Showing posts with label Program. Show all posts
Showing posts with label Program. Show all posts

Sunday, August 2, 2009

Himpunan Mansuhkan ISA



Maklumat lanjut sila klik di Himpunan Mansuhkan ISA


DIJEMPUT HADIR BERAMAI-RAMAI!!!!!!!!!

Thursday, June 18, 2009

Program Ceramah Terdekat di Bangi


Dengarkan penjelasan isu-isu semasa terkini daripada pemidato-pemidato terhebat.

Dijemput hadir beramai-ramai!!!

Thursday, June 11, 2009

Blog dan Pengemaskiniannya


Uhuk, uhuk, uhuk!

Terbatuk-batuk aku ketika mula-mula sign in Samudera Tinta tadi. Maklumlah blog ini telah dipenuhi oleh habuk-habuk dan sesawang elektronik yang tidak nampak di mata tetapi tetap wujud secara semulajadi. Terjadi akibat lamanya Samudera Tinta tidak dikemaskini.hehe.

Sebenarnya, kegagalan untuk mengemaskini blog ini salah satunya berpunca daripada gambar di atas. Aku telah menyertai satu seminar anjuran bersama universiti di Malaysia dengan salah sebuah universitas di Indonesia, Institut Teknologi Bandung (ITB).

Walaupun penyertaan itu dalam bentuk poster (seperti yang tertera pada gambar di atas), namun prosesnya juga sangat rumit. Bermula daripada penyediaan kertas kerja yang perlu mengikut format dan standard (baca; menyusahkan orang) tersendiri, merujuk buku dan jurnal, menyediakan susun atur templat poster yang bersesuaian, menempah poster sehinggalah pendaftaran pada hari program. Semua menuntut komitmen yang padu, jitu dan tidak berbelah bahagi daripada seorang jejaka Melayu tulen sepertiku.

Seminar selama 3 hari tersebut berakhir pada hari ini. Rata-rata peserta yang hadir samada dari Malaysia ataupun Indonesia terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang kimia; Organik, Inorganik, Analisis, Fizikal, Biokimia dan lain-lain. Ternyata isu Manohara tidak meresap masuk ke dalam bidang akademik. Masing-masing boleh bersahabat dan berinteraksi dengan baik tanpa apa-apa masalah. Baguslah begitu.

Keduanya, aku juga perlu memberikan komitmen terhadap tesis yang memasuki fasa 'pecunasi' (pecutan + hibernasi). Sukar untuk menerangkan dengan lebih lanjut apa itu pecunasi kerana melibatkan istilah-istilah yang kompleks. Namun aku bersyukur masih mampu bernafas dengan baik semasa melalui fasa ini tanpa memerlukan bantuan tabung oksigen, alhamdulillah.huhu. Semoga ianya akan terus berkekalan begini.

Di penghujung bulan ini, jika tiada aral, insyallah aku akan mengikuti satu lagi kolokium yang merupakan syarat wajib tempat pengajian. Jika tidak dibuat, maka batallah pengajian. Betul ke? Apa pun diharapkan kolokium ini tidak menghalang aku untuk terus mencoretkan sesuatu di Samudera Tinta yang sentiasa dirindui ini (walaupun sekadar salin dan tampal.uh,uh.).

Akhirnya, salam rindu buat semua..

Monday, May 18, 2009

Laporan Wacana Wadi Ilmu Bangi; One Malaysia, Memartarabatkan Negara?


Pada 17 Mei 2009 (Ahad) yang lalu telah diadakan satu program wacana berbentuk santai yang diadakan di Taman Tasik Cempaka Bandar Baru Bangi, Selangor. Program yang merupakan anjuran bersama Jaringan Siswazah Malaysia (JASA), Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, MPP Zon 23 MPKJ dan NGO-NGO & Surau-Surau Bandar Baru Bangi ini membariskan panelis-panelis yang tidak asing lagi iaitu YB Khalid Samad (MP Shah Alam), YB Sivarasa Rasiah (MP Subang), Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah (Universiti Malaya) dan Fadhlur Rahimi Ahmad Bustami daripada Jaringan Siswazah Malaysia (JASA) sebagai moderator.

Walaupun wacana ini dimulakan sedikit lewat kerana berlaku beberapa masalah teknikal, namun ia tidak merencatkan perjalanan majlis. Pada jam 9.00 pagi setelah saudara Fadhli (JASA) memberikan kata-kata aluan, Dr Tajul Ariffin Noordin selaku Ahli Majlis MPP Zon 23 MPKJ merangkap Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi tampil memberikan ucapan dan seterusnya diikuti ucapan perasmian oleh ADUN Bangi, YB Dr Shafie Abu Bakar.


Wacana ini dimulakan pada 9.30 pagi dengan pusingan pertama dimulakan oleh Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah, diikuti YB Sivarasa Rasiah dan YB Khalid Samad. Berikut adalah beberapa perkara penting perbincangan yang sempat dicatitkan;


Pusingan Pertama

Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah

1. European Union (EU) – projek negara bangsa Eropah yang bergabung di bawah satu pakatan dan ia bukan sekadar satu slogan semata-mata.
2. Hampir 70% pendapatan rakyat Malaysia adalah di bawah RM4000.
3. Di Malaysia yang wujud bukan lagi perbezaan kaum tapi perbezaan agihan kek pendapatan/ekonomi.
4. One Malaysia sepatutnya paling tidak dapat menyelesaikan sedikit masalah kaum pekerja yang > 70% di Malaysia.
5. Mengikut kajian beliau, pilihan raya Bukit Selambau adalah manifestasi kebangkitan kaum pekerja yang menunjukkan protes terhadap kerajaan.
7. One Malaysia adalah terbuka kepada dialog dan kritikan kerana ianya tiada hitam putih. Ini berbeza dengan Wawasan 2020 dan Islam Hadhari yang lengkap dengan perincian dan program.


YB Sivarasa Rasiah

1. Kita boleh mencipta pelbagai slogan. Kita pun ada slogan; Pakatan Rakyat, Politik Baru dan lain-lain namun akhirnya rakyat yang akan menilai dan menghakimi.
2. Perbincangan One Malaysia harus melampaui batasan bangsa.
3. One Malaysia seolah diperlihatkan bahawa rakyat Malaysia adalah seumpama satu keluarga namun ironinya di dalam kursus-kursus BTN isu perkauman dan rasisme masih dijadikan agenda utama.
4. Presiden MCA bangkitkan isu biasiswa di mana pelajar-pelajar lepasan SPM yang mendapat keputusan cemerlang dari golongan miskin gagal mendapatkan biasiswa.
5. Beliau juga bersetuju bahawa isu sekarang di Malaysia bukan lagi perkauman tetapi adalah pengagihan ekonomi yang tidak seimbang.


YB Khalid Samad

1. Geniuses have something to say but someone has to say something
2. UMNO Barisan Nasional (UBN) masih lagi memainkan isu perkauman menatijahkan sokongan kepada mereka semakin merosot.
3.Bagaimana UBN mahu menyatukan seluruh Malaysia sedangkan di Perak merekalah yang menjadi dalang pemecah-belah masyarakat.
4. Untuk memartabatkan negara, hak rakyat perlu terlebih dahulu dimartabatkan dan dihormati.
5. Pemartabatan negara bukan sekadar melalui cogankata namun dilihat dari segi pengisian.
6. UBN menekankan tentang Pencapaian Diutamakan namun mereka menggelapkan pencapaian dan kejayaan Pakatan Rakyat di Selangor.
7. Minda rakyat masih lagi dipasak dengan feudalisme i.e tidak boleh mengkritik pemimpin, jangan derhaka raja dan banyak lagi.
8. Penyatuan rakyat hanya akan berlaku apabila rakyat dibebaskan daripada halangan-halangan pemikiran dan feudalisme. Pembebasan daripada feudalisme menyebabkan masyarakat barat menjadi maju seperti hari ini.
9. Beliau juga menekankan bahawa di dalam Islam soal keadilan adalah sangat penting dan beliau juga bersetuju salah satu konsep keadilan yang signifikan adalah keadilan ekonomi selain keadilan sosial, politik dan sebagainya.

Sesi Soal Jawab

Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah

1. Kek ekonomi – Jika manusia diberi satu diberi satu bukit emas maka nak satu bukit lagi. Ketamakan manusia tiada batasan
2. Apabila diumumkan 1 Malaysia sekarang seolah kita mengisytiharkan bahawa selama 50 tahun dahulu kita gagal bersatu dan berpecah-belah.
3. Ketirisan dan salah tadbir ekonomi yang cukup teruk berlaku di Malaysia hari ini di mana 7% sahaja diurus dengan telus manakala baki 93% sebaliknya.
4. Kita sebenarnya telah bersatu cuma kita sering dibeza-bezakan melalui perkataan ‘bangsa’.
5. Mengapa Melayu hanya dapat menguasai 19% kek ekonomi ? Ini adalah kerana kek ekonomi tersebut dibolot oleh golongan elit melayu tertentu dan tidak dibahagi-bahagikan secara adil.
6. Kewujudan Mat Rempit adalah kerana berlakunya ketidak adilan ekonomi dan sosial. Menurut statistik daripada 250 000 orang jumlah Mat Rempit hanya 3000 orang berada di Lembah Klang. Selebihnya berada di kampung-kampung dan felda-felda.


YB Sivarasa Rasiah

1. Sekolah Kebangsaan mesti bersifat inklusif untuk membuatkan semua pihak berasa selesa.
2. Sekolah Kebangsaan tidak menyediakan medium untuk mempelajari Bahasa Tamil, Bahasa Mandarin, agama Buddha, Kristian, Hindu menyebabkan kaum-kaum lain tidak berminat.

YB Khalid Samad

1. UBN menaikkan harga minyak, barangan untuk menekan rakyat dan menyebabkan marhaen hanya sibuk mencari nafkah sara hidup keluarga. Ini menjadikan mereka tidak peka dengan isu-isu semasa dan tiada masa untuk menyemak tindakan dan mengkritik kerajaan.
2. Kita hanya halang orang isytihar murtad namun jika murtad senyap-senyap tiada apa-apa tindakan.
3. Tiada program untuk memulihkan kembali keyakinan terhadap orang-orang Islam yang telah hilang keyakinan dengan Islam seperti motivasi, kursus dan sebagainya.

Pada jam 11.00 pagi wacana ini berakhir dengan penyampaian cenderamata kepada ahli-ahli panel oleh Dr Tajul Ariffin Noordin. Selepas itu, hadirin yang berjumlah lebih kurang 70 orang bersurai.

Program ini telah berjaya mencapai matlamatnya. Pihak Jaringan Siswazah Malaysia mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang membantu secara langsung ataupun tidak langsung dalam menjayakan majlis ini. Hanya Allah yang mampu membalasnya.

**************************************************************************

Alhamdulillah, berjaya juga program ini dilaksanakan. Sememangnya panel-panel yang dijemput sangat berkaliber dan mengupas topik ini dengan begitu menarik dan menyeluruh.

Aku juga pertama kali mendengar lontaran idea Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah secara langsung dan ternyata beliau begitu jujur dan tulus dalam menyuarakan apa yang sepatutnya berpandukan ilmu dan kajian yang beliau lakukan. Beliau mengaskan beliau akan tetap bersuara dan menegur samada Pakatan Rakyat atau UBN di atas kapasiti beliau yang merupakan seorang ahli ilmuwan dan beliau tidak dipengaruhi ideologi mana-mana parti. Ternyata sukar untuk mencari ahli akademik yang masih berani dan mempunyai integriti seperti ini kerana kebanyakan pensyarah-pensyarah universiti di Malaysia seolah diikat tangan dan mulut mereka serta boleh juga digelar profesor kangkung (bukan semua).

Berdasarkan perbualan ringkas dengan Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah, rupanya beliau berasal dari Keterah, Qlate. Lucunya apabila beliau mengetahui yang aku juga merupakan orang Qlate, loghat perbualan terus berubah 100% daripada 'kecek luar' kepada bahasa kebangsaan Qlate.hehe. Agaknya memang sudah menjadi budaya orang Qlate walau di mana mereka berada mereka tetap bangga dengan loghat dan budu mereka. Apabila ditanya rahsia beliau berani bersuara dan menegur, katanya rakyat Qlate sememangnya begitu kerana budaya di Qlate mengajar kita supaya berani. Beliau turut berpesan supaya tidak mengkhianati ilmu dan sentiasa amanah dengannya.

Aku lihat kebanyakan YB dari Pakatan Rakyat adalah mesra rakyat. Naik segan juga aku dan para ajk wacana ini dengan YB Khalid dan YB Sivarasa yang sangat sempoi, merendah diri dan tidak kekok untuk bergaul dengan marhaen.

Apa pun imej Taman Tasik Cempaka juga menjadi semakin baik. Jika dahulu terkenal dengan tempat muda-mudi melakukan maksiat hatta di siang hari (zaman UBN), namun hari ini ia berubah ke arah yang lebih baik. Ya, Wadi Ilmu satu idea dan konsep yang baik. Semua budaya ilmu akan terus subur mekar mewangi di Bandar Baru Bangi. Ini juga rahmat hasil pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor. Jadi, katakan tidak kepada UBN samada secara sah mahupun haram.

Oh, ya terlupa pula untuk memberitahu pihak ajk juga pada mulanya menghubungi beberapa wakil UMNO seperti Khairi Jamaluddin, Ezam dan beberapa nama lagi untuk turut serta dalam wacana ini bagi sama-sama mengupas tajuk ini namun sayangnya semua ada urusan masing-masing. Harapannya semoga benarlah mereka ada urusan dan bukannya satu alasan untuk menutup sifat takut mereka berhadapan rakyat secara terbuka.

Kepada Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi (PPBBB) dan Dr Tajul, kalian sememangnya sangat memahami dan cocok dengan jiwa anak muda. Memang rock habis! Jutaan terima kasih dariku secara peribadi.

Lagi gambar-gambar menarik progam;
























Tuesday, March 31, 2009

Pandang Sisi P059, 29.3.09


Kalau tuan ke Bukit Gantang
Singgah sebentar di Kuala Kangsar
Dari Lembah Kelang kami datang
Tanda sokongan buat Panglima Nizar


Pandang sisi P059, 29.3.09 dari lensa aku, Pokli, Taj dan Abang Is.


Meneruskan perjuangan bahasa di P059 Bukit Gantang


PAS For All. All For PAS. Tetapi mereka semua 'not for all'!


Risalah haram yang cuba disebarkan oleh beberapa pemuda berbaju melayu (pencacai PEKEMBAR). Mereka telah dihalau sebelum sempat melaksanakan niat jahat mereka. 


Jika mengikut matematik Utusan Malaysia dan TV3, jumlah yang penyokong Pakataan Rakyat hadir ini adalah sekitar 240 orang.


Pukul 8.30 pagi. Ketika puluhan ribu penyokong Pakatan Rakyat memenuhi Dataran Perbandaran, penyokong PEKEMBAR masih belum sampai. Mungkin sedang mengira duit yang dituai semasa perhimpunan agung.


"Barisan jihad putera-puteri Islam. Mara ke medan maju ke hadapan. Bersama seruan Allahuakbar, Allahuakbar,". Lagu yang ustazah ajar masa kat PASTI dulu.


Andai tangan kananmu ditetak, genggamlah panji-panji Islam itu dengan tangan kirimu. Andai tangan kirimu dipedang musuh, pertahankanlah ia dengan kedua-dua belah kakimu. Andai kedua-dua kakimu juga putus disiat parang, gigitlah sekuat hatimu syiar Islam itu. Andai kepalamu juga dipancung, maka senyumlah di kala kesyahidan. Kerana engkau telah punya bekalan ampuh dalam pelayaran ke sana.


Polis Simpanan Persekutuan yang berdedikasi. Senyum sikit bang. Masam je. Alah bucuk-bucuk.


Jika Rama menyokong perjuangan Islam, mengapa insan yang bernama Hisyamuddin, Shafie, Zahid, Abdullah, Najib, Khairi dan gerombolan muslim yang lain mengambil jalan sebaliknya. Adakah kerana 'Khotamallahu Ala Qulubihim'?


Ini bukan lagi perkara ajaib dan ganjil. Kelab Penyokong PAS. Semoga mereka diberikan peluang untuk terus melihat keindahan Islam.


Inilah uniknya Pakatan Rakyat. Lambang keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia.


Jelmaan YB Nizar ada di mana-mana. Lambang seorang pejuang yang tidak pernah mengaku kalah dan berundur. Ternyata beliau telah menjadi satu fenomena.


Siapa ini? Gambar ini turut menghantui di mana-mana.


Pemanah-pemanah Bukit Uhud. Siap memanah penyokong-penyokong PEKEMBAR dan BN


Ketua pemanah lereng Uhud, Ustaz Salahuddin Nasir. Di Surau Annur Bangi beliau mengajar kitab Fiqh Sirah karangan Al-Buti. Ceramah beliau sangat menyentuh jiwa. Jika beliau bercerita tentang peperangan nabi dan sahabat, seolah kita berada di tengah-tengah peperangan tersebut, menjiwainya Jika beliau bercerita tentang penderitaan dan kesusahan nabi serta sahabat, pasti ada jemaah yang akan menyapu-nyapu air mata dan mengesat hidung selepas itu. Hanya jauhari mengenal manikam. Hanya pejuang yang faham jerih perit bahasa perjuangan. Tabik hormat untuk Ustaz Salahuddin Nasir.


YB Nizar yang baru keluar dari pusat penamaan calon. Ramai berasak-asak nak bersalam dengan YB. Kalah artis. Mawi sudah tidak boleh cari makan lepas ni.


Tuan Guru Dato' Dr Ustaz Haron Din turut hadir. Walaupun kurang sihat, namun komitmen beliau terhadap perjuangan Islam tidak pernah bertepi. Kami sayang Tuan Guru. Semoga Tuan Guru dipanjangkan umur untuk terus menyebar ilmu dan memperjuangkan Islam.


Tuan Guru Haji Hadi sedang diiring selepas keluar dari pusat penamaan calon. Gemuruh takbir berkumandang dengan kuat ketika ini.


Pukul 12 tengahari, penamaan calon tamat. Selesai makan, kami bertolak pulang dan singgah di Masjid Ubudiyyah, Kuala Kangsar untuk berehat seketika, solat jamak dan mandi.


Jika ke Kuala Kangsar tidak sah jika tidak menikmati cendolnya yang lazat dan enak. Memang enak sehinggakan aku tidak sedar aku terpaksa memesan dua mangkuk cendol. Burrpp, Alhamdulillah.hehe..

Lebih kurang pukul 10 malam kami tiba semula ke Bangi.

Panglima Nizar gagah perkasa
Menjadi inspirasi sang anak muda
Harapan rakyat jelas dan nyata
Semoga Bukit Gantang menjadi milik kita

Sunday, March 15, 2009

Ringkasan Seminar Hala Tuju PPSMI Dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan 2009

Di atas sofa dari kanan Prof Dr Shaharir, Datuk Hassan Ahmad, Prof Madya Dr Tajul Ariffin, dan dibelakang yang bercermin mata dan berjaket hitam dengan logo UPSI Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan bergambar bersama-sama jemputan dan sebahagian AJK program.


Pada 14 Mac 2009, Sabtu telah berlangsung Seminar Hala Tuju PPSMI Dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan 2009 bertempat di KUIS. Di sini dinukilkan sedikit ringkasan daripada pembentangan-pembentangan kertas kerja yang telah dilakukan. Cuma sekadar ringkasan dan petikan yang difikir dari benakku. Jika yang mahukan kertas kerja yang sebenar sangat panjang.

Perasmi dan Pemberi Ucaptama : YB Dr Shafie Abu Bakar, ADUN Bangi

Prof Dr Norhasyimah Jalaludin
Pusat Pengajian Bahasa Dan Linguistik,
Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusiaan, UKM
Pengerusi Persatuan Linguistik Malaysia
Tajuk: "Kajian Penerimaan dan Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris; Konflik Antara Dua Darjat"
Apa yang penting adalah memperbaiki pedagogi pengajaran BI, melahirkan suasana pembelajaran BI yang lebih menyeronokkan dan menarik, membanyakkan aktviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) Bahasa Ingeris adalah lebih baik dan pada masa yang sama kembalikan PPSMI dalam Bahasa Melayu sebagai satu cara penyelesaian yang terbaik dalam mengatasi kemelut ini.

Prof Dr Abdul Aziz Bari
Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, UIA
Tajuk: "PPSMI Dalam Konteks Perlembagaan"
Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan amat jelas di dalam Per.152; Segala urusan rasmi baik di peringkat persekutuan dan negeri hendaklah dijalankan dalam bahasa itu. Selain itu, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagaimanapun tidaklah sampai ke tahap menafikan kedudukan dan hak bahasa-bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan diperkembang hatta dengan menggunakan dana awam sebagaimana yang diungkapkan oleh Per.152(1)(a) dan (b). Sebab itu gerakan menentang PPSMI tidak harus disekat dan dikasari; apatahlagi dalam semangat Per.10(1) yang menjamin setiap warganegara hak untuk mengeluarkan pendapat, berkumpul secara aman dan berpersatuan. Kelihatannya tidak ada perkara-perkara yang disebut di bawah Per.10(2) yang membatalkan hak-hak itu.

Prof Dr Shaharir Mohamad Zain
Timbalan Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP)
Mantan Pensyarah Matematik UKM dan UMT
Anak Melayu Pertama Mendapat PhD Bidang Matematik di Universiti La Trobe
Tajuk:"Tercapaikah Impian Bangsa Melayu Menerusi PPSMI"
Mengulas berkaitan makna kemajuan dari pandangan Tun Dr Mahathir serta apakah matlamat utama Tun sehingga melaksanakan dasar PPSMI tanpa melalui prosedur yang sah seperti dibawa ke perbincangan parlimen seolah-olah idea ini adalah idea Tun seorang sahaja. Beliau menyangkal pendapat Tun yang menyatakan bahawa bahasa asal ilmu adalah bahasa inggeris kerana dari perkara paling asas pun seperti zero, one, two, three adalah perkataan pinjaman daripada bahasa arab dan bahasa latin sedangkan kosong, satu, dua, tiga,..puluh adalah semuanya bahasa asli Melayu kecuali mungkin perkataan ‘satu’ dan ‘dua’ sahaja. Bukalah ‘etymological dictionary’ pada internet untuk mengesahkannya. Beliau juga menyatakan data pemenang Hadiah Nobel (untuk semua bidang kecuali Matematik) dan Pingat Filed (untuk Matematik sahaja) di mana para pemenangnya bukan daripada bangsa yang mengharungi dasar PPSMI. Satu pembentangan ilmiah yang cukup menarik.

Prof Dr Mat Rofa Ismail
Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), UPM
Tajuk:"Benarkah PPSMI Memartabatkan Pendidikan Negara"
Menjaga bahasa ibunda ibarat menjaga ibunda kita sendiri. Ia adalah kurniaan Allah kepada setiap makhluk. Menjaga ibunda kita bukan bermakna kita membenci ibunda orang lain. Menjaga ibunda kita dan dalam masa yang sama menghormati ibunda orang lain. Prof Dr Mat Banyak istilah-istilah daripada bahasa inggeris dipinjam daripada bahasa lain namun sejarah itu telah digelapkan. Contohnya perkataan 'cornea' berasal daripada perkataan bahasa arab 'qurrah'. Perhatikan kalimah 'rice', 'cotton', 'lemon', 'sugar' bisa sahaja ditiru daripada kalimah arab 'aruzz', 'qatn' dan 'sukkar'.

Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan
Institut Peradaban Melayu UPSI
Tajuk:"Bukan Sekadar Bahasa"
Perjuangan pejuang bahasa bukanlah bermakna kita membenci bahasa inggeris. Gunalah bahasa inggeris tetapi jangan sampai minda kita tertawan dengannya kerana jika sekali minda kita tertawan di dalamnya, kita selamanya akan hilang kreativiti dan hanya mampu menjadi peniru. Beliau memberi contoh ketika beliau menikmati hidangan KFC suatu masa dahulu di Medan, Indonesia di mana turut termasuk dalam pekej hidangan selain hidangan rutin KFC adalah popia dan jagung. Perkara ini tidak dapat dijumpai di Malaysia kerana hidangan kita adalah bulat-bulat ditiru daripada Kentucky, Amerika Syarikat. Beliau juga menyatakan golongan bangsawan yang biasa hidup dalam suasana inggeris dan berbahasa inggeris adalah tidak mesra marhaen dan tidak pernah mempedulikan jerih-perih rakyat terbanyak. Inilah akibatnya apabila minda mereka telah ditawan oleh inggeris. Hilang sudah budaya, struktur nilai, jatidiri serta agama di dalam diri mereka.

Datuk Hassan Ahmad
Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP)
Mantan Ketua Pengarah DBP 1976-1989
Mantan Duta Malaysia ke UNESCO 1989-1994
Tajuk: "Nasionalisme Dan Perjuangan Bahasa"
PPSMI adalah 'Linguistik Imperialisme', penjajahan minda umat melalui bahasa inggeris oleh pihak barat. Cuma yang menjadi persoalannya adalah pembesar-pembesar negara yang telah dijajah tidak merasakan diri dan minda mereka dijajah sebaliknya dituding jari ke arah orang lain dan menuduh orang lain sebagai jumud dan minda tertutup. Kita akan lihat perkembangan seterusnya. Jika masih tiada apa-apa tindakan, maka GMP bersama-sama rakyat akan berarak lagi di jalan raya.

Setelah mengikuti seminar sehari ini, berdasarkan fakta-fakta yang telah dibentangkan oleh para ilmuan dan cendekiawan ini, aku telah mendapat input dan semangat baru yang terang lagi bersuluh. Bagiku golongan yang menyokong PPSMI adalah golongan BEBALIS yang memakai jaket BIRU KARAT di mana mereka juga mempunyai otak seumpama seperti seekor LEMBU namun meninggalkan akal mereka di birai-birai lubang tandas. Tiada kompromi. Noktah!

Usai program, hujan turun dengan lebat. Aku membantu menemani Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan dan memayungkan beliau ke kenderaan pacuan 4 rodanya. Sampai di pintu kenderaannya, beliau sempat memberikan nasihat, "Anak muda, teruskan perjuangan menegakkan bahasa. Bahasa bukan sekadar bahasa. Ia terkandung nilai agama Islam, budaya, jatidiri dan makna bangsa kita. Kami yang tua akan pergi. Kamu anak-anak muda harus meneruskan perjuangan ini. Jangan sesekali undur," katanya sambil tersenyum. Aku dapat merasakan keikhlasan yang tersisip bersama nasihat dan senyuman itu.

Aduh, berat sungguh pesanan itu. Ibarat sebuah gunung dihempap ke atas belakangku. Aku tidak pasti samada aku mampu untuk menanggungnya. Dengan segala bebanan urusan harian, mampukah aku. Namun aku terfikir, jika bukan kita, siapa lagi? Kitalah pewaris Agama, Bahasa dan Tanah Air yang tercinta ini. Ya Allah, kurniakanlah aku ketabahan dan kekuatan..

P/s:
1)Telah banyak kajian ilmiah yang dibuat oleh pejuang-pejuang bahasa kita. Carilah ia melalui 'Syeikh Google bin Lebai Yahoo'. Boleh juga dimuat turun buku kajian "Mengapa Kami Bantah PPSMI" yang mengandungi banyak bukti mengapa PPSMI perlu dimansuhkan.
2)Padaku terdapat slide presentation Prof Dr Nohasyimah dan kertas kerja ringkas Prof Dr Abdul Aziz Bari. Jika ada sahabat-sahabat yang berminat boleh tinggalkan pesanan bersama email di ruangan komen ataupun menghubungi emelku yang tertera di sebelah atas.

Thursday, March 12, 2009

Keranda 152

Malam itu di Balai Budaya
Api dan Air Mata

Malam itu di Balai Budaya
Seorang guru tua berbicara
'Berarak ke Parlimen, aku di muka'

Malam itu di Balai Budaya
Seorang peguam muda berkata
'Bakar Perlembagaan 152'

Malam itu di Balai Budaya
Seorang pemuda berteriak
'Ayuh, mari kita berarak'

Malam itu di Balai Budaya
Para pelajar berikrar
'Dada kami sedia dibakar'

Malam itulah juga
Parlimen jadi pertanda
Memenggal leher BAHASA

~Allayarham Usman Awang~




Mari bersama kami di SEMINAR HALA TUJU PPSMI DALAM DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN 2009, 14 MAC 2009 DI KOLEJ UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA SELANGOR (KUIS). Klik untuk maklumat lanjut di sini.

Tuesday, February 24, 2009

Liputan Forum PPSMI


Dewan Pehimpunan Cina Selangor semalam sekali lagi menjadi saksi akan perhimpunan para pencinta agama dan bangsa. Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), satu badan yang komited memperjuangkan kepentingan Bahasa Melayu menganjurkan satu forum yang dinamakan “Forum Mansuhkan PPSMI” yang membariskan panelis seperti Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Timb Pengerusi PKR Syed Hussin Ali (menggantikan saudara Anwar Ibrahim), Presiden GMP Datuk Hassan Ahmad, Presiden TERAS Cikgu Azmi Abdul Hamid, Dinsman, wakil mahasiswa, NGO dan ramai lagi.

Aku, Odeng dan Pokli turut hadir ke forum ini. Hadir kami bersebab. Bak kata orang moden ada misi khas. Misi pertama, ingin melihat sejauh mana respon dan kepekaan orang ramai terhadap perkembangan isu ini di kala Perarakan Keranda 152 semakin hampir. Tarikh 7 Mac tidak sampai 2 minggu pun lagi. Misi kedua adalah rahsia. Tidak boleh dibuka sebelum sampai masanya. =)

Kami sampai lebih kurang jam 8.45malam setelah tercari-cari tempat program selama 20 minit. Ketika kami sampai hadirin masih berlegar-legar di luar dewan kerana program akan bermula lebih kurang jam 9 malam. Pihak polis juga memberikan kerjasama yang baik dengan mengawal keadaan. Namun agak janggal kerana bilangan mereka agak ramai. Bagiku, sepatutnya tidak perlulah ramai sangat. GMP ni orang baik-baik.3,4 orang cukuplah. Tidak pasal-pasal polis kena buat kerja lebih masa. Kasihan mereka. Lagipun ’Tentera Merah’ Unit Amal turut ada bagi membantu mengawal keadaan.

Beginilah suasana yang sempat dirakamkan oleh lensaku.

Sempat menjenguk bilik VIP. Dari kiri Cikgu Azmi, Syed Hussin Ali, Datuk Hassan, Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dan Prof Shahrir Mohd Zain

YB Dr Halimah dan Dr Lo'lo' pun ada

Setelah ucapan alu-aluan pengerusi majlis, Dato’ Abu Bakar Chik, Pengerusi Lujnah Pendidikan Nasional PAS memulakan ucapan. Bersahaja dan tenang sahaja beliau menyampaikan ucapan.

Seterusnya bacaan sajak oleh Dinsman. Penggiat dan aktivis seni. Dia membacakan sajak yang pernah dibacakan semasa PROTES dahulu di Kelana Jaya. Tajuknya mungkin Macam Orang Gila (aku kurang pasti).

Dinsman sedang membacakan sajak

Ini bukan perjuangan bangsa Melayu semata. Ini perjuangan pencinta kebenaran. Milik semua kaum.

Tiadakah setitis perasaan belas ihsan pembesar terhadap masa depan generasi muda ini?

Seterusnya, saudara Hasni Abbas, Setiausaha GMP tampil menyampaikan ucapan. Hasni banyak menyentuh tentang sejarah perjuangan orang terdahulu memperjuangkan Bahasa Melayu. Antara yang menarik perhatianku apabila dia menyatakan Tun Hussein Onn adalah orang yang komited memperjuangkan bahasa. Malah Tun mencadangkan agar dibakar sahaja Perlembagaan 152 andai kerajaan tidak mementingkan Bahasa Melayu. Buat apa susah-susah.

Sayangnya semangat Tun Hussein Onn ini tidak dapat diwarisi oleh anaknya. Jika Tun pejuang bahasa yang komited, anak Tun pula merupakan pejuang dasar PPSMI yang konsisten. Siapa anak Tun itu? Fikirlah sendiri. Baiklah, aku akan beri pembayangnya. Anak Tun Hussein Onn adalah seorang peminat ’keris telanjang’ dan sering menghunus ’keris telanjangnya’ ke udara. Dapat?

Saudara Hasni juga menyatakan Datuk Hassan Ahamd dulu merupakan setiausaha kepada gerakan Perarakan Keranda 152. Di kala pejuang Bahasa Melayu dan sasterawan bangkit mempertahankan Bahasa Melayu. Sekarang beliau kembali dengan menjadi pengerusi GMP. Begitulah sejarah. Sejarah tidak akan pernah membohongi kita.

Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan ikrar oleh sekumpulan anak muda yang diketuai oleh Ketua Pemuda PAS Wilayah, saudara Kamaruzzaman. Ikrar anak muda, ikrar rakyat untuk memansuhkan PPSMI. Aku terfikir andai Jebat masih hidup, tentu sekali dia akan turut bersama-sama di dalam ikrar ini. Pasti!

Anak Muda Memimpin Perubahan (A.D.A.M). Ikrar membela nasib bahasa, menentang dasar PPSMI.

Majlis diteruskan dengan ucapan oleh Presiden Teras, Cikgu Azmi Abdul Hamid. Seperti Cikgu Azmi yang biasa dilihat, beliau tampil segak dengan pakaian seragam wajibnya; berkain pelikat, berbaju melayu dan bersongkok hitam. Ke mana beliau pergi itulah pakaiannya seolah satu menifestasi jati diri agama dan bangsa terpasak kukuh di dalam lubuk dada.

Pidato Cikgu Azmi cukup memukau. Banyak perkara yang disentuh oleh beliau. Katanya pelbagai cara telah digunakan oleh para ahli akademik, sasterawan dan pejuang bahasa untuk meyakinkan kepada kerajaan bahawa dasar PPSMI akan membawa kepada kehancuran umat. Daripada diskusi, persidangan meja bulat, persidangan, seminar dan bermacam-macam lagi. Malangnya pihak kerajaan hanya memandang sepi. Beliau memetik kata-kata Pak Samad iaitu A. Samad Said, “Pemimpin-pemimpin itu mereka mempunyai 1 telinga dan 2 lidah”. Banyak bercakap seperti munafik tetapi langsung tidak mahu mendengar saranan dan sumbangsaran rakyat marhaen.

Cikgu Azmi juga menyeru dengan penuh semangat, “ Andai dengan menjadi Jebat maruah agama dan bangsa bisa dipertahankan, marilah kita bersama-sama menjadi Jebat! ” diikuti tepukan gemuruh para hadirin. Berderau darahku seketika mendengar kata-kata ini. Meremang bulu roma. Adakah terdapat sisa-sisa darah Jebat mengalir di dalam pembuluh darah tubuhku?

Cikgu Azmi bersemangat memberikan pidato. Antara tokoh yang aku kagumi. Tidak pernah takut menyuarakan kebenaran.

Selepas itu, ucapan diteruskan oleh wakil mahasiswa dan Timb Pengerusi Keadilan, Syed Hussin Ali. Ketika ini, jam sudah menunjukkan pukul 11.30 malam. Oleh kerana mempunyai urusan lain yang erlu diselesaikan, kami terpaksa pulang dahulu tanpa sempat mendengar ucapan Tuan Guru Haji Hadi. Memang rugi rasanya, tapi keadaan tidak mengizinkan. Misi kami juga telah berjaya dicapai dengan jayanya, alhamdulillah.

Kami meninggalkan Dewan Perhimpunan Cina dengan tekad untuk terus memperjuangkan Bahasa Melayu. Kami sedar ia bukan sekadar bahasa biasa. Ia adalah lambang jati diri, budaya, sahsiah dan bahasa ilmu umat Melayu. Di dalamnya telah dimurnikan dan diterapkan dengan nilai-nilai kesyumulan serta kesucian ajaran Islam.

Sehingga kini ,masih terngiang-ngiang di telinga pesanan Cikgu Azmi. ” Jika dengan BAHASA BERADAB kita tidak mampu mengajar mereka, biarlah BAHASA JALANAN menjadi galang gantinya. Kita akan ajar mereka di jalan raya”.

Kuala Lumpur, tunggulah saat itu. Biiznillah, gelombang kedua rakyat pasti akan merempuh!
Related Posts with Thumbnails