Wednesday, May 28, 2008

Pentas

Di pentas indah itu
Seorang cendekiawan
Melangit ilmunya
Menggunung pengetahuannya
Berjela notanya
Panjang bicaranya

Nun di hadapan pentas
Hadirin lugu
Cetek pengalamannya
Tohor ilmunya
Memandang sepi
Mendengar lesu
Menongkat dagu

Antara pemberi dan penadah ilmu
Harus ada titik pertemuan
Yang bisa menyatukan..

Kompleks Kuliah Utama, Universiti Malaya
28 Mei 2008, 12.26 tengahari

Monday, May 26, 2008

Selamat Tinggal Pulau 'Puteh' Mata!!

Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan..

Keputusan penuh kes Pulau Batu Puteh :
http://www.icj-cij.org/docket/files/130/14492.pdf?PHPSESSID=5b6847bf4aaa40d37cac6d62bff0e8df

Mentaliti Dunia Ketiga


”Malaysia Mempunyai Fasiliti Kelas Pertama Dengan Mentaliti Dunia Ketiga”. Aku pernah terbaca headline di atas di dalam sebuah akhbar arus perdana dulu. Aku terlupa yang mengucapkan pernyataan tersebut adalah menteri mana. Jika tidak silap mungkin Pak Lah ataupun Tun Dr Mahathir.

Namun yang pasti, bukanlah aku ingin membahaskan siapa yang mengucapkan pernyataan tersebut. Apa yang aku ingin kongsikan di sini adalah berkaitan diriku yang turut terjebak dengan masalah mentaliti dunia ketiga.

Sebagai sang tikus makmal, diriku sentiasa akan ”bermain-main” dengan segala jenis instrumen dan peralatan yang berkaitan dengan kajian yang dilakukan. Tidak dapat tidak, kadang-kadang instrumen yang perlu aku gunakan berada dalam keadaan rosak atau out of service. Inilah situasi yang paling aku tidak suka dan benci kerana ia bisa mengganggu segala perancangan dan perjalanan kajianku.

Di tempat aku melakukan kajian terdapat satu instrumen yang penting yang sangat perlu aku gunakan. Alat tersebut rosak bermula bulan Disember 2007. Sehinggalah kini 26 Mei 2008 alat tersebut baru dapat diperbaiki namun belum dapat dilakukan test lagi kerana operator yang menjaga alat tersebut agak sibuk. Cuba kita bayangkan, untuk membaiki kerosakan yang bagiku adalah cukup kecil pun mengambil masa hampir 5 bulan. Bagaimanakah bidang research kita hendak setanding dengan negara-negara maju? Usah kita pandang kepada negara-negara luar seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat, dengan Singapura dan Thailand kita agak jauh ketinggalan terutama dalam bioteknologi dan nanoteknologi!!

Pernah, satu alat yang baru sahaja selesai dibaiki (setelah hampir 8 tahun rosak) dan cuba untuk dilakukan ujian, namun ujian yang dilakukan kurang berjaya. Puncanya? Kerana pengendali a.k.a operator telah terlupa kata laluan ke akaun Administrator di dalam komputer!! Aku terkesima dengan situasi ini. Apabila dicadangkan supaya diformat komputer, timbul lagi masalah. Tahukah apa masalahnya? Masalahnya CD installer software asal yang dibekalkan bersama-sama alat tersebut telah hilang kerana diletakkan bersepah-sepah sebelum alat tersebut diperbaiki. Mujurlah pembekal sanggup memberikan software baru untuk dipasang setelah komputer tersebut siap diformat.

Kemudian dipanjangkan cerita, komputer tersebut pun dihantar ke pusat komputer untuk diformat dan sehingga entry ini ditulis, proses memformat komputer yang cukup senang itu belum lagi selesai dan telah mengambil masa hampir 1 bulan. Ya, 30 hari untuk memformat satu CPU komputer!! Aku pun tidak pasti apa yang nak aku katakan. Apabila difollow up jawapan yang diberikan, ”Maaf, belum siap. Kami ada banyak komputer yang perlu diformat,”. Jadi, apa lagi yang boleh aku katakan.

Inilah sebahagian masalah mentaliti yang menyelubungi pengendali a.k.a operator instrumen di institut pengajian tinggi awam dan institut penyelidikan di Malaysia. Mereka memandang mudah kepada semua perkara tanpa melihat kepada batang tubuh researcher dan keadaan kajian yang sedang dijalankan. Apa nak hairan, tiap-tiap bulan gaji mesti masuk kan!!

Aku teringat perbualanku dengan seorang pelajar PHD dari Sudan, pensyarah di salah sebuah universiti di sana. Orangnya agak tinggi, berjambang dan berambut kerinting. Melihatnya, aku membayangkan seperti aku sedang berhadapan dengan Bilal bin Rabah radiallahuanhu, muazzin Rasullullah SAW yang cukup agung. Mungkin ciri-ciri fizikalnya sedikit sebanyak menyerupai Bilal.. =) Dia berkata dia banyak menderita dalam menjalankan kajian di Malaysia. Kerenah birokrasi, mentaliti, dan banyak lagi masalah-masalah yang beliau hadapi semasa menjalankan kajin di sini. Katanya, banyak masanya dihabiskan dengan menunggu. Menunggu alat rosak dibaik pulih, menunggu giliran menggunakan alat dan pelbagai perkara berkaitan masa yang membelenggunya. Dia kelihatan seolah agak kecewa dengan apa yang telah dilaluinya sepanjang berada di Malaysia. Jadi, kita boleh bayangkan apakah yang akan beliau ceritakan kepada kawan-kawannya apabila pulang ke Sudan kelak tentang research environment di Malaysia. Agak-agaknya positif ke negatif ye. Tanyalah hati dan minda masing-masing.

Kadang-kadang aku menjadi risau kalau-kalau virus mentaliti dunia ketiga menjangkiti diriku. Tapi rasanya macam dah kena.. =) Sebabnya sekarang aku macam jadi malas sedikit dan suka memberi alasan. Itu antara simptom-simtom terkena virus mentalti dunia ketiga tu. Ish, aku kena cepat-cepat update antivirus aku ni. Jangan biarkan virus tersebut bermaharajalela di dalam diriku.

Juga kepada kawan-kawan sekalian, segeralah update antivirus dirimu itu. Jangan biarkan dirimu diselubungi virus bahaya itu....

Medan Ilmu

Dedikasi buat penyumbang, penyampai dan saksi ilmu...





MUFC King Of Europe

Khamis lalu mencatatkan kenangan yang indah buat peminat pasukan Manchester United apabila pasukan ini berjaya menggondol Piala UCL, satu piala yang sangat diidam-idamkan oleh kelab-kelab eropah yang bergelar juara di liga masing-masing. Dengan memenangi piala ini bolehlah dikatakan sesebuah pasukan itu adalah RAJA di kalangan kelab-kelab terbaik eropah.

Kejuaraan kali ini telah memberikan Manchester United gelaran Eropah yang ketiga di mana harus diingat bahawa kali terakhir mereka memenangi piala ini adalah pada tahun 1999 di mana memori Treble Champions masih lagi segar di ingatan peminat fanatik Manchester United. Jika pada tahun 1999, nama-nama seperti Solkjaer, Beckham, Smeichel, Giggs, Sheringam adalah pemain-pemain yang dijulang sebagai wira, kali ini giliran pemain genearsi baru Rooney, Ronaldo, Tevez, Carrick dan lain-lain mengambil tempat meniti di bibir peminat Red Devils. Penampilan Scholes bersama-sama Giggs yang mana berjaya memecahkan rekod sepanjang zaman Bobby Charlton menambahkan lagi kemanisan kejuaraan Manchester United pada musim ini.

Apa yang pasti, pelaburan Alex Ferguson membawa masuk pemain-pemain baru seperti Owen Hargreaves, Nani dan Anderson adalah sangat berbaloi dan antara factor yang membantu memenangi dua kejuaraan utama pada musim ini ~ Barclays Premier League dan UCL. Walaupun ada suara-suara sumbang pada awalnya yang mempertikaikan pembelian Nani dan Anderson, namun Ferguson berjaya menutup mulut pengkritik-pengkritik tersebut dengan penampilan dan aksi yang ditampilkan oleh Nani dan Anderson.

Musim depan pasti akan memperlihatkan persaingan yang lebih sengit di mana pasukan-pasukan lain pasti akan cuba untuk menyaingi Manchester United. Namun, aku percaya Ferguson tidak akan duduk diam. Pasti ada sesuatu yang akan dilakukannya.

Apa-apa pun selaku peminat setia Red Devils, aku amat berbangga dengan kejayaan ini. Teruskan United!! Glory Glory Manchester United !!!

Thursday, May 22, 2008

Mengapa Berblog?

Rupa-rupanya bidang blog ini juga menuntut kesabaran! Masakan tidak, baru tadi aku selesai menaip lebih kurang 3 perenggan entry baru, namun akibat tersilap teknik semasa save, entry tersebut terus hilang, lantas membazirkan masaku selama 15 minit yang aku gunakan untuk menaip entry tersebut. Ish, sabar je lah! Kang tak pasal-pasal ada yang berhenti terus berblog.. =)
Berbalik kepada soalan tadi mengapa berblog? Ini adalah soalan biasa ditanya kepada mereka yang berhasrat untuk berblog ataupun yang baru memasuki dunia blog. Jika ditanya kepadaku secara peribadi, bagiku blog merupakan satu medium untuk meluahkan apa yang tersimpan di minda dan hati.
Lagipun bagi diriku, "sang tikus makmal" yang duniaku hanyalah dinding konkrit empat segi dan menghambakan seluruh hariku di dalam makmal yang kadangkala menggembirakan (apabila eksperimen yang dibuat menjadi) dan kadangkala menyedihkan (banyak faktor, mungkin aku boleh kongsikan kemudian), dengan berblog aku boleh melepaskan segala tekanan dan faktor-faktor lain yang menghimpit dadaku. Kerna melalui penulisan kita mampu menyalurkan dan mempamerkan perasaan kita.
Jadi, aku harap ini akan menjadi titik permulaan yang baik kepada ku. Semoga terus menjadi motivasi kepadaku untuk terus menghabiskan saki-baki perjuangan di bumi Bangi yang indah ini.. =)
Don't give up! Go Kimone!

Selamat Datang Ke Dunia Blog!

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera,

Saya adalah Kimone Al-Kindi. Sedang cuba-cuba untuk melibatkan diri dalam dunia bloggers. Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada diri saya sendiri kerana telah berjaya melibatkan diri dalam salah satu media yang cukup efektif dasawarsa ini. Tak Caye? Cube tanya Menteri Penerangan yang baru, Shabery Chik.. =)
Semoga terus istiqamah dalam berblog.
Go, go Kimone!!
Related Posts with Thumbnails