Jika ditanya mengapa segenap umat muslimin pada hari ini berpuasa, tentunya jawapan yang akan diberikan adalah kerana ianya adalah arahan yang terkandung di dalam ajaran Islam. Malahan yang tidak bersolat pun akan bersungguh-sungguh menunaikan ibadah puasa. Bukan sedikit pula yang mampu memberikan dalil kefarduan berpuasa seperti yang tertinta di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 183;
[Wahai orang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertaqwa]
Baiklah, itu adalah dalil kefarduan puasa. Arahan Allah swt yang tidak boleh diingkari. Cuba kita berundur 5 ayat ke belakang di dalam surah yang sama dan bersama merenung ayat 178;
[Wahai orang beriman! Diwajibkan ke atas kamu hukum qisas dalam pembunuhan iaitu orang merdeka dengan merdeka, hamba dengan hamba dan perempuan dengan perempuan. Sesiapa yang mendapat kemaafan daripada saudaranya (mangsa) dengan pembayaran yang sesuai maka hendaklah ia mengikutnya secara baik dan membayar (diyat) kepadanya dengan cara yang baik. Demikian itu suatu keringanan dan rahmat daripada Tuhan kamu. Sesiapa yang melampau batas sesudah itu maka baginya azab yang sangat pedih]
Bukankah kedua-dua ayat adalah hampir sama. Mengapa kita pada hari merasa sangat berdosa jika dengan sengaja meninggalkan puasa namun tidak berasa apa-apa apabila tidak melaksanakan arahan Qisas yang merupakan sebahagian undang-undang Islam.
Analogi seorang majikan memberikan 2 arahan yang wajib ditunaikan kepada pekerjanya. Namun, pekerja tersebut hanya melaksanakan satu sahaja arahan dan mengabaikan arahan yang kedua. Maka, apa akan terjadi kepada pekerja tersebut. Mungkin sahaja pekerja tersebut akan dimarahi, diberi memo ataupun yang paling malang dipecat kerana sebagai pekerja, dia tidak sepatutnya bersifat selektif di dalam melaksanakan tugasan.
Justeru, apakah layak untuk kita tidak timbul sedikit pun perasaan bersalah apabila sehingga kini masih gagal menjalankan arahan Majikan kepada segala majikan Yang Maha Gagah lagi Maha Gedebe di dalam ayat 178 tersebut walaupun arahan tersebut telah diberikan lama dahulu.
Jika tidak terbit secuit pun perasaan bersalah di hati, dengan segala dosa dan kebejatan yang dilakukan, maka janganlah kita mengeluh dengan sedikit memo yang dihantar oleh Allah yang mungkin berupa H1N1, kemelesetan ekonomi, kadar jenayah semakin meningkat dan banyak lagi. 'Memo-memo' kecil tersebut sekadar peringatan sementara buat kita sementara menunggu datangnya 'memo' yang lebih besar.
Adat bala akan mengena semua; yang taat mahupun yang maksiat. Semoga Allah tidak mengecop kita dengan cop "Umat Selektif" di akhirat kelak, nauzubillah.
0 comments:
Post a Comment