Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Monday, May 31, 2010

Tengah Nazak Pun Kau Kacau ?


Selepas menghantar adindaku ke kelas tuisyen malam, aku singgah sebentar ke masjid untuk mendengar kuliah maghrib buat mengisi ilmu di dada yang serba kekurangan ini. Pada malam ini, Ustaz Nuqman biasanya akan mengajar kitab Tauhid pada sesi pertama dan akan disusuli dengan tazkirah yang dipetik dari mana-mana kitab hadis atau kitab-kitab pilihan beliau.

Ketika aku sampai sesi kuliah Tauhid telah selesai dan sesi tazkirah telah bermula. Aku cuma agak tertarik dengan isi tazkirah kali ini kerana ia adalah pertama kali aku dengar. Ia berkaitan 7 cara godaan syaitan ketika manusia berada di dalam sakaratul maut ataupun mabuk maut/nazak.

Berdasarkan tazkirah Ustaz Nuqman, 7 Cara Bagaimana Syaitan Cuba Untuk Mencabut Iman Manusia Di Kala Maut adalah seperti berikut;

1)Syaitan akan datang membawa permainan yang disukai oleh seseorang anak adam semasa hidupnya.

Ulasan; Jika seseorang suka bermain judi, maka syaitan akan menghiburkannya dengan segala macam jenis judi sehingga di saat nyawa tercabut dari halkumnya apa yang ada di sanubarinya adalah judi dan bukan lagi Allah Taala. Ini adalah terpakai untuk semua jenis permainan seumpama golf, memancing, wayang kulit dan lain-lain yang menyebabkan manusia alpa dari mengingati Allah.

2)Syaitan akan menjelma menyerupai haiwan yang paling ditakuti oleh seseorang.

Ulasan; Katakan seseorang itu takutkan singa, maka syaitan akan menyerupai singa yang sangat ganas menyebabkan pada pengakhiran nyawa seseorang anak adam, apa yang ditakuti di dalam hatinya adalah singa dan bukan lagi Allah Taala.

3)Syaitan akan menyerupai haiwan yang paling disayangi oleh seseorang

Ulasan; Andaikan seseorang itu sayangkan haiwan seperti kuda, hamster, ikan, burung, beruk dan lain-lain, maka syaitan akan menyerupai haiwan yang sangat disayanginya itu menyebabkan pada pengakhiran nyawa seseorang anak adam, apa yang dicintai di dalam hatinya adalah haiwan tersebut dan bukan lagi Allah Taala.

4)Syaitan akan menjelma menyerupai orang yang paling dibenci oleh seseorang.

Ulasan; Bayangkan 2 orang adik-beradik kandung bergaduh kerana harta pusaka. Si adik sangat bencikan abangnya kerana pertikaian tersebut. Maka, syaitan akan datang menyerupai abangnya di saat sakaratul maut adiknya sehingga adiknya mati dalam keadaan penuh kebencian dan dendam.

5)Syaitan akan menjelma menyerupai orang yang paling disayangi oleh seseorang.

Ulasan; Teringat sebuah pentomin sakaratul maut semasa minggu orientasi di Maahad dahulu di mana ada babak syaitan yang datang menyerupai ibu seseorang yang sedang nazak dan menggoyang-goyangkan buah susunya sambil berkata, "Anakku, engkau haus? Jika engkau mahu air susuku ini, maka mari ikut aku dan tinggalkan Islam,".

6)Syaitan akan datang menyerupai alim ulama

Ulasan; Syaitan akan datang dalam bentuk alim ulama dan mungkin juga ulama muktabar yang pernah kita kenali. Namun, harus diingat target syaitan adalah supaya anak adam mati dalam keadaan kufur. Maka, ulama jelmaan syaitan ini akan cuba mempengaruhi seseorang agar kufur kepada Allah.

Mungkin cukup dengan kata-kata, "Aku sebenarnya adalah Tuhan. Mari ikut aku. Tinggalkan Islam. Cukuplah engkau kelipkan mata untuk menyatakan kesaksian mu,".

7)Syaitan akan datang menyerupai 72 golongan yang sesat

Ulasan; Nabi bersabda di akhir zaman umat Islam akan berpecah kepada 73 puak. 72 puak adalah sesat dan satu puak sahaja yang benar. Maka, syaitan mungkin akan datang menyerupai 72 golongan tersebut yang terdiri daripada khawarij, anti-hadis, Islam Hadhari, 1 Malaysia, Judi Halal dan lain-lain.

Setelah mendengar kuliah tersebut dapatlah disimpulkan bahawa syaitan tidak pernah mengambil cuti sakit mahupun emergency leave untuk menggoda manusia ke arah neraka jahannam.

Oh, ya ! Bagaimana pula cara berhadapan dengan 7 godaan tersebut ? Ya, tidak mudah kerana syaitan adalah pakar taktikal. Syaitan telah hidup berjuta tahun berbanding kita dan mereka banyak pengalaman dalam selok-belok penipuan.

Jadi, tidak dapat tidak sewajarnya bermula dari sekarang kita cuba beramal dengan ajaran Islam yang syumul (bukan pilih-pilih) dan sentiasa berdoa kepada Allah akan diberikan husnul khatimah (pengakhiran yang baik) dan dijauhkan daripada suul khatimah (pengakhiran yang buruk). Usaha + doa.

Hanya Allah Maha Pengasih dan Maha Pengampun..

P/s; Gambar di atas adalah filem terkenal "Death Note". Agak kelakar manusia boleh berkawan dengn malaikat maut dan malaikat maut pula suka makan EPAL !! hehe..Diambil dari sini.

Tuesday, October 6, 2009

Sudah Tambah 6 Hari Lagi?

Hari ini sudah 16 Syawal. Masih berbaki 14 hari lagi untuk menyempurnakan 6 hari puasa sunat di bulan Syawal. Dengan deretan rumah terbuka, jamuan dan godaan di bulan Syawal, mampukah ditambah 6 hari lagi seusai 30 hari pada Ramadhan?

Puasa enam ku tahun ini terasa lebih senang berbanding tahun-tahun sebelumnya. Jika tahun-tahun sebelumnya, berada di Bangi menjadikan puasa sunat di bulan Syawal agak mencabar. Boleh dikatakan ada sahaja rumah terbuka dibuat. Jika tidak dibuat oleh kenalan, pihak fakulti pun akan turut membuat jamuan raya. Hujung minggu memang penuh dengan jemputan rumah terbuka. Makanan percuma mana boleh dilepaskan! hehe.

Di Kuantan, budaya rumah terbuka juga ada cuma dalam keadaan yang terkawal. Jika di bandar-bandar, mungkin 30 Syawal malahan selepas Syawal pun masih ada rumah terbuka. Memang semangat! Puasa 30 hari maka raya pun 30 hari. Tok guru mana yang ajar agaknya. Jadi, keberadaanku di Kuantan menjadikan puasa enam hari di bulan Syawal ini agak sedikit mudah. Jemputan rumah terbuka kurang manakala dugaan pun agak kurang (kurang bukan bermaksud tiada, ya!).

Apa pun semoga kita semua dapat merebut tawaran percuma 'seumpama berpuasa sepanjang tahun' yang dikurniakan oleh Allah buat hamba-hambaNya dengan jayanya. Jika bukan sekarang, bila lagi?

“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1164 (Kitab al-Siyam, Bab disunatkan berpuasa enam hari dari bulan Syawal)]

Friday, September 11, 2009

Kitakah Umat Yang Selektif Itu?


Jika ditanya mengapa segenap umat muslimin pada hari ini berpuasa, tentunya jawapan yang akan diberikan adalah kerana ianya adalah arahan yang terkandung di dalam ajaran Islam. Malahan yang tidak bersolat pun akan bersungguh-sungguh menunaikan ibadah puasa. Bukan sedikit pula yang mampu memberikan dalil kefarduan berpuasa seperti yang tertinta di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 183;


[Wahai orang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertaqwa]

Baiklah, itu adalah dalil kefarduan puasa. Arahan Allah swt yang tidak boleh diingkari. Cuba kita berundur 5 ayat ke belakang di dalam surah yang sama dan bersama merenung ayat 178;


[Wahai orang beriman! Diwajibkan ke atas kamu hukum qisas dalam pembunuhan iaitu orang merdeka dengan merdeka, hamba dengan hamba dan perempuan dengan perempuan. Sesiapa yang mendapat kemaafan daripada saudaranya (mangsa) dengan pembayaran yang sesuai maka hendaklah ia mengikutnya secara baik dan membayar (diyat) kepadanya dengan cara yang baik. Demikian itu suatu keringanan dan rahmat daripada Tuhan kamu. Sesiapa yang melampau batas sesudah itu maka baginya azab yang sangat pedih]

Bukankah kedua-dua ayat adalah hampir sama. Mengapa kita pada hari merasa sangat berdosa jika dengan sengaja meninggalkan puasa namun tidak berasa apa-apa apabila tidak melaksanakan arahan Qisas yang merupakan sebahagian undang-undang Islam.

Analogi seorang majikan memberikan 2 arahan yang wajib ditunaikan kepada pekerjanya. Namun, pekerja tersebut hanya melaksanakan satu sahaja arahan dan mengabaikan arahan yang kedua. Maka, apa akan terjadi kepada pekerja tersebut. Mungkin sahaja pekerja tersebut akan dimarahi, diberi memo ataupun yang paling malang dipecat kerana sebagai pekerja, dia tidak sepatutnya bersifat selektif di dalam melaksanakan tugasan.

Justeru, apakah layak untuk kita tidak timbul sedikit pun perasaan bersalah apabila sehingga kini masih gagal menjalankan arahan Majikan kepada segala majikan Yang Maha Gagah lagi Maha Gedebe di dalam ayat 178 tersebut walaupun arahan tersebut telah diberikan lama dahulu.

Jika tidak terbit secuit pun perasaan bersalah di hati, dengan segala dosa dan kebejatan yang dilakukan, maka janganlah kita mengeluh dengan sedikit memo yang dihantar oleh Allah yang mungkin berupa H1N1, kemelesetan ekonomi, kadar jenayah semakin meningkat dan banyak lagi. 'Memo-memo' kecil tersebut sekadar peringatan sementara buat kita sementara menunggu datangnya 'memo' yang lebih besar.

Adat bala akan mengena semua; yang taat mahupun yang maksiat. Semoga Allah tidak mengecop kita dengan cop "Umat Selektif" di akhirat kelak, nauzubillah.

Thursday, June 11, 2009

Kerajaan Perpaduan Itu Mengarut


MUQADIMMAH: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat memanggil Harakah ke Rumah Sri Kelantan sehari setelah Muktamar Tahunan PAS ke-55 selesai dilangsungkan. Pada sebelah pagi, 7 Jun lalu, wartawan Harakah, INTAN ABDULLAH menemui Menteri Besar Kelantan itu dan mengadakan wawancara. Tok Guru betul-betul sedih dan kecewa kerana tiada pemimpin dari Kelantan yang menang pada pemilihan Muktamar kali ini. Beliau paling sedih, apabila media terus memainkan isu kerajaan perpaduan yang ditolak oleh perwakilan. Ikuti pendangan tokoh ulama PAS yang disegani ini.

HARAKAH: Muktamar PAS ke-55 baru sahaja selesai. Secara umumnya, bagaiamana Tok Guru melihat perjalanan kali ini yang telah diadakan di Stadium Melawati Shah Alam pada 5 hingga 7 Jun lalu?

TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ: Muktamar PAS yang ke-55 telah selesai. Kemudian telah dipilih pemimpin-pemimpin yang akan menerajui PAS, yang disebut PAS memimpin perubahan. Cuma saya bukan sahaja terkilan dan sedih di atas tidak dipilihnya pemimpin Kelantan pada pemilihan PAS baru-baru ini.

Bukan sahaja terkilan tetapi sedih. Saya tidak tahu apa puncanya. Kita akan kaji, dan boleh jadi kita akan serah perkara ini kepada muktamar pusat akan datang. Cuma saya gembira sungguh-sungguh atas keputusan yang dibuat oleh Dewan Pemuda PAS Pusat yang menolak sebulat suara mengenai kerajaan perpaduan.

Benda ini saya sendiri telah buat keputusan sejak lama dahulu. Saya telah tegur pemimpin PAS Pusat, pemimpin yang selalu mengutarakan muqabalah, muzakarah ini. Saya bagi tahu bahawa keputusan ini bercanggah dengan keputusan muktamar di Perak tahun lepas. Oleh itu, kalau kita hendak buat benda yang baru, perlu dibawa ke muktamar.

Yang kedua, bagi saya Jabatan Penerangan PAS Pusat perlu diubahsuai mengikut keputusan-keputusan muktamar. Ini kerana PAS hanya ada satu lidah rasmi saja untuk PAS iaitu Harakah.

Dalam organ Harakah ini pula, perlu dilihat semuala. Disemak dan dirombak mengikut kehendak keputusan muktamar iaitu menolak kerajaan muktamar, seperti keputusan Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat. Siapa orangnya yang diharapkan, sudah tentu pimpinan dapat pastikan.

Yang ketiga, saya ucap tahniah kepada YB Khalid Samad. Walaupun beliau tidak pernah dilihat berkopiah, berserban, berjubah tetapi ucapan dia dalam dewan muktamar kelmarin beliau telah menggunakan hujah-hujah ulama seratus peratus.

Mengapa Tok Guru mengulas tentang ucapan perbahasan YB Khalid Samad? Apakah terdapat sesuatu yang menarik pada hujahnya?

Lagak dia ini (Khalid) boleh menyelesaikan persoalan yang dibesar-besarkan oleh pihak media arus perdana yang ingin mengasingkan antara profesional dan ulama. Khalid Samad telah menonjolkan, menjelmakan tafsiran yang sah bahawa ulama PAS adalah profesional dan profesional PAS adalah ulama. Tidak ada pengasingan dalam PAS khasnya dalam Islam antara dua golongan ini.

Hujahnya adalah hujah alim ulama. Ada dua hujah dia. Pertamanya mengenai Abu Jahal patuh kepada tradisi Arab (perlembagaan tidak bertulis) bahawa tiap-tiap orang apabila dilindungi oleh seorang pembesar Makkah, maka kerajaan terpaksa akur dengan perlindungan itu.

Apabila Rasulullah balik daripada Taif, baginda tidak dibenarkan masuk ke Makkah oleh kerajaan Abu Jahal. Tetapi nabi kita menggunakan diplomasi iaitu dengan meminta perlindungan daripada seorang yang bernama Mut'am bin Adiyy yakni seorang kafir musyrik. Oleh kerana budaya Arab apabila seseorang yang dapat perlindungan daripada mana-mana orang Arab maka Arab yang lain terpaksa menerimanya.

Jadi, Abu Jahal terima Rasulullah duduk di Makkah berdasarkan tradisinya mendapatkan perlindungan daripada seorang yang bernama Mut'am. Abu Jahal tahu dan hormat kepada tradisi itu. Malangnya, Umno tidak tahu hormat langsung peraturan dan undang-undang.
Umno pencabul di Perak kerana bukan tradisi orang Melayu berbalah sesama orang Melayu. Bukan perlembagaan namanya itu? Jadi, Umno ini lebih teruk daripada Abu Jahal lagi. Umno tiada perlembagaan dan moral. Akhlak pun tak ada. Apa yang dia nak buat, dia buat ikut sedap hati dia. Betul-betul dibuat atas sebab nafsu amarah.

Saya ulang berkali-kali firman Allah dalam al-Quran, ayat 27-28 Surah Fathir. Allah letakkan perkataan ulamak di penghujung ayat mengenai geografi, geosains, mengenai alam sekitar. Ayat tersebut bermaksud, "Yang takut pada Allah itu adalah ulama."

Perkataan ulama diletak dihujung daripada ayat-ayat mengenai langit, bumi, air, cuaca, alam sekitar, yang mengandungi manusia dan haiwan. Ini menunjukkan ulama ini tidak hanya seperti fahaman tradisi yang mementingkan fiqh, syariat dan tasawuf semata-mata.

Perkara ini kebetulan berlaku kerana usaha-usaha penjajah di seluruh dunia yang menyekat aliran ilmu-ilmu begini untuk diketahui oleh anak-anak jajahan. Ilmu sains dan teknologi ini sengaja dicipta oleh penjajah. Ini kerana kebanyakan alim ulama kita zaman dahulu hanya belajar di Masjidil Haram. Di sana pada ketika itu hanya mementingkan ilmu fiqh, daripada pengarang-pengarang lama. Dalam ulama Makkah tidak diajar ilmu sains, teknologi, geografi. Semuannya ini tidak diajar. Itulah puncanya.

Sepanjang Muktamar PAS berlansung, media banyak memperkatakan tentang kerajaan perpaduan. Tumpuan mereka kepada isu ini cukup mengelirukan. Boleh Tok Guru perjelaskan sedikit?

Umno sekarang ini telah bersiap sedia dengan pisau, garpu untuk meratah PAS daripada kenyataan-kenyataan pemimpin dia. Sekarang ini nampak sangat Umno terliur untuk memamah PAS.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin mencabar Tok Guru letak jawatan? Apa respons Tok Guru?

Yang sepatutnya, dia (Khairy) yang letak jawatan kerana dia tidak dipilih dalam kabinet Najib Tun Razak. Dia tak dilantik jadi menteri atau timbalan menteripun. Sepatutnya dialah letak jawatan, tetapi tertukar orang.

Patutnya dia letak jawatan kerana beliau dipinggir oleh partinya sendiri. Bagi saya, keputusan muktamar menolak kerajaan perpaduan, betul-betul seperti mana kehendak Mursyidul Am.

Sepanjang perbahasan, nampaknya perwakilan lebih cenderung untuk tidak mahu PAS mengadadakan perbincangan dengan Umno. Bukan sahaja berkongsi kuasa, tetapi berbincang pun mereka tidak berminat. Apa sebenarnya yang berlaku Tok Guru?

Bagi saya, masalah muzakarah-muqabalah tidak perlu ditimbulkan secara agenda. Benda ini, Islam telah lama membuka peluang untuk berbincang. Kita hendak sebutkan sebagai agenda adalah satu yang tidak betul, seakan-akan Islam tiada agenda untuk bertemu dengan orang.

Sedangkan Islam terbuka selama-lamanya. Tidak perlu diagendakan dalam ucapan kita kerana barang sudah sedia ada. Dalam istilah Arab dipanggil tahsilul hasil yakni mengadakan benda yang sudah sedia ada.

Jadi, Islam sejak daripada awal lagi membuka peluang kepada manusia yang menentangnya untuk berbincang. Itu sejak awal lagi, tidak perlu diagendakan. Bila kita mengagendakan apa yang sudah sedia ada bererti kita mengadakan barang yang sudah sedia.

Maksud Tok Guru, mengadakan perbincangan dengan Umno ini sebagai suatu yang telah sedia ada sifatnya? Begitu?

Ya! Tetapi berbincang untuk berkerajaan, untuk bersama dengan Umno, yang ini memang saya tidak boleh terima langsung. Ini kerana saya sebagai orang Kelantan sebagaimana yang saya sebut dalam ucapan saya, orang lain tidak merasa pahit maung bersama Umno.

Sejak daripada dulu, Umno tangkap tok guru pondok masuk ISA pada tahun saya mula masuk PAS (1967) ketika mana Umno mengamuk memberkas tok guru-tok guru pondok dimasukkan dalam ISA. Ini sudah kacau sebab itulah ulama' Umno pada masa itu buat parti PAS. Tetapi lima tahun selepas itu ulama melihat kepada penyelewengan Umno sekular daripada Islam maka mereka (ulama) berpecah daripada Umno lalu menubuhkan Parti Islam.

Isu kerajaan perpaduan ini seperti isu 'One Malaysia' apabila perwakilan dan pemerhati masih lagi kurang jelas dengan definisinya. Ada macam-macam persepsi dan definisi. Ini cukup mengelirukan. Boleh Tok Guru jelaskan?

Dia manfaat untuk rakyatkah? Kalau begitu ia tidak perlu ditonjolkan dalam perpaduan kerana sememangnya begitu. Dalam kerajaan federation atau Persekutuan Malaysia, apa makna Persekutuan kalau antara satu sama lain tidak boleh berhubung?

Hubungan dan masalah berbincang ini memang Islam pun benarkan, dan Kerajaan Persekutuan pun dibenarkan. Tetapi buat hubungan dengan Umno, saya tidak boleh terima kerana buat hubungan dengan Umno lain, bekerjsama dengan kerajaan federal lain.

Sekarang, dalam keadaan Presiden Umno sebut One Malaysia, masih lagi Kelantan diarahkan oleh Kerajaan Pusat supaya pegawai pertanian pusat jangan kerjasama dengan kerajaan negeri Kelantan.

Hal ini memang ada, dan direkod dalam minit mesyuarat kami. Pihak kementerian mengarahkan pegawainya di Kelantan di bawah JPP supaya jangan bekerjasama dengan Kerajaan Kelantan dalam bahagian pertanian. Itu berlaku semasa One Malaysia diisytiharkan. Apa erti One Malaysia? Serupa sahaja. Ia tidak lebih daripada sekadar slogan semata-mata.

Dalam Umno hari ini terdapat pergolakan seperti mana dalam Parti Progresif Penduduk (PPP) dan Gerakan. Keadaan komponen Barisan Nasional (BN) nampaknya lebih kronik di bawah kepimpinan Najib berbanding Abdullah.

Dalam ukuran kepada populariti Perdana Menteri yang baru, kalau kita ambil daripada kaca mata "ucap tahniah" yang diterima oleh Malaysia, setakat ini yang saya diberi faham hanya Singapura, Brunei, dan baru-baru ini Amerika yang ucapkan tahniah. Hanya tiga pemimpin negara dari seluruh dunia yang menyampaikan ucapan tersebut.

Kita telah masuk ke bulan ketiga sejak pelantikan perdana menteri yang baru. Kalau itulah ukuran sambutan orang terhadap perdana menteri yang baru maka sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena.

Apabila kita selidik, apa agaknya yang tidak kena, jelaslah pergolakan dalaman seperti isu PPP dengan elemen dua presiden antara Murugiah dengan Kayveas belum lagi selesai. Begitu juga dengan perpecahan di Terengganu antara blok Ahmad Said dengan Idris Jusoh, laporan ancaman bunuh ketika hendak hadir mesyuarat sidang dun masih belum selesai.

Di Pulau Pinang sendiri pun, usul tidak terima kepada kepimpinan majlis perbandaran menolak salah satu. Itupun ia masih dalam keadaan yang hangat. Jika kita tinjau di Perlis, keadaan yang hampir serupa. Di wilayah ini, keadaannya sama, orang yang boleh diharap dalam menyokong Najib hanya dua, tiga orang sahaja. Mungkin dia bekas setiusaha politik dia, Zahid Hamidi dan mungkin seorang lagi yang baru dilantik sebagai Senator.

Selain mereka, saya lihat masih berkecuali dan kemungkinan tidak memberi wala' kepada Najib. Sebab itu desakan yang ditimbulkan oleh Lim Kit Siang berasaskan kepada 45 peratus sahaja undi popular yang diperolehi. Najib sepatutnya diuji dalam sidang dewan yakni 'vote for non-confidence'.

Kenapa ini tidak boleh dibuat? Ini perkara yang boleh dinilai tahap kekukuhan Umno buat masa sekarang ini.

Apakah konsep One Malaysia hanya 'recycle' kepada pelbagai istilah yang digunakan oleh PM terdahulu bagi menonjolkan kepimpinannya? Maksudnya sebagai produk untuk mengajak rakyat menyokongnya?

Kita terlalu kaya dengan slogan. One Malaysia merujuk kepada perpaduan, penyatuan. Sejak merdeka sehingga ke hari ini, semua ini sememangnya slogan itulah yang kita tuju.

Dengan lagu, harapannya, daripada perdana menteri terdahulu sehingga ke Najib pada hari ini. Di sini bermaksud tiada yang baru dengan slogan One Malaysia. Begitu juga dengan 'rakyat diutamakan'. Ini pun slogan yang telah selesai. Ini kerana semua pemimpin mengulangi perkara yang sama. Kalau pemimpin negara blog kapitalis dan komunis pun, itulah yang mereka cakap pun.

Tetapi apa yang sering berlaku di negara serata dunia ini termasuklah Malaysia pun ialah rakyat yang ditindas, dinafikan haknya - inilah isunya - tetapi Umno sampai sekarang masih tidak dapat menyelesaikannya.

Begitu juga dengan soal kualiti, bercakap tentang hasil daripada kerja dalam konsep One Malaysia. Ini pun satu hal kalau penjawat awam boleh semak perkara ini kita ada prinsip 'Q' pada suatu ketika.

Sebelum ini kita ada SKT atau sasaran kerja tahunan, Fail Meja, Piagam Pelanggan - ini semua adalah perkara-perkara yang menuju kepada 'input cost' dan 'output' atau prinsip pengeluaran kualiti dengan pengurusan yang cekap dan berkesan seperti kaunter servis yang baik. Ini semua adalah perkara yang telah selesai.

Kalau tidak begitu, tidak timbul MAMPU yakni suatu jabatan khas untuk memantau pengurusan yang cekap lalu kita kitar semula istilah ini, dilambung di tengah-tengah Malaysia kononnya ini suatu idea yang bijak daripada kepimpinan Umno yang baru. saya melihat ini suatu 'recycle' sahaja dan tiada suatu yang baru.

~ Sumber di sini ~

Tuesday, June 2, 2009

Penantian Suatu Kebahagiaan ?


Gambar dicuplik dari sini

Orang kata penantian suatu penyiksaan. Benarkah pernyataan itu? Jika difikir sekali lalu menggunakan aqal yang terbatas, maka hati kecil kita pasti akan mengiakannya. Ditambah dengan keadaan persekitaran yang menyerabutkan menjadikan apa yang kita nantikan terasa begitu lambat untuk kesampaian. Bertitik tolak dari itu, semestinya penantian akan menjadi suatu penderitaan.

Aku teringat kata-kata Ustaz Yussaine Yahya, ustaz yang selalu memberi kuliah di Surau Annur Bandar Baru Bangi. "Bagi orang Islam yang meyakini kewujudan kehidupan 'di sana', penantian bukanlah suatu penyiksaan. Sebaliknya, penantian adalah pahala kerana kesabaran kita menunggu sesuatu (dengan niat kerana Allah) ada nilai di sisi-Nya. Bukan sia-sia,".

Ya, setelah lebih suku abad hidup barulah aku mendengar pesanan yang sungguh bermakna itu. Selama ini aku sering diratibkan bahawa penantian sewajibnya suatu penderitaan. Tiada langsung kebahagiaan.

Rupanya penantian bukan sama sekali satu penyiksaan. Bukan! Hakikat sebuah penantian terkandung di dalamnya kasih sayang, kerinduan, kecintaan, kesabaran, dan harapan hanya kepada-Nya. Allah berfirman di dalam surah Al-Mukmin, ayat 55;

"Maka bersabarlah kamu, karena sesungguhnya janji Allah itu benar, dan mohonlah ampunan untuk dosamu dan bertasbihlah seraya memuji Tuhanmu pada waktu petang dan pagi."

Kita semua di berada di dalam penantian. Barangkali ada yang menanti untuk mendapatkan segulung ijazah, ada yang menanti mendapatkan pekerjaan, ada yang menanti orang tersayang, ada yang menanti sembuh dari penyakit dan banyak lagi jenis penantian. Malahan ada yang ternanti-nanti bilakah waktunya akan tertegak undang-undang Islam di muka bumi ini. Penantian tersebut tidak akan menjadi sia-sia selagi mana kita tidak berputus harap dan senantiasa berusaha yang terbaik untuk mendapatkan apa yang kita tunggui. Yang penting usaha! Selebihnya serahkan pada DIA.

"Sesungguhnya, tiada berputus asa dari rahmat Allah kecuali orang-orang kafir, [Surah Yusuf, ayat 80]"

"Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan, [Surah At-Thalaq, ayat 7]"

Tidak dapat dinafikan selaku manusia biasa dalam melayari sebuah penantian itu, kita sesekali akan terumbang-ambing dilambung ombak resah, tenggelam di lautan rindu dan seterusnya terdampar di pinggir pantai kekecewaan. Biasalah manusia. Itukan sifat kita yang lemah.

"Manusia dijadikan bertabiat terburu-buru dalam segala halnya; Aku (Allah) akan perlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanKu; maka janganlah kamu meminta disegerakan (kedatangannya), [Surah Al-Anbiya, ayat 37]"

Di sini kekuatan spiritual dan mental sangat diperlukan. Ingatlah, yang perlu direnungkan bukanlah APA yang kita hadapi tetapi BAGAIMANA kita menghadapinya. Sebuah kebangkitan adalah jauh lebih mulia berbanding sebuah ratapan.

"Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar,[Surah Al-Baqarah, 153]"

"...Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah sangat dekat, [Surah Al-Baqarah, 214]"

Ya, benarlah penantian itu suatu kebahagiaan. Asal sahaja kita menghadapinya berpaksikan acuan Ilahi. Teruskan langkahanmu. Ibarat air yang mengalir, walau apa jua rintangan yang cuba menghalang, pasti ada cara untuk melepasinya.

Bukankah kita ada Allah bersama kita?

Sunday, May 10, 2009

Koleksi Ucapan Menempah Neraka


Berikut adalah koleksi petikan ucapan yang boleh dikategorikan sebagai menempah neraka;

1.(Kenyataan Mahathir kepada wartawan pada 3hb Mac 1994 di Nilam Puri, Kelantan Darul Naim): Hukum rejam kepada penzina adalah primitif.

2.(Kenyataan Najib Razak pada 20hb April 1983 kepada para wartawan): Negara akan huru-hara sekiranya undang2 Islam dilaksanakan.

3.(Kenyataan Mahathir pada 14 Julai 1992 kepada wartawan). Apabila hukum rejam batu sampai mati kepada penzina dan potong tangan kepada pencuri, nescaya ramailah rakyat Islam yang mati dan kudung tangan. Ini sangat memalukan umat Islam kerana orang bukan Islam akan sempurna sifatnya dan boleh meneruskan kerja.

4.(Ucapan Mahathir pada 30 April 1992 di perjumpaan Ketua2 Umno bahagian Johor). Saya nak tahu siapakan di antara ahli-ahli Pas yang sanggup memotong tangan orang jika hudud dilaksanakan di Kelantan. Barangkali Nik Aziz akan melakukannya. Jika benar kita nak tengok apa yang berlaku selepas hukum itu nanti.

5.(Ucapan Mahathir pada 2 Mei 1992 di Papar Sabah). Bagaimana kita boleh maju kalau orang Islam sudah tidak ada tangan dan kaki. Bagaimana mereka mahu bersaing dengan bangsa-bangsa lain kalau sifatnya sudah tidak cukup. Hukum Hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama.

6.(Kenyataan Mahathir kepada para wartawan pada tahun 1994 selepas mesyuarat MT Umno). Saya ingin memastikan bahawa negeri2 yang diperintah oleh BN tidak akan melaksanakan hukum hudud.

7.(Ucapan Mahathir pada 14 Ogos 1994 di Pasir Mas Kelantan). Sukar dilaksanakan hukum syarak kerana masyarakat Malaysia bukan seratus peratus Islam.

8.(Ucapan Mahathir pada 3 Mac 1994 di Pusat Bahasa Arab, Nilam Puri, Kelantan). Apakah hukum hudud mesti dilaksanakan juga walau apa pun keadaan sehingga mendatangkan mudarat kepada orang Islam. Apakah dalam keadaan Islam sudah lemah, hukum2 yang boleh melemahkan lagi orang Islam mesti dilaksanakan?

9.(Ucapan Mahathir pada 3 Mac di Pusat Bahasa Arab, Nilam Puri, Kelantan) Hudud tidak boleh dilaksanakan kerana sukar mendapat saksi yang tidak fasik. -

10.(Kenyataan Najib Razak pada 20 April 1992 kepada para wartawan). Kerajaan Kelantan harus dipertanggungjawabkan jika berlaku huru-hara, ketidakstabilan politik, perpecahan di kalangan umat Islam dan kegelisahan rakyat apabila hukum hudud dilaksanakan di negeri itu. Rakyat harus menyoal perlaksanaan hukum itu menguntungkan atau menyebabkan perpecahan, pertentangan dan ketidakstabilan politik. Tidak semua negara Islam mengamalkan hukum hudud bahkan ada negara Islam lebih makmur tanpa hukum itu.

11.(Datuk Dr. Yusuf Nor, temubualnya dengan Radio Tiga Ibu Kota, 6 Mac 1994) "Sebarang undang-undang yang dilaksanakan di Malaysia sekarang yang selaras dengan undang-undang Islam boleh dianggap sebagai undang-undang Islam."

12.(Dr. Mahathir Mohamad, Majlis Tertutup Majlis Agama Kebangsaan, 1997). "Sapa tau janggut Nabi macam mana? Sapa biasa tengok janggut nabi, ada gambar? Kita tak tau. Ada pulak yang kata janggut mesti sampai ke pusat. Ada yang special sikit macam tu! (ketawa). Apakah kita nak jadikan ini ukuran agama Islam kerana kita berjanggut maka kita Islam. Kononnya Sunnah Nabi. Kita tak tau. Kita tak tau sebenarnya macam mana janggut dia (Nabi) (menahan ketawa). Di zaman itu nak cukur pun mudah ke? Dia bukan ada Gillette. Zaman nabi ada Gillette ke, tak dak. Pisau cukur pun tak dak masa tu. Jadi masalah macam mana nak cukur masa tu. Lepas itu, dia berjalan sana sini naik unta. Bukan nak dapat air banyak...(di) padang pasir".

13.(Mahathir Mohamad, Utusan Malaysia, 19 Julai 1997) Apabila tiga orang gadis Melayu Islam, Fahyu Hanim Ahmad,18 (Alor Setar), Noni Mohamad, 19 (George Town), dan Sharina Shaari 23, (Alor Setar), menyertai pertandingan Miss Malaysia Petite 1997 yang diadakan di Classic Ballroom, Hotel Holiday Villa Subang Jaya 13 Jun 1997 ditangkap oleh lima pegawai JAIS, Mahathir yang ketika itu sedang bercuti di Okoyama, Jepun mengulas: "Cara ini meninggalkan kesan buruk sampai ke bila-bila kepada pihak yang terlibat termasuk keluarga mereka. Orang-orang ini tidak faham apa yang dikehendaki oleh agama. Inilah masalahnya apabila kita memberi kuasa kepada orang-orang yang tidak tahu menggunakan kuasa".

14.(Dr. Mahathir Mohamad, Majlis Tertutup Majlis Agama Kebangsaan, 1997). "Saya bukan lawan semua dengan mufti, tetapi mufti (Allahyarham Dato' Ishak Baharom) yang semacam ini bukan mufti. Ulama', macam-macam ulama' ada."Takkan satu orang boleh mendakwa diri dia ulama dan kita mesti sembah dia inilah waris nabi, bukan main senang. Masuk persatuan ulama' jadi waris nabi. Syed-syed pun tak pernah berkata macam itu, yang kata dia keturunan nabi, keturunan sahabat-sahabat nabi - pun dia tak kata macam itu. Ini mana-mana tempat membuat dakwaan bahawa 'ulama' adalah waris nabi'. Mudah nak jadi waris nabi. Tak payah sapa pilih."

15.(Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi Jun 2001). Tiada sebarang peruntukan dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memberi kuasa kepada penguatkuasa agama negeri untuk menangkap umat Islam yang berada di premis yang menghidangkan arak sekiranya mereka tidak meminumnya.

16.Menteri Besar Selangor Datuk Seri Abu Hassan Omar Jun 2001 menyifatkan bahawa tindakan pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam (JAIS) menangkap 31 orang mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 pada 10 Jun merupakan satu kekhilafan dalam mentafsir undang-undang.

17.Dato' Rais Yatim Jun 2001 mengkritik tindakan JAIS berikutan langkah pegawai dan kakitangan Jabatan tersebut melakukan serbuan dan tangkapan terhadap 25 orang Islam dalam sebuah pub "The Ship" di Damansara Utama, Selangor pada 11 Jun 2001 atas kesalahan orang Islam tidak dibenarkan membuat persembahan atau bekerja di dalam premis yang menjual minuman keras : "Apabila undang-undang ini dikuatkuasakan, saya percaya masalah seperti ini akan berkurangan dan dapat diketepikan. Walaupun undang-undang ini akan dikuatkuasakan, kita mesti terus berhati-hati juga tentang sistem penangkapan dan penguatkuasaan supaya persepsi orang ramai terhadap kuasa yang ada tidak bercanggah, konon sewenang-wenang dilakukan tangkapan dan sebagainya," katanya.

JAIS: Enakmen Jenayah Syariah Selangor, No.9 thn 1995 menerusi Seksyen 10, menetapkan mana-mana orang Islam yang memilikki, menyimpan atau menjual bahan yang menghina Islam boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun atau denda lima ribu ringgit atau kedua-duanya sekali. Hukuman bagi penjual atau pemilik bukan Islam akan dirujuk kepada Kementerian Dalam Negeri, KDN

~ Sumber koleksi-koleksi ucapan ini boleh didapati di sini ~

Semoga kita dihindarkan daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh menempah neraka samada secara sedar mahupun tidak.

Wednesday, May 6, 2009

Sekeping Nota Baru

Pagi ini datang ke makmal dengan semangat baru. Sesampai di makmal pergi memeriksa pigeon hole yang sudah agak lama tidak diperiksa. Terlihatlah satu jurnal baru dengan sekeping nota kecil dilekatkan padanya.


Aduh, kena tambah lagi ke!

Perlahan-lahan kenangan manis di Pulau Kapas semasa hujung minggu lalu mula pudar dan digantikan dengan mimpi ngeri yang bakal menjelma. Teori dan analisis DSC pun belum habis dilakukan, kini sudah mendapat tugasan baru. Jika asyik begini, bila mahu siap penulisanku. Semangatku mula menurun.

Namun, sebelum semangatku menurun dengan lebih teruk, aku cepat-cepat menekan butang 'Pause' seperti yang diajar oleh Ustaz Hasrizal Saifulislam.com. Fuh, nasib baik sempat menekan butang 'Pause' tersebut. Jika tidak, ada yang terus beli tiket dan balik kampung malam ini.

Aku cuba memujuk diri. Mengapa pula perlu bersedih dan berkeluh-kesah. Anggaplah ini cabaran dan dugaan yang perlu dilalui. Semestinya untuk menguji ketahanan dan keimananku. Ini bukan perkara sia-sia dan berlaku tanpa ada apa-apa sebab.

Bukankah Allah Taala telah berfirman di dalam Al-Quran di dalam Surah Insyirah, ayat 5-6,

"Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.."

Di situ telah diulang 2 kali bahawa bahawa di sebalik kesukaran yang dilalui oleh manusia akan disertakan bersama hikmah kemudahan yang mungkin tidak dapat diselami oleh keterbatasan hati dan aqal manusia yang cetek lagi tidak berdaya itu. Itu janji Allah yang mesti diyakini. Apakah dengan sedikit kesusahan yang dihantar oleh-Nya ini menjadikan aku hamba yang berputus asa dan berkeluh-kesah.

Sayugia, apa yang perlu, selaku hamba yang lemah adalah usaha yang bersungguh-sungguh dan seterusnya bertawakal kepada Allah. Kata Ustaz Hasrizal untuk berjaya kita perlu mematuhi Sunnatullah dan Syariatullah. Ini juga ditegaskan di dalam sambungan ayat 7-8, Surah Insyirah,

"Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain. Dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.."

Nah, di sini ditunjukkan bahawa berusaha bersungguh-sungguh itu Sunnatullah dan berserah harap kepada-Nya adalah Syariatullah. Keduanya adalah kembar siam yang saling berkait dan tidak boleh dipisahkan dalam menjalani sesuatu apa pun urusan.

Selepas berjaya memujuk diri, barulah semangatku sedikit pulih. Untuk memulihkan sepenuhnya semangat ini, biasanya aku memerlukan segelas Vico panas kaw-kaw (Milo telah diboikot) tanpa susu. Rasanya Vico ada lagi di dalam laci.

Selagi nyawa dikandung badan, ujian dan dugaan tidak akan pernah terhenti walau di mana sahaja kita berada. Setiap makhluk berlainan ujiannya. Sunnatullah dan Syariatullah; 2 mekanisme yang perlu dipatuhi demi menatijahkan hasil yang terbaik dan memuaskan hati.

Ya, tidak dapat tidak kita mesti terus berusaha dan bertawakal. Mesti!! (ketika ini lagu Segenggam Tabah nyanyian Inteam tiba-tiba berkumandang di udara. Entah siapa yang pasang..)

Tuesday, April 14, 2009

Mata Rantai



Terkadang aku ingin semulia Ali
Insan terpilih di pembaringan Rasulullah
Sekelumit ragu tiada di hatinya
Allah dan Rasul adalah matlamat

Terkadang aku ingin sehebat Imam Shafie
Menuntun ilmu sehingga tiada sempat berkelamin
Ensaiklopedia rujukan umat
Tawaduk dan rendah hati hiasan budi

Terkadang aku ingin seluhur Al-Banna
Pencetus ulung Ikhwan Muslimin
Mujaddid alaf tiada henti berdakwah
Mengabdikan hidup di jalan perjuangan

Terkadang aku ingin sekental Syeikh Ahmad Yassin
Seorang buta berkerusi roda
Lumpuh tidak berdaya
Namanya sahaja bisa mengecutkan sang zionis

Terkadang aku ingin segagah isi Memali
Berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim
Tidak gentar walau tubuh dihujani ribuan peluru
Senyuman indah menyambut rimbun kesyahidan

Kemudian aku tersedar
Aku perlu menjadi aku
ISLAHKAN DIRIMU DAN SERULAH ORANG LAIN
Mata rantai menjejak akan kemuliaan mereka

Bandar Baru Bangi
13 April 2008
11.32 malam

Saturday, April 11, 2009

Kesyumulan Islam Bukan Dari Aqal Manusia


KUALA LUMPUR 10 April - Kewangan Islam mampu menembusi pasaran negara-negara bukan Islam kerana selain menawarkan potensi perniagaan yang besar ia juga merupakan sistem kewangan kerohanian.

Pensyarah University of South Australia, Prof. Mervyn K. Lewis (gambar) berkata, sistem itu boleh diguna pakai dan direplika di negara-negara bukan Islam kerana ia didapati menepati kehendak pasaran global.


Menurutnya, masyarakat kini dilihat menyedari mengenai kepentingan sistem kewangan Islam berbanding konvensional.

Beliau memberitahu, setakat ini, sistem tersebut praktikal untuk diamalkan memandangkan umat Islam juga terdapat di negara bukan Islam seperti Thailand, Singapura, Filipina, China dan Australia.

''Ia merupakan potensi yang amat baik kerana sistem kewangan Islam merupakan sistem kewangan berasaskan syariah yang menghalang amalan riba dan ini boleh membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi di sesebuah negara.

"Malah, negara-negara barat yang mengamalkan sistem kewangan konvensional sepenuhnya didapati terjerat dan sukar untuk keluar dari masalah krisis ekonomi pada waktu ini.

"Malaysia pula mempunyai dua sistem kewangan yang sedikit sebanyak boleh membantu menyelamatkan pertumbuhan ekonomi di negara ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Lewis berada di Malaysia selama sebulan untuk memenuhi undangan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Universiti Malaya (UM) bagi membentangkan kertas kerja pada seminar yang akan diadakan di UM, di sini bermula 6 April lalu.

Lewis turut menceritakan kejayaan kewangan Islam yang dilaksanakan di Australia melalui Koperasi Komuniti Muslim Australia (MCCA) yang mempunyai dua buah cawangan di Melbourne dan Sydney.

Katanya, melalui MCCA, penduduk Islam di Australia boleh membuat pinjaman untuk pembiayaan perumahan, kenderaan dan peribadi yang berlandaskan syariah Islam.

"Australia mempunyai lebih 300,000 penduduk Muslim dan sistem kewangan Islam amat membantu di sini.

"Selain penduduk Islam, sistem kewangan Islam yang dipraktikkan dalam MCCA turut mempunyai hubung kait dengan salah sebuah institusi kewangan, Credit Union di Australia yang memberi perkhidmatan kepada semua penduduk berbilang agama di negara ini,'' ujarnya.

Ketika ditanya mengenai sesetengah negara Arab yang tidak menerima sebahagian konsep sistem kewangan Islam di negara-negara lain termasuk Malaysia, beliau memberitahu, apa yang boleh dilakukan ialah memantau pelaksanaannya dalam usaha memastikan pematuhan syariah dituruti.

Sumber klik di sini.

~ Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya. {Surah Al-Baqarah, ayat 279}~

~ (Dialah) Tuhan yang mentadbirkan dua timur dan Tuhan yang mentadbirkan dua barat. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)? {Surah Ar-Rahman, ayat 17-18} ~

Friday, April 3, 2009

Mari Berprogram Bersama CARLSBERG


Setelah selesai KL Sunburst 2009, asal sahaja anda berusia 18 tahun ke atas, anda turut dijemput ke Speed Zone Tour 2009 pula yang diadakan sempena Grand Prix 2009. Antara DJ terkemuka dunia yang bakal memutarkan turntable mereka adalah Paul Oakenfold, Judge Jules, Daniele Davoli, Joey G, Ricky Stone, Nic Fanciulli, Tall Paul, Alexander Technique & Eugene.

Bertempat di Menara Kuala Lumpur, konsert DJ ini akan bermula pada pukul 6 pm - 3 am pada 4 April 2009. Tiket pra-jualan dijual pada harga RM48 seorang, manakala andai anda beli pada hari berlansungnya konsert, tiket akan dijual pada harga RM68. Antara penganjur bersama konsert ini adalah CARLSBERG. CARLSBERG!!? Itu syarikat menjual air soya cincaukah?

Dalam Buletin 1.30 TV3 pada 2 April 2009 dilaporkan bahwa JAWI telah mengeluarkan pekeliling mengharamkan umat Islam menghadiri konsert ini kerana berdasarkan Speed Zone Tour 2008, majoriti yang hadir adalah anak-anak muda Melayu Muslim dan konsert ini diakhiri dengan pesta arak besar-besaran.

Namun, seperti biasa JAWI tetap JAWI dan akan terus menjadi JAWI. Ibarat harimau tidak bertaring. Eh, bukan! Harimau yang tidak bertaring masih mempunyai kuku yang tajam. Yang terlebih tepat ibarat anjing kurap. Tiada siapa pun peduli. JAKIM sudah lama mengeluarkan garis panduan hiburan di Malaysia tetapi siapa yang ambil tahu. Ibarat anjing kurap yang menyalak. Semua orang tidak pernah ambil cakna.

Ketua Polis Negara, Musa Hassan terlebih berhak mengeluarkan perintah supaya orang ramai tidak menghadiri konsert ini. Sepertimana dia mengeluarkan arahan supaya orang ramai tidak menghadiri perhimpunan aman Mansuhkan PPSMI. Jika masih berdegil, hantarlah Unit Simpanan Persekutuan melepaskan gas pemedih mata dan semburan air kimia. Namun ini tidak berlaku padahal Speed Zone Tour 2009 adalah sangat berbahaya kepada keselamatan negara. Dengan pesta minuman keras sebagai subprogram, maka kesannya tersangat buruk.




Lupakah Musa Hassan kepada Barsyiya, seorang abid yang terlalu taat kepada Allah yang telah berjaya digoda oleh syaitan supaya meminum seteguk arak demi mendapatkan lebih kekhusyukan dalam solat. Setelah meminum seteguk arak, akhirnya Barsyiya telah melakukan 3 dosa besar sekaligus; berzina, membunuh dan akhirnya mati dalam keadaan syirik. Benar, arak itu menghilangkan kewarasan aqal dan ibu segala kemaksiatan.

Zahid Hamidi yang berjaya mengkagumkan aku melalui ucapannya semasa Perhimpunan Agung PEKEMBAR pula di mana? Dalam ucapannya di PWTC Zahid Hamidi memberi amaran supaya jangan mencabar umat Islam berkaitan isu tuntutan penggunaan nama Allah oleh pihak Kristian kerana umat Islam akan bangkit. Berderau juga darahku melihat ucapan yang sungguh bersemangat dan berapi-api itu.

Ayuh Zahid Hamidi bangkit. Beri amaran kepada penganjur dan batalkan Speed Zone Tour 2009. Di mana kau Zahid Hamidi? Di mana Zahiddddddddddddddddddddd?


Oh, rupanya Zahid Hamidi tengah makan di Bukit Gantang. Eh, siapa pula perempuan di belakang tu? Tidak mengapalah. Selepas kenyang makan nanti kirim salam kepada awek yang yummy-yummy lagi slurpee di belakang itu.

Tahniah buat Mashitah, Abdullah Mohd Zain, Zahid Hamidi dan Bijan (Najib) kerana berjaya mengglobalkan Malaysia.

Thursday, April 2, 2009

Operasi Couple @ Ops Couple !


Ah, sudah 11.25 malam rupanya,” bisik hatiku setelah menjeling melihat jam yang tergantung di dinding bilik. Keasyikan menyelesaikan tutoran Kimia Organik menyebabkan aku hampir terlupa akan tanggungjawabku.

Aku menutup nota dan buku rujukan Kimia Organik seraya berpaling kepada Kay yang juga sedang menyiapkan tutorannya, “Kay, jom turun. Dah boleh mula operasi ni”.

Baiklah. Aku pergi ajak diaorang. Ko turun dulu. Tunggu kat tempat biasa,” ujar Kay tanpa berlengah sambil membetulkan bajunya yang sedikit berkedut. Kay memang agak cermat orangnya.

Okay, aku tunggu kat bawah ya. Jangan lambat sangat,”. Aku terus mengatur langkah menuju ke tingkat bawah bangunan kolej yang mempunyai 4 tingkat itu. Aku agak bernasib baik kerana menginap di bilik yang terletak di tingkat dua.

Tidak sampai dua minit aku sudah tercongok di tingkat bawah. Suasana pada malam itu agak tenang. Angin bertiup lembut dan bulan seakan-akan malu untuk berkongsi sinarnya bersama penghuni Kolej Kediaman 11 Universiti Malaya yang menempatkan pelajar-pelajar matrikulasi Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM) dan pelajar Rancangan Pelajar Ke Jepun (RPKJ). Sang awan bergerak perlahan-lahan sambil sesekali menutupi sang rembulan yang keseorangan kesunyian.

Itulah rembulan yang dikongsi oleh semua umat manusia. Tidak kira di mana umat manusia tinggal di atas muka bumi. Lantaran, mengapa kita harus bertelagah sesama umat sedangkan kita berkongsi rembulan yang sama daripada anugerah Ilahi. Hatiku bermonolog cuba berfalsafah. Harapnya bukan falsampah.

Kimone, jauh termenung. Ingat sapa tu? Sudahlah, dah lewat ni,” Lamunanku dikejutkan oleh sapaan Qme yang turut bersama-samanya Kay, Jijoi, Poje, Syuk, Peng dan Riri. Entah bila mereka sampai. Aku pun tidak menyedarinya. Aku hanya tersenyum sambil mengangkat kening berkali-kali. Masak benar dengan perangai Qme yang kuat mengusik.

Dengan ucapan Basmallah dan sedikit doa, kami memulakan Ops Couple. Nun di bawah tempat letak kenderaan, di suatu sudut terlihat sepasang pasangan lelaki dan perempuan sedang bercengkerama. Sang lelaki memegang tangan perempuan sambil mengelus-ngelus lembut. Mereka berbual mesra dan tertawa bahagia. Kelihatan sungguh romantis.

Kedua-duanya duduk tersangat rapat. Seumpama kembar siam yang sukar dipisahkan jika bisa dibuat perumpamaan. Apa yang pasti kedua-duanya belum berkahwin kerana aku kenal keduanya. Satu dewan kuliah denganku daripada aliran Sains Hayat. Tanpa berlengah kami menuju ke arah mereka.

SAHABAT ASASIAN 02-03 semasa program Pra-TAMPAN di Sungai Congkak. Yang paling tinggi di tengah-tengah tersebut adalah naqib usrah kami, Akhi Yus.

Assalamualaikum warahmatullah,” kami memberikan salam.

Ucapan salam kami tidak bersambut. Mungkin mereka sengaja buat pekak. Mereka terus dengan perbualan mereka.

Assalamualaikum warahmatullah, ” sekali lagi kami memberikan salam.

Waalaikumussalam. Ya, ada apa? ” barulah mereka menyahut perlahan dengan muka yang kurang senang.

Waktu dah lewat malam ni. Tidak elok untuk seorang gadis dan anak teruna duduk berdua-duaan begini. Eloknya naik ke bilik masing-masing sekarang, “ Kay memberikan nasihat dan saranan.

Rilekslah. Nanti kami naiklah. Belum habis bincang ni, ” jawab sang lelaki. Ego dan hagah lagaknya.

Seeloknya sekarang. Tak baik duduk di luar malam-malam ni. Nanti masuk angin, ” Aku menambah. Menggunakan pendekatan sinis dan humor. Kami terus memandang mereka. Tajam.

Okaylah, okaylah. Korang ni tak boleh tengok orang senanglah. Okaylah ayang, jumpa esok kat kuliah. Banyak pengacaulah kat sini, ” jawab sang lelaki sambil bangun dan memberikan salam perpisahan sementara buat kekasihnya. Kedua-duanya menunjukkan reaksi muka tidak puas hati dan bengang. Muncung dan mencebik. Kami mengiringi perpisahan mereka dengan senyuman manis. Selesai satu tugas.

Kami bergerak lagi ke padang permainan bola tampar. Ada sepasang lagi pasangan di situ. Entah apa yang mereka bualkan di tempat yang samar-samar cahayanya itu. Nak dikatakan perbincangan berkaitan pelajaran agak tidak logik kerana gelanggang tersebut hanya diterangi oleh cahaya lampu neon yang kekuningan. Langsung tidak kondusif sebagai tempat belajar. Mungkin pasangan tersebut menyedari kehadiran kami, beberapa meter sebelum sampai ke tempat mereka, mereka telah pun bangun dan mula bergerak meninggalkan gelanggang bola tampar tersebut. Alhamdulillah syukur. Allah memudahkan tugas kami walaupun wajah mereka ketika itu lebih masam daripada cuka nipah!

Jam sudah menghampiri 11.55 malam. Berhampiran blok penginapan perempuan terdapat beberapa orang perempuan berbaju kurung, berjubah dan bertudung labuh sopan sedang menjalankan tugasan seperti yang sedang kami lakukan. Mereka adalah Syafa (Allayarhamah), Mariah, Farahiah, Madihah dan beberapa orang lagi. Mereka dan kami adalah antara tenaga penggerak Ops Couple, salah satu program di bawah Jawatankuasa Biah Solehah yang bernaung di bawah Biro Kerohanian dan Dakwah bagi Kolej Kediaman Kesebelas.

Kerja dakwah amar makrur nahi mungkar perlu dilakukan secara berjemaah agar kesannya lebih efektif. Bahasa lainnya dilakukan secara berorganisasi. Jika dilakukan secara individu, impaknya mungkin agak minimum dan tidak besar lebih-lebih lagi tugasan seperti Ops Couple ini. Allayarham Ustaz Nik Man yang mengajar subjek Balaghah semasa aku di tingkatan 4 Sains Mekah di Maahad dulu selalu berpesan ”Yadullah Fauqal Jamaah”. Terjemahan secara harfiah membawa maksud ”Tangan Allah di atas para jemaah” . Maksud ‘Tangan Allah’ adalah pertolongan Allah sentiasa bersama mereka yang berada di dalam organisasi/jemaah/gerakan Islam. Analogi mudah, lidi seberkas adalah lebih sukar untuk dipatahkan berbanding sebatang lidi.

Surah Al-A'raf, ayat 164 dan terjemahannya.

Nun di dalam kafe yang menjadi tempat bersantap penghuni kolej masih terdapat sekumpulan penghuni kolej yang sedang belajar secara berkumpulan. Berlainan jantina. 3 lelaki dan 3 perempuan. Kami menghampiri kumpulan tersebut. Mereka buat-buat tidak nampak.

Assalamualaikum warahmatullah. Minta maaf kawan-kawan. Dah lewat ni. Mungkin boleh sambung esok study group, ” Syuk memulakan bicara.

Mereka membisu seribu bahasa. Tidak melayan. Konon-kononnya khusyuk dan tekun belajar. Taktik itu tidak berkesan terhadap kami. Sudah basi.

Kawan-kawan, peraturan kolej tidak membenarkan pelajar-pelajar berada di luar kawasan kediaman selepas pukul 12 malam. Nanti pak guard datang kena marah pula, ” Kay cuba berdiplomasi. Itulah cara yang terbaik kerana kami hanya boleh menasihati. Tiada kuasa memaksa atau menangkap.

Setelah hampir 5 minit membisu barulah masing-masing mengemaskan buku dan peralatan, bangun lalu meninggalkan kafe tersebut. Ekpresi muka tidak perlu diceritakan lagi. Sama sahaja dengan pasangan-pasangan yang telah kami nasihati sebelum ini.

Okay, sudah beres. Semua belangkas dan makhluk-makhluk lain sudah naik. Boleh balik skang, ” kataku. Kami beriringin berjalan sebelum masing-masing pulang ke bilik masing-masing.

Operasi ini dilakukan 2,3 kali seminggu. Sekurang-kurangnya ia mengingatkan para pelajar dan para belangkas bahawa mereka tidak berwenang di kolej ini dalam pergaulan kerana sentiasa ada mata yang memerhatikan samada Khaliq mahupun makhluk.

Kembali ke bilik, di antara kami ada yang kembali menyambung membuat tutoran dan ada yang menyambung pembacaan. Kerana kami sedar selain tugasan dakwah, kami juga adalah pelajar sepertimana pelajar-pelajar lain di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya. Kami juga harapan para ibu-bapa di kampung yang tidak pernah putus mendoakan kejayaan.

Lusa atau tulat kami akan melakukan lagi operasi yang sama.

Thursday, March 5, 2009

Engkau Marahkan Siapa?


Suatu petang yang lebat disirami hujan dan agak sejuk. 2 sahabat sedang berteleku di bilik yang diselubungi kedinginan.

"Susah lah sekarang ni. Tiap-tiap petang hujan. Nak pergi mana-mana pun susah," bentak seorang pemuda berbaju jingga. Sedikit marah nadanya.

Teman di sebelahnya tersenyum seraya menyampuk, "Sahabatku, mengapa ni. Sabarlah. Tak perlu marah-marah," nasihatnya.

"Bukan apa. Aku nak pergi Kajang lah petang ni. Ada hal. Terpaksa batalkan sebab hujan," jawabnya sambil mendengus.

"Sahabat, cuba fikir sejenak. Siapa sebenarnya yang engkau marahkan. Adakah engkau marahkan hujan? Itu salah sama sekali. Hujan itu makhluk. Ia tiada kuasa. Atau engkau marahkan pembawa titisan hujan. Itu pun tidak kena sebab pembawa titisan hujan itu juga makhluk. Lemah dan tiada kuasa. Atau mungkin engkau marahkan Khaliq, Pencipta hujan dan pembawa titisan hujan itu. Yang mengarahkan titisan hujan melalui pembawa titisan hujan untuk turun di mana-mana yang Dia arahkan. Dia yang mentakdirkan segalanya hatta sehelai daun yang jatuh dari sebatang pokok pun termasuk di dalam perancangan-Nya. Baiklah, sekarang tentukan siapa sebenarnya yang engkau marahkan," Temannya mengakhiri bicara. Agak panjang labunnya. Namun, senyuman tidak pernah lekang dari bibirnya.

Pemuda berbaju jingga itu terdiam. Memikirkan sesuatu barangkali.

Andai pemuda berbaju jingga itu tahu akan hakikat kepada siapa amarah itu ditujukan, usahkan hendak berbicara, hendak terlintas di hati pun dia tidak akan sesekali berani.

~ Sampaikan dariku walau sepotong ayat ~

Sunday, February 22, 2009

Pertubuhan Kebangsaan Munafik Bersatu (PEKEMBAR)


Munafikun ada di mana-mana. Akan ada setiap ketika dan zaman. Jika tidak masakan wujud satu surah Munafikun di dalam Al-Quran. Semasa di Maahad, surah ini juga menjadi surah hafalan wajib untuk pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU).

Munafikun ada persatuan mereka sendiri. Namanya Pertubuhan Kebangsaan Munafik Bersatu ataupun PEKEMBAR. Di dalam Bahasa Inggeris pula dipanggil United Munafikun National Organisation ataupun kependekannya..Maaf, aku tidak tegar untuk menulis akronimnya. Apa pula kata orang nanti. Guna sahaja kependekan PEKEMBAR. Bukankah kita adalah pencinta bahasa?

Presiden PEKEMBAR dahulu adalah Abdullah. Tetapi jangan silap. Abdullah bin Ubai bin Sahul namanya. Orangnya cukup licik dan licin. Lebih licin daripada belut yang ditangkap di parit, sungai mahupun kolam komersial untuk dibuat paprik belut.

PEKEMBAR mempunyai taburan ahli yang ramai dan kelengkapan yang sangat baik. Mereka ada mata-mata gelap, polis anti rusuhan, unit persekutuan simpanan dan sebagainya. Pimpinan dan ahli-ahli PEKEMBAR sesekali tidak pernah redha melihat umat Islam dan masyarakat hidup dalam keadaan aman,selamat dan makmur (slogan apa ini!).

Contoh jelas kita boleh tonton pada episod Uhud. Ya, Perang Uhud yang berlaku pada Sabtu, tanggal 7 Syawal, 32 bulan setelah hijrah. Perang yang menyaksikan ramai sahabat terkorban di jalan jihad. Sirah mencatatkan Presiden PEKEMBAR dahulu telah menarik 300 orang tentera yang terdiri dari pengikutnya untuk keluar dari Madinah sebagai tanda kononnya protes terhadap keputusan yang telah dibuat oleh Rasullullah dalam mesyuarat sedangkan sebenarnya ia sebagai satu manifestasi sikap dan sifat sebenar mereka yang dizahirkan oleh Allah. 300 orang tentunya bukan sedikit. Bisa sahaja menimbulkan kegelisahan dan kebimbangan memandangkan jumlah musuh adalah begitu besar, 3000 orang.

Malangnya, ada gerombolan hari ini mengikut jejak PEKEMBAR dahulu. Dalam ketenangan dan kedamaian umat Islam dan masyarakat di sebuah negeri nun di utara, PEKEMBAR moden telah menarik 3 orang tentera pakatan dengan cara yang kotor. Hasilnya, kita dapat lihat dengan jelas keadaan di negeri tersebut. Keadaan yang dahulunya permai dan damai bertukar menjadi tidak stabil. Bermacam-macam rumus dn khabar angin tersebar. Ada tunjuk perasaan, ada yang ditangkap malah sultan dan mufti pula menjadi bahan cemuhan. Rakyat menjadi tidak tenteram. Pelabur-pelabur juga semakin bimbang melihatkan keadaan seolah tiada berpenghujung. Semuanya kerana perbuatan PEKEMBAR.

Sudah menjadi resmi PEKEMBAR melaporkan apa yang yang palsu dan menyorok apa yang benar. Sebaran PEKEMBAR juga sangat baik. PEKEMBAR dahulu ada Utusan Mekah. Manakala PEKEMBAR moden juga ada utusan. Dipanggil Utusan Ma...Maaf,sekali lagi. Masih tidak tegar untuk menulis nama penuhnya.

Justeru, media dan sebaran PEKEMBAR sangat cekap memutarbelitkan isu. Jika di negeri yang terletak di utara itu, yang diperbesar-besarkan dan dimainkan setiap hari adalah isu DERHAKA. Isu sebenar iaitu RAMPASAN KUASA ditutup kejap di dalam tempayan dosa. Di sebalik mereka yang mula mencetuskan huru hara, dituduhnya pula speaker sengaja cuba mencetuskan kacau-bilau. Tak ke bangang namanya tu (ayat Ustaz Ismail Kamus) !

Dalam isu Kugan pula yang dipertontonkan hari-hari adalah isu menceroboh rumah mayat. Seolah itulah isu yang besar dan sebenar. Sedangkan isu tahanan yang diseksa dan keadaan mayat yang dalam keadaan menyayat hati disapu rapi di bawah permaidani ketololan. Malah media PEKEMBAR juga memarahi orang yang membela Kugan kerana dikatakan membela penjenayah. Yang menjadi kemusykilan, bilakah pula Kugan didapati bersalah oleh mahkamah? Bukankah prinsip undang-undang sekular sekalipun menyatakan one innocent until proven guilty. Sekalipun betul dia merupakan seorang penjenayah, mengapa perlu diperlakukan lebih teruk dari binatang. Yang lebih melucukan apabila terdapat bapak polisi yang mengatakan kematian Kugan disebabkan penyakit. Entahkan asma ataupun paru-paru berair. Ah, sampai ke situ sekali bodohnya!

PEKEMBAR tidak pernah akan redha melihat kenikmatan yang dikecapi oleh rakyat terbanyak. Ada sahaja idea untuk menjahanamkan masyarakat. Apabila kerajaan sebuah negeri yang kaya di Lembah Klang berunding dengan 4 anak syarikat bekalan air untuk membeli perjanjian konsesi mereka, dengan tujuan menyenangkan dan meringankan beban rakyat, mereka tanpa adab terus mengambil jalan pintas dengan berunding secara terus dengan syarikat konsesi tersebut. Diperkudakan SPAN; Suruhanjaya Penaik Air Negara. Dan dengar kata hasil rundingan terus tersebut yang mencecah bilion ringgit, tarif air negeri yang kaya tersebut yang sebelum ini murah (pertama kali bil air di rumah menurun kepada nilai NEGATIF, percayalah!) akan menjadi mahal. Beban pengambilalihan dipindahkan kepada rakyat terbanyak. Satu lagi Projek Kerajaan Barisan Munafik.

PEKEMBAR juga gilakan kemahsyuran. Namun, mereka takut untuk berperang. Bimbang jika terbunuh barangkali. Apabila umat Islam mencapai kemenangan di dalam peperangan, golongan PEKEMBARlah yang akan berada di barisan hadapan untuk memasuki Madinah. Supaya orang melihat mereka sebagai orang yang hebat dan berani. PEKEMBAR sangat dambakan pujian dan sanjungan.

Samalah juga PEKEMBAR moden. Gerakan yang dilakukan senyap dan tersusun. Insan lain yang menjalankan tugas. Namun, apabila dirasakan masa telah sesuai dan betul, maralah salah seorang dari PEKEMBAR ke hadapan. Lengkap bersut hitam, bertali leher dan dikelilingi oleh gerombolan PEKEMBAR yang lain seraya berkata, ”Kita telah mengambil alih kerajaan negeri sekian-kian,” Meleret-leret senyuman, penuh kebanggan seolah dialah pahlawan yang sejati dan terulung. Gerombolan di belakang akan berteriak, ”Hidup PEKEMBAR! Hidup PEKEMBAR,” Bersemangat sekali mereka membodek lelaki bersut hitam itu.

Perkataan moral dan akhlak tiada dalam kamus hidup PEKEMBAR. Mereka bisa sahaja masuk ke rumah kamu dan mengambil gambar kamu sedang tidur. Terselak, terbongkang dan terkangkang. Kemudian? Kemudian mereka akan menyebarkannya kepada orang awam yang diklasifikasikan sebagai ”tontonan umum”. Persetankan sama maruah kerana mereka tidak pernah mengenal apa itu maruah.

Ya, kita harus berjaga-jaga. Kerana PEKEMBAR mempunyai segala kelengkapan, kemudahan dan jentera. Namun, berjaga-jaga bukan bererti kita harus penakut. Jangan lupa kita ada Allah. Kita ada usaha. Kita juga ada doa sebagai senjata. Usaha + doa, insyallah buahnya adalah kejayaan. Dengan syarat Allah merasakan kita telah layak dikurniakan kemenangan.

Mungkin Allah membenarkan perancangan PEKEMBAR berlaku kerana Allah tidak mahu kita berasa selesa dan berehat. Berehat daripada melaksanakan gerakerja Islam ~ amar makruf nahi mungkar. Allah mahu kita tingkatkan perjuangan ini. Bukan hanya ketika dan tertentu sahaja. Dengan kejadian-kejadian yang telah berlaku menjadikan kita sentiasa berwaspada dan bersiap-siaga.

Kita juga untung. Hanya ada 2 pilihan; samada syahid ataupun menang. Tidak perlu pening-pening lagi seperti PEKEMBAR.

Munafik itu akan berlabun dan terus berlabun. Untuk dulu, kini dan selamanya.

Ya, Allah kurniakanlah kami kekuatan!

Thursday, February 19, 2009

Doa Amalan Untuk Wanita/Perempuan/Muslimat

Membuat kerja memang meletihkan. Jika bermalas-malasan di atas katil, tidak pula meletihkan. Kenapa agaknya ya..

Bagi meleraikan seketika ketegangan minda dalam menaip tugasan, aku menyelongkar almari mayaku dan menjumpai satu fail yang telah aku kerat dan tampal daripada laman web Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman. Berkenaan doa khusus dari Hadis Sohih. Khusus bagi mengelakkan daripada DIROGOL dan DICABUL.

Entri berkenaan doa ini di dalam laman web Ustaz Zaharuddin bertarikh 12 Ramadhan 1428 H/24 September 2008. Ustaz Zaharuddin juga amat menggalakkan agar doa ini disebarkan. Memandangkan fail ini telah terperuk sahaja sebelum ini di dalam almari mayaku, maka aku berhasrat menyiarkannya semula bagi menyahut seruan Ustaz Zaharuddin. Mungkin juga ada yang terlepas pandang dan tak terlihat sebelum ini. Mari kongsi dan sebarkan bersama;




Kata Ustaz Zaharuddin doa ini bersyarat. Tidak boleh sewenang-wenangnya. Antara syaratnya adalah doa ini bersifat tawassul dengan amal soleh kita, iaitu apabila diikat dengan imannya dengan Allah s.w.t dan RasulNya dan telah dijaga kehormatannya dan sudah tentu auratnya.

Tanpa diikat tentang kewajiban untuk beriman dengan Allah dan rasulNya dan menutup aurat, doa ini masih amat digalakkan untuk dilakukan, cuma jaminan seolah-olah lebih pasti bagi yang apa yang dikatanya (dalam doa ini) menepati apa yang sebenarnya penampilan fizikal anda

Justeru, jika berbaju kebaya terbelah, baju sendat menampakkan susuk tubuh, berpakaian nipis seolah telanjang, bersolek canggih seperti artis..sudah tentu doa ini sahaja belum cukup mampu menjaga kita. Bukan kerana Allah s.w.t tidak mampu, tetapi Allah s.w.t tidak anggap wanita itu layak dek kerana kedegilannya sendiri.

Sendiri mao ingatlah kak!

~ Sampaikan dariku walau sepotong ayat ~

Friday, February 13, 2009

Air Liurmu Dan Al-Quran



Bagi individu muslim yang biasa membaca Al-Quran tanpa mengira berapa kali kekerapannya, pasti kadangkala mengalami sedikit kesulitan untuk menyelak helaian Al-Quran. Situasi ini adalah sama sahaja apabila kita hendak menyelak surat khabar, majalah mahupun buku dan komik.

Jadi, apa yang kita biasa lakukan untuk mengatasi kesulitan tersebut? Ya, skema sahaja jawapannya. Kebanyakan dari kita akan meletakkan hujung jari telunjuk di hujung lidah dan lebihan air liur yang terlekat di hujung jari akan kita letakkan pada helaian surat khabar, majalah mahupun buku dan komik tadi untuk menyelesaikan sedikit kesulitan itu.

Jika perbuatan meletakkan sisa air liur tersebut pada buku, komik, surat khabar tidak timbul sebarang pertikaian dan persoalan. Namun, jika kita melakukan perbuatan yang sama terhadap helaian kalam suci Al-Quran, adakah isu ini kita boleh anggap sama.

Aku teringat kuliah online yang pernah disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus berkaitan perbuatan ini. Mengikut Ustaz Azhar Idrus adalah HARAM hukumnya kita meletakkan sisa air liur pada helaian Al-Quran bertujuan memudahkan kita menyelaknya. Cuba kita bayangkan apa perasaan kita apabila kita sedang berbicara dengan sahabat kita. Dengan tidak semena-mena sahabat kita memasukkan memasukkan jarinya ke hujung lidah dan menyapu sisa air liur tersebut ke wajah kita. Lantas apa reaksi kita? Silap haribulan ada yang masuk hospital dan mungkin juga berakhir di penjara.

Mengapa? Kerana kita sememangnya berasa jijik ataupun kurang senang dengan air liur orang lain bahkan mungkin juga air liur kita sendiri. Andai sahabat yang sedang bercakap dengan kita tersembur air liur secara tidak sengaja kepada pun kita jijik, inikan pula yang sengaja mahu menyapu air liur ke muka kita.

Begitulah analogi yang boleh dikaitkan dengan Al-Quran. Kita dituntut bersahabat dengan Al-Quran. Apabila kita membaca Al-Quran, sebenarnya kita seolah sedang berinteraksi dengan Al-Quran kerana di dalamnya terdapat peringatan, berita gembira, ancaman dan pelbagai panduan hidup. Adakah kita dianggap beradab apabila ketika ralit berinteraksi bersama Al-Quran tiba-tiba kita menyapu sisa air liur ke wajah Al-Quran semata-mata untuk memudahkan kita. Bukankah itu dianggap biadab dan kurang ajar. Kalam Allah yang diturunkan dari Luh Mahfuz dicemari dengan perkara yang kita sendiri jijik.

Jadi, apa penyelesaiannya? Mudah ! Pertama jika mahu membaca Al-Quran letakkan secawan air biasa di tepi. Jika terasa sukar untuk membelek helaian Al-Quran, celup sahaja di dalam air tersebut dan selaklah. Itu jauh lebih baik berbanding air liur. Mungkin ada yang berhujah, ”Alah, lecehla nak sediakan air dulu sebelum baca Quran. Susah! Banyak keje plak,”. Ya, bagi kita umat akhir zaman yang qalbu kita telah dilitupi debu-debu materialistik, perkara sekecil itu pun akan dianggap payah dan membebankan.

Kita tidak pernah terfikir betapa susahnya Nabi Muhammad S.A.W ketika menerima wahyu dahulu daripada Jibril. Sehingga berpeluh-peluh dahi baginda. Menggigil-gigil badan baginda sehingga diselimutkan. Betapa beratnya amanah Al-Quran. Pernahkah sekali terdetik di sanubari kita jerit perih sahabat-sahabat baginda dan para tabi’ tabiin mengumpul dan menyalin Al-Quran, meletakkan tanda, baris dan sebagainya sehinggalah sampai kepada kita senaskah Al-Quran lengkap pada hari ini. Bandingkan sedikit usaha kita untuk memuliakan Al-Quran ini berbanding usaha sahabat dan ulama terdahulu. Ibarat langit dan bumi gamaknya bahkan mungkin lebih jauh dari itu.

Kedua, boleh sahaja membaca Al-Quran melalui telefon tangan, PDA ataupun komputer. Pasti tak perlu guna air liur lagi.. =)

Kesimpulannya, marilah kita bersama-sama bersahabat dengan Al-Quran dan memuliakan Al-Quran selayak dengan ketinggian maqam Kalamullah.

~ Sampaikan daripadaku walau sepotong ayat ~

Muat turun mp3 kuliah agama di Maktabaty
Related Posts with Thumbnails