parlimen di Lubnan. Beliau ialah aktivis utama dalam arena politik, kelihatan paling jelas semasa pilihanraya pada tahun 1996.Baru saja kami mengupas kitab Bahtera Penyelamat di dalam Mukhayyam Dakhili yang lepas. Karangannya benar-benar sarat motivasi dan petunjuk. Cukup berkualiti sebagai rujukan oleh aktivis dakwah.

Dengan perginya Sheikh Dr Fathi Yakan maka umat Islam telah kehilangan sebutir permata yang sangat berharga yang sukar dicari ganti. Bersama kita doakan semoga roh Sheikh Dr Fathi Yakan akan ditempatkan bersama para kekasih-Nya, insyallah. Amin.

Jutaan penghargaan buat Al-Marhum Al-Fadhil Sheikh Dr Fathi Yakan. Al-Fatihah.

Thursday, June 11, 2009

Blog dan Pengemaskiniannya


Uhuk, uhuk, uhuk!

Terbatuk-batuk aku ketika mula-mula sign in Samudera Tinta tadi. Maklumlah blog ini telah dipenuhi oleh habuk-habuk dan sesawang elektronik yang tidak nampak di mata tetapi tetap wujud secara semulajadi. Terjadi akibat lamanya Samudera Tinta tidak dikemaskini.hehe.

Sebenarnya, kegagalan untuk mengemaskini blog ini salah satunya berpunca daripada gambar di atas. Aku telah menyertai satu seminar anjuran bersama universiti di Malaysia dengan salah sebuah universitas di Indonesia, Institut Teknologi Bandung (ITB).

Walaupun penyertaan itu dalam bentuk poster (seperti yang tertera pada gambar di atas), namun prosesnya juga sangat rumit. Bermula daripada penyediaan kertas kerja yang perlu mengikut format dan standard (baca; menyusahkan orang) tersendiri, merujuk buku dan jurnal, menyediakan susun atur templat poster yang bersesuaian, menempah poster sehinggalah pendaftaran pada hari program. Semua menuntut komitmen yang padu, jitu dan tidak berbelah bahagi daripada seorang jejaka Melayu tulen sepertiku.

Seminar selama 3 hari tersebut berakhir pada hari ini. Rata-rata peserta yang hadir samada dari Malaysia ataupun Indonesia terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang kimia; Organik, Inorganik, Analisis, Fizikal, Biokimia dan lain-lain. Ternyata isu Manohara tidak meresap masuk ke dalam bidang akademik. Masing-masing boleh bersahabat dan berinteraksi dengan baik tanpa apa-apa masalah. Baguslah begitu.

Keduanya, aku juga perlu memberikan komitmen terhadap tesis yang memasuki fasa 'pecunasi' (pecutan + hibernasi). Sukar untuk menerangkan dengan lebih lanjut apa itu pecunasi kerana melibatkan istilah-istilah yang kompleks. Namun aku bersyukur masih mampu bernafas dengan baik semasa melalui fasa ini tanpa memerlukan bantuan tabung oksigen, alhamdulillah.huhu. Semoga ianya akan terus berkekalan begini.

Di penghujung bulan ini, jika tiada aral, insyallah aku akan mengikuti satu lagi kolokium yang merupakan syarat wajib tempat pengajian. Jika tidak dibuat, maka batallah pengajian. Betul ke? Apa pun diharapkan kolokium ini tidak menghalang aku untuk terus mencoretkan sesuatu di Samudera Tinta yang sentiasa dirindui ini (walaupun sekadar salin dan tampal.uh,uh.).

Akhirnya, salam rindu buat semua..
Related Posts with Thumbnails