Tuesday, June 16, 2009

Isu Pendidikan; Keutamaan Yang Tidak Diutamakan


Isu pendidikan negara tidak pernah sunyi dari kontroversi. Apabila seseorang menteri pelajaran baru dilantik, pasti akan ada sesuatu perkara yang disifatkan sebagai 'agenda baru' akan diperkenalkan. Tujuannya mungkin sebagai satu transformasi ke arah menjadikan sistem pendidikan negara lebih berdaya maju dan mampu bergerak seiring dengan kepesatan perkembangan ilmu dasawarsa ini.

Umum mengetahui akan isu PPSMI yang senantiasa menjadi perdebatan hangat di kalangan para ilmuwan dan pakar-pakar bahasa masih belum menemui jalan penyelesaian yang konkrit. Walaupun telah banyak seminar, wacana, perbahasan berkaitan isu PPSMI telah dibuat sehinggalah kepada kemuncak himpunan aman besar-besaran rakyat membantah penyalahgunaan kuasa kerajaan dalam isu bahasa, namun itu belum cukup untuk membuka hati nurani pihak berwajib untuk memahami apa kehendak rakyat yang sebenarnya.

Baru-baru ini pula Menteri Pelajaran yang baru merangkap Timbalan Perdana Menteri mencadangkan agar Bahasa Inggeris patut dijadikan mata pelajaran wajib untuk lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Cuma di sini pihak berwajib mengambil sikap yang berbeza berbanding isu PPSMI dengan membuka peluang untuk orang awam memberikan pandangan dan buah fikiran mereka. Berdasarkan PPSMI dan cadangan terbaru untuk menjadikan Bahasa Inggeris sebagai salah satu mata pelajaran wajib lulus memberikan gambaran kepada kita betapa kerajaan memandang serius akan peri pentingnya Bahasa Inggeris dalam kehidupan.

Persoalannya, benarkah itu adalah isu Bahasa inggeris adalah isu pokok di kalangan pelajar-pelajar sekarang? Bukankah hampir saban hari kita didedahkan dengan kelakuan liar dan tidak sopan di kalangan anak-anak sekolah. Kes membuli, memukul guru, berzina di sekolah, mengandung luar nikah bukan lagi perkara taboo yang boleh dilindungkan menzahirkan kepada umum bahawa akhlak remaja berada di tahap kritikal.

Sepatutnya soal moral dan akhlak yang perlu lebih dibimbangkan oleh Muhyiddin. Berbanding cadangan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai salah satu matapelajaran wajib lulus, keutamaan sebenarnya adalah menjadikan matapelajaran pendidikan islam/moral/sivik sebagai salah satu subjek wajib lulus dengan merangka silibus yang lebih mapan dan lebih komprehensif dan bukan sekadar melepas batuk di tangga.

Penulis pernah bersarapan di sebuah kedai dan duduk di sebuah meja bersebelahan meja makan yang diduduki oleh sekumpulan remaja yang masih di bangku sekolah sambil cuba mengamati topik yang diperbincangkan dan patah-patah perkataan yang dikeluarkan oleh mereka. Nyata perkataan-perkataan seperti sial, celaka, bodoh, babi, bangang, p*k*m*k, p*nt** sudah menjadi butir zikir yang kerap keluar dari mulut mereka tanpa segan silu dengan ketawa yang kuat dan terbahak. Tidak terkecuali samada pelajar lelaki ataupun perempuan. Malahan ada yang dengan bangganya menyedut dan menghembus asap rokok dengan berpakaian sekolah.

Saidina Ali pernah berpesan, jika ingin melihat nasib sesuatu bangsa di masa hadapan, lihatlah kepada kualiti generasi mudanya pada hari ini. Adakah kita yakin negara kita akan terus berada di dalam keadaan seperti hari ini pada 50 tahun lagi dengan kualiti pewaris anak-anak mudanya dalam keadaan tidak menetu. Jawablah persoalan ini dengan ikhlas dari lubuk hati yang paling dalam.

Jiwa anak-anak remaja sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru dan sentiasa tertarik kepada benda-benda baru. Perasaan inilah yang perlu dikawal dengan sebaik mungkin mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh agama. Didikan agamalah merupakan senjata yang ampuh untuk menjadikan seseorang lebih bersifat keinsanan kerana di dalam agama tersemat di dalamnya konsep syurga pahala dan pembalasan di sana. Tiada yang terlepas daripada hitungan Allah.

Sistem pendidikan yang ada sekarang tidak mampu melahirkan insani. Ia lebih kepada membentuk robot-robot yang tidak berjiwa. Jika menjadi seorang doktor, dia tidak akan merasa belas terhadap pesakit-pesakit miskin dan kurang berkemampuan. Jika menjadi seorang ahli politik, dia tidak akan segan silu untuk memberi atau menerima rasuah. Hatta dari serendah-serendah pangkat sehinggalah setinggi pangkat, bukan kecil jumlahnya mereka yang terlibat dalam jenayah kolar putih dan pecah amanah. Mungkin inilah bahana lantaran jiwa-jiwa yang gersang tanpa pengisian.

Sewajarnya saranan menjadikan matapelajaran agama/moral/sivik menjadi subjek wajib lulus seharusnya dipertimbangkan oleh kerajaan. Walaupun ia mungkin tidak menyelesaikan sepenuhnya masalah kebejatan akhlak para remaja, sekurang-kurangnya dengan langkah ini akan membantu sedikit sebanyak membendung permasalahan moral di kalangan anak-anak remaja. Sekurang-kurangnya dalam masa yang terdekat.

Namun, sejujurnya perlu diketahui untuk menjadikan sistem pendidikan kita benar-benar mampu melahirkan insan yang memiliki sifat insani, perjalanannya masih jauh kerana ia memerlukan satu reformasi dan transformasi besar-besaran dengan mengambil kira semua aspek keperulan manusia samada fizikal, mental dan rohani. Hanya dengan cara ini sahaja generasi Ulul Albab dan modal insan bertaraf dunia mampu dilahirkan.

Akhirnya persoalan yang mungkin timbul adalah adakah mereka, kita, kamu, saya dan semua rakyat Malaysia sudah bersedia ke arah itu?

(Gambar di atas diambil dari sini)

2 comments:

nz said...

tp ini hanya salah satu keja kementerian berkenaan.. utk mencapai objektifnya..

Samudera Tinta said...

Penetapan objektif tanpa berpandukan petunjuk dari langit tidak akan memberikan apa-apa erti.

Sia-sia..

Related Posts with Thumbnails