Showing posts with label Motivasi. Show all posts
Showing posts with label Motivasi. Show all posts

Friday, August 7, 2009

Hadiah Istimewa Daripada FRU

Seminggu sudah berlalu Himpunan Aman Mansuhkan ISA. Sekembalinya aku daripada himpunan tersebut ahad lalu, semangatku meluap-luap untuk mencoretkan sedikit pengalaman yang terkumpul pada semasa perhimpunan. Namun disebabkan perlu menyiapkan satu tugasan penting, perkara tersebut berlalu dengan begitu sahaja.

Himpunan kali ini jauh lebih hebat berbanding BERSIH. BERSIH yang terjadi di zaman Pak Lah masih lagi memperlihatkan sifat perikemanusiaan pihak polis. Situasi yang sangat berbeza di zaman Najib. Pihak polis bertindak seolah mereka tidak pernah mengenal undang-undang. Tembakan gas pemedih mata dan siraman air asid mencurah-curah tanpa henti.

Lebih menyedihkan, peserta perhimpunan yang sedang bersolat hajat di atas jalan raya setelah diasak dengan begitu teruk, ditembak dengan gas pemedih mata sebelum sempat menghabiskan solat. Aku yang turut sama bersolat hajat yang diimamkan oleh Ustaz mujahid Yusuf Rawa tidak mampu menyudahkan solat walaupun sudah berada pada kedudukan tahiyat akhir apabila seketul canister gas pemedih mata betul-betul jatuh di sebelahku. Aku tidak mempu bertahan. Pantas aku menarik tuala kecil yang aku jadikan pelapik sujud dan melarikan diri.

Jika sahabat-sahabat sekalian membaca blog Zaid Ibrahim terdapat satu pernyataan yang menyatakan " Di Jalan Kuching dekat Selangor Club pun polis sudah melemparkan bom pemedih mata. Bom dari canisters yang tidak ada jenama kata kawan saya. Bererti bom jenis buatan haram..". Ya, perkara ini bukan bohong. Aku ada buktinya.

Aku sempat mengambil seketuk canister gas pemedih mata yang ditembak oleh polis. Memang kosong. Tiada jenama. Berasap-asap canister itu semasa aku memegangnya dengan sehelai tuala basah. Entah dari mana pihak polis seludup senjata haram ini. Patutlah aktiviti penyeludupan tidak berjaya dikawal. Rupanya mereka pun penyeludup juga.


Aku juga tercari-cari juga di mana pihak pro-ISA yang mencanangkan mereka akan menurunkan 70, 000 orang. Cari punya cari tidak jumpa juga. Alih-alih esoknya tersiar di dalam media bahawa seorang wakil pro-ISA kononnya berjaya menghantar memorandum kepada pihak istana setelah menyusup dan menyelinap macam sang tikus yang bacul. Lebih melucukan, pihak polis pula menafikan wakil pro-ISA berjaya menghantar memorandum tersebut. Kesimpulannya, orang-orang yang pro-ISA memang bodoh, bacul lagi pengecut. Cakap berdegar-degar, akhirnya kosong! Useless!

Jika ada yang mengatakan bahawa himpunan ini telah mengakibatkan huru-hara dan kesesakan di ibu kota, sah mereka tersilap besar. Yang menyebabkan segala hiruk-pikuk bukan himpunan ini tetapi pihak polis. Apa perlunya sekatan jalan raya yang melampau? Mengapa perlu menggunakan gas pemedih mata dan air berasid. Himpunan ini sememangnya aman jika tidak diganggu gugat oleh polis.

Buktinya? Himpunan membantah Geert Wilders dan Belanda yang aku sertai dulu kerana membantah filem pendek Fitnaa yang berkumpul di Masjid Tabung Haji selepas solat jumaat dan berarak ke Kedutaan Belanda melalui jalan raya di ibu kota. Pihak polis memberikan kerjasama yang cukup baik dengan mengawal lalu lintas. Semuanya berlangsung aman daripada awal sehingga akhir.


Demonstrasi membantah kebiadapan Salman Rushdie dan menyokong HAMAS di hadapan Kedutaan Amerika turut berlangsung dengan aman apabila polis membantu segala urusan pergerakan di jalan raya. Tiada kesesakan lalu lintas, tiada provokasi dan tiada sebarang ancaman.


Peserta-peserta himpunan aman tidak pernah membawa senjata. Mereka datang dengan tangan kosong. Selebihnya mungkin kain rentang, kad manila sebagai manifestasi tanda protes kami terhadap kezaliman ISA. Nah sekarang, siapa yang mencetuskan huru-hara? Jelas, sudah tentunya pihak FRU dan polis!

Jadi, kepada peniaga-peniaga yang ingin menuntut ganti rugi kerana kerugian konon-kononnya RM200 juta, sila minta dengan pihak polis. Saman pihak polis. Jangan jadi bengap!

Terima kasih buat pihak FRU dan polis untuk hadiah kenangan yang tidak ternilai ini. Jumpa lagi di siri himpunan aman seterusnya. Lawan Tetap Lawan!!

Wednesday, July 8, 2009

Hijrah Yang Terkandung Kebaikan

Tuesday, June 2, 2009

Penantian Suatu Kebahagiaan ?


Gambar dicuplik dari sini

Orang kata penantian suatu penyiksaan. Benarkah pernyataan itu? Jika difikir sekali lalu menggunakan aqal yang terbatas, maka hati kecil kita pasti akan mengiakannya. Ditambah dengan keadaan persekitaran yang menyerabutkan menjadikan apa yang kita nantikan terasa begitu lambat untuk kesampaian. Bertitik tolak dari itu, semestinya penantian akan menjadi suatu penderitaan.

Aku teringat kata-kata Ustaz Yussaine Yahya, ustaz yang selalu memberi kuliah di Surau Annur Bandar Baru Bangi. "Bagi orang Islam yang meyakini kewujudan kehidupan 'di sana', penantian bukanlah suatu penyiksaan. Sebaliknya, penantian adalah pahala kerana kesabaran kita menunggu sesuatu (dengan niat kerana Allah) ada nilai di sisi-Nya. Bukan sia-sia,".

Ya, setelah lebih suku abad hidup barulah aku mendengar pesanan yang sungguh bermakna itu. Selama ini aku sering diratibkan bahawa penantian sewajibnya suatu penderitaan. Tiada langsung kebahagiaan.

Rupanya penantian bukan sama sekali satu penyiksaan. Bukan! Hakikat sebuah penantian terkandung di dalamnya kasih sayang, kerinduan, kecintaan, kesabaran, dan harapan hanya kepada-Nya. Allah berfirman di dalam surah Al-Mukmin, ayat 55;

"Maka bersabarlah kamu, karena sesungguhnya janji Allah itu benar, dan mohonlah ampunan untuk dosamu dan bertasbihlah seraya memuji Tuhanmu pada waktu petang dan pagi."

Kita semua di berada di dalam penantian. Barangkali ada yang menanti untuk mendapatkan segulung ijazah, ada yang menanti mendapatkan pekerjaan, ada yang menanti orang tersayang, ada yang menanti sembuh dari penyakit dan banyak lagi jenis penantian. Malahan ada yang ternanti-nanti bilakah waktunya akan tertegak undang-undang Islam di muka bumi ini. Penantian tersebut tidak akan menjadi sia-sia selagi mana kita tidak berputus harap dan senantiasa berusaha yang terbaik untuk mendapatkan apa yang kita tunggui. Yang penting usaha! Selebihnya serahkan pada DIA.

"Sesungguhnya, tiada berputus asa dari rahmat Allah kecuali orang-orang kafir, [Surah Yusuf, ayat 80]"

"Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan, [Surah At-Thalaq, ayat 7]"

Tidak dapat dinafikan selaku manusia biasa dalam melayari sebuah penantian itu, kita sesekali akan terumbang-ambing dilambung ombak resah, tenggelam di lautan rindu dan seterusnya terdampar di pinggir pantai kekecewaan. Biasalah manusia. Itukan sifat kita yang lemah.

"Manusia dijadikan bertabiat terburu-buru dalam segala halnya; Aku (Allah) akan perlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanKu; maka janganlah kamu meminta disegerakan (kedatangannya), [Surah Al-Anbiya, ayat 37]"

Di sini kekuatan spiritual dan mental sangat diperlukan. Ingatlah, yang perlu direnungkan bukanlah APA yang kita hadapi tetapi BAGAIMANA kita menghadapinya. Sebuah kebangkitan adalah jauh lebih mulia berbanding sebuah ratapan.

"Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar,[Surah Al-Baqarah, 153]"

"...Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah sangat dekat, [Surah Al-Baqarah, 214]"

Ya, benarlah penantian itu suatu kebahagiaan. Asal sahaja kita menghadapinya berpaksikan acuan Ilahi. Teruskan langkahanmu. Ibarat air yang mengalir, walau apa jua rintangan yang cuba menghalang, pasti ada cara untuk melepasinya.

Bukankah kita ada Allah bersama kita?
Related Posts with Thumbnails