Showing posts with label Bahasa. Show all posts
Showing posts with label Bahasa. Show all posts

Tuesday, June 16, 2009

Isu Pendidikan; Keutamaan Yang Tidak Diutamakan


Isu pendidikan negara tidak pernah sunyi dari kontroversi. Apabila seseorang menteri pelajaran baru dilantik, pasti akan ada sesuatu perkara yang disifatkan sebagai 'agenda baru' akan diperkenalkan. Tujuannya mungkin sebagai satu transformasi ke arah menjadikan sistem pendidikan negara lebih berdaya maju dan mampu bergerak seiring dengan kepesatan perkembangan ilmu dasawarsa ini.

Umum mengetahui akan isu PPSMI yang senantiasa menjadi perdebatan hangat di kalangan para ilmuwan dan pakar-pakar bahasa masih belum menemui jalan penyelesaian yang konkrit. Walaupun telah banyak seminar, wacana, perbahasan berkaitan isu PPSMI telah dibuat sehinggalah kepada kemuncak himpunan aman besar-besaran rakyat membantah penyalahgunaan kuasa kerajaan dalam isu bahasa, namun itu belum cukup untuk membuka hati nurani pihak berwajib untuk memahami apa kehendak rakyat yang sebenarnya.

Baru-baru ini pula Menteri Pelajaran yang baru merangkap Timbalan Perdana Menteri mencadangkan agar Bahasa Inggeris patut dijadikan mata pelajaran wajib untuk lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Cuma di sini pihak berwajib mengambil sikap yang berbeza berbanding isu PPSMI dengan membuka peluang untuk orang awam memberikan pandangan dan buah fikiran mereka. Berdasarkan PPSMI dan cadangan terbaru untuk menjadikan Bahasa Inggeris sebagai salah satu mata pelajaran wajib lulus memberikan gambaran kepada kita betapa kerajaan memandang serius akan peri pentingnya Bahasa Inggeris dalam kehidupan.

Persoalannya, benarkah itu adalah isu Bahasa inggeris adalah isu pokok di kalangan pelajar-pelajar sekarang? Bukankah hampir saban hari kita didedahkan dengan kelakuan liar dan tidak sopan di kalangan anak-anak sekolah. Kes membuli, memukul guru, berzina di sekolah, mengandung luar nikah bukan lagi perkara taboo yang boleh dilindungkan menzahirkan kepada umum bahawa akhlak remaja berada di tahap kritikal.

Sepatutnya soal moral dan akhlak yang perlu lebih dibimbangkan oleh Muhyiddin. Berbanding cadangan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai salah satu matapelajaran wajib lulus, keutamaan sebenarnya adalah menjadikan matapelajaran pendidikan islam/moral/sivik sebagai salah satu subjek wajib lulus dengan merangka silibus yang lebih mapan dan lebih komprehensif dan bukan sekadar melepas batuk di tangga.

Penulis pernah bersarapan di sebuah kedai dan duduk di sebuah meja bersebelahan meja makan yang diduduki oleh sekumpulan remaja yang masih di bangku sekolah sambil cuba mengamati topik yang diperbincangkan dan patah-patah perkataan yang dikeluarkan oleh mereka. Nyata perkataan-perkataan seperti sial, celaka, bodoh, babi, bangang, p*k*m*k, p*nt** sudah menjadi butir zikir yang kerap keluar dari mulut mereka tanpa segan silu dengan ketawa yang kuat dan terbahak. Tidak terkecuali samada pelajar lelaki ataupun perempuan. Malahan ada yang dengan bangganya menyedut dan menghembus asap rokok dengan berpakaian sekolah.

Saidina Ali pernah berpesan, jika ingin melihat nasib sesuatu bangsa di masa hadapan, lihatlah kepada kualiti generasi mudanya pada hari ini. Adakah kita yakin negara kita akan terus berada di dalam keadaan seperti hari ini pada 50 tahun lagi dengan kualiti pewaris anak-anak mudanya dalam keadaan tidak menetu. Jawablah persoalan ini dengan ikhlas dari lubuk hati yang paling dalam.

Jiwa anak-anak remaja sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru dan sentiasa tertarik kepada benda-benda baru. Perasaan inilah yang perlu dikawal dengan sebaik mungkin mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh agama. Didikan agamalah merupakan senjata yang ampuh untuk menjadikan seseorang lebih bersifat keinsanan kerana di dalam agama tersemat di dalamnya konsep syurga pahala dan pembalasan di sana. Tiada yang terlepas daripada hitungan Allah.

Sistem pendidikan yang ada sekarang tidak mampu melahirkan insani. Ia lebih kepada membentuk robot-robot yang tidak berjiwa. Jika menjadi seorang doktor, dia tidak akan merasa belas terhadap pesakit-pesakit miskin dan kurang berkemampuan. Jika menjadi seorang ahli politik, dia tidak akan segan silu untuk memberi atau menerima rasuah. Hatta dari serendah-serendah pangkat sehinggalah setinggi pangkat, bukan kecil jumlahnya mereka yang terlibat dalam jenayah kolar putih dan pecah amanah. Mungkin inilah bahana lantaran jiwa-jiwa yang gersang tanpa pengisian.

Sewajarnya saranan menjadikan matapelajaran agama/moral/sivik menjadi subjek wajib lulus seharusnya dipertimbangkan oleh kerajaan. Walaupun ia mungkin tidak menyelesaikan sepenuhnya masalah kebejatan akhlak para remaja, sekurang-kurangnya dengan langkah ini akan membantu sedikit sebanyak membendung permasalahan moral di kalangan anak-anak remaja. Sekurang-kurangnya dalam masa yang terdekat.

Namun, sejujurnya perlu diketahui untuk menjadikan sistem pendidikan kita benar-benar mampu melahirkan insan yang memiliki sifat insani, perjalanannya masih jauh kerana ia memerlukan satu reformasi dan transformasi besar-besaran dengan mengambil kira semua aspek keperulan manusia samada fizikal, mental dan rohani. Hanya dengan cara ini sahaja generasi Ulul Albab dan modal insan bertaraf dunia mampu dilahirkan.

Akhirnya persoalan yang mungkin timbul adalah adakah mereka, kita, kamu, saya dan semua rakyat Malaysia sudah bersedia ke arah itu?

(Gambar di atas diambil dari sini)

Sunday, May 31, 2009

Jalan Rintis Ke Putrajaya


PENANTI

Mansor Othman (PKR) : 6,052
Aminah Abdullah : 392
Nai Kha Ari : 494
Kamarul Ramizu Idris : 56


Majoriti: 5,558




Stesen seterusnya,

MANEK URAI, QLATE

Wednesday, May 20, 2009

Sokongan Kempen Sejuta Poskad Mansuh PPSMI


Selepas menggerakkan ribuan penunjuk perasaan di jalanan awal Mac lalu, Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) kini mengambil pendekatan kreatif dengan melayangkan sejuta poskad bantahan kepada Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut setiausahanya, Hasni Abas, kempen terkini membantah dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) itu diharapkan terus menggemblengkan bantahan rakyat, sebagai kesinambungan kepada demonstrasi 7 Mac lalu.

Katanya, GMP berharap, pelaksanaan kempen itu - dinamakan "Sejuta Poskad kepada Menteri Pelajaran" - dapat memandu Muhyiddin membuat keputusan yang betul dengan memansuhkan dasar kontroversi itu.

"Kalau tiap-tiap hari beliau buka pintu, tengok ada poskad (bantahan), takkan beliau tidak terfikir hendak mansuhkan PPSMI," katanya kepada Malaysiakini.

Hasni berkata, kempen tersebut dilancarkan Jumaat lalu di Pagoh, Melaka oleh Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dalam sebuah majlis ceramah bersama Naib Presiden PAS Mohamad Sabu.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi GMP, Dr. Shaharil Mohamad Zain; pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau; Ketua Penerangan Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat dan beliau sendiri.

Mengulas lanjut, Hasni berkata, kira-kira 2,000 orang menghadiri majlis itu dan seribu poskad telah diedarkan.

Tiada had masa

Pihak yang ingin turut serta, boleh membeli poskad tersebut dari pejabat Teras Pengucapan Melayu (Teras) - sebuah NGO yang bergabung dalam GMP - di negeri-negeri, dengan harga RM1 sekeping.

Hasni bagaimanapun menafikan pihaknya cuba mengambil kesempatan untuk membuat keuntungan daripada penjualan bahan kempen tersebut.

"Tak ada (buat untung). Kos cetak pun sekeping dah berapa," katanya sambil menjelaskan bahawa buat permulaannya 5,000 keping poskad telah dicetak.

Beliau yang juga pengerusi kesatuan sekerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkata, GMP tidak menetapkan sebarang garis masa bagi program itu.

Bagaimanapun, katanya, ia akan dijalankan "selagi PPSMI tidak dimansuhkan" dan "selagi tidak cukup sejuta poskad dihantar".

Awal bulan ini, kerajaan dilaporkan memerlukan lebih masa bagi menilai perlaksaaan dasar itu kerana "keputusan terhadap isu berkenaan adalah kritikal".

Muhyiddin juga dilaporkan tidak berpuas hati dengan kajian dan perbincangan meja bulat anjuran kementeriannya sebelum ini.

Menurut beliau, dalam sesi perbincangan tersebut, kadangkala pandangan yang dikemukakan tidak berasaskan fakta dan bukti, sebaliknya apa yang dirasai.

Pembelian KAD PPSMI;
Urusan Pembelian kad PPSMI boleh dirujuk kepada urusetia berkenaan:-
Azizan (019-4818687)
Shah Rizan (016-4731816)
Mohd Ridzuan (012-9675690)

~ Malaysiakini ~

P/s: Jika perlu turun sekali lagi di jalan raya, ayuh khabarkan sahaja. Kerana amarah rakyat akan menyambutnya dengan tangan terbuka. Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah!

Monday, April 6, 2009

Sedarlah, Kita Hanya Meminjam!


Tinta sejarah mencatatkan pada tahun 1972, Menteri Pelajaran Parti Dacing, Khir Johari telah menghapuskan penggunaan tulisan Jawi di sekolah-sekolah. Tindakan itu tentu sahaja akan mewujudkan 3 kelompok utama; Penyokong, Penentang dan Tidak Peduli. Situasi yang sama dihadapi apabila dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan. Penyokong adalah ahli-ahli Parti Dacing dan kroni, Penentang adalah pejuang bahasa, ulama dan pencinta kebenaran manakala Tidak Peduli adalah ’lembu-lembu’ yang keluar pagi mencari makanan mengisi perut dan pulang petang untuk berehat di kandang.

Kesan penghapusan tulisan jawi telah dapat kita lihat dengan jelas selepas 20 tahun perlaksanaannya. Umat Melayu yang dulunya sinonim dengan Al-Quran, mula tergagap-gagap membaca Al-Quran dan lama-kelamaan mereka mula menjauhinya. Fobia dengan bacaan Al-Quran. Pada tahun 2009, gambar yang tertera di atas membuktikan segala-galanya.

Jika anda tidak nampak apakah kesilapan yang terdapat di dalam gambar tersebut, takziah diucapkan. Ternyata anda adalah mangsa keadaan. Sepanduk yang dibuat dalam bahasa jawi tersebut yang mungkin bertujuan mengingatkan orang ramai bahawa mereka adalah pembela Islam, telah mendedahkan kepada ahli parti mereka sendiri akan bahana tindakan pimpinan Parti Dacing terdahulu yang rakus menghapuskan tulisan jawi.

Terfikir di benakku adakah Bahasa Melayu akan mengalami sama nasib yang sama dengan tulisan jawi akibat dipukul badai PPSMI. Bayangkan pada tahun 2030 bila mana Bahasa Inggeris menjadi bahasa utama di Malaysia. Pada ketika itu ada pilihan raya kecil di Bukit Guntung. Parti Kati Senget (Parti Dacing telah pupus) menaikkan sepanduk dan cuba mengingatkan umat Melayu bahawa mereka adalah pembela Melayu. Lalu dieja perkataan ’Emalan’ di atas sepanduk tersebut kerana menganggap ianya ejaan yang betul untuk perkataan ’Amalan’. Mustahilkah perkara ini untuk berlaku? Tentunya tidak sama sekali kerana gambar di atas adalah bukti yang jelas lagi sahih!

Sayugia untuk kita menginsafi bahawa bahasa merupakan khazanah yang kita pinjam daripada anak cucu kita dan generasi akan datang. Adab dan adat meminjam barang, kita tidak boleh memperlakukannya sesuka hati tanpa ada pengawasan. Ibarat kita meminjam kereta sahabat kita, maka patutkah kita mengecat warna baru, menukar tayar dan yang lebih teruk menjualnya di kedai kereta terpakai. Tentu sahaja tidak boleh kerana ia bukan milik kita. Kurang ajar dan biadab namanya jika diperlakukan begitu.

Begitu juga isu tulisan jawi dan Bahasa Melayu. Sebagaimana kita menerima khazanah tersebut secara elok daripada generasi terdahulu, maka seharusnya kita memulangkannya secara baik kepada generasi akan datang. Namun, realiti yang berlaku hari ini sungguh menjengkelkan. Setelah berjaya merosakkan tulisan jawi, maka gerakan menghapuskan khazanah Bahasa Melayu pula diteruskan oleh parti yang sama.

Apakah sebenarnya matlamat mereka? Terdetik juga di hatiku adakah ini satu modus operandi menjauhkan umat Melayu dari Islam. Sebagaimana yang kita maklum, banyak ilmu-ilmu agama dahulu tersebar melalui tulisan jawi. Dengan terhapusnya tulisan jawi, maka umat Melayu sudah tidak mampu lagi membaca buku-buku dan kitab-kitab jawi. Penyebaran ilmu Islam melalui tulisan jawi sudah berjaya dihentikan. Misi berjaya!

Namun, yang menjadi lawak jenaka adalah setelah berjaya menghapuskan tulisan jawi, maka diperkenalkan pula JQAF untuk memandaikan budak-budak sekolah dalam Jawi, Al-Quran dan Fardhu Ain. Entahlah, mungkin lembu-lembu peliharaan Pakcik Kordee di Bukit Gantang sedang tertawa berdekah-dekah dan berguling-guling melihat tindakan cerdik Parti Dacing ini.


Bahasa Melayu juga merupakan bahasa penyebaran ilmu Islam bagi umat Melayu. Banyak buku-buku, kitab-kitab dan karya-karya ulama terkenal terdahulu telah diterjemah ke dalam Bahasa Melayu. Dengan menjauhkan umat Melayu daripada Bahasa Melayu, penyebaran bahan-bahan ilmu Islam dalam Bahasa Melayu akan dapat dihentikan dan disekat secara mutlak kerana orang sudah tidak minat membaca bahan dalam bacaan Melayu terutama generasi muda.

Akhir kalam, marilah kita merenung kembali akan khazanah bangsa yang kian terhakis dari hari ke hari ini. Tanyalah lubuk hati kita yang paling dalam; jika segala khazanah bangsa yang ada ini terkubur, apakah yang akan kita wariskan kepada generasi pewaris kita kelak.

Adakah kita hanya ingin mewariskan 'monyet-monyet' yang sentiasa menganga-ngangakan mulut mereka minta disuapkan sesuatu?


Tepuk dada, tanya iman!

~ Gambar pertama diambil daripada Akira ~

Sunday, March 15, 2009

Ringkasan Seminar Hala Tuju PPSMI Dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan 2009

Di atas sofa dari kanan Prof Dr Shaharir, Datuk Hassan Ahmad, Prof Madya Dr Tajul Ariffin, dan dibelakang yang bercermin mata dan berjaket hitam dengan logo UPSI Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan bergambar bersama-sama jemputan dan sebahagian AJK program.


Pada 14 Mac 2009, Sabtu telah berlangsung Seminar Hala Tuju PPSMI Dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan 2009 bertempat di KUIS. Di sini dinukilkan sedikit ringkasan daripada pembentangan-pembentangan kertas kerja yang telah dilakukan. Cuma sekadar ringkasan dan petikan yang difikir dari benakku. Jika yang mahukan kertas kerja yang sebenar sangat panjang.

Perasmi dan Pemberi Ucaptama : YB Dr Shafie Abu Bakar, ADUN Bangi

Prof Dr Norhasyimah Jalaludin
Pusat Pengajian Bahasa Dan Linguistik,
Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusiaan, UKM
Pengerusi Persatuan Linguistik Malaysia
Tajuk: "Kajian Penerimaan dan Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris; Konflik Antara Dua Darjat"
Apa yang penting adalah memperbaiki pedagogi pengajaran BI, melahirkan suasana pembelajaran BI yang lebih menyeronokkan dan menarik, membanyakkan aktviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) Bahasa Ingeris adalah lebih baik dan pada masa yang sama kembalikan PPSMI dalam Bahasa Melayu sebagai satu cara penyelesaian yang terbaik dalam mengatasi kemelut ini.

Prof Dr Abdul Aziz Bari
Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, UIA
Tajuk: "PPSMI Dalam Konteks Perlembagaan"
Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan amat jelas di dalam Per.152; Segala urusan rasmi baik di peringkat persekutuan dan negeri hendaklah dijalankan dalam bahasa itu. Selain itu, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagaimanapun tidaklah sampai ke tahap menafikan kedudukan dan hak bahasa-bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan diperkembang hatta dengan menggunakan dana awam sebagaimana yang diungkapkan oleh Per.152(1)(a) dan (b). Sebab itu gerakan menentang PPSMI tidak harus disekat dan dikasari; apatahlagi dalam semangat Per.10(1) yang menjamin setiap warganegara hak untuk mengeluarkan pendapat, berkumpul secara aman dan berpersatuan. Kelihatannya tidak ada perkara-perkara yang disebut di bawah Per.10(2) yang membatalkan hak-hak itu.

Prof Dr Shaharir Mohamad Zain
Timbalan Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP)
Mantan Pensyarah Matematik UKM dan UMT
Anak Melayu Pertama Mendapat PhD Bidang Matematik di Universiti La Trobe
Tajuk:"Tercapaikah Impian Bangsa Melayu Menerusi PPSMI"
Mengulas berkaitan makna kemajuan dari pandangan Tun Dr Mahathir serta apakah matlamat utama Tun sehingga melaksanakan dasar PPSMI tanpa melalui prosedur yang sah seperti dibawa ke perbincangan parlimen seolah-olah idea ini adalah idea Tun seorang sahaja. Beliau menyangkal pendapat Tun yang menyatakan bahawa bahasa asal ilmu adalah bahasa inggeris kerana dari perkara paling asas pun seperti zero, one, two, three adalah perkataan pinjaman daripada bahasa arab dan bahasa latin sedangkan kosong, satu, dua, tiga,..puluh adalah semuanya bahasa asli Melayu kecuali mungkin perkataan ‘satu’ dan ‘dua’ sahaja. Bukalah ‘etymological dictionary’ pada internet untuk mengesahkannya. Beliau juga menyatakan data pemenang Hadiah Nobel (untuk semua bidang kecuali Matematik) dan Pingat Filed (untuk Matematik sahaja) di mana para pemenangnya bukan daripada bangsa yang mengharungi dasar PPSMI. Satu pembentangan ilmiah yang cukup menarik.

Prof Dr Mat Rofa Ismail
Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), UPM
Tajuk:"Benarkah PPSMI Memartabatkan Pendidikan Negara"
Menjaga bahasa ibunda ibarat menjaga ibunda kita sendiri. Ia adalah kurniaan Allah kepada setiap makhluk. Menjaga ibunda kita bukan bermakna kita membenci ibunda orang lain. Menjaga ibunda kita dan dalam masa yang sama menghormati ibunda orang lain. Prof Dr Mat Banyak istilah-istilah daripada bahasa inggeris dipinjam daripada bahasa lain namun sejarah itu telah digelapkan. Contohnya perkataan 'cornea' berasal daripada perkataan bahasa arab 'qurrah'. Perhatikan kalimah 'rice', 'cotton', 'lemon', 'sugar' bisa sahaja ditiru daripada kalimah arab 'aruzz', 'qatn' dan 'sukkar'.

Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan
Institut Peradaban Melayu UPSI
Tajuk:"Bukan Sekadar Bahasa"
Perjuangan pejuang bahasa bukanlah bermakna kita membenci bahasa inggeris. Gunalah bahasa inggeris tetapi jangan sampai minda kita tertawan dengannya kerana jika sekali minda kita tertawan di dalamnya, kita selamanya akan hilang kreativiti dan hanya mampu menjadi peniru. Beliau memberi contoh ketika beliau menikmati hidangan KFC suatu masa dahulu di Medan, Indonesia di mana turut termasuk dalam pekej hidangan selain hidangan rutin KFC adalah popia dan jagung. Perkara ini tidak dapat dijumpai di Malaysia kerana hidangan kita adalah bulat-bulat ditiru daripada Kentucky, Amerika Syarikat. Beliau juga menyatakan golongan bangsawan yang biasa hidup dalam suasana inggeris dan berbahasa inggeris adalah tidak mesra marhaen dan tidak pernah mempedulikan jerih-perih rakyat terbanyak. Inilah akibatnya apabila minda mereka telah ditawan oleh inggeris. Hilang sudah budaya, struktur nilai, jatidiri serta agama di dalam diri mereka.

Datuk Hassan Ahmad
Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP)
Mantan Ketua Pengarah DBP 1976-1989
Mantan Duta Malaysia ke UNESCO 1989-1994
Tajuk: "Nasionalisme Dan Perjuangan Bahasa"
PPSMI adalah 'Linguistik Imperialisme', penjajahan minda umat melalui bahasa inggeris oleh pihak barat. Cuma yang menjadi persoalannya adalah pembesar-pembesar negara yang telah dijajah tidak merasakan diri dan minda mereka dijajah sebaliknya dituding jari ke arah orang lain dan menuduh orang lain sebagai jumud dan minda tertutup. Kita akan lihat perkembangan seterusnya. Jika masih tiada apa-apa tindakan, maka GMP bersama-sama rakyat akan berarak lagi di jalan raya.

Setelah mengikuti seminar sehari ini, berdasarkan fakta-fakta yang telah dibentangkan oleh para ilmuan dan cendekiawan ini, aku telah mendapat input dan semangat baru yang terang lagi bersuluh. Bagiku golongan yang menyokong PPSMI adalah golongan BEBALIS yang memakai jaket BIRU KARAT di mana mereka juga mempunyai otak seumpama seperti seekor LEMBU namun meninggalkan akal mereka di birai-birai lubang tandas. Tiada kompromi. Noktah!

Usai program, hujan turun dengan lebat. Aku membantu menemani Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan dan memayungkan beliau ke kenderaan pacuan 4 rodanya. Sampai di pintu kenderaannya, beliau sempat memberikan nasihat, "Anak muda, teruskan perjuangan menegakkan bahasa. Bahasa bukan sekadar bahasa. Ia terkandung nilai agama Islam, budaya, jatidiri dan makna bangsa kita. Kami yang tua akan pergi. Kamu anak-anak muda harus meneruskan perjuangan ini. Jangan sesekali undur," katanya sambil tersenyum. Aku dapat merasakan keikhlasan yang tersisip bersama nasihat dan senyuman itu.

Aduh, berat sungguh pesanan itu. Ibarat sebuah gunung dihempap ke atas belakangku. Aku tidak pasti samada aku mampu untuk menanggungnya. Dengan segala bebanan urusan harian, mampukah aku. Namun aku terfikir, jika bukan kita, siapa lagi? Kitalah pewaris Agama, Bahasa dan Tanah Air yang tercinta ini. Ya Allah, kurniakanlah aku ketabahan dan kekuatan..

P/s:
1)Telah banyak kajian ilmiah yang dibuat oleh pejuang-pejuang bahasa kita. Carilah ia melalui 'Syeikh Google bin Lebai Yahoo'. Boleh juga dimuat turun buku kajian "Mengapa Kami Bantah PPSMI" yang mengandungi banyak bukti mengapa PPSMI perlu dimansuhkan.
2)Padaku terdapat slide presentation Prof Dr Nohasyimah dan kertas kerja ringkas Prof Dr Abdul Aziz Bari. Jika ada sahabat-sahabat yang berminat boleh tinggalkan pesanan bersama email di ruangan komen ataupun menghubungi emelku yang tertera di sebelah atas.

Thursday, March 12, 2009

Keranda 152

Malam itu di Balai Budaya
Api dan Air Mata

Malam itu di Balai Budaya
Seorang guru tua berbicara
'Berarak ke Parlimen, aku di muka'

Malam itu di Balai Budaya
Seorang peguam muda berkata
'Bakar Perlembagaan 152'

Malam itu di Balai Budaya
Seorang pemuda berteriak
'Ayuh, mari kita berarak'

Malam itu di Balai Budaya
Para pelajar berikrar
'Dada kami sedia dibakar'

Malam itulah juga
Parlimen jadi pertanda
Memenggal leher BAHASA

~Allayarham Usman Awang~




Mari bersama kami di SEMINAR HALA TUJU PPSMI DALAM DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN 2009, 14 MAC 2009 DI KOLEJ UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA SELANGOR (KUIS). Klik untuk maklumat lanjut di sini.

Tuesday, March 10, 2009

Lepas Berhimpun, Mari Kita Berseminar Pula

Perhimpunan Aman 100,000 Rakyat Membantah PPSMI telah pun berakhir dengan jaya dan seribu satu kenangan manis. Sekarang, mari kita dengar pula kenyataan dan apa yang akan diperkatakan oleh Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI, Datuk Hassan Ahmad dan pembentang-pembentang yang akan membentangkan kertas kerja pada Seminar Halatuju Dasar PPSMI Dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan 2009.

Jika ada yang menganggap perhimpunan tersebut adalah kemuncak kepada penentangan dasar PPSMI, minta maaf anda semua tersilap. Perhimpunan tersebut adalah sekadar pencetus kesedaran rakyat.Gerakan ini akan diteruskan sehinggalah dasar 'lahanat' itu ditukar. Demi Agama, Bangsa dan Negara.




Mari kita berseminar pula. Maklumat lanjut boleh didapati di www.seminar-ppsmi.blogspot.com

Elok jika benda yang baik ini dihebah-hebahkan buat semua rakyat Malaysia.

~ Sampaikan dariku walau sepotong ayat ~

Sunday, March 8, 2009

Ku Ingatkan Aman, Rupanya Ditembak Juga!!

Mulanya aku ke Perhimpunan 100000 Rakyat Membantah PPSMI ini dengan satu anggapan ianya adalah paling aman dalam sejarah. Lebih kurang PROTES barangkali. Apabila diberitahu tidak akan berarak dan hanya sekadar berada di Masjid Negara, maknanya ia akan menjadi aman seperti PROTES. Semestinya membosankan. 

Darihal itu, aku langsung tidak membawa ’kelengkapan perang’; air mineral, tuala kecil dan garam. Aku pergi dengan hanya berlenggang kangkung ala Mak Kiah. Sehelai sepinggang.


Ni gambar masa mula-mula sampai di Masjid Negara


Datuk Hassan tengah berunding dengan polis. Nak minta izin berarak kot.


Ntah pape mamat ni. Orang dah pesan jangan bawa logo mana-mana parti. Siap buat kenyataan akhbar pula tu. Kalau aku tahu aku camni baik bawa je vest ’Pas For All’ aku.


Dari kanan, Hasni Abbas, Prof Shahrir, Datuk Hassan, A Samad Said dan Ust Idris Ahmad

Sebelum berhimpun solat dulu.


Pandangan dalam masjid negara. Macam solat jumaat pulak. Terkejut imam dan bilal.hehe..

Selepas bersolat zohor serta solat hajat, aura perhimpunan mula dirasai.


Ramainya makhluk Allah!


Asal nak amik gambar je mesti muka aku tak dapat masuk. Bengang je.huhu..

Dalam duk semangat melaungkan 'Hancur, Hancur PPSMI', 'Allahuakbar', 'Lailahaillallah' tiba-tiba para hadirin mula bergerak keluar dari masjid. Unit Amal meminta jalan untuk Tuan Guru Haji Hadi pergi ke hadapan. Aik, berarak juga ke? Ni yang tak sabar ni.


Mula berarak keluar. Semangat bertambah membara ketika ini.

Yang membuat spoil pada masa ini bateri kamera aku buat hal. Aduh, masa ni lah si kamera ni nak buat hal. Padahal dah caj semalam.

Selepas itu kami berjalan menuju ke Istana Negara. Yang kena tembak dan bertempur tu macam ramai dah cerita. Peluru memang tak ingatlah. Kalah BERSIH. Terkepung. Di hadapan FRU di belakang pun FRU.

Ni lepas kumpulan besar dah berpecah-belah angkara gas pemedih mata. Pada masa ni tiba-tiba bateri kamera ku kembali pulih. Macam faham-faham perasaan je bateri kamera aku ni.


Simpang menuju ke Istana Negara. Pada masa ni pihak 'special branch' mula menghalau hadirin dengan perkataan kasar.


Cuba perhatikan pada tali beg abang SB ini. Ada riben merah kan?


Rupanya semua geng SB memakai tanda riben merah sebagai tanda pengenalan. Mana tahu kot-kot terluku kepala geng sendiri. Apa barang pakai riben merah bro. Pakai riben pink la baru power.


Apa beza mereka dengan tentera israel? Bezanya cuma nama dalam kad pengenalan. Yang lain saling tak tumpah.


Sempat ambil gambar Dr Hatta. Masa ni sedang berundur setelah dihalau oleh polis. Ada seorang pakcik kat tepi Dr Hatta yang pakai helmet. Bila aku nak ambil gambar Dr Hatta, dia pulak yang terus tutup 'visor' helmet dia. Mesti dia ingat aku SB. Hina betul aku rasa dengan anggapan pakcik itu.


Masing-masing melarikan diri dari bedilan gas pemedih mata. Aku pun terjun dari cerun itu juga.hehe. Berasap je kat belakang tu.


Masing-masing membasuh muka sebagai penawar keperitan muka, sesak nafas dan batuk-batuk. Kat depan klinik ni ada paip. 


Siapa boleh jawab soalan ini? Bagi aku BULAN purnama kat Qlate yang ku sayangi paling terang. 


Gambar yang paling aku suka. Kira macam 'best shot' la kot.


Anak siapa la ni. Mesti malu ibu-bapa mereka mendapat anak seperti mereka ini. Kasihan..


Muncung jahanam yang banyak membuat dosa. Jawablah nanti depan Allah.

Apabila aku sampai di Masjid Negara semula, terdapat sedikit kekecohan di suatu sudut. Aku pun terus pergi tengok. Rupanya sekumpulan polis masuk ronda-ronda pastu orang kepung. Akhirnya, hadirin buka jalan setelah diminta oleh Unit Amal dan sambil polis-polis itu berjalan, mereka terus dicerca dan diseranah. 'Yahudi', 'Anjing', 'polis bangang' dan macam-macam lagi. Aku pun terpaksa turut sama berbuat demikian.haha.


Barisan polis yang dimaki dan disorak.


Jumpa juga keranda ni akhirnya. Ingat dah dikuburkan.


Berdoa sebelum bersurai.


Bersurai dengan laungan takbir Allahuakbar selepas membaca Surah Al-Asr dan tasbih kafarah.

Pada pukul 4.30 petang aku dan sahabat-sahabat pergi ke Stesen Komuter Kuala Lumpur untuk pulang. Mata masing-masing merah saja. Ada yang masih terdapat lagi kesan garam kat muka. Kemudian, saling bergelak tawa dan bercerita tentang himpunan tadi.

Kesimpulannya, dapat dilihat kesedaran rakyat semakin tinggi. Aku menjangkakan mulanya mungkin sedikit sahaja yang akan turun. Maklumlah isu ni mungkin tidak ramai yang minat. Namun, rakyat marhaen telah membuktikan aku silap. 

Membaca kata-kata Utusan Meloya kata-kata A. Samad Said, "Saya kena dekat hidung, mata dan juga kena tolak. Rupanya begini caranya untuk menyelamatkan bahasa"

"Ini merupakan kali pertama saya terkena gas pemedih mata dan ia mungkin akan berlaku lagi kerana saya akan terus memperjuangkan misi membantah PPSMI selagi kerajaan tidak memansuhkannya," kata penasihat gerakan itu.

Baguslah jika Pak Samad telah sedar akan hakikat marhaen. Malahan untuk memperjuangkan kebenaran telah ramai yang dibunuh, dipenjara, diseksa dan banyak lagi.

Namun Pak Samad jangan bimbang. Selagi berada di landasan kebenaran, kami anak-anak muda dan pejuang-pejuang kebenaran akan terus berdiri bersama-sama di belakang Pak Samad.

Allahuakbar!!

Letak Satu Gambar Dulu Lah

Macam pernah nampak je kain rentang ni. Tapi di mana ya?

Tentu semua dah baca laporan atau berita berkaitan Perhimpunan 100,000 Rakyat Membantah PPSMI. Aku pun pergi juga.Hehe..

Ingat nak tulis malam ni tapi ada hal pulak tadi. Esok-esok lah tulis. Dah tak larat.

Masih terdapat sedikit batuk-batuk kesan gas kimia yang nyaman tadi. Perhimpunan ni memang bagus. Walaupun tidak sebesar BERSIH, namun sangat berbaloi mengikutinya, alhamdulillah syukur.

Nak tidur dah. Nanti labun lagi ya..

Friday, March 6, 2009

Derita Dan Kehancuran Anak Bangsa !!

Hentikan segera projek Barisan Munafik menghancurkan anak bangsa! Mansuhkan PPSMI!!



Seminar Halatuju Dasar Pengajaran Dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) Dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan 2009. 14 Mac 2009.Para pembentang kertas kerja yang hebat dan berkaliber. Untuk menyertai klik di sini.

Thursday, February 26, 2009

Ikrar Rakyat Mansuhkan PPSMI


Menyedari bahawa, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ;

1.Bertentangan dengan Akta Pendidikan 1996 dan Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan,

2. Pelaksanaan PPSMI ini akan membunuh Bahasa Melayu dan Bahasa Ibunda yang lain sebagai bahasa ilmu,

3. Pelaksanaan PPSMI menafikan hak pelajar sekolah, khususnya di luar bandar dalam bidang sains dan teknologi.

Maka kami, selaku rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan prihatin terhadap masa depan sistem pendidikan dan kedaulatan Negara, berikrar untuk:

1. Komited dalam mendesak kerajaan memansuhkan dasar PPSMI.

2. Berusaha mendaulatkan serta menjunjung Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tanpa mengabaikan kepentingan Bahasa Ibunda yang lain.

3. Bekerjasama mempertahankan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa rasmi Negara

Seterusnya, kami berikrar untuk turun ke Himpunan 100,000 Rakyat Malaysia bagi menyatakan bantahan terhadap PPSMI dan menyerahkan memorandum kepada DYMM Seri Paduka Baginda YDP Agung pada 7 Mac 2009.

(Seperti yang dibacakan oleh saudara Kamaruzzaman, Ketua Pemuda Pas Wilayah dalam Himpunan dan Ikrar Mansuhkan PPSMI di Dewan Perhimpunan Cina, 23 Feb 09 yang lalu)

Tuesday, February 24, 2009

Liputan Forum PPSMI


Dewan Pehimpunan Cina Selangor semalam sekali lagi menjadi saksi akan perhimpunan para pencinta agama dan bangsa. Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), satu badan yang komited memperjuangkan kepentingan Bahasa Melayu menganjurkan satu forum yang dinamakan “Forum Mansuhkan PPSMI” yang membariskan panelis seperti Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Timb Pengerusi PKR Syed Hussin Ali (menggantikan saudara Anwar Ibrahim), Presiden GMP Datuk Hassan Ahmad, Presiden TERAS Cikgu Azmi Abdul Hamid, Dinsman, wakil mahasiswa, NGO dan ramai lagi.

Aku, Odeng dan Pokli turut hadir ke forum ini. Hadir kami bersebab. Bak kata orang moden ada misi khas. Misi pertama, ingin melihat sejauh mana respon dan kepekaan orang ramai terhadap perkembangan isu ini di kala Perarakan Keranda 152 semakin hampir. Tarikh 7 Mac tidak sampai 2 minggu pun lagi. Misi kedua adalah rahsia. Tidak boleh dibuka sebelum sampai masanya. =)

Kami sampai lebih kurang jam 8.45malam setelah tercari-cari tempat program selama 20 minit. Ketika kami sampai hadirin masih berlegar-legar di luar dewan kerana program akan bermula lebih kurang jam 9 malam. Pihak polis juga memberikan kerjasama yang baik dengan mengawal keadaan. Namun agak janggal kerana bilangan mereka agak ramai. Bagiku, sepatutnya tidak perlulah ramai sangat. GMP ni orang baik-baik.3,4 orang cukuplah. Tidak pasal-pasal polis kena buat kerja lebih masa. Kasihan mereka. Lagipun ’Tentera Merah’ Unit Amal turut ada bagi membantu mengawal keadaan.

Beginilah suasana yang sempat dirakamkan oleh lensaku.

Sempat menjenguk bilik VIP. Dari kiri Cikgu Azmi, Syed Hussin Ali, Datuk Hassan, Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dan Prof Shahrir Mohd Zain

YB Dr Halimah dan Dr Lo'lo' pun ada

Setelah ucapan alu-aluan pengerusi majlis, Dato’ Abu Bakar Chik, Pengerusi Lujnah Pendidikan Nasional PAS memulakan ucapan. Bersahaja dan tenang sahaja beliau menyampaikan ucapan.

Seterusnya bacaan sajak oleh Dinsman. Penggiat dan aktivis seni. Dia membacakan sajak yang pernah dibacakan semasa PROTES dahulu di Kelana Jaya. Tajuknya mungkin Macam Orang Gila (aku kurang pasti).

Dinsman sedang membacakan sajak

Ini bukan perjuangan bangsa Melayu semata. Ini perjuangan pencinta kebenaran. Milik semua kaum.

Tiadakah setitis perasaan belas ihsan pembesar terhadap masa depan generasi muda ini?

Seterusnya, saudara Hasni Abbas, Setiausaha GMP tampil menyampaikan ucapan. Hasni banyak menyentuh tentang sejarah perjuangan orang terdahulu memperjuangkan Bahasa Melayu. Antara yang menarik perhatianku apabila dia menyatakan Tun Hussein Onn adalah orang yang komited memperjuangkan bahasa. Malah Tun mencadangkan agar dibakar sahaja Perlembagaan 152 andai kerajaan tidak mementingkan Bahasa Melayu. Buat apa susah-susah.

Sayangnya semangat Tun Hussein Onn ini tidak dapat diwarisi oleh anaknya. Jika Tun pejuang bahasa yang komited, anak Tun pula merupakan pejuang dasar PPSMI yang konsisten. Siapa anak Tun itu? Fikirlah sendiri. Baiklah, aku akan beri pembayangnya. Anak Tun Hussein Onn adalah seorang peminat ’keris telanjang’ dan sering menghunus ’keris telanjangnya’ ke udara. Dapat?

Saudara Hasni juga menyatakan Datuk Hassan Ahamd dulu merupakan setiausaha kepada gerakan Perarakan Keranda 152. Di kala pejuang Bahasa Melayu dan sasterawan bangkit mempertahankan Bahasa Melayu. Sekarang beliau kembali dengan menjadi pengerusi GMP. Begitulah sejarah. Sejarah tidak akan pernah membohongi kita.

Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan ikrar oleh sekumpulan anak muda yang diketuai oleh Ketua Pemuda PAS Wilayah, saudara Kamaruzzaman. Ikrar anak muda, ikrar rakyat untuk memansuhkan PPSMI. Aku terfikir andai Jebat masih hidup, tentu sekali dia akan turut bersama-sama di dalam ikrar ini. Pasti!

Anak Muda Memimpin Perubahan (A.D.A.M). Ikrar membela nasib bahasa, menentang dasar PPSMI.

Majlis diteruskan dengan ucapan oleh Presiden Teras, Cikgu Azmi Abdul Hamid. Seperti Cikgu Azmi yang biasa dilihat, beliau tampil segak dengan pakaian seragam wajibnya; berkain pelikat, berbaju melayu dan bersongkok hitam. Ke mana beliau pergi itulah pakaiannya seolah satu menifestasi jati diri agama dan bangsa terpasak kukuh di dalam lubuk dada.

Pidato Cikgu Azmi cukup memukau. Banyak perkara yang disentuh oleh beliau. Katanya pelbagai cara telah digunakan oleh para ahli akademik, sasterawan dan pejuang bahasa untuk meyakinkan kepada kerajaan bahawa dasar PPSMI akan membawa kepada kehancuran umat. Daripada diskusi, persidangan meja bulat, persidangan, seminar dan bermacam-macam lagi. Malangnya pihak kerajaan hanya memandang sepi. Beliau memetik kata-kata Pak Samad iaitu A. Samad Said, “Pemimpin-pemimpin itu mereka mempunyai 1 telinga dan 2 lidah”. Banyak bercakap seperti munafik tetapi langsung tidak mahu mendengar saranan dan sumbangsaran rakyat marhaen.

Cikgu Azmi juga menyeru dengan penuh semangat, “ Andai dengan menjadi Jebat maruah agama dan bangsa bisa dipertahankan, marilah kita bersama-sama menjadi Jebat! ” diikuti tepukan gemuruh para hadirin. Berderau darahku seketika mendengar kata-kata ini. Meremang bulu roma. Adakah terdapat sisa-sisa darah Jebat mengalir di dalam pembuluh darah tubuhku?

Cikgu Azmi bersemangat memberikan pidato. Antara tokoh yang aku kagumi. Tidak pernah takut menyuarakan kebenaran.

Selepas itu, ucapan diteruskan oleh wakil mahasiswa dan Timb Pengerusi Keadilan, Syed Hussin Ali. Ketika ini, jam sudah menunjukkan pukul 11.30 malam. Oleh kerana mempunyai urusan lain yang erlu diselesaikan, kami terpaksa pulang dahulu tanpa sempat mendengar ucapan Tuan Guru Haji Hadi. Memang rugi rasanya, tapi keadaan tidak mengizinkan. Misi kami juga telah berjaya dicapai dengan jayanya, alhamdulillah.

Kami meninggalkan Dewan Perhimpunan Cina dengan tekad untuk terus memperjuangkan Bahasa Melayu. Kami sedar ia bukan sekadar bahasa biasa. Ia adalah lambang jati diri, budaya, sahsiah dan bahasa ilmu umat Melayu. Di dalamnya telah dimurnikan dan diterapkan dengan nilai-nilai kesyumulan serta kesucian ajaran Islam.

Sehingga kini ,masih terngiang-ngiang di telinga pesanan Cikgu Azmi. ” Jika dengan BAHASA BERADAB kita tidak mampu mengajar mereka, biarlah BAHASA JALANAN menjadi galang gantinya. Kita akan ajar mereka di jalan raya”.

Kuala Lumpur, tunggulah saat itu. Biiznillah, gelombang kedua rakyat pasti akan merempuh!

Monday, February 16, 2009

Gelombang Ganas PPSMI


Berdasarkan secebis pengalaman kerdil diri...

3 tahun lalu, ketika sibuk bergelut dengan projek disertasi tahun akhir, sahabatku meminta aku menggantinya untuk mengajar tuisyen di rumah ataupun Home Tuition. Rakanku terpaksa berhenti terus. Ada komitmen lain katanya.

Aku keberatan dan cuba menolak cara baik. Namun, melihatkan betapa bersungguh-sungguhnya sahabatku itu, aku cair. Akur. Kata rakanku, mengajar mudah sahaja. Pergi sahaja waktu pagi isnin dan rabu ke rumah pelajar itu di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi dan mengajar Sains dan Matematik Tingkatan 2.

Baiklah. Aku memulakan sesi pengajaran yang pertama. Berjumpa anak muridku di rumahnya. Orangnya kecil sahaja walaupun sudah Tingkatan 2. Ahmad namanya. Setelah sedikit sesi suai kenal, aku memulakan pengajaran pertama; subjek Matematik.

Buku-buku rujukan dan latihan semuanya dibekalkan oleh rakanku tadi. Semestinya dalam Bahasa Inggeris. Oleh itu, tidak dapat tidak aku mesti mengajar dalam Bahasa Inggeris.

Sebaik aku menuturkan ayat pertama (dalam Bahasa Inggeris), Ahmad menyampuk, ”Cikgu, boleh ajar dalam Bahasa Melayu tak? Susah la nak faham dalam English,”.

”Susah? Kenapa susah pulak? Kan mat belajar kat sekolah dalam English,”aku bertanya. Sedikit hairan.

”Tak paham la cikgu. Kitaorang belajar kat sekolah pun tak faham sangat,” Ahmad menambah.

”Habis,macamana Mat belajar kalau tak faham,” aku bertanya lagi.

”Mana yang kitaorang faham kita buatlah. Mana yang tak faham buat taktau je,” Ahmad menjawab. Jujur.

Gedegang! Ibarat sebutir bom jatuh ke atas kepala aku. Terkesima seketika. Kehilangan kata-kata.

Mengapa terkesima? Ya, terkesima kerana kata-kata itu aku dengar dalam keadaan aku berada di Bandar Baru Bangi, bandar elit Melayu (kononnya). Tambahan, Ahmad bersekolah si salah sebuah sekolah menengah elit di Bandar Baru Bangi manakala ibu dan bapanya daripada golongan terpelajar dengan jawatan yang baik.

Jika Ahmad yang bersekolah di BANDAR Baru Bangi boleh lemas dilambung gelora ganas PPSMI, aku terbayangkan nasib murid-murid di pedalaman Gua Musang, Cerok Tok Kun, Baling, Sabah dan Serawak. Bagaimana nasib mereka. Adakah mereka senasib Ahmad ataupun jauh lebih parah. Jika ini dibiarkan berterusan, bagaimana nasib anak bangsaku kelak?

Sepanjang aku mengajar Ahmad, aku akui dia bijak. Cepat menangkap apa yang aku ajarkan. Amat baik budaknya. Cuma mungkin IBLIS PPSMI menghalang dan membantutkan perkembangan mindanya.

Teringat perbualanku bersama ibu tercinta semasa pulang ke kampung dahulu. Ibuku merupakan seorang kerani di sebuah sekolah yang terletak di sebuah pekan. (Perbualan asal dalam loghat Kelantan, namun telah dialih bahasa)

”Ma, cane cikgu-cikgu mengajar sains dan matematik kat sekolah ma,” aku bertanya.

”Ma pun tak pastilah. Tapi ramai juga yang komplen. Susah. Cikgu sains dan matematik kena ikuti kursus bahasa inggeris. Tapi ada sorang cikgu pakar sains minta berhenti terus sebab dia taknak ikuti kursus bahasa inggeris. Sayang juga sebab dia cikgu pakar. Lagipun dia dah tua. Tak larat nak belajar bahasa inggeris semula,”

Oh, Tuhan! Mala petaka apakah ini!

Aku pernah membuka buku teks Sains adikku. Masih di sekolah rendah dalam tahun 5. Menurut pemerhatianku (jika tidak silap) apa yang dipelajari oleh adikku di dalam subjek Sains tersebut merupakan silibus sama yang aku pelajari dalam tingkatan 2 dahulu di Maahad.

Cuma bezanya aku belajar dalam Bahasa Melayu manakala dia belajar di dalam Bahasa Inggeris. Aku hanya perlu untuk MEMAHAMI KONSEP subjek manakala adikku perlu memahami makna dalam Bahasa Inggeris terlebih dahulu sebelum memahami konsep subjek.

2 kerja dalam satu masa dalam keadaan keluarga kami dan masyarakat sekitar bukan penutur Bahasa Inggeris di rumah. Kemungkinan lama kelamaan mereka mungkin akan berasa bosan dengan pelajaran Sains dan Matematik malah membencinya terus!

Oh, ya. Satu kes lagi. Sahabatku yang turut terlibat dalam PPSMI. Mengajar di salah sebuah sekolah di Ampang. Apabila ditanya tentang cara dia mengajar, turut memberi jawapan yang sama. Mengajar dalam Bahasa Melayu. Atas permintaan murid dan kelemahan dirinya juga yang kurang fasih berbahasa Inggeris.

Nah, nampak atau tidak? Murid dan para guru majoriti tertekan dengan IBLIS PPSMI.

Atas hujah apa lagi mereka beria-ria mempertahankan IBLIS PPSMI?

Pernah juga terdengar khabar bahawa PPSMI adalah satu projek lumayan, anugerah khas buat kroni tercinta. Melalui cetakan buku-buku teks dan rujukan baru PPSMI, anjuran kursus PPSMI, penjenamaan PPSMI dan sebagainya. Ratusan juta mampu diratah barangkali. Maaf, aku tiada bukti. Sekadar mendengar cerita dan hikayat.

Walau apa pun alasannya, aku tetap menentang PPSMI. Andai diizinkan ALLAH, aku akan turun di Perarakan Keranda 152, 7 Mac 2009 menyatakan hasrat hati dan bantahan terhadap PPSMI. Ayuh, para guru, ahli akademik, mahasiswa, murid-murid sekolah dan seluruh rakyat Malaysia kita bersatu! Demi masa depan agama dan anak bangsa tercinta!

Ayuh! Katakan Tidak Kepada PPSMI!!
Related Posts with Thumbnails