Thursday, June 5, 2008

Minyak-Pemimpin Bohong dan Tak Peduli




Harga Minyak Mungkin Naik Ogos : Shahrir, Kuala Lumpur – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad semalam membayangkan harga minyak petrol dan diesel akan naik mulai Ogos depan. “Ia akan berlaku, harga petrol akan naik, saya fikir mungkin dalam Ogos tahun ini apabila sistem subsidi diberi penstrukturan semula” katanya.


Begitulah petikan daripada halaman utama Sinar Harian yang boleh dibaca pada 3 Jun 2008, Selasa yang lalu. Ia seolah sebagai satu semboyan amaran kepada rakyat jelata bahawa mereka mesti bersiap sedia dalam jangka masa yang masih ada untuk menghadapi satu kenaikan harga minyak petrol dan diesel yang berkemungkinan agak besar. Ternyata respon yang diberikan rakyat pelbagai dan apa yang pasti masing-masing sudah pun mencongak-congak akan kesusahan dan keperitan yang akan mereka lalui kelak.

Namun, dengan tidak semena-mena pada tengahari 4 Jun 2008 pihak kerajaan telah mengumumkan kenaikan harga minyak petrol dan diesel masing-masing daripada RM1.92 kepada RM2.70 dan RM1.58 kepada RM2.58 berkuatkuasa serta merta iaitu selepas tengah malam 4 Jun 2008. Dengan erti kata lain pada 12.00 tengah malam 5 Jun 2008 harga minyak petrol dan diesel akan dijual mengikut harga baru dengan kenaikan RM0.78 sen dan RM1. Jika dengan pengumuman ini kerajaan berhasrat untuk memberi kejutan kepada rakyat, ternyata mereka telah berjaya!

Seakan tersentak dengan pengumuman itu, pada petang 4 Jun 2008 orang-ramai mula berpusu-pusu melimpahi stesen-stesen minyak di seluruh negara sebaik pulang dari pejabat masing-masing. Orang ramai seolah berada di dalam keadaan panik dalam keadaan masing-masing cuba untuk memenuhkan tangki minyak masing sebelum menjelang 12 tengah malam. Menjelang pukul 7 malam suasana sekitar stesen minyak di Bandar Baru Bangi sendiri seolah suatu pesta apabila kenderaan-kenderaan persendirian beratur menunggu giliran kira-kira hampir-hampir mencecah 2,3 kilometer panjangnya. Samada mereka sempat bersolat maghrib ataupun tidak, itu tidak dapat dipastikan kerana jika dilihat dari pandangan mata kasar, ia seolah suatu yang mustahil untuk dilaksanakan bilamana berada di dalam keadaan tersebut.Harapannya semoga mereka menunaikan kewajipan tersebut dan tidak menukarkan solat maghrib dengan harga minyak RM0.78 sen!

Respon tersebut memang sudah diduga daripada rakyat bawahan apabila berlakunya kenaikan harga minyak. Namun, apa yang menyebabkan kita berasa terkilan adalah apabila Shahrir Samad seolah cuba mempermain-mainkan rakyat berdasarkan kenyataan awalnya bahawa minyak mungkin akan dinaikkan pada bulan Ogos dan akhirnya perkara yang sebaliknya berlaku. Ya, kita faham Shahrir hanya membayangkan kenaikan tersebut hanya akan berlaku pada bulan Ogos dan dia sendiri tidak dapat menjaminnya tetapi dengan menaikkan harga minyak dan petrol sehari selepas dia menyatakan perkara sebaliknya di media massa, khalayak akan memandangnya sebagai seorang yang penipu a.k.a munafik-gelaran yang pernah diberikan kepada Abdullah Badawi apabila dia menafikan akan membubarkan parlimen pada hari sebelumnya tetapi berbuat perkara yang sebaliknya pada keesokkan harinya. Mungkinkah ini kita boleh istilahkan seperti kata bidalan “guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari” ataupun “kepimpinan melalui tauladan”.

Berkata benar adalah sesuatu yang sangat penting terutama apabila seseorang itu bergelar pemimpin. Sebagai seorang menteri yang menjaga hal ehwal pengguna, sepatutnya pernyataan yang dikeluarkan oleh Shahrir akan lebih diyakini oleh rakyat kerana dia dianggap seorang yang berautoriti. Persoalannya selepas ini adakah rakyat akan terus yakin dengan Shahrir selaku sang menteri jika dia mengatakan kenaikan harga minyak ini tidak akan menjejaskan kehidupan rakyat dan kerajaan akan memantau sentiasa harga barangan keperluan di Malaysia? Tepuk dada tanya iman!

Daripada cakap-cakap yang didengari daripada rakyat marhean, ramai yang mengeluh mengatakan andai kata kerajaan tidak sabar-sabar lagi untuk menaikkan harga minyak hingga tidak dapat menunggu lebih lama, sekurang-kurangnya berilah jika tidak seminggu, cukuplah sehari dua untuk rakyat lebih bersedia dengan perkara ini. Bukan dibuat secara mengejut sehingga menimbulkan suasana panik dan gawat di kalangan masyarakat seolah kerajaan tidak pernah mengambil peduli hal rakyat terbanyak. Sayugia perkara ini hendaklah dibincangkan secara mendalam dengan kesatuan sekerja, NGO, pakar-pakar ekonomi dan perlu dibentangkan di parlimen agar satu mekanisme yang terbaik dapat dicapai andai kata kenaikan harga minyak dan petrol memang sangat-sangat tidak dapat dielakkan demi kepentingan semua pihak.

Dengan kenaikan harga minyak dan petrol yang cukup tinggi ini, tidak mustahil teori domino akan terus menjerut rakyat. Pesta kenaikan harga barangan serta perkhidmatan lain pasti akan menambahkan igauan ngeri buat rakyat marhean yang kian tersepit. Memetik kata-kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman di dalam Utusan Online yang menyuarakan kebimbangannya terhadap kesan kenaikan harga petrol dan diesel itu yang akan memberi kesan buruk kepada kakitangan sektor awam yang berpendapatan rendah kerana mereka ini baru sahaja hendak menikmati keseimbangan pendapatan dengan kenaikan harga barang-barang keperluan namun dikejutkan pula denagn kenaikan harga petrol dan diesel. Ini secara tidak langsung akan menjejaskan produktiviti dan prestasi mereka di tempat kerja.

Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah yang turut dipetik dari sumber yang sama menyifatkan kenaikan harga petrol dan diesel sebanyak 40 peratus itu adalah besar dan bakal menjejaskan sosioekonomi rakyat. Paling terkena tempias dengan kenaikan harga minyak ialah golongan berpendapatan rendah dan masyarakat luar bandar yang akan dibebani dengan kenaikan harga barang. Menurut Hilman lagi meskipun kerajaan akan memperkenalkan rebat tunai bahan api dibayar melalui sejumlah wang pos kepada pemilik kenderaan persendirian sebagai satu bentuk subsidi minyak tetapi insentif itu tidak akan dinikmati oleh golongan yang tidak memiliki kenderaan dan kerana itulah kenaikan harga minyak tidak boleh hanya berpandukan kepada penggunaan minyak dalam kenderaan sahaja.

Apapun kini kenaikan harga minyak dan petrol telah pun diumumkan dan menurut ramalan harga ini tidak mustahil akan dinaikkan lagi dalam masa yang tidak lama. Rakyat bawahan yang semakin gelisah dengan situasi sekarang akan menjadi bertambah tertekan dan terus tertekan. Kerajaan seharusnya segera memikirkan suatu pelan penyelesaian yang akan memberikan situasi menang-menang kepada semua pihak agar tiada orang yang akan merasa tertindas dan ditindas.

Andai perkara ini gagal ditangani secara bijak, jangan salahkan rakyat jika mereka sekali lagi turun ke jalan raya demi mempertahankan hak dan maruah mereka!


2 comments:

Aqil Fithri said...

kami sembah pak lah...

Anonymous said...

Makin lama makin tak betul Pak Lah ni aqil oii...

Related Posts with Thumbnails