Showing posts with label Memori Lalu. Show all posts
Showing posts with label Memori Lalu. Show all posts

Monday, July 20, 2009

Belalang Goreng Kunyit


Musim itu adalah musim menuai padi. Kanak-kanak dan orang-orang dewasa berkerumun di tepi bendang padi melihat jentera pengetam padi mengerjakan petak-petak sawah padi yang luas dan sedang menguning laksana permaidani alam yang cukup indah. Bunyi jentera tersebut begitu bising sekali. Suasananya ibarat sebuah pesta.

Kanak-kanak yang hadir masing-masing membawa plastik. Di dalam golongan kanak-kanak itu termasuklah aku. Kami berhimpun di sini untuk mengutip belalang-belalang yang terperangkap bersama-sama padi yang telah dituai oleh jentera pengetam. Sebaik sahaja jentera pengetam padi mencurahkan hasil padi yang telah dituai di tepi bendang, kami akan berebut-rebut mengutip belalang-belalang yang terlompat-lompat cuba melarikan diri. Orang-orang dewasa hanya tersenyum-senyum dan ketawa melihat telatah kami.

Setelah plastik yang dibawa terisi penuh dengan belalang-belalang padi, aku akan pulang ke rumah dan memberikannya kepada ibuku. Biasanya ibuku tidak mahu menyiang belalang tersebut dan menyuruh aku sendiri melakukannya. Mahu tidak mahu terpaksalah aku melakukannya sendiri walaupun berasa sangat malas. Cara menyiangnya mudah sahaja. Mula-mula buang kateh(kaki)nya. Kemudian, buang pula bahagian sayapnya. Tak perlu buang kepala dan perutnya kerana jika dibuang kedua-dua bahagian tersebut, tiada apa lagi yang boleh dimakan.hehe..

Selepas siap menyiang belalang tersebut, aku akan meminta ibu masakkan belalang-belalang tersebut. Selalunya, ibu akan meletakkan sedikit kunyit bersama-sama beberapa sudu kecil garam dan belalang-belalang tersebut digaul sehingga sebati. Kemudian, digoreng sehingga garing dan diletakkan bawang besar serta sedikit kicap apabila belalang-belalang tersebut hampir masak.

Akhirnya, siaplah masakan 'belalang goreng kunyit'. Baunya memang sangat menyelerakan. Jika dimakan bersama dengan nasi kosong yang masih panas-panas, memang terangkat! Sedap sehingga menjilat jari. Rasanya lebih enak berbanding ikan bilis goreng.

Selain pada musim menuai padi, belalang juga boleh diperolehi apabila musim bah tiba. Hujan yang berterusan selama 2,3 hari akan menyebabkan air sungai di belakang rumahku melimpah menjadikan petak-petak sawah ditenggelami air sehingga paras dada. Mujurlah air bah tersebut tidak pernah sampai ke tangga rumahku kerana kedudukannya yang agak tingi

Belalang-belalang yang kesejukan dan mengalami kesukaran untuk terbang kesan daripada sayapnya yang basah akan berteduh pada 'pulau-pulau' kecil dan semak-samun yang terapung-apung di permukaan air. Kami yang terkadang berperahu akan menyerang 'pulau-pulau' dan semak-samun ini dan bermaharaja lela mengutip belalang untuk dijadikan hidangan di meja makan nanti. Cuma perlu untuk berwaspada disebabkan di situ mungkin terdapat binatang buas seperti ular air,lipan dan kala jengking yang tumpang berteduh.

Selain mengutip belalang, kami juga turut memeriksa pukat yang telah dipasang jika ada haruan, terbul, keli, puyu atau anak sepat yang terlekat pada pukat. Haruan sangat enak jika dimasak gulai lemak kuning bersama daun kesum manakala keli boleh sahaja dimasak asam pedas. Terbul pula sangat sedap jika digoreng rangup sehingga tulang-tulangnya boleh dimamah sekali.

Itulah kenangan zaman anak-anak yang jarang-jarang terlintas di fikiran. Entah mengapa kenangan itu mengambil tempat di fikiranku kala ini. Mungkin kerana diriku yang merasakan keseorangan di tempat baru.

Sebenarnya aku baru sahaja berpindah ke Kuantan, Pahang setelah mendapat tawaran mengajar secara sambilan di sebuah IPT. Walaupun terasa sangat berat meninggalkan Bangi yang sangat disayangi, namun aku gagahkan diri untuk datang ke sini demi mencari sedikit pengalaman.

Jangka masa menunggu untuk viva sangatlah lama disebabkan kepelbagaian proses birokrasi. Jika hanya terus menunggu tanpa mengambil apa-apa tindakan, maka itu dikatakan membuang masa. Masa yang seharusnya diisi dengan aktiviti bermanfaat. Maka aku mengambil keputusan menerima dahulu tawaran ini walaupun gaji yang ditawarkan cukup-cukup makan sahaja. Sekurang-kurangnya ini menjadi nilai tambahan di dalam resume ku nanti.

Jika sahabat-sahabat sekalian melihat Samudera Tinta jarang dikemaskini, maka bersaksilah ketika itu aku sebenarnya bukan tidak menghiraukan Samudera Tinta, jauh sekali membenci, cuma mungkin sedang sibuk menyiapkan nota kuliah subjek Fizik untuk diajar kepada pelajar-pelajarku (best tak alasan?).huhu. Alamak, nota kuliah esok pun belum siap lagi (sigh)..

Salam Ikhlas Penuh Ukhuwwah buat semua sahabat Samudera Tinta..

(Gambar diambil dari sini)

Tuesday, May 26, 2009

Antara Chivas Regal Dan Perempuan Cantik


Kisah ini tidak mungkin akan ku lupakan. Sampai bila-bila pun. Ianya terjadi lebih kurang 3 tahun lalu ketika aku baru bertugas secara kontrak di salah sebuah badan berkanun milik kerajaan.

Tugas di sebuah unit yang memberi nasihat kepada kerajaan berkaitan sains dan teknologi menjadikan aku senantiasa sibuk dengan perjumpaan, mesyuarat, seminar, persidangan dan lain-lain. Hendak dijadikan cerita, untuk persidangan Nanoteknologi ASEAN kali ini, aku dan rakan setugasku Syamal(bukan nama sebenar) ditugaskan sebagai sekretariat untuk mengendalikan persidangan tersebut di Hotel Palace Of The Golden Horses.

Syamal yang bekerja di bawah satu unit denganku telah lama bekerja di situ. Hampir 4 tahun. Banyak selok-belok serta kemahiran yang perlu aku pelajari darinya. Public relationship dan bahasa inggerisnya juga sangat bagus. Mungkin disebabkan dari kecil dia tinggal di luar negara kerana mengikut bapanya yang bertugas sebagai diplomat. Umurnya 30 tahun dan masih bujang. Graduan keluaran Universiti Malaya.

Aku dan Syamal tiba di Palace Of The Golden Horses kira-kira 9.30 malam dengan menaiki Toyota Innova milik pejabat. Jarak tempat kerjaku dari hotel tersebut tidaklah jauh. Kira-kira 30 minit perjalanan sahaja. Setelah memunggah peralatan-peralatan ke bilik sekretariat, kami pun naik ke bilik penginapan yang telah ditempah untuk merehatkan badan seketika.

Bilik tersebut selesa untuk 2 orang penghuni. Lengkap dengan segala kemudahan dan keperluan. Aku mengambil kesempatan untuk mandi dan bersolat Isya manakala Syamal masih lagi terbaring di atas katil. Semasa sedang bersolat, aku terdengar seperti sesuatu benda dikeluarkan daripada bungkusan plastik. Aku mengagak Syamal mengeluarkan makanan yang dibawanya. Oh, kenyanglah aku nanti, bisikku dalam hati kegirangan tanpa menyedari aku sebenarnya tengah bersolat.

Selesai solat, aku terlihat satu kotak berbentuk empat segi yang agak cantik dan agak asing bagiku terletak di sebelah peti televisyen.

Syam, kau bawa makanan apa. Lapar lah,” aku bertanya.

Mana ada bawa makanan. Nak makan pesanlah kat bawah,” Syamal menjawab.

Yang kau buka plastik tadi,” aku menyoal lagi.

Oh, itu minuman. Tengok kat sebelah tv tu. Dalam kotak,” jawab Syamal lagi acuh tak acuh.

Aku mendekati kotak yang tertulis Chivas Regal itu. Ada tanda harga yang tertulis RM180. Apa istimewanya air ini sehingga mahal begini, getus hatiku. Hatiku mula berasa tidak sedap. Aku membuka kotak dan apabila melihat isinya......

Ya, Allah! Mengucap panjang aku di dalam hati melihat botol yang terkandung di dalam kotak itu. Sah, ini arak! Aku terus meletakkan kotak itu cepat-cepat. Hatiku berdegup pantas dan berdebar-debar. Inilah kali pertama aku melihat malah memegang kotak berisi arak secara langsung. Aqalku ligat memikirkan bagaimana harus aku beritahu dalam erti kata lain menasihati rakan sekerjaku ini.

Akhirnya aku memilih menggunakan pendekatan humor.

Syam, air apa kau bawa ni. Dahla mahal, macam tak sedap pula. Kalau minum air ni mesti pening kepala pusing dunia. Tak ingat apa-apa dah,” aku tersenyum cuba berseloroh dengan harapan dia dapat menerima. Biasalah, senioriti mempunyai ego yang tidak terkalah.

Ala, bising la kau ni. Ni yang aku malas nak duduk sebilik dengan kau. Cakap banyak,” respon Syamal separuh menjerit. Rona mukanya merah tiba-tiba. Satu respon yang langsung tidak aku jangkakan.

Aku ingat dapat bilik sorang satu. Tak sangka pula kena kongsi dengan kau. Aku nak buat parti malam ni dalam bilik ini. Aku dah ajak kawan-kawan aku datang,” Syamal menambah. Tegas suaranya dan masih sedikit keras.

Keadaan hening seketika dan sedikit tegang. Aku hanya mampu mendiamkan diri.

Okaylah, aku sambung kerja kat bilik sekretariat,” kataku seraya bangun meninggalkan katil. Mungkin itu cara terbaik meredakan ketegangan yang timbul.

Kimone,” Syamal memanggilku. Aku berpaling kepadanya.

Malam ni aku ada ajak juga awek cun 2,3 orang datang. Kalau kau nak rasa f***ng awek datanglah pukul 1 nanti,”

Aku hanya memandang kosong dan berlalu pergi. Aku tidak pasti samada Syamal benar-benar memaksudkan pelawaannya tadi ataupun sekadar cuba menyakitkan hatiku. Jauh di sudut hatiku, aku berdoa janganlah perbuatan terkutuk itu berlaku.

Di bilik sekretariat bermacam-macam perkara berlegar di fikiranku. Patutlah duit gaji Syamal tidak pernah cukup walaupun dia masih tinggal bersama ibu-bapanya. Mentekedarah arak rupanya. Bukannya murah benda haram itu. Sepanjang bertugas dengan Syamal aku perhatikan dia juga tidak pernah bersolat. Pernah sekali ketika balik dari tugasan kami singgah di masjid untuk bersolat, dia hanya duduk di atas bangku di luar masjid sambil menghisap rokok berkepul-kepul. Pening aku dibuatnya.

Lebih kurang pukul 3.00 pagi aku telah hampir membereskan kerja-kerja untuk persidangan esok dan mataku sudah tidak dapat ditahan lagi. Mulanya aku bercadang ingin tidur di bilik sekretariat itu namun memandangkan keadaannya sangat tidak mengizinkan dengan timbunan barang-barang, aku terpaksa juga naik ke bilik penginapan.

Sepanjang perjalanan menuju ke bilik, aku tidak putus-putus berdoa agar tiada lah awek-awek cun seperti yang diberitahu oleh Syamal. Aku tidak sangup melihat adegan itu secara langsung. Sesampai di hadapan pintu, hatiku kembali berdebar-debar. Sebaik pintu bilik dikuak, bau arak yang agak kuat mula menusuk. Aku melihat ada 3 orang lelaki lain sedang tidur di atas lantai. Syamal pula di atas katilnya. Botol Chivas Regal dan beberapa botol Coke bergelimpangan di atas lantai. Awek cun? Alhamdulillah, syukur tiada awek-awek cun di dalam bilik.

Aku terus menuju ke katilku dan menutup muka dengan selimut sambil berdoa semoga itulah kali pertama dan kali terakhir aku mencium bau arak yang cukup menyenakkan hidung itu. Cukuplah sekali!

Peristiwa ini memberikan pengajaran kepadaku bahawa inilah realiti kebanyakan golongan muda Melayu Islam di bandar-bandar besar pada hari ini. Jika di kampus dahulu, berada di dalam kelompok persatuan mahasiswa islam yang rata-rata daripada golongan orang yang baik-baik, maka aku beranggapan semua orang adalah baik. Perbuatan paling jahat pun mungkin budak-budak Tindakan Siswa Bersatu UKM ataupun Aspirasi UKM yang selalu membonceng antara lelaki dan perempuan tanpa berkahwin serta menganjurkan konsert-konsert hiburan lagha.

Rupa-rupanya alam sebenar di luar kampus menyediakan realiti hidup yang lebih dahsyat dan menakutkan. Jika begini realiti kehidupan anak muda, bagaimana nasib agama, bangsa dan negaraku 50 tahun akan datang? Mungkinkan akan pupus seumpama pupusnya dinasour suatu ketika dahulu.

" Dan Allah-lah yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya); dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertakwa dan berderma) nescaya Dia akan MENGGANTI (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu ini [Surah Muhammad, 38] "

Apakah kata-kata Tuah "Takkan Melayu Hilang Di Dunia" hanya akan tinggal sejarah?

Hanya bekalan iman dan taqwa serta istiqamah di dalam jemaah yang mampu menyelamatkan kita daripada terjebak dengan kegilaan dunia.

"Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas jalan agama dan ketaatan kepada-Mu"

Friday, May 22, 2009

Selamat Ulang Tahun Sayang


Jutaan terima kasih buat semua sahabat Samudera Tinta

Hari ini genaplah setahun umur blog Samudera Tinta. Sedar tak sedar, pejam celik pejam celik rupanya sudah 12 bulan Samudera Tinta wujud di alam maya ini. Sejarah kewujudan Samudera Tinta bermula apabila aku terbaca di dalam Majalan PC tahun 2008 (Maaf, lupa bulan berapa) bahawa blog merupakan fenomena baru Gen-Y dan mana-mana ahli Gen-Y yang tidak memiliki blog bolehlah dianggap ketinggalan zaman. Oh, aku sudah ketinggalan zaman?

Sebelum ini aku ada memasang niat untuk membuat blog namun niat suci tersebut sering sahaja terhalang. Namun dengan membaca pernyataan ”ketinggalan zaman” itu ditambah dengan ketensionan kerja-kerja makmal menjadikan semangatku untuk berblog meruap-ruap.

Tanpa berlengah aku terus menyediakan satu blog baru. Entah dari mana ilham tiba-tiba muncul nama Samudera Tinta. Kata Abang Is, nama Samudera Tinta itu ala-ala jiwang. Sesuai untuk orang perempuan. Namun bagiku itu hanya persepsi beliau. Persepsi bukanlah cerminan realiti.

Tanggal 22 Mei 2008, 3.18 pm aku memulakan entri pertamaku bertajuk ”Selamat Datang Ke Dunia Blog!”. Aku tampalkan di sini;

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera,

Saya adalah Kimone Al-Kindi. Sedang cuba-cuba untuk melibatkan diri dalam dunia bloggers. Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada diri saya sendiri kerana telah berjaya melibatkan diri dalam salah satu media yang cukup efektif dasawarsa ini. Tak Caye? Cube tanya Menteri Penerangan yang baru, Shabery Chik.. =)

Semoga terus istiqamah dalam berblog.

Go, go Kimone!!


Betapa semangatnya pertama kali mempunyai blog sehinggakan aku membuat posting kedua selang lebih kurang 75 minit kemudian bertajuk ”Mengapa Berblog?”;

Rupa-rupanya bidang blog ini juga menuntut kesabaran! Masakan tidak, baru tadi aku selesai menaip lebih kurang 3 perenggan entry baru, namun akibat tersilap teknik semasa save, entry tersebut terus hilang, lantas membazirkan masaku selama 15 minit yang aku gunakan untuk menaip entry tersebut. Ish, sabar je lah! Kang tak pasal-pasal ada yang berhenti terus berblog.. =)

Berbalik kepada soalan tadi mengapa berblog? Ini adalah soalan biasa ditanya kepada mereka yang berhasrat untuk berblog ataupun yang baru memasuki dunia blog. Jika ditanya kepadaku secara peribadi, bagiku blog merupakan satu medium untuk meluahkan apa yang tersimpan di minda dan hati.

Lagipun bagi diriku, "sang tikus makmal" yang duniaku hanyalah dinding konkrit empat segi dan menghambakan seluruh hariku di dalam makmal yang kadangkala menggembirakan (apabila eksperimen yang dibuat menjadi) dan kadangkala menyedihkan (banyak faktor, mungkin aku boleh kongsikan kemudian), dengan berblog aku boleh melepaskan segala tekanan dan faktor-faktor lain yang menghimpit dadaku. Kerna melalui penulisan kita mampu menyalurkan dan mempamerkan perasaan kita.

Jadi, aku harap ini akan menjadi titik permulaan yang baik kepada ku. Semoga terus menjadi motivasi kepadaku untuk terus menghabiskan saki-baki perjuangan di bumi Bangi yang indah ini.. =)

Don't give up! Go Kimone!


Semenjak itu bermulalah kehidupanku sebagai seorang pemblog separuh masa. Semangat yang membara itu kemudian semakin hari semakin malap dan akhirnya terpadam seketika dek pukulan kesibukan harian. Sehinggalah isu Perak kembali membangkitkan kesedaranku untuk menulis kembali. Jika dilihat entri untuk keseluruhan tahun 2008 adalah kurang berbanding bulan April 2009.

Menurut Ustaz Zaharuddin, medium blog menyediakan ruang dakwah dan pahala yang tiada henti. Entri yang terpapar di dalam blog jika dihayati oleh pembaca lantas menimbulkan kesedaran kepada pembaca, maka penulis blog akan mendapat pahala. Jika pembaca tersebut menyalin entri tersebut dan meletakkan di dalam blognya lantas orang lain mengambil manfaat daripada tulisan itu, kita masih akan terus mendapat pahala tanpa mengurangi sedikit pun pahala orang yang menyebarkan tulisan itu. Begitulah unik dan hebatnya rantaian pahala itu hatta ketika kita sedang tidur pun akaun pahala akan tetap berjalan selagi mana ada daripada bani Adam yang mendapat manfaat daripada penulisan itu.

Dari Abu Hurairah r.a katanya, sabda Rasulullah s.a.w : Barangsiapa yang mengajak kepada petunjuk, maka baginya dari pahala sama seperti pahala orang yang mengikutinya tanpa mengurangkan sedikit pun dari pahala orang yang mengikutinya. Barangsiapa yang mengajak kepada kejahatan maka keatasnya dosa sama seperti orang yang mengikutinya tanpa mengurangkan sedikit pun dosa orang yang mengikutinya.

Di kesempatan ini inginku mengucapkan jutaan terima kasih kepada sahabat-sahabatyang sentiasa memberikan sokongan kepada Samudera Tinta samada melalui ruangan komen, shoutbox, pencambah minda dan lain-lain. Daku sangat menghargai segala kebaikan yang kalian lakukan dan kalian benar-benar menjadikan hidupku lebih ceria, gembira dan berwarna-warni ibarat sang pelangi. Terima kasih sahabat-sahabatku!

Selamat Ulang Tahun Pertama buat Samudera Tinta dan buat semua sahabat Samudera Tinta, sekali lagi jutaan terima kasih.

Thursday, April 2, 2009

Operasi Couple @ Ops Couple !


Ah, sudah 11.25 malam rupanya,” bisik hatiku setelah menjeling melihat jam yang tergantung di dinding bilik. Keasyikan menyelesaikan tutoran Kimia Organik menyebabkan aku hampir terlupa akan tanggungjawabku.

Aku menutup nota dan buku rujukan Kimia Organik seraya berpaling kepada Kay yang juga sedang menyiapkan tutorannya, “Kay, jom turun. Dah boleh mula operasi ni”.

Baiklah. Aku pergi ajak diaorang. Ko turun dulu. Tunggu kat tempat biasa,” ujar Kay tanpa berlengah sambil membetulkan bajunya yang sedikit berkedut. Kay memang agak cermat orangnya.

Okay, aku tunggu kat bawah ya. Jangan lambat sangat,”. Aku terus mengatur langkah menuju ke tingkat bawah bangunan kolej yang mempunyai 4 tingkat itu. Aku agak bernasib baik kerana menginap di bilik yang terletak di tingkat dua.

Tidak sampai dua minit aku sudah tercongok di tingkat bawah. Suasana pada malam itu agak tenang. Angin bertiup lembut dan bulan seakan-akan malu untuk berkongsi sinarnya bersama penghuni Kolej Kediaman 11 Universiti Malaya yang menempatkan pelajar-pelajar matrikulasi Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM) dan pelajar Rancangan Pelajar Ke Jepun (RPKJ). Sang awan bergerak perlahan-lahan sambil sesekali menutupi sang rembulan yang keseorangan kesunyian.

Itulah rembulan yang dikongsi oleh semua umat manusia. Tidak kira di mana umat manusia tinggal di atas muka bumi. Lantaran, mengapa kita harus bertelagah sesama umat sedangkan kita berkongsi rembulan yang sama daripada anugerah Ilahi. Hatiku bermonolog cuba berfalsafah. Harapnya bukan falsampah.

Kimone, jauh termenung. Ingat sapa tu? Sudahlah, dah lewat ni,” Lamunanku dikejutkan oleh sapaan Qme yang turut bersama-samanya Kay, Jijoi, Poje, Syuk, Peng dan Riri. Entah bila mereka sampai. Aku pun tidak menyedarinya. Aku hanya tersenyum sambil mengangkat kening berkali-kali. Masak benar dengan perangai Qme yang kuat mengusik.

Dengan ucapan Basmallah dan sedikit doa, kami memulakan Ops Couple. Nun di bawah tempat letak kenderaan, di suatu sudut terlihat sepasang pasangan lelaki dan perempuan sedang bercengkerama. Sang lelaki memegang tangan perempuan sambil mengelus-ngelus lembut. Mereka berbual mesra dan tertawa bahagia. Kelihatan sungguh romantis.

Kedua-duanya duduk tersangat rapat. Seumpama kembar siam yang sukar dipisahkan jika bisa dibuat perumpamaan. Apa yang pasti kedua-duanya belum berkahwin kerana aku kenal keduanya. Satu dewan kuliah denganku daripada aliran Sains Hayat. Tanpa berlengah kami menuju ke arah mereka.

SAHABAT ASASIAN 02-03 semasa program Pra-TAMPAN di Sungai Congkak. Yang paling tinggi di tengah-tengah tersebut adalah naqib usrah kami, Akhi Yus.

Assalamualaikum warahmatullah,” kami memberikan salam.

Ucapan salam kami tidak bersambut. Mungkin mereka sengaja buat pekak. Mereka terus dengan perbualan mereka.

Assalamualaikum warahmatullah, ” sekali lagi kami memberikan salam.

Waalaikumussalam. Ya, ada apa? ” barulah mereka menyahut perlahan dengan muka yang kurang senang.

Waktu dah lewat malam ni. Tidak elok untuk seorang gadis dan anak teruna duduk berdua-duaan begini. Eloknya naik ke bilik masing-masing sekarang, “ Kay memberikan nasihat dan saranan.

Rilekslah. Nanti kami naiklah. Belum habis bincang ni, ” jawab sang lelaki. Ego dan hagah lagaknya.

Seeloknya sekarang. Tak baik duduk di luar malam-malam ni. Nanti masuk angin, ” Aku menambah. Menggunakan pendekatan sinis dan humor. Kami terus memandang mereka. Tajam.

Okaylah, okaylah. Korang ni tak boleh tengok orang senanglah. Okaylah ayang, jumpa esok kat kuliah. Banyak pengacaulah kat sini, ” jawab sang lelaki sambil bangun dan memberikan salam perpisahan sementara buat kekasihnya. Kedua-duanya menunjukkan reaksi muka tidak puas hati dan bengang. Muncung dan mencebik. Kami mengiringi perpisahan mereka dengan senyuman manis. Selesai satu tugas.

Kami bergerak lagi ke padang permainan bola tampar. Ada sepasang lagi pasangan di situ. Entah apa yang mereka bualkan di tempat yang samar-samar cahayanya itu. Nak dikatakan perbincangan berkaitan pelajaran agak tidak logik kerana gelanggang tersebut hanya diterangi oleh cahaya lampu neon yang kekuningan. Langsung tidak kondusif sebagai tempat belajar. Mungkin pasangan tersebut menyedari kehadiran kami, beberapa meter sebelum sampai ke tempat mereka, mereka telah pun bangun dan mula bergerak meninggalkan gelanggang bola tampar tersebut. Alhamdulillah syukur. Allah memudahkan tugas kami walaupun wajah mereka ketika itu lebih masam daripada cuka nipah!

Jam sudah menghampiri 11.55 malam. Berhampiran blok penginapan perempuan terdapat beberapa orang perempuan berbaju kurung, berjubah dan bertudung labuh sopan sedang menjalankan tugasan seperti yang sedang kami lakukan. Mereka adalah Syafa (Allayarhamah), Mariah, Farahiah, Madihah dan beberapa orang lagi. Mereka dan kami adalah antara tenaga penggerak Ops Couple, salah satu program di bawah Jawatankuasa Biah Solehah yang bernaung di bawah Biro Kerohanian dan Dakwah bagi Kolej Kediaman Kesebelas.

Kerja dakwah amar makrur nahi mungkar perlu dilakukan secara berjemaah agar kesannya lebih efektif. Bahasa lainnya dilakukan secara berorganisasi. Jika dilakukan secara individu, impaknya mungkin agak minimum dan tidak besar lebih-lebih lagi tugasan seperti Ops Couple ini. Allayarham Ustaz Nik Man yang mengajar subjek Balaghah semasa aku di tingkatan 4 Sains Mekah di Maahad dulu selalu berpesan ”Yadullah Fauqal Jamaah”. Terjemahan secara harfiah membawa maksud ”Tangan Allah di atas para jemaah” . Maksud ‘Tangan Allah’ adalah pertolongan Allah sentiasa bersama mereka yang berada di dalam organisasi/jemaah/gerakan Islam. Analogi mudah, lidi seberkas adalah lebih sukar untuk dipatahkan berbanding sebatang lidi.

Surah Al-A'raf, ayat 164 dan terjemahannya.

Nun di dalam kafe yang menjadi tempat bersantap penghuni kolej masih terdapat sekumpulan penghuni kolej yang sedang belajar secara berkumpulan. Berlainan jantina. 3 lelaki dan 3 perempuan. Kami menghampiri kumpulan tersebut. Mereka buat-buat tidak nampak.

Assalamualaikum warahmatullah. Minta maaf kawan-kawan. Dah lewat ni. Mungkin boleh sambung esok study group, ” Syuk memulakan bicara.

Mereka membisu seribu bahasa. Tidak melayan. Konon-kononnya khusyuk dan tekun belajar. Taktik itu tidak berkesan terhadap kami. Sudah basi.

Kawan-kawan, peraturan kolej tidak membenarkan pelajar-pelajar berada di luar kawasan kediaman selepas pukul 12 malam. Nanti pak guard datang kena marah pula, ” Kay cuba berdiplomasi. Itulah cara yang terbaik kerana kami hanya boleh menasihati. Tiada kuasa memaksa atau menangkap.

Setelah hampir 5 minit membisu barulah masing-masing mengemaskan buku dan peralatan, bangun lalu meninggalkan kafe tersebut. Ekpresi muka tidak perlu diceritakan lagi. Sama sahaja dengan pasangan-pasangan yang telah kami nasihati sebelum ini.

Okay, sudah beres. Semua belangkas dan makhluk-makhluk lain sudah naik. Boleh balik skang, ” kataku. Kami beriringin berjalan sebelum masing-masing pulang ke bilik masing-masing.

Operasi ini dilakukan 2,3 kali seminggu. Sekurang-kurangnya ia mengingatkan para pelajar dan para belangkas bahawa mereka tidak berwenang di kolej ini dalam pergaulan kerana sentiasa ada mata yang memerhatikan samada Khaliq mahupun makhluk.

Kembali ke bilik, di antara kami ada yang kembali menyambung membuat tutoran dan ada yang menyambung pembacaan. Kerana kami sedar selain tugasan dakwah, kami juga adalah pelajar sepertimana pelajar-pelajar lain di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya. Kami juga harapan para ibu-bapa di kampung yang tidak pernah putus mendoakan kejayaan.

Lusa atau tulat kami akan melakukan lagi operasi yang sama.

Monday, March 2, 2009

BERSIH Semalam; Di Situ Wujud Akidah & Tawakal





Himpunan Aman 100,000 Rakyat Membantah PPSMI tinggal beberapa hari lagi. Lebih kurang seminggu menuju ke 7 Mac. Apabila disebut himpunan aman, fikiranku tidak dapat lari daripada mengingati BERSIH, himpunan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil tanggal 10 Nov 2007 yang lalu. BERSIH yang meninggalkan kenangan terindah yang tidak mungkin aku lupakan selagi hayat dikandung badan.

Dalam almari bajuku masih tersimpan kemas t-shirt kuning itu walaupun sudah sedikit kusam. Kuning BERSIH. Kuning sebagai lambang luahan cinta para pencari kebenaran dan keadilan yang tiada bertepi.

Banyak yang aku pelajari daripada BERSIH. Bermula daripada ukhuwah, kasih-sayang, cinta, sehinggalah kepada pengajaran akidah dan kebergantungan makhluk kepada Khaliq Yang Maha Agung. Sungguh.

BERSIH telah mentakdirkan aku untuk bersama-sama kumpulan di Masjid Jamek. Diketuai Oleh Dr Hatta Yusuf.Ya, kumpulan yang paling teruk dikepung dan terpaksa bertempur dengan unit simpanan persekutuan (FRU). Ingat wartawan Al-Jazeera yang disembur oleh air kimia semasa membuat liputan? Di situlah aku dan para pencinta lain turut sama menyedut akan nyamannya tembakan gas kimia. Perasaannya sukar digambarkan. Hanya yang sudah merasainya akan tahu betapa nikmatnya semburan air dan gas kimia itu.

Seperti yang aku nyatakan, BERSIH memperlihatkan aku apa itu erti cinta sebenar. Saling melindungi di antara satu sama lain semacam kami adalah satu keluarga yang besar. Memang cukup besar. Di saat FRU sibuk menyiram kami dengan pancutan air kimia dan menembak gas kimia, dalam keperitan menahan kesan air dan gas kimia yang menjalar ke seluruh tubuh, kami saling berkongsi garam yang dibawa; penawar keperitan air kimia yang disembur.

Garam diletakkan di bawah lidah akan melegakan sedikit kesan air dan gas kimia itu. Kami yang saling tidak mengenali tidak segan silu untuk berkongsi garam dan air mineral antara satu sama lain seolah telah lama kenal. Semacam sahabat tersangat karib. Melihat sahabat lain tidak berdaya, datang seseorang menawarkan minuman dan pertolongan. Ternyata, BERSIH berjaya menanggalkankan pakaian materialistik umat dan digantikan dengan baju persaudaraan. Pakaian ukhuwah.

Terdapat satu babak yang cukup mengesankan hatiku. Sehingga sekarang pun. Bilamana kami sedang cuba mara ke Dataran Merdeka. Namun, di simpang menghala ke dataran telah dihalang. Di hadapan kami berhimpun gerombolan FRU bersama trak water canonnya. Muncung water canon betul-betul menghala ke arah kami. Dr Hatta yang memimpin kumpulan kembali memberikan kata-kata semangat.

Laungan “Daulat Tuanku“, “Lailahaillallah“, “Allahuakbar“ semakin memanaskan situasi. Aku terdengar Dr Hatta mengarahkan pembantunya menelefon kumpulan yang telah sampai di Istana Negara. “Walau apa yang terjadi, minta diaorang tunggu kita. Jangan serahkan lagi memorandum sebelum kita sampai...“

Sekonyong-konyong trak water canon bergerak mara ke hadapan dan terus menembak ’pelurunya’ ke arah kami. Kelam kabut kami berlari melindungkan diri. Aku berlari ke arah tepi dan masuk ke ruangan hadapan sebuah bangunan yang berbumbung. Lebih kurang 25-30 orang sahabat-sahabat lain berlindung di sini.

Belum puas kami menarik nafas di situ, datang sekumpulan polis dari arah kiri dan kanan bangunan. Kami tidak dapat lari. Kami telah terkepung! Ketika ni aku sudah mula terbayangkan Black Maria, balai polis, lokap dan ibu serta ayahku. Polis dengan lantang mengarahkan semua duduk. Sebaik sahaja duduk, sahabat-sahabat di situ terus melaungkan kalimah keramat “Lailahaillallah“ beramai-ramai dengan begitu kuat. Penuh bersemangat dan dan begitu menggegarkan. Subhanallah, terpana aku seketika. Begitu kental iman serta rasa kebergantungan mereka terhadap ALLAH walaupun dalam situasi cemas seperti itu.

Lantas, aku berasa bersalah. Amat bersalah dengan Allah. Teramat malu dengan diri sendiri. Masakan tidak, di saat genting begitu, aku lebih teringatkan makhluk berbanding Khaliq. Membesarkan ciptaan melebihi Pencipta. Memang aku tidak kenal akan sahabat-sahabat di situ. Namun, aku bersyukur ke hadrat Allah kerana menemukan aku dengan mereka.

Mereka yang tersangat hebat. Mereka memberikan pengajaran yang berguna kepadaku; dalam apa jua situasi hanya Allah Yang Maha Esa semata-mata tempat mengadu dan bergantung harap. Maha Esanya Allah membawa maksud tiada sekutu bagi-Nya. Tiada bandingan Allah Taala itu walau dengan apa jua sekalipun. Mengenangkan kembali akan detik-detik ini, mudah sahaja mengundang rasa sebak bertamu. Mengingatkanku akan betapa agungnya nikmat Allah Taala. Ya, Allah ampunilah dosa-dosa ku itu. Jangan sesekali engkau campakkan aku ke dalam jurang kesyirikan. Aku bertaubat hanya kepada-Mu.

Itulah secebis pengalaman yang sangat berbekas di dalam hatiku. Jika ingin diceritakan semuanya, tersangat panjang. Aku ada buat sedikit catatan. Kurang lebih 7 mukasurat semuanya. Aku namakannya Hikayat Cinta Luar Biasa. Hikayat orang biasa yang mempunyai cinta luar biasa. Cinta kebenaran. Cinta keadilan dan bencikan kezaliman. Cinta yang disandarkan hanya kepada Pemilik Segala Cinta.

Ya Allah, aku sedar. Teramat sedar bahawa aku tidak layak sedikit pun untuk menagih cinta-Mu. Namun, apalah sudi kiranya Engkau memberikanku sedikit daripada keampunan-Mu walau sekadar sisa-sisanya. Semoga apa yang aku lakukan semata-mata hanya kerana-Mu.

BERSIH itu indah. Namun, Yang Maha Indah itu adalah zat-Nya Yang Maha Agung. Yang membenarkan BERSIH yang indah lagi bersejarah itu berlaku.
Related Posts with Thumbnails