Friday, April 30, 2010

Tragedi Yang Kesekian Kalinya


Kes adik Aminul Rasyid yang ditembak oleh pihak polis hangat diperkatakan. Khalid Samad di dalam blognya telah menukilkan cerita yang disampaikan sendiri oleh rakan adik Aminul Rasyid yang ada bersama-samanya di dalam kereta ketika kejadian tembakan tersebut berlaku,

" Remaja tersebut memberitahu bagaimana arwah telah mengambil kereta kakaknya pada lewat malam sambil semua sedang tidur dan menjemput beliau. Mereka telah ke sebuah kedai di Seksyen 11 dan seterusnya ke Seksyen 7 setelah mendapat panggilan dari seorang rakan lain yang mengalami kerosakan motorsikal di situ. Dalam perjalanan ke tempat kerosakan tersebut, berhampiran restoran Ali’s corner, mereka tergesel dengan sebuah kereta mewah yang sedang parkir di situ. Kemalangan ini menyebabkan arwah ketakutan dan beliau terus membawa kereta untuk melarikan diri. Pada masa yang sama mereka dapati ada motorsikal yang mengejar mereka. Apabila sampai di Seksyen 12, di jalan dari bulatan Istana Kayangan menuju SIRIM, motorsikal berkenaan terlanggar kereta yang dipandu arwah di bahagian belakang dan terus terbabas.

Arwah terus membawa keretanya dengan laju dan pada ketika itu mereka telah memintas sebuah kereta peronda polis. Kereta peronda tersebut terus membunyikan sirennya dan mengejar mereka, melalui SIRIM terus ke bulatan dan menuju ke Masjid Negeri, sampai ke Seksyen 9 dan kembali ke bulatan Istana Kayangan. Dari bulatan Istana Kayangan mereka berpatah semula ke Seksyen 11 memasuki simpang berhampiran Caltex, Esso dan terus memasuki jalan 11/2. Tiba-tiba kedengaran tembakan beberapa das. Kereta terhoyang hayang disyaki tayar telah terkena tembakan. Arwah terus memandu dalam keadaan tayar ditembak sehingga tiba-tiba beliau rebah ke atas ribanya. Kereta terus menyimpang ke kiri dan terbatas melanggar tembok sebuah rumah.

Apabila di pegang kepala arwah, didapati berlumuran darah. Terasa kepala berlubang dan darah membasahi tangan dan bajunya. Remaja ini terus keluar dari kereta, terpaksa keluar dari pintu sebelah arwah, kerana pintu sebelah dirinya telah terhimpit. Terpaksa mengalih mayat arwah supaya dapat melepasi diri dengan tujuan menyerah diri. Tak sempat apa-apa, sebaik sahaja keluar beliau diterajang seorang anggota polis dan beliau terus melarikan diri..
"

Laporan polis lengkap yang dibuat oleh rakan adik Aminul sila klik di sini.

Peristiwa ini telah menimbulkan reaksi pelbagai. Kebanyakkannya mencemuh dan mengutuk tindakan kejam serta tidak berperikemanusiaan pihak polis. Namun, yang paling dikesalkan adalah laporan media massa (baca; media pengampu) yang melaporkan bahawa mangsa adalah penyamun dan penjenayah yang mempunyai senjata di dalam keretanya.

Laporan yang dibuat oleh media massa seolah untuk menggambarkan bahawa mangsa adalah penjenayah berbahaya dan ia juga dilihat satu usaha menanam persepsi di dalam minda pembaca Melayu bahawa perbuatan polis tersebut adalah sesuatu yang wajar dan mengikut SOP yang betul. Satu lagi propaganda murahan?

Ibu adik Aminul Norsiah Mohamad, 60, menyangkal dakwaan polis,

"Bila polis kata (dakwa) anak saya disyaki terbabit geng samun, saya sekeluarga memang tidak boleh terima," ujar beliau sambil sebak menahan air mata di kediaman mereka sekeluarga, petang ini.

"Dia anak yang baik, dia pemain ragbi, ahli sukan, semua sukan dia masuk. Kalau bulan puasa, dia memang di surau, kalau pergi surau, siapa tak kenal dia."

Bgitulah, hati ibu-bapa mana yang tidak terguris apabila berita-berita fitnah dan tidak benar disebarkan di media untuk tatapan umum.

Persoalan juga timbul bagaimana seorang budak berumur 15 tahun yang masih di bawah umur dan tidak mempunyai lesen dibenarkan untuk memandu kereta. Adakah kerana kecuaian ibu-bapa atau anak-anak yang tidak mengikut kata. Walau setinggi mana pun kemahiran seseorang itu memandu kereta, namun jika terlibat dengan masalah seperti kemalangan kecil sekalipun, maka ini akan mudah menimbulkan rasa panik dan gugup terutama bagi seseorang yang tidak berlesen apatah lagi jika dikejar oleh polis.

Mungkin ini boleh dikatakan naluri manusia. Malahan yang berlesen lengkap sekalipun akan masih merasa berdebar-debar andai ternampak sekatan jalan raya oleh polis ataupun Jabatan Pengangkutan Jalan di hadapan.

Apa pun kes ini mengulangi siri tragik berkaitan pihak polis yang pernah berlaku sebelum ini seperti kes Norizan Salleh, Mohamad Tawfiq Noorzan, Kugan, dan Adi Anwar Jiknah. Kita menuntut supaya siasatan yang benar-benar bebas, telus dan menyeluruh diadakan dan hasil siasatan hendaklah disiarkan kepada umum.

Yang bersalah seharusnya dan selayaknya dihukum. Kita tidak mahu kerana perbuatan buruk segelintir anggaota polis, maka imej seluruh institusi kepolisan tercemar terutama bagi anggota-anggota yang berkhidmat dengan jujur dan ikhlas..

Kita juga berharap agar tiada pihak membuat kenyataan bukan-bukan dan setaraf percakapan budak tadika yang suka merajuk seumpama kenyataan,

"Kalau tak nak, saya akan beritahu orang saya supaya tidak lagi menahan kereta yang dipandu dengan cara mencurigakan atau mengambil tindakan terhadap pelumba haram yang bermaharajalela di jalan raya,"

Ya, kita perlu berlapang dada dan matang dalam menangani perkara ini. Usah biar emosi menguasai diri.

Tegakkan keadilan, runtuhkan kezaliman !

0 comments:

Related Posts with Thumbnails