Monday, June 22, 2009

Rompakan Besar-Besaran 'One Malaysia'


KOTA BHARU, 22 Jun (Hrkh) - Slogan 1 Malaysia sebenarnya hanya retorik Umno-BN. Jelas rakyat Malaysia, khususnya di negeri Serambi Mekah, Kelantan dinafikan hak mendapat royalti petroleum.

Sedangkan anggaran pengeluaran petroleum di Kelantan dalam satu tahun kira-kira RM2.5 bilion.

Sehubungan itu kerajaan Kelantan akan membuat tuntutan sebanyak RM1 bilion kepada kerajaan pusat sebagai royalti minyak yang tertunggak sejak tahun 2004.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Dato' Husam Musa berkata, Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak wajar menimbangkan tuntutan tersebut selaras dengan konsep '1 Malaysia' yang diperkenalkannya.

"Kerajaan negeri bersetuju supaya Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menulis surat rasmi kepada Perdana Menteri berhubung perkara tersebut," katanya selepas mesyuarat Exco Rabu lalu.

Menurutnya berdasar kepada laporan Jabatan Perdana Menteri yang diedarkan kepada pegawai kerajaan negeri, pengeluaran petroleum di perairan Kelantan sebanyak RM2.5 bilion setahun.

Kata beliau Kelantan antara negeri yang disenaraikan sebagai pengeluar petroleum sejak 2004 dan sepatutnya turut mendapat royalti seperti Sabah, Sarawak dan Terengganu.

Katanya, menurut Jabatan Perangkaan empat negeri terbabit disenaraikan sebagai pengeluar petroleum melalui buletin jabatan tersebut bermula 2004 sehingga sekarang.

"Tahun 2009 merupakan tahun keenam kerajaan pusat tidak membayar royalti kepada kerajaan dan rakyat Kelantan sedangkan hasil yang diperolehi setiap tahun bernilai antara RM2.5 hingga RM2.7 bilion.

"Adalah satu perkara yang sangat memalukan jika kerajaan pusat tidak dapat membayar wang royalti itu lebih-lebih lagi kerajaan kini mengutamakan rakyat," katanya.

Ketika ditanya mengapa mengambil tempoh lama untuk membuat tuntutan tersebut beliau berkata, kerajaan negeri baru menerima maklumat Mac lalu dalam mesyuarat di Jabatan Perdana Menteri.

~ Sumber Harakahdaily ~

P/s: Zionis Israel merampas hak rakyat Palestin sejak sekian lama tanpa perikemanusiaan. UMNO merampas dan menganaktirikan rakyat Qlate sejak sekian lama. Jadi, apa beza UMNO dengan Zionis Israel?

Thursday, June 18, 2009

Program Ceramah Terdekat di Bangi


Dengarkan penjelasan isu-isu semasa terkini daripada pemidato-pemidato terhebat.

Dijemput hadir beramai-ramai!!!

Tuesday, June 16, 2009

Isu Pendidikan; Keutamaan Yang Tidak Diutamakan


Isu pendidikan negara tidak pernah sunyi dari kontroversi. Apabila seseorang menteri pelajaran baru dilantik, pasti akan ada sesuatu perkara yang disifatkan sebagai 'agenda baru' akan diperkenalkan. Tujuannya mungkin sebagai satu transformasi ke arah menjadikan sistem pendidikan negara lebih berdaya maju dan mampu bergerak seiring dengan kepesatan perkembangan ilmu dasawarsa ini.

Umum mengetahui akan isu PPSMI yang senantiasa menjadi perdebatan hangat di kalangan para ilmuwan dan pakar-pakar bahasa masih belum menemui jalan penyelesaian yang konkrit. Walaupun telah banyak seminar, wacana, perbahasan berkaitan isu PPSMI telah dibuat sehinggalah kepada kemuncak himpunan aman besar-besaran rakyat membantah penyalahgunaan kuasa kerajaan dalam isu bahasa, namun itu belum cukup untuk membuka hati nurani pihak berwajib untuk memahami apa kehendak rakyat yang sebenarnya.

Baru-baru ini pula Menteri Pelajaran yang baru merangkap Timbalan Perdana Menteri mencadangkan agar Bahasa Inggeris patut dijadikan mata pelajaran wajib untuk lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Cuma di sini pihak berwajib mengambil sikap yang berbeza berbanding isu PPSMI dengan membuka peluang untuk orang awam memberikan pandangan dan buah fikiran mereka. Berdasarkan PPSMI dan cadangan terbaru untuk menjadikan Bahasa Inggeris sebagai salah satu mata pelajaran wajib lulus memberikan gambaran kepada kita betapa kerajaan memandang serius akan peri pentingnya Bahasa Inggeris dalam kehidupan.

Persoalannya, benarkah itu adalah isu Bahasa inggeris adalah isu pokok di kalangan pelajar-pelajar sekarang? Bukankah hampir saban hari kita didedahkan dengan kelakuan liar dan tidak sopan di kalangan anak-anak sekolah. Kes membuli, memukul guru, berzina di sekolah, mengandung luar nikah bukan lagi perkara taboo yang boleh dilindungkan menzahirkan kepada umum bahawa akhlak remaja berada di tahap kritikal.

Sepatutnya soal moral dan akhlak yang perlu lebih dibimbangkan oleh Muhyiddin. Berbanding cadangan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai salah satu matapelajaran wajib lulus, keutamaan sebenarnya adalah menjadikan matapelajaran pendidikan islam/moral/sivik sebagai salah satu subjek wajib lulus dengan merangka silibus yang lebih mapan dan lebih komprehensif dan bukan sekadar melepas batuk di tangga.

Penulis pernah bersarapan di sebuah kedai dan duduk di sebuah meja bersebelahan meja makan yang diduduki oleh sekumpulan remaja yang masih di bangku sekolah sambil cuba mengamati topik yang diperbincangkan dan patah-patah perkataan yang dikeluarkan oleh mereka. Nyata perkataan-perkataan seperti sial, celaka, bodoh, babi, bangang, p*k*m*k, p*nt** sudah menjadi butir zikir yang kerap keluar dari mulut mereka tanpa segan silu dengan ketawa yang kuat dan terbahak. Tidak terkecuali samada pelajar lelaki ataupun perempuan. Malahan ada yang dengan bangganya menyedut dan menghembus asap rokok dengan berpakaian sekolah.

Saidina Ali pernah berpesan, jika ingin melihat nasib sesuatu bangsa di masa hadapan, lihatlah kepada kualiti generasi mudanya pada hari ini. Adakah kita yakin negara kita akan terus berada di dalam keadaan seperti hari ini pada 50 tahun lagi dengan kualiti pewaris anak-anak mudanya dalam keadaan tidak menetu. Jawablah persoalan ini dengan ikhlas dari lubuk hati yang paling dalam.

Jiwa anak-anak remaja sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru dan sentiasa tertarik kepada benda-benda baru. Perasaan inilah yang perlu dikawal dengan sebaik mungkin mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh agama. Didikan agamalah merupakan senjata yang ampuh untuk menjadikan seseorang lebih bersifat keinsanan kerana di dalam agama tersemat di dalamnya konsep syurga pahala dan pembalasan di sana. Tiada yang terlepas daripada hitungan Allah.

Sistem pendidikan yang ada sekarang tidak mampu melahirkan insani. Ia lebih kepada membentuk robot-robot yang tidak berjiwa. Jika menjadi seorang doktor, dia tidak akan merasa belas terhadap pesakit-pesakit miskin dan kurang berkemampuan. Jika menjadi seorang ahli politik, dia tidak akan segan silu untuk memberi atau menerima rasuah. Hatta dari serendah-serendah pangkat sehinggalah setinggi pangkat, bukan kecil jumlahnya mereka yang terlibat dalam jenayah kolar putih dan pecah amanah. Mungkin inilah bahana lantaran jiwa-jiwa yang gersang tanpa pengisian.

Sewajarnya saranan menjadikan matapelajaran agama/moral/sivik menjadi subjek wajib lulus seharusnya dipertimbangkan oleh kerajaan. Walaupun ia mungkin tidak menyelesaikan sepenuhnya masalah kebejatan akhlak para remaja, sekurang-kurangnya dengan langkah ini akan membantu sedikit sebanyak membendung permasalahan moral di kalangan anak-anak remaja. Sekurang-kurangnya dalam masa yang terdekat.

Namun, sejujurnya perlu diketahui untuk menjadikan sistem pendidikan kita benar-benar mampu melahirkan insan yang memiliki sifat insani, perjalanannya masih jauh kerana ia memerlukan satu reformasi dan transformasi besar-besaran dengan mengambil kira semua aspek keperulan manusia samada fizikal, mental dan rohani. Hanya dengan cara ini sahaja generasi Ulul Albab dan modal insan bertaraf dunia mampu dilahirkan.

Akhirnya persoalan yang mungkin timbul adalah adakah mereka, kita, kamu, saya dan semua rakyat Malaysia sudah bersedia ke arah itu?

(Gambar di atas diambil dari sini)

Sunday, June 14, 2009

Perginya Seorang Ulama


Daripada Abdullah bin Amru bin al-Ass radiallahu anhuma berkata, Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: “Bahawasanya Allah SWT tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu sekaligus dari (dada) manusia, tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat dan menyesatkan orang lain.” (Hadith riwayat Imam Muslim)

Ulama tersohor dunia Sheikh Dr Fathi Yakan dikhabarkan telah meninggal dunia pada usia 76 tahun. Siapa yang tidak mengenali beliau. Salah satu buku karangannya yang popular bertajuk 'Apa Ertinya Saya Menganut Islam' sentiasa meniti di bibir kumpulan-kumpulan usrah pelbagai wadah sebagai salah satu silibus asas. Walaupun ramai tidak pernah berjumpa beliau, namun nama beliau tidak lekang di kalangan penggerak dan aktivis dakwah serata dunia.

Di dalam IslamonLine.net tertulis Dr. Fathi Yakan ialah ulama' dan pendakwah Islam yang terkemuka. Berkelulusan Ph.D. dalam Bahasa Arab dan Pengajian Islam, beliau merupakan antara penggerak awal gerakan Islam sekitar tahun 1950.


Beliau juga merupakan Setiausaha Agung Al-Jamaa Al-Islamia Lubnan sehingga beliau memenangi kerusi Parlimen di Lubnan. Beliau ialah aktivis utama dalam arena politik, kelihatan paling jelas semasa pilihanraya pada tahun 1996.Baru saja kami mengupas kitab Bahtera Penyelamat di dalam Mukhayyam Dakhili yang lepas. Karangannya benar-benar sarat motivasi dan petunjuk. Cukup berkualiti sebagai rujukan oleh aktivis dakwah.

Dengan perginya Sheikh Dr Fathi Yakan maka umat Islam telah kehilangan sebutir permata yang sangat berharga yang sukar dicari ganti. Bersama kita doakan semoga roh Sheikh Dr Fathi Yakan akan ditempatkan bersama para kekasih-Nya, insyallah. Amin.

Jutaan penghargaan buat Al-Marhum Al-Fadhil Sheikh Dr Fathi Yakan. Al-Fatihah.

Thursday, June 11, 2009

Blog dan Pengemaskiniannya


Uhuk, uhuk, uhuk!

Terbatuk-batuk aku ketika mula-mula sign in Samudera Tinta tadi. Maklumlah blog ini telah dipenuhi oleh habuk-habuk dan sesawang elektronik yang tidak nampak di mata tetapi tetap wujud secara semulajadi. Terjadi akibat lamanya Samudera Tinta tidak dikemaskini.hehe.

Sebenarnya, kegagalan untuk mengemaskini blog ini salah satunya berpunca daripada gambar di atas. Aku telah menyertai satu seminar anjuran bersama universiti di Malaysia dengan salah sebuah universitas di Indonesia, Institut Teknologi Bandung (ITB).

Walaupun penyertaan itu dalam bentuk poster (seperti yang tertera pada gambar di atas), namun prosesnya juga sangat rumit. Bermula daripada penyediaan kertas kerja yang perlu mengikut format dan standard (baca; menyusahkan orang) tersendiri, merujuk buku dan jurnal, menyediakan susun atur templat poster yang bersesuaian, menempah poster sehinggalah pendaftaran pada hari program. Semua menuntut komitmen yang padu, jitu dan tidak berbelah bahagi daripada seorang jejaka Melayu tulen sepertiku.

Seminar selama 3 hari tersebut berakhir pada hari ini. Rata-rata peserta yang hadir samada dari Malaysia ataupun Indonesia terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang kimia; Organik, Inorganik, Analisis, Fizikal, Biokimia dan lain-lain. Ternyata isu Manohara tidak meresap masuk ke dalam bidang akademik. Masing-masing boleh bersahabat dan berinteraksi dengan baik tanpa apa-apa masalah. Baguslah begitu.

Keduanya, aku juga perlu memberikan komitmen terhadap tesis yang memasuki fasa 'pecunasi' (pecutan + hibernasi). Sukar untuk menerangkan dengan lebih lanjut apa itu pecunasi kerana melibatkan istilah-istilah yang kompleks. Namun aku bersyukur masih mampu bernafas dengan baik semasa melalui fasa ini tanpa memerlukan bantuan tabung oksigen, alhamdulillah.huhu. Semoga ianya akan terus berkekalan begini.

Di penghujung bulan ini, jika tiada aral, insyallah aku akan mengikuti satu lagi kolokium yang merupakan syarat wajib tempat pengajian. Jika tidak dibuat, maka batallah pengajian. Betul ke? Apa pun diharapkan kolokium ini tidak menghalang aku untuk terus mencoretkan sesuatu di Samudera Tinta yang sentiasa dirindui ini (walaupun sekadar salin dan tampal.uh,uh.).

Akhirnya, salam rindu buat semua..

Kerajaan Perpaduan Itu Mengarut


MUQADIMMAH: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat memanggil Harakah ke Rumah Sri Kelantan sehari setelah Muktamar Tahunan PAS ke-55 selesai dilangsungkan. Pada sebelah pagi, 7 Jun lalu, wartawan Harakah, INTAN ABDULLAH menemui Menteri Besar Kelantan itu dan mengadakan wawancara. Tok Guru betul-betul sedih dan kecewa kerana tiada pemimpin dari Kelantan yang menang pada pemilihan Muktamar kali ini. Beliau paling sedih, apabila media terus memainkan isu kerajaan perpaduan yang ditolak oleh perwakilan. Ikuti pendangan tokoh ulama PAS yang disegani ini.

HARAKAH: Muktamar PAS ke-55 baru sahaja selesai. Secara umumnya, bagaiamana Tok Guru melihat perjalanan kali ini yang telah diadakan di Stadium Melawati Shah Alam pada 5 hingga 7 Jun lalu?

TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ: Muktamar PAS yang ke-55 telah selesai. Kemudian telah dipilih pemimpin-pemimpin yang akan menerajui PAS, yang disebut PAS memimpin perubahan. Cuma saya bukan sahaja terkilan dan sedih di atas tidak dipilihnya pemimpin Kelantan pada pemilihan PAS baru-baru ini.

Bukan sahaja terkilan tetapi sedih. Saya tidak tahu apa puncanya. Kita akan kaji, dan boleh jadi kita akan serah perkara ini kepada muktamar pusat akan datang. Cuma saya gembira sungguh-sungguh atas keputusan yang dibuat oleh Dewan Pemuda PAS Pusat yang menolak sebulat suara mengenai kerajaan perpaduan.

Benda ini saya sendiri telah buat keputusan sejak lama dahulu. Saya telah tegur pemimpin PAS Pusat, pemimpin yang selalu mengutarakan muqabalah, muzakarah ini. Saya bagi tahu bahawa keputusan ini bercanggah dengan keputusan muktamar di Perak tahun lepas. Oleh itu, kalau kita hendak buat benda yang baru, perlu dibawa ke muktamar.

Yang kedua, bagi saya Jabatan Penerangan PAS Pusat perlu diubahsuai mengikut keputusan-keputusan muktamar. Ini kerana PAS hanya ada satu lidah rasmi saja untuk PAS iaitu Harakah.

Dalam organ Harakah ini pula, perlu dilihat semuala. Disemak dan dirombak mengikut kehendak keputusan muktamar iaitu menolak kerajaan muktamar, seperti keputusan Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat. Siapa orangnya yang diharapkan, sudah tentu pimpinan dapat pastikan.

Yang ketiga, saya ucap tahniah kepada YB Khalid Samad. Walaupun beliau tidak pernah dilihat berkopiah, berserban, berjubah tetapi ucapan dia dalam dewan muktamar kelmarin beliau telah menggunakan hujah-hujah ulama seratus peratus.

Mengapa Tok Guru mengulas tentang ucapan perbahasan YB Khalid Samad? Apakah terdapat sesuatu yang menarik pada hujahnya?

Lagak dia ini (Khalid) boleh menyelesaikan persoalan yang dibesar-besarkan oleh pihak media arus perdana yang ingin mengasingkan antara profesional dan ulama. Khalid Samad telah menonjolkan, menjelmakan tafsiran yang sah bahawa ulama PAS adalah profesional dan profesional PAS adalah ulama. Tidak ada pengasingan dalam PAS khasnya dalam Islam antara dua golongan ini.

Hujahnya adalah hujah alim ulama. Ada dua hujah dia. Pertamanya mengenai Abu Jahal patuh kepada tradisi Arab (perlembagaan tidak bertulis) bahawa tiap-tiap orang apabila dilindungi oleh seorang pembesar Makkah, maka kerajaan terpaksa akur dengan perlindungan itu.

Apabila Rasulullah balik daripada Taif, baginda tidak dibenarkan masuk ke Makkah oleh kerajaan Abu Jahal. Tetapi nabi kita menggunakan diplomasi iaitu dengan meminta perlindungan daripada seorang yang bernama Mut'am bin Adiyy yakni seorang kafir musyrik. Oleh kerana budaya Arab apabila seseorang yang dapat perlindungan daripada mana-mana orang Arab maka Arab yang lain terpaksa menerimanya.

Jadi, Abu Jahal terima Rasulullah duduk di Makkah berdasarkan tradisinya mendapatkan perlindungan daripada seorang yang bernama Mut'am. Abu Jahal tahu dan hormat kepada tradisi itu. Malangnya, Umno tidak tahu hormat langsung peraturan dan undang-undang.
Umno pencabul di Perak kerana bukan tradisi orang Melayu berbalah sesama orang Melayu. Bukan perlembagaan namanya itu? Jadi, Umno ini lebih teruk daripada Abu Jahal lagi. Umno tiada perlembagaan dan moral. Akhlak pun tak ada. Apa yang dia nak buat, dia buat ikut sedap hati dia. Betul-betul dibuat atas sebab nafsu amarah.

Saya ulang berkali-kali firman Allah dalam al-Quran, ayat 27-28 Surah Fathir. Allah letakkan perkataan ulamak di penghujung ayat mengenai geografi, geosains, mengenai alam sekitar. Ayat tersebut bermaksud, "Yang takut pada Allah itu adalah ulama."

Perkataan ulama diletak dihujung daripada ayat-ayat mengenai langit, bumi, air, cuaca, alam sekitar, yang mengandungi manusia dan haiwan. Ini menunjukkan ulama ini tidak hanya seperti fahaman tradisi yang mementingkan fiqh, syariat dan tasawuf semata-mata.

Perkara ini kebetulan berlaku kerana usaha-usaha penjajah di seluruh dunia yang menyekat aliran ilmu-ilmu begini untuk diketahui oleh anak-anak jajahan. Ilmu sains dan teknologi ini sengaja dicipta oleh penjajah. Ini kerana kebanyakan alim ulama kita zaman dahulu hanya belajar di Masjidil Haram. Di sana pada ketika itu hanya mementingkan ilmu fiqh, daripada pengarang-pengarang lama. Dalam ulama Makkah tidak diajar ilmu sains, teknologi, geografi. Semuannya ini tidak diajar. Itulah puncanya.

Sepanjang Muktamar PAS berlansung, media banyak memperkatakan tentang kerajaan perpaduan. Tumpuan mereka kepada isu ini cukup mengelirukan. Boleh Tok Guru perjelaskan sedikit?

Umno sekarang ini telah bersiap sedia dengan pisau, garpu untuk meratah PAS daripada kenyataan-kenyataan pemimpin dia. Sekarang ini nampak sangat Umno terliur untuk memamah PAS.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin mencabar Tok Guru letak jawatan? Apa respons Tok Guru?

Yang sepatutnya, dia (Khairy) yang letak jawatan kerana dia tidak dipilih dalam kabinet Najib Tun Razak. Dia tak dilantik jadi menteri atau timbalan menteripun. Sepatutnya dialah letak jawatan, tetapi tertukar orang.

Patutnya dia letak jawatan kerana beliau dipinggir oleh partinya sendiri. Bagi saya, keputusan muktamar menolak kerajaan perpaduan, betul-betul seperti mana kehendak Mursyidul Am.

Sepanjang perbahasan, nampaknya perwakilan lebih cenderung untuk tidak mahu PAS mengadadakan perbincangan dengan Umno. Bukan sahaja berkongsi kuasa, tetapi berbincang pun mereka tidak berminat. Apa sebenarnya yang berlaku Tok Guru?

Bagi saya, masalah muzakarah-muqabalah tidak perlu ditimbulkan secara agenda. Benda ini, Islam telah lama membuka peluang untuk berbincang. Kita hendak sebutkan sebagai agenda adalah satu yang tidak betul, seakan-akan Islam tiada agenda untuk bertemu dengan orang.

Sedangkan Islam terbuka selama-lamanya. Tidak perlu diagendakan dalam ucapan kita kerana barang sudah sedia ada. Dalam istilah Arab dipanggil tahsilul hasil yakni mengadakan benda yang sudah sedia ada.

Jadi, Islam sejak daripada awal lagi membuka peluang kepada manusia yang menentangnya untuk berbincang. Itu sejak awal lagi, tidak perlu diagendakan. Bila kita mengagendakan apa yang sudah sedia ada bererti kita mengadakan barang yang sudah sedia.

Maksud Tok Guru, mengadakan perbincangan dengan Umno ini sebagai suatu yang telah sedia ada sifatnya? Begitu?

Ya! Tetapi berbincang untuk berkerajaan, untuk bersama dengan Umno, yang ini memang saya tidak boleh terima langsung. Ini kerana saya sebagai orang Kelantan sebagaimana yang saya sebut dalam ucapan saya, orang lain tidak merasa pahit maung bersama Umno.

Sejak daripada dulu, Umno tangkap tok guru pondok masuk ISA pada tahun saya mula masuk PAS (1967) ketika mana Umno mengamuk memberkas tok guru-tok guru pondok dimasukkan dalam ISA. Ini sudah kacau sebab itulah ulama' Umno pada masa itu buat parti PAS. Tetapi lima tahun selepas itu ulama melihat kepada penyelewengan Umno sekular daripada Islam maka mereka (ulama) berpecah daripada Umno lalu menubuhkan Parti Islam.

Isu kerajaan perpaduan ini seperti isu 'One Malaysia' apabila perwakilan dan pemerhati masih lagi kurang jelas dengan definisinya. Ada macam-macam persepsi dan definisi. Ini cukup mengelirukan. Boleh Tok Guru jelaskan?

Dia manfaat untuk rakyatkah? Kalau begitu ia tidak perlu ditonjolkan dalam perpaduan kerana sememangnya begitu. Dalam kerajaan federation atau Persekutuan Malaysia, apa makna Persekutuan kalau antara satu sama lain tidak boleh berhubung?

Hubungan dan masalah berbincang ini memang Islam pun benarkan, dan Kerajaan Persekutuan pun dibenarkan. Tetapi buat hubungan dengan Umno, saya tidak boleh terima kerana buat hubungan dengan Umno lain, bekerjsama dengan kerajaan federal lain.

Sekarang, dalam keadaan Presiden Umno sebut One Malaysia, masih lagi Kelantan diarahkan oleh Kerajaan Pusat supaya pegawai pertanian pusat jangan kerjasama dengan kerajaan negeri Kelantan.

Hal ini memang ada, dan direkod dalam minit mesyuarat kami. Pihak kementerian mengarahkan pegawainya di Kelantan di bawah JPP supaya jangan bekerjasama dengan Kerajaan Kelantan dalam bahagian pertanian. Itu berlaku semasa One Malaysia diisytiharkan. Apa erti One Malaysia? Serupa sahaja. Ia tidak lebih daripada sekadar slogan semata-mata.

Dalam Umno hari ini terdapat pergolakan seperti mana dalam Parti Progresif Penduduk (PPP) dan Gerakan. Keadaan komponen Barisan Nasional (BN) nampaknya lebih kronik di bawah kepimpinan Najib berbanding Abdullah.

Dalam ukuran kepada populariti Perdana Menteri yang baru, kalau kita ambil daripada kaca mata "ucap tahniah" yang diterima oleh Malaysia, setakat ini yang saya diberi faham hanya Singapura, Brunei, dan baru-baru ini Amerika yang ucapkan tahniah. Hanya tiga pemimpin negara dari seluruh dunia yang menyampaikan ucapan tersebut.

Kita telah masuk ke bulan ketiga sejak pelantikan perdana menteri yang baru. Kalau itulah ukuran sambutan orang terhadap perdana menteri yang baru maka sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena.

Apabila kita selidik, apa agaknya yang tidak kena, jelaslah pergolakan dalaman seperti isu PPP dengan elemen dua presiden antara Murugiah dengan Kayveas belum lagi selesai. Begitu juga dengan perpecahan di Terengganu antara blok Ahmad Said dengan Idris Jusoh, laporan ancaman bunuh ketika hendak hadir mesyuarat sidang dun masih belum selesai.

Di Pulau Pinang sendiri pun, usul tidak terima kepada kepimpinan majlis perbandaran menolak salah satu. Itupun ia masih dalam keadaan yang hangat. Jika kita tinjau di Perlis, keadaan yang hampir serupa. Di wilayah ini, keadaannya sama, orang yang boleh diharap dalam menyokong Najib hanya dua, tiga orang sahaja. Mungkin dia bekas setiusaha politik dia, Zahid Hamidi dan mungkin seorang lagi yang baru dilantik sebagai Senator.

Selain mereka, saya lihat masih berkecuali dan kemungkinan tidak memberi wala' kepada Najib. Sebab itu desakan yang ditimbulkan oleh Lim Kit Siang berasaskan kepada 45 peratus sahaja undi popular yang diperolehi. Najib sepatutnya diuji dalam sidang dewan yakni 'vote for non-confidence'.

Kenapa ini tidak boleh dibuat? Ini perkara yang boleh dinilai tahap kekukuhan Umno buat masa sekarang ini.

Apakah konsep One Malaysia hanya 'recycle' kepada pelbagai istilah yang digunakan oleh PM terdahulu bagi menonjolkan kepimpinannya? Maksudnya sebagai produk untuk mengajak rakyat menyokongnya?

Kita terlalu kaya dengan slogan. One Malaysia merujuk kepada perpaduan, penyatuan. Sejak merdeka sehingga ke hari ini, semua ini sememangnya slogan itulah yang kita tuju.

Dengan lagu, harapannya, daripada perdana menteri terdahulu sehingga ke Najib pada hari ini. Di sini bermaksud tiada yang baru dengan slogan One Malaysia. Begitu juga dengan 'rakyat diutamakan'. Ini pun slogan yang telah selesai. Ini kerana semua pemimpin mengulangi perkara yang sama. Kalau pemimpin negara blog kapitalis dan komunis pun, itulah yang mereka cakap pun.

Tetapi apa yang sering berlaku di negara serata dunia ini termasuklah Malaysia pun ialah rakyat yang ditindas, dinafikan haknya - inilah isunya - tetapi Umno sampai sekarang masih tidak dapat menyelesaikannya.

Begitu juga dengan soal kualiti, bercakap tentang hasil daripada kerja dalam konsep One Malaysia. Ini pun satu hal kalau penjawat awam boleh semak perkara ini kita ada prinsip 'Q' pada suatu ketika.

Sebelum ini kita ada SKT atau sasaran kerja tahunan, Fail Meja, Piagam Pelanggan - ini semua adalah perkara-perkara yang menuju kepada 'input cost' dan 'output' atau prinsip pengeluaran kualiti dengan pengurusan yang cekap dan berkesan seperti kaunter servis yang baik. Ini semua adalah perkara yang telah selesai.

Kalau tidak begitu, tidak timbul MAMPU yakni suatu jabatan khas untuk memantau pengurusan yang cekap lalu kita kitar semula istilah ini, dilambung di tengah-tengah Malaysia kononnya ini suatu idea yang bijak daripada kepimpinan Umno yang baru. saya melihat ini suatu 'recycle' sahaja dan tiada suatu yang baru.

~ Sumber di sini ~

Wednesday, June 3, 2009

Daku Menangis Melihat Gambar ini

Ahmad Maslan menoreh getah di kebun Ibrahim Omar (kiri) ketika meluangkan masa beberapa hari bersama penduduk DUN Manek Urai, di Kampung Bukit Budu Lata Rek, Kuala Krai, semalam.


Ahmad Maslan selami kehidupan rakyat di kebun getah

KUALA KRAI 2 Jun - Bagi menyemarakkan semula tradisi mendekati rakyat secara bersemuka dan menyelami kehidupan dan pandangan sebenar mereka, Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berusaha menggunakan pendekatan tersendiri.

Beliau bermalam di rumah seorang penduduk kampung Chuchuh Puteri yang dikenali sebagai Pak Kob dalam kunjungan kali ketiga di kawasan Dewan Undangan Negeri Manek Urai.

Selesai solat Subuh di masjid kampung itu, Ahmad Maslan kemudian turun bersarapan sebuah warung di situ.

Bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Mustapa Mohamed (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) itu kemudian menjengah keempat buah rumah penduduk kampung termasuk menziarah mereka yang sakit dan bertemu penyokong Pas.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri kemudian pulang semula ke rumah menukar pakaian dan terus ke kebun Ibrahim Omar, 56, di Kampung Bukit Budu, Lata Rek untuk bersama menoreh getah.

Bersama Ibrahim, pemimpin itu menghabiskan masa kira-kira sejam menoreh dan pihak media yang menyedari kegiatannya itu menemuinya di kebun.

Bagi Ibrahim, kesudian Ahmad menoreh bersamanya sememangnya mengejutkan. Dia tidak menyangka pemimpin itu sanggup turun ke kebun untuk menoreh dan merasai sendiri perit jerihnya menyara keluarga selama ini.

''Dia menoreh dengan lancar, tidak kekok sama sekali. Cuma saya yang rasa segan mulanya.

"Saya akan ingat perkara ini sampai mati. Tidak mungkin saya lupa kerana sebelum ini menoreh seorang diri tetapi tiba-tiba sahaja hari ini 'orang besar' datang dan tolong saya,'' katanya.

Bagi Ahmad pula, beliau akan berada di Manek Urai lebih lama bagi memantau gerak kerja jentera penerangan menjelang pilihan raya kecil kawasan itu.

Manek Urai bagi pemimpin itu akan menjadi asas untuk menerapkan konsep 'penerangan secara bersemuka' dan bukan sekadar retorik.

''Caranya ini akan menyebabkan pemimpin dan rakyat akan berasa hubungan lebih dekat tanpa batasan, menghilangkan persepsi yang mungkin tidak menyenangkan selama ini,"ujarnya.

Menurut Ahmad Maslan, beliau lahir dan dibesar dalam keluarga susah dan pencapaiannya dalam hidup berasaskan dorongan ibu dan bapa yang juga penoreh getah.

''Saya dibesarkan di Pontian dengan susu ibu dan juga dengan hasil susu getah yang saya toreh untuk membantu keluarga," ujarnya.

Beliau berkata, lebih 70 peratus penduduk Manek Urai merupakan penoreh getah dan kebanyakannya mengambil upah, justeru kerajaan berusaha meringankan beban hidup mereka terutamanya jika Barisan Nasional memenangi pilihan raya kecil di situ.

Katanya, sepanjang berada di Manek Urai beliau akan memastikan jentera penerangan parti tidak mengehadkan kaedah berkempen melalui ceramah semata-mata.

Beliau berkata, ceramah mungkin satu cara tetapi untuk lebih berjaya, pemimpin itu sendiri perlu menghayati dan memahami permasalahan penduduk bagi memudahkan jalan penyelesaian terbaik dilaksanakan.

~ Sumber; Meloya ~

******************************************************************************

1.Masa mula-mula melihat gambar ini, aku sangat terharu. Terasa ingin mengisi borang keahlian UMNO serta-merta. Inilah contoh kepimpinan terbaik 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

2.Namun, apabila melihat tempat berlakunya peristiwa di atas, hatiku mula menyumpah. Laa, patutlah prihatin sangat. Kat Manik Urai rupanya. Terus aku batalkan niat mendaftar UMNO. Siot betol.

3.Nak berlakon pun belajarlah dulu daripada Tom Hanks ataupun Diana Danielle. Ataupun mengikuti kelas teater bersama Sabri Yunus.

4.Cuma aku kasihan melihat Pakcik Ibrahim tersebut. Mungkin kena tipu hidup-hidup dengan lakonan murahan gerombolan. Pakcik Ibrahim mana baca blog. Dia tengok TV3 dan Utusan Meloya sahaja.

5.Persoalannya, nak menoreh pun kena ada 2 orang pengiring ke?

6.Sejam menoreh agaknya berapa batang pokok dapat ditoreh? Ataupun sekadar letak pisau toreh kat pokok, ambil gambar, sengih-sengih dan terus blah.

6.Kesimpulannya, jentera PAS jangan berlengah lagi. Gendang perang telah ditabuh. Pastikan kesinambungan Allayarham Pak Will diteruskan. TAKBIRR!!

Tuesday, June 2, 2009

Penantian Suatu Kebahagiaan ?


Gambar dicuplik dari sini

Orang kata penantian suatu penyiksaan. Benarkah pernyataan itu? Jika difikir sekali lalu menggunakan aqal yang terbatas, maka hati kecil kita pasti akan mengiakannya. Ditambah dengan keadaan persekitaran yang menyerabutkan menjadikan apa yang kita nantikan terasa begitu lambat untuk kesampaian. Bertitik tolak dari itu, semestinya penantian akan menjadi suatu penderitaan.

Aku teringat kata-kata Ustaz Yussaine Yahya, ustaz yang selalu memberi kuliah di Surau Annur Bandar Baru Bangi. "Bagi orang Islam yang meyakini kewujudan kehidupan 'di sana', penantian bukanlah suatu penyiksaan. Sebaliknya, penantian adalah pahala kerana kesabaran kita menunggu sesuatu (dengan niat kerana Allah) ada nilai di sisi-Nya. Bukan sia-sia,".

Ya, setelah lebih suku abad hidup barulah aku mendengar pesanan yang sungguh bermakna itu. Selama ini aku sering diratibkan bahawa penantian sewajibnya suatu penderitaan. Tiada langsung kebahagiaan.

Rupanya penantian bukan sama sekali satu penyiksaan. Bukan! Hakikat sebuah penantian terkandung di dalamnya kasih sayang, kerinduan, kecintaan, kesabaran, dan harapan hanya kepada-Nya. Allah berfirman di dalam surah Al-Mukmin, ayat 55;

"Maka bersabarlah kamu, karena sesungguhnya janji Allah itu benar, dan mohonlah ampunan untuk dosamu dan bertasbihlah seraya memuji Tuhanmu pada waktu petang dan pagi."

Kita semua di berada di dalam penantian. Barangkali ada yang menanti untuk mendapatkan segulung ijazah, ada yang menanti mendapatkan pekerjaan, ada yang menanti orang tersayang, ada yang menanti sembuh dari penyakit dan banyak lagi jenis penantian. Malahan ada yang ternanti-nanti bilakah waktunya akan tertegak undang-undang Islam di muka bumi ini. Penantian tersebut tidak akan menjadi sia-sia selagi mana kita tidak berputus harap dan senantiasa berusaha yang terbaik untuk mendapatkan apa yang kita tunggui. Yang penting usaha! Selebihnya serahkan pada DIA.

"Sesungguhnya, tiada berputus asa dari rahmat Allah kecuali orang-orang kafir, [Surah Yusuf, ayat 80]"

"Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan, [Surah At-Thalaq, ayat 7]"

Tidak dapat dinafikan selaku manusia biasa dalam melayari sebuah penantian itu, kita sesekali akan terumbang-ambing dilambung ombak resah, tenggelam di lautan rindu dan seterusnya terdampar di pinggir pantai kekecewaan. Biasalah manusia. Itukan sifat kita yang lemah.

"Manusia dijadikan bertabiat terburu-buru dalam segala halnya; Aku (Allah) akan perlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanKu; maka janganlah kamu meminta disegerakan (kedatangannya), [Surah Al-Anbiya, ayat 37]"

Di sini kekuatan spiritual dan mental sangat diperlukan. Ingatlah, yang perlu direnungkan bukanlah APA yang kita hadapi tetapi BAGAIMANA kita menghadapinya. Sebuah kebangkitan adalah jauh lebih mulia berbanding sebuah ratapan.

"Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar,[Surah Al-Baqarah, 153]"

"...Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah sangat dekat, [Surah Al-Baqarah, 214]"

Ya, benarlah penantian itu suatu kebahagiaan. Asal sahaja kita menghadapinya berpaksikan acuan Ilahi. Teruskan langkahanmu. Ibarat air yang mengalir, walau apa jua rintangan yang cuba menghalang, pasti ada cara untuk melepasinya.

Bukankah kita ada Allah bersama kita?
Related Posts with Thumbnails