Wednesday, May 6, 2009

Sekeping Nota Baru

Pagi ini datang ke makmal dengan semangat baru. Sesampai di makmal pergi memeriksa pigeon hole yang sudah agak lama tidak diperiksa. Terlihatlah satu jurnal baru dengan sekeping nota kecil dilekatkan padanya.


Aduh, kena tambah lagi ke!

Perlahan-lahan kenangan manis di Pulau Kapas semasa hujung minggu lalu mula pudar dan digantikan dengan mimpi ngeri yang bakal menjelma. Teori dan analisis DSC pun belum habis dilakukan, kini sudah mendapat tugasan baru. Jika asyik begini, bila mahu siap penulisanku. Semangatku mula menurun.

Namun, sebelum semangatku menurun dengan lebih teruk, aku cepat-cepat menekan butang 'Pause' seperti yang diajar oleh Ustaz Hasrizal Saifulislam.com. Fuh, nasib baik sempat menekan butang 'Pause' tersebut. Jika tidak, ada yang terus beli tiket dan balik kampung malam ini.

Aku cuba memujuk diri. Mengapa pula perlu bersedih dan berkeluh-kesah. Anggaplah ini cabaran dan dugaan yang perlu dilalui. Semestinya untuk menguji ketahanan dan keimananku. Ini bukan perkara sia-sia dan berlaku tanpa ada apa-apa sebab.

Bukankah Allah Taala telah berfirman di dalam Al-Quran di dalam Surah Insyirah, ayat 5-6,

"Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.."

Di situ telah diulang 2 kali bahawa bahawa di sebalik kesukaran yang dilalui oleh manusia akan disertakan bersama hikmah kemudahan yang mungkin tidak dapat diselami oleh keterbatasan hati dan aqal manusia yang cetek lagi tidak berdaya itu. Itu janji Allah yang mesti diyakini. Apakah dengan sedikit kesusahan yang dihantar oleh-Nya ini menjadikan aku hamba yang berputus asa dan berkeluh-kesah.

Sayugia, apa yang perlu, selaku hamba yang lemah adalah usaha yang bersungguh-sungguh dan seterusnya bertawakal kepada Allah. Kata Ustaz Hasrizal untuk berjaya kita perlu mematuhi Sunnatullah dan Syariatullah. Ini juga ditegaskan di dalam sambungan ayat 7-8, Surah Insyirah,

"Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain. Dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.."

Nah, di sini ditunjukkan bahawa berusaha bersungguh-sungguh itu Sunnatullah dan berserah harap kepada-Nya adalah Syariatullah. Keduanya adalah kembar siam yang saling berkait dan tidak boleh dipisahkan dalam menjalani sesuatu apa pun urusan.

Selepas berjaya memujuk diri, barulah semangatku sedikit pulih. Untuk memulihkan sepenuhnya semangat ini, biasanya aku memerlukan segelas Vico panas kaw-kaw (Milo telah diboikot) tanpa susu. Rasanya Vico ada lagi di dalam laci.

Selagi nyawa dikandung badan, ujian dan dugaan tidak akan pernah terhenti walau di mana sahaja kita berada. Setiap makhluk berlainan ujiannya. Sunnatullah dan Syariatullah; 2 mekanisme yang perlu dipatuhi demi menatijahkan hasil yang terbaik dan memuaskan hati.

Ya, tidak dapat tidak kita mesti terus berusaha dan bertawakal. Mesti!! (ketika ini lagu Segenggam Tabah nyanyian Inteam tiba-tiba berkumandang di udara. Entah siapa yang pasang..)

6 comments:

Unknown said...

Salam,
begitulah adat dunia orang belajar. Walaupun kita merasakan sudah elok rupanya belumlah seelok yg disangka hasilnya. Setidaknya dapat lagi peluang untuk membaikinya. Allah menguji kita dengan sedikit kesukaran yg kadang-kala ada orang gagal menempuhinya dan mungkin betul, ada yg beli tiket balik kg, huhuhu. Walau apa pun, semoga hasil selepas ini adalah yg terbaik!

p/s: kakchik pun minum vico panas jg. dah tiada milo di rumah mahupun di pejabat.

Samudera Tinta said...

Salam Kak Chik,

Terima kasih sudi singgah di blog saya.

Betul kata Kak Chik. Kadang-kadang dari pandangan kita dah nampak elok hasilannya, tapi apabila dirujuk kepada yang lebih pakar, banyak lagi pembetulannya. Apa pun perlu menerima dan melihat perkara itu dari sudut positif.. =)

Alhamdulillah, masih mampu menghadapinya dengan baik. Jika tidak tentu sekarang sudah berada di Qlate menikmati nasi tumpang yang lazat.huhu..

Kak Chik doakan saya jg semoga dapat melakukan yang terbaik.

P/s:Ramai juga peminat Vico sebagai alternatif kepada Milo. Kawan-kawan saya pun.hehe..

BARAN said...

Salam saudara,

Di manalah manisnya hidup tanpa cabaran dan dugaan..ini yang meneguhkan kita, ini yang menguatkan jiwa..bagaikan sepohon pokok yang semakin tegar akarnya dek pukulan angin dan taufan.begitulah juga manusia..semoga saudara tidak putus asa dan terus melakukan yang terbaik.

Biarpun jenuh hidup di palu, pasti bertemu tenangnya...

Samudera Tinta said...

Salam Drsiti,

Kalo diikut hati memang down lah. Tapi setelah ditimbangkan dengan aqal dan fikiran yang sihat lagi waras, rasanya boleh dilalui dengan tenang dan baik, insyallah. Kena sentiasa cuba untuk berfikiran positif dan bergerak mara ke hadapan.

Memang Maha Benar firman Allah bahawa setiap kesulitan pasti ada kesenangan.

Terima kasih untuk nasihat saudari.. =)

P/s:Segenggam tabah dipertahankan

nz said...

["Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.."]

nasihat ni cam sesuai je utk sy........

P/S: 'sayugia' tu bnda ape eh? huhuhu..

Samudera Tinta said...

Salam Inas,

Baguslah jika nasihat itu sesuai dengan saudari. Sbenarnya, ia sangat sesuai untuk semua.. =)

Makna sayugia itu adalah sepatutnya/selayaknya/semestinya..

Related Posts with Thumbnails