Tuesday, October 6, 2009

Sudah Tambah 6 Hari Lagi?

Hari ini sudah 16 Syawal. Masih berbaki 14 hari lagi untuk menyempurnakan 6 hari puasa sunat di bulan Syawal. Dengan deretan rumah terbuka, jamuan dan godaan di bulan Syawal, mampukah ditambah 6 hari lagi seusai 30 hari pada Ramadhan?

Puasa enam ku tahun ini terasa lebih senang berbanding tahun-tahun sebelumnya. Jika tahun-tahun sebelumnya, berada di Bangi menjadikan puasa sunat di bulan Syawal agak mencabar. Boleh dikatakan ada sahaja rumah terbuka dibuat. Jika tidak dibuat oleh kenalan, pihak fakulti pun akan turut membuat jamuan raya. Hujung minggu memang penuh dengan jemputan rumah terbuka. Makanan percuma mana boleh dilepaskan! hehe.

Di Kuantan, budaya rumah terbuka juga ada cuma dalam keadaan yang terkawal. Jika di bandar-bandar, mungkin 30 Syawal malahan selepas Syawal pun masih ada rumah terbuka. Memang semangat! Puasa 30 hari maka raya pun 30 hari. Tok guru mana yang ajar agaknya. Jadi, keberadaanku di Kuantan menjadikan puasa enam hari di bulan Syawal ini agak sedikit mudah. Jemputan rumah terbuka kurang manakala dugaan pun agak kurang (kurang bukan bermaksud tiada, ya!).

Apa pun semoga kita semua dapat merebut tawaran percuma 'seumpama berpuasa sepanjang tahun' yang dikurniakan oleh Allah buat hamba-hambaNya dengan jayanya. Jika bukan sekarang, bila lagi?

“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1164 (Kitab al-Siyam, Bab disunatkan berpuasa enam hari dari bulan Syawal)]
Related Posts with Thumbnails