Showing posts with label Umum. Show all posts
Showing posts with label Umum. Show all posts

Monday, April 19, 2010

Kembali

Salam Ukhuwwah,

Ini entri pertama untuk tahun 2010. Ya, entri pertama setelah hampir empat bulan tidak mengemaskini blog. Entri terakhir tercatat di Samudera Tinta pada Disember 2009. Wah, lamanya! Hmm, banyak perkara telah terjadi dan berubah sepanjang aku tidak mengemaskini blog ini.

Pernah terdetik di hati untuk mendelete sahaja blog ini lantaran ianya tidak dikemaskini. Namun, terasa tersangat tidak patut untuk melakukannya. Samudera Tinta merupakan teman yang sangat setia sepanjang aku menyambung pengajian. Teman berkongsi suka duka. Banyak kenangan yang terkandung di dalamnya. Alhamdulillah, mujurlah aku tidak meneruskan niat untuk mendelete Samudera Tinta.Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat berkongsi buah fikiran.

Samudera Tinta mengalami perubahan sekali lagi dari segi rupa luarannya. Mungkin nampak lebih matang berbanding rupa luarannya yang terdahulu. Seiring dengan kematangan usia pemiliknya. Hehe.

Mungkin juga rupa luarannya kini nampak lebih menawan dan menarik berbanding sebelumnya. Sekurang-kurangnya itu dari sudut pandang diriku sendirilah. Orang lain belum pasti. Bukankan kecantikan itu terletak pada mata yang memandang atau kata orang putih ”beauty is in the eye of the beholder”.

Terima kasih buat sahabat-sahabat yang masih menjenguk Samudera Tinta meninggalkan pesanan di ruangan shout box. Insyallah, blog ini akan cuba dikemaskini dari semasa ke semasa untuk sama-sama berkongsi idea, pengalaman dan menyebarkan dakwah di medium siber ini.

Insyallah, Samudera Tinta akan cuba dikemaskini. Salin dan tampal pun dikira kemaskini juga kan?

Monday, July 20, 2009

Belalang Goreng Kunyit


Musim itu adalah musim menuai padi. Kanak-kanak dan orang-orang dewasa berkerumun di tepi bendang padi melihat jentera pengetam padi mengerjakan petak-petak sawah padi yang luas dan sedang menguning laksana permaidani alam yang cukup indah. Bunyi jentera tersebut begitu bising sekali. Suasananya ibarat sebuah pesta.

Kanak-kanak yang hadir masing-masing membawa plastik. Di dalam golongan kanak-kanak itu termasuklah aku. Kami berhimpun di sini untuk mengutip belalang-belalang yang terperangkap bersama-sama padi yang telah dituai oleh jentera pengetam. Sebaik sahaja jentera pengetam padi mencurahkan hasil padi yang telah dituai di tepi bendang, kami akan berebut-rebut mengutip belalang-belalang yang terlompat-lompat cuba melarikan diri. Orang-orang dewasa hanya tersenyum-senyum dan ketawa melihat telatah kami.

Setelah plastik yang dibawa terisi penuh dengan belalang-belalang padi, aku akan pulang ke rumah dan memberikannya kepada ibuku. Biasanya ibuku tidak mahu menyiang belalang tersebut dan menyuruh aku sendiri melakukannya. Mahu tidak mahu terpaksalah aku melakukannya sendiri walaupun berasa sangat malas. Cara menyiangnya mudah sahaja. Mula-mula buang kateh(kaki)nya. Kemudian, buang pula bahagian sayapnya. Tak perlu buang kepala dan perutnya kerana jika dibuang kedua-dua bahagian tersebut, tiada apa lagi yang boleh dimakan.hehe..

Selepas siap menyiang belalang tersebut, aku akan meminta ibu masakkan belalang-belalang tersebut. Selalunya, ibu akan meletakkan sedikit kunyit bersama-sama beberapa sudu kecil garam dan belalang-belalang tersebut digaul sehingga sebati. Kemudian, digoreng sehingga garing dan diletakkan bawang besar serta sedikit kicap apabila belalang-belalang tersebut hampir masak.

Akhirnya, siaplah masakan 'belalang goreng kunyit'. Baunya memang sangat menyelerakan. Jika dimakan bersama dengan nasi kosong yang masih panas-panas, memang terangkat! Sedap sehingga menjilat jari. Rasanya lebih enak berbanding ikan bilis goreng.

Selain pada musim menuai padi, belalang juga boleh diperolehi apabila musim bah tiba. Hujan yang berterusan selama 2,3 hari akan menyebabkan air sungai di belakang rumahku melimpah menjadikan petak-petak sawah ditenggelami air sehingga paras dada. Mujurlah air bah tersebut tidak pernah sampai ke tangga rumahku kerana kedudukannya yang agak tingi

Belalang-belalang yang kesejukan dan mengalami kesukaran untuk terbang kesan daripada sayapnya yang basah akan berteduh pada 'pulau-pulau' kecil dan semak-samun yang terapung-apung di permukaan air. Kami yang terkadang berperahu akan menyerang 'pulau-pulau' dan semak-samun ini dan bermaharaja lela mengutip belalang untuk dijadikan hidangan di meja makan nanti. Cuma perlu untuk berwaspada disebabkan di situ mungkin terdapat binatang buas seperti ular air,lipan dan kala jengking yang tumpang berteduh.

Selain mengutip belalang, kami juga turut memeriksa pukat yang telah dipasang jika ada haruan, terbul, keli, puyu atau anak sepat yang terlekat pada pukat. Haruan sangat enak jika dimasak gulai lemak kuning bersama daun kesum manakala keli boleh sahaja dimasak asam pedas. Terbul pula sangat sedap jika digoreng rangup sehingga tulang-tulangnya boleh dimamah sekali.

Itulah kenangan zaman anak-anak yang jarang-jarang terlintas di fikiran. Entah mengapa kenangan itu mengambil tempat di fikiranku kala ini. Mungkin kerana diriku yang merasakan keseorangan di tempat baru.

Sebenarnya aku baru sahaja berpindah ke Kuantan, Pahang setelah mendapat tawaran mengajar secara sambilan di sebuah IPT. Walaupun terasa sangat berat meninggalkan Bangi yang sangat disayangi, namun aku gagahkan diri untuk datang ke sini demi mencari sedikit pengalaman.

Jangka masa menunggu untuk viva sangatlah lama disebabkan kepelbagaian proses birokrasi. Jika hanya terus menunggu tanpa mengambil apa-apa tindakan, maka itu dikatakan membuang masa. Masa yang seharusnya diisi dengan aktiviti bermanfaat. Maka aku mengambil keputusan menerima dahulu tawaran ini walaupun gaji yang ditawarkan cukup-cukup makan sahaja. Sekurang-kurangnya ini menjadi nilai tambahan di dalam resume ku nanti.

Jika sahabat-sahabat sekalian melihat Samudera Tinta jarang dikemaskini, maka bersaksilah ketika itu aku sebenarnya bukan tidak menghiraukan Samudera Tinta, jauh sekali membenci, cuma mungkin sedang sibuk menyiapkan nota kuliah subjek Fizik untuk diajar kepada pelajar-pelajarku (best tak alasan?).huhu. Alamak, nota kuliah esok pun belum siap lagi (sigh)..

Salam Ikhlas Penuh Ukhuwwah buat semua sahabat Samudera Tinta..

(Gambar diambil dari sini)

Wednesday, July 8, 2009

Hijrah Yang Terkandung Kebaikan

Thursday, June 11, 2009

Blog dan Pengemaskiniannya


Uhuk, uhuk, uhuk!

Terbatuk-batuk aku ketika mula-mula sign in Samudera Tinta tadi. Maklumlah blog ini telah dipenuhi oleh habuk-habuk dan sesawang elektronik yang tidak nampak di mata tetapi tetap wujud secara semulajadi. Terjadi akibat lamanya Samudera Tinta tidak dikemaskini.hehe.

Sebenarnya, kegagalan untuk mengemaskini blog ini salah satunya berpunca daripada gambar di atas. Aku telah menyertai satu seminar anjuran bersama universiti di Malaysia dengan salah sebuah universitas di Indonesia, Institut Teknologi Bandung (ITB).

Walaupun penyertaan itu dalam bentuk poster (seperti yang tertera pada gambar di atas), namun prosesnya juga sangat rumit. Bermula daripada penyediaan kertas kerja yang perlu mengikut format dan standard (baca; menyusahkan orang) tersendiri, merujuk buku dan jurnal, menyediakan susun atur templat poster yang bersesuaian, menempah poster sehinggalah pendaftaran pada hari program. Semua menuntut komitmen yang padu, jitu dan tidak berbelah bahagi daripada seorang jejaka Melayu tulen sepertiku.

Seminar selama 3 hari tersebut berakhir pada hari ini. Rata-rata peserta yang hadir samada dari Malaysia ataupun Indonesia terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang kimia; Organik, Inorganik, Analisis, Fizikal, Biokimia dan lain-lain. Ternyata isu Manohara tidak meresap masuk ke dalam bidang akademik. Masing-masing boleh bersahabat dan berinteraksi dengan baik tanpa apa-apa masalah. Baguslah begitu.

Keduanya, aku juga perlu memberikan komitmen terhadap tesis yang memasuki fasa 'pecunasi' (pecutan + hibernasi). Sukar untuk menerangkan dengan lebih lanjut apa itu pecunasi kerana melibatkan istilah-istilah yang kompleks. Namun aku bersyukur masih mampu bernafas dengan baik semasa melalui fasa ini tanpa memerlukan bantuan tabung oksigen, alhamdulillah.huhu. Semoga ianya akan terus berkekalan begini.

Di penghujung bulan ini, jika tiada aral, insyallah aku akan mengikuti satu lagi kolokium yang merupakan syarat wajib tempat pengajian. Jika tidak dibuat, maka batallah pengajian. Betul ke? Apa pun diharapkan kolokium ini tidak menghalang aku untuk terus mencoretkan sesuatu di Samudera Tinta yang sentiasa dirindui ini (walaupun sekadar salin dan tampal.uh,uh.).

Akhirnya, salam rindu buat semua..

Wednesday, May 6, 2009

Sekeping Nota Baru

Pagi ini datang ke makmal dengan semangat baru. Sesampai di makmal pergi memeriksa pigeon hole yang sudah agak lama tidak diperiksa. Terlihatlah satu jurnal baru dengan sekeping nota kecil dilekatkan padanya.


Aduh, kena tambah lagi ke!

Perlahan-lahan kenangan manis di Pulau Kapas semasa hujung minggu lalu mula pudar dan digantikan dengan mimpi ngeri yang bakal menjelma. Teori dan analisis DSC pun belum habis dilakukan, kini sudah mendapat tugasan baru. Jika asyik begini, bila mahu siap penulisanku. Semangatku mula menurun.

Namun, sebelum semangatku menurun dengan lebih teruk, aku cepat-cepat menekan butang 'Pause' seperti yang diajar oleh Ustaz Hasrizal Saifulislam.com. Fuh, nasib baik sempat menekan butang 'Pause' tersebut. Jika tidak, ada yang terus beli tiket dan balik kampung malam ini.

Aku cuba memujuk diri. Mengapa pula perlu bersedih dan berkeluh-kesah. Anggaplah ini cabaran dan dugaan yang perlu dilalui. Semestinya untuk menguji ketahanan dan keimananku. Ini bukan perkara sia-sia dan berlaku tanpa ada apa-apa sebab.

Bukankah Allah Taala telah berfirman di dalam Al-Quran di dalam Surah Insyirah, ayat 5-6,

"Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.."

Di situ telah diulang 2 kali bahawa bahawa di sebalik kesukaran yang dilalui oleh manusia akan disertakan bersama hikmah kemudahan yang mungkin tidak dapat diselami oleh keterbatasan hati dan aqal manusia yang cetek lagi tidak berdaya itu. Itu janji Allah yang mesti diyakini. Apakah dengan sedikit kesusahan yang dihantar oleh-Nya ini menjadikan aku hamba yang berputus asa dan berkeluh-kesah.

Sayugia, apa yang perlu, selaku hamba yang lemah adalah usaha yang bersungguh-sungguh dan seterusnya bertawakal kepada Allah. Kata Ustaz Hasrizal untuk berjaya kita perlu mematuhi Sunnatullah dan Syariatullah. Ini juga ditegaskan di dalam sambungan ayat 7-8, Surah Insyirah,

"Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain. Dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.."

Nah, di sini ditunjukkan bahawa berusaha bersungguh-sungguh itu Sunnatullah dan berserah harap kepada-Nya adalah Syariatullah. Keduanya adalah kembar siam yang saling berkait dan tidak boleh dipisahkan dalam menjalani sesuatu apa pun urusan.

Selepas berjaya memujuk diri, barulah semangatku sedikit pulih. Untuk memulihkan sepenuhnya semangat ini, biasanya aku memerlukan segelas Vico panas kaw-kaw (Milo telah diboikot) tanpa susu. Rasanya Vico ada lagi di dalam laci.

Selagi nyawa dikandung badan, ujian dan dugaan tidak akan pernah terhenti walau di mana sahaja kita berada. Setiap makhluk berlainan ujiannya. Sunnatullah dan Syariatullah; 2 mekanisme yang perlu dipatuhi demi menatijahkan hasil yang terbaik dan memuaskan hati.

Ya, tidak dapat tidak kita mesti terus berusaha dan bertawakal. Mesti!! (ketika ini lagu Segenggam Tabah nyanyian Inteam tiba-tiba berkumandang di udara. Entah siapa yang pasang..)

Thursday, April 30, 2009

Personaliti Di Sebalik Darah Anda


Aku sudah terlupa menyalin artikel ini dari sumber yang mana. Maafkan daku untuk kelalaian ini. Artikel ini agak menarik perhatianku kerana apabila aku membanding-bandingkan jenis darahku dengan ciri-ciri yang dinyatakan, ternyata hampir 78% tepat. Oh, ya aku daripada golongan darah jenis AB. Orang kata darah jenis AB adalah penerima universal. Maksudnya tidak sukar untuk mencari darah yang sesuai denganku nanti.huhu.

Berikut adalah RAHSIA yang terselindung di sebalik jenis-jenis darah :

JENIS DARAH O 

Individu yang memiliki jenis darah dari kategori ini disifatkan sebagai individu yang setia, sabar dan sentiasa yakin terhadap keupayaan dan kebolehan diri sendiri.

Selain itu individu dari kategori ini juga sering bersifat ingin menjadi ketua walau dalam apa jua perkara yang ingin dilakukan khususnya yang melibatkan kerja-kerja berkumpulan.

Sekiranya menginginkan sesuatu, anda akan berusaha untuk mencapai matlamat tersebut walau dalam apa cara sekalipun.

Ada kalanya anda dikatakan memiliki sifat cemburu yang agak kuat.

Selain itu anda juga terlalu serius dalam persaingan sehinggakan ia mampu memberikan tekanan kepada diri anda sendiri.

Oleh yang demikian anda harus lebih bijak mengawal emosi diri anda agar tidak dikuasai dengan tekanan.

JENIS DARAH A 

Keharmonian dan keamanan adalah matlamat utama dalam hidup anda. Anda gemar melakukan kerja-kerja secara berkumpulan dan anda juga gemar melibatkan diri dengan berpersatuan.

Anda bijak bergaul dengan individu di sekeliling dan ternyata mereka juga sentiasa berasa senang untuk bekerjasama dengan anda.

Sikap sensitif, sabar, dan bertimbang rasa yang ada dalam diri anda itu melambangkan bahawa anda tergolong dalam kategori individu yang memiliki keperibadian penyayang. Walau bagaimanapun ada kalanya anda agak degil dan terlalu kuat bekerja sehinggakan tidak mengendahkan langsung waktu untuk berehat.

Anda harus ingat, kesihatan juga perlu diutamakan. Jangan kerana terlalu leka dengan kerja-kerja anda itu, kesihatan diri pula yang terabai.

JENIS DARAH B 

Sempoi! Itulah ungkapan yang paling rapat dengan anda. Anda lebih selesa dengan kesederhanaan.

Dalam perhubungan pula anda adalah individu yang terlalu jujur dan lebih gemar berterus terang dalam apa jua perkara. Dalam melaksanakan sesuatu tugasan yang diberikan, anda lebih gemar melaksanakannya dengan cara anda sendiri.

Anda adalah individu yang kreatif dan fleksibel, mudah bagi diri anda untuk meletakkan diri sendiri dalam apa jua situasi mahupun kelompok golongan tertentu.

Anda adalah individu yang bijak bersosial. Namun ada kalanya sikap anda yang gemar berdikari dan tidak gemar meminta bantuan orang lain itu, mampu mendatangkan masalah buat diri anda dan sekali gus memperlihatkan kelemahan pada diri sendiri. Anda harus ingat bahawa, tidak semua perkara kita boleh menyelesaikannya secara bersendirian.

JENIS DARAH AB 

Tenang dan bijak mengawal emosi, itulah keperibadian yang jelas terpancar dalam diri individu yang tergolong dalam kategori darah berjenis AB ini.

Anda juga sentiasa menghormati orang lain dan ini menjadikan individu yang berada di sekeliling anda berasa selesa untuk berdampingan dengan anda.

Anda juga memiliki sikap humor semula jadi dalam diri dan sentiasa bersikap menghiburkan dan ceria.

Namun ada satu perkara yang harus anda perbaiki dalam diri anda itu. Anda perlu lebih bijak dan berani untuk membuat keputusan sendiri. Jangan biarkan orang lain membuat keputusan untuk diri anda sendiri.


Thursday, April 23, 2009

Sesudah Subuh Yang Lalu


Selesai menunaikan solat subuh pagi tadi entah mengapa mataku terasa begitu berat. Sangat mengantuk. Mungkin akibat berjaga agak lewat pada sebelah malamnya kerana menyiapkan sedikit tugasan. Selepas memasang jam penggera pada telefon bimbitku, aku terus melelapkan mata barang seketika.

Apabila aku membuka mata aku telah berada di sebuah rumah kayu. Penghuni rumah tersebut seperti sedang merayakan sesuatu. Jika tidak silap perhitunganku kenduri kahwin barangkali. Ketika itu aku sedang duduk di hadapan sebuah meja makan bersama-sama 2 orang lain. Salah seorang daripadanya adalah Tuan Guru Nik Aziz. Ya, Tuan Guru Nik Aziz! Aku tidak mengenali pemuda yang seorang lagi.

Kemudian, pemuda tersebut bangun dan meminta diri daripada Tuan Guru untuk ke dapur. Aku mengambil peluang merapati Tuan Guru. Aku menyalami dan mencium tangan beliau. Aku meminta adikku (entah dari mana dia tiba-tiba muncul) mengambil gambar aku dan Tuan Guru. Namun, selepas beberapa kali gambar diambil, hasilnya kurang memuaskan. Banyak yang kabur. Aku sedikit kecewa.

Aku meminta izin Tuan Guru untuk memeluk dan mengucup dahinya. Beliau izinkan. Aku pun memeluk badan kerdilnya yang hangat dan mengucup dahinya yang sejuk itu. Sekonyong-konyomg datang seorang pemuda memegang kamera (lagaknya seperti seorang jurugambar profesional) datang mengambil gambarku dan Tuan Guru. Katanya mahu dibuat kenangan. Aku hanya tersenyum puas. Puas kerana dapat mengabadikan kenangan manis bersama Tuan guru.

Aku merenung wajah mulus Tuan Guru. Aku lihat pada pipi dan lehernya ada warna hijau pucat. Aku tidak tahu mengapa warna hijau pucat itu terdapat pipi dan leher Tuan Guru.

Tuan Guru sihat?, ” aku bertanya khabar. Entah mengapa aku baru bertanya soalan itu. Sepatutnya ia ditanya di awal pertemuan tadi.

Saya sihat, alhamdulillah,” jawab Tuan Guru perlahan.

Tuan Guru, berilah nasihat kepada saya, ” ujarku dengan penuh harapan.

Tanpa berlengah Tuan Guru Nik Aziz mula memberikan tazkirah buatku. Aku berasa sungguh bertuah kerana aku dapat mendengar untaian ilmu daripada mulut Tuan Guru secara berdepan malahan eksklusif untuk diriku seorang sahaja. Aku cukup terpesona dengan aura dan keluhuran budi Tuan Guru melayani marhaen sepertiku.

Dalam keasyikan merenung wajah dan mengutip mutiara ilmu dari Tuan Guru tiba-tiba aku menangkap satu bunyi. Semakin lama semakin kuat. Semakin lama semakin jelas...

Tittttttttt...Tiitttttt...Tiitttttt....Tiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiitttttttttttttttttttt. Rupanya itulah bunyi jam penggera telefon bimbitku yang telah dikunci sebelum tidur tadi mengejutkan aku dari mimpi yang indah. Duhai telefon bimbit, andai kau tahu nilai mimpiku tadi, pasti kau tidak akan tegar hati untuk membangunkan aku.

Dalam kemamaian aku cuba mengimbas kembali tazkirah yang diberikan oleh Tuan Guru tadi. Aku hanya mampu mengingati dua perkara daripada banyak perkara yang beliau nasihatkan. Pertama, hanya Islam lah yang mampu membawa kesejahteraan kepada alam maya ini. Tiada ideologi lain yang mampu menyaingi Islam. Kedua, perjuang dan pertahankanlah Islam itu sepertimana mempertahankan nyawa sendiri. Itu sahaja. Yang lain seolah melayang begitu sahaja. Nama pun mimpi kan.

Aku bingkas bangun mencapai tuala dan menuju ke bilik mandi dengan hati yang berbunga-bunga. Bukan senang mendapat mimpi bertemu ulama. Hebat betul Tuan Guru. Dalam mimpi pun masih sempat memberikan ilmu dan tazkirah.

Cuma mengapa mimpi indah ini hadir ketika tidur kala waktu subuh?

Friday, April 17, 2009

Yang Indah


11.40 pagi
Kota Bharu, Qlate

Tuesday, April 14, 2009

Mata Rantai



Terkadang aku ingin semulia Ali
Insan terpilih di pembaringan Rasulullah
Sekelumit ragu tiada di hatinya
Allah dan Rasul adalah matlamat

Terkadang aku ingin sehebat Imam Shafie
Menuntun ilmu sehingga tiada sempat berkelamin
Ensaiklopedia rujukan umat
Tawaduk dan rendah hati hiasan budi

Terkadang aku ingin seluhur Al-Banna
Pencetus ulung Ikhwan Muslimin
Mujaddid alaf tiada henti berdakwah
Mengabdikan hidup di jalan perjuangan

Terkadang aku ingin sekental Syeikh Ahmad Yassin
Seorang buta berkerusi roda
Lumpuh tidak berdaya
Namanya sahaja bisa mengecutkan sang zionis

Terkadang aku ingin segagah isi Memali
Berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim
Tidak gentar walau tubuh dihujani ribuan peluru
Senyuman indah menyambut rimbun kesyahidan

Kemudian aku tersedar
Aku perlu menjadi aku
ISLAHKAN DIRIMU DAN SERULAH ORANG LAIN
Mata rantai menjejak akan kemuliaan mereka

Bandar Baru Bangi
13 April 2008
11.32 malam

Friday, March 27, 2009

Pelancaran Blog Rasmi Tok Guru Nik Aziz


Alhamdulillah, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah pun memulakan langkah mengembang luaskan ilmunya melalui blog rasmi beliau yang telah dilancarkan sempena Pelancaran Wifi Aptus Net pada 29 Rabiul Awal 1430/26 Mac 2009 Bermula jam 3.00 petang bertempat di KB MALL, Kota Bharu, Kelantan.

Apa yang menarik blog Tok Guru mempunyai tulisan rumi dan jawi. Satu usaha yang baik oleh Tuan Guru untuk kembali mengembangkan tulisan jawi yang hampir pupus sebagaimana pupusnya kaum dinasor suatu ketika dulu.

Sedikit petikan,

Pada hari ini juga kita akan melancarkan apa yang disebut ‘Blog Tok Guru’, iaitu Blog rasmi saya sendiri, atas nama Menteri Besar. Penggunaan Blog sebagai penyampai maklumat dan pendapat adalah alat yang penting ke arah usaha-usaha dakwah. Ia menjadi saluran tambahan yang InsyaAllah akan berkembang terus menerus. Jika dulu, sabda Nabi S.A.W. berpindah dari mulut ke mulut dan berjangkit dari mimbar ke mimbar melalui risalah, kitab dan tulisan, tetapi kini ia bergerak cukup pantas. Ia boleh membuat capaian dalam jumlah jutaan manusia dalam satu-satu masa. Melalui saluran maya, pendakwah yang bijaksana patut menggunakan kemudahan ini untuk menggalakkan makruf dan menentang kemungkaran.

Saya difahamkan bahawa Blog saya ini sangat berbeza dengan blog-blog yang sedia ada. Ini ialah kerana Blog ini disediakan dalam dua versi, iaitu rumi dan jawi. Oleh yang demikian, dapatlah pembaca yang terdiri dari imam dan guru-guru pondok membaca Blog tersebut untuk mengetahui tulisan/pendirian saya selaku Menteri Besar dan Mursyidul Am. Barangkali Blog saya ini boleh juga menjadi sumber rujukan kepada wartawan supaya setiap pendirian saya dalam setiap isu tidak mudah dikeliru atau lebih-lebih lagi cuba diputar belitkan.

Tahniah Tok Guru! Semoga ilmumu akan terus bersinar memayungi kami dan memandu kami ke arah jalan yang diredhai-Nya. Amin.

Klik Blog Rasmi Tuan Guru Nik Aziz

Sunday, March 15, 2009

Pulang Ke Kampung

Setelah mengharungi sebulan yang cukup menyibukkan untuk perjalanan Seminar Hala Tuju PPSMI, maka ianya telah berakhir semalam. Cuma seminar yang berakhir. Perjuangan itu tidak akan pernah dinoktahkan.

8.30 pagi, 16 Mac 2009 akan pulang ke kampung di Qlate. Bagi tujuan perkahwinan. Cuma yang menyedihkan, ia bukanlah perkahwinanku. Sekadar perkahwinan sepupuku yang tinggal berhampiran rumahku. Perlu pulang beberapa hari untuk membantu beberapa kerja yang patut disebalik kerja-kerja makmal masih menimbun dan belum dibereskan.

Sungguh gumbira apabila mendapat peluang pulang ke kampung. Yang tidak seronok cuma satu. Untuk mengakses internet perlu ke Wakaf Bharu. Susah juga begitu. Agak jauh.

Apa pun daku tetap menyayangi Qlateku. Semoga perjalanan ini selamat pergi dan pulang, insyallah. Sungguh tidak sabar.

Qlate, Nantikan kepulanganku!!!

Thursday, March 5, 2009

Engkau Marahkan Siapa?


Suatu petang yang lebat disirami hujan dan agak sejuk. 2 sahabat sedang berteleku di bilik yang diselubungi kedinginan.

"Susah lah sekarang ni. Tiap-tiap petang hujan. Nak pergi mana-mana pun susah," bentak seorang pemuda berbaju jingga. Sedikit marah nadanya.

Teman di sebelahnya tersenyum seraya menyampuk, "Sahabatku, mengapa ni. Sabarlah. Tak perlu marah-marah," nasihatnya.

"Bukan apa. Aku nak pergi Kajang lah petang ni. Ada hal. Terpaksa batalkan sebab hujan," jawabnya sambil mendengus.

"Sahabat, cuba fikir sejenak. Siapa sebenarnya yang engkau marahkan. Adakah engkau marahkan hujan? Itu salah sama sekali. Hujan itu makhluk. Ia tiada kuasa. Atau engkau marahkan pembawa titisan hujan. Itu pun tidak kena sebab pembawa titisan hujan itu juga makhluk. Lemah dan tiada kuasa. Atau mungkin engkau marahkan Khaliq, Pencipta hujan dan pembawa titisan hujan itu. Yang mengarahkan titisan hujan melalui pembawa titisan hujan untuk turun di mana-mana yang Dia arahkan. Dia yang mentakdirkan segalanya hatta sehelai daun yang jatuh dari sebatang pokok pun termasuk di dalam perancangan-Nya. Baiklah, sekarang tentukan siapa sebenarnya yang engkau marahkan," Temannya mengakhiri bicara. Agak panjang labunnya. Namun, senyuman tidak pernah lekang dari bibirnya.

Pemuda berbaju jingga itu terdiam. Memikirkan sesuatu barangkali.

Andai pemuda berbaju jingga itu tahu akan hakikat kepada siapa amarah itu ditujukan, usahkan hendak berbicara, hendak terlintas di hati pun dia tidak akan sesekali berani.

~ Sampaikan dariku walau sepotong ayat ~

Sunday, March 1, 2009

Pindah Rumah Baru

Assalamualaikum wbt,

Samudera Tinta sedang dalam proses perpindahan ke rumah baru. Ke rumah yang lebih selesa. Walaupun tidak banyak bahan-bahan yang harus diangkut, namun agak memenatkan juga. Terima kasih di atas sokongan sahabat-sahabat sekalian.

Jika terdapat sebarang kesulitan atau permasalahan dengan rumah baru ini harap dapat beritahu diriku ya. Biasalah rumah baru. Banyak yang perlu dilihat dan diperhatikan.

Semoga dengan penghijrahan ini akan menyemarakkan lagi usaha dakwah kita bersama di alam siber ini.

~ Perjuangan Harus Diteruskan ~

Friday, February 27, 2009

Warkah Duka Buat Adik Nurin Jazlin


Menemui Allayarhamah adinda Nurin Jazlin yang kini berada di alam barzah, semoga berada di dalam keadaan yang sihat ceria dan senantiasa di bawah kasih-sayang Ilahi.

Tujuan abang menghantar warkah ini kepada adik adalah sekadar untuk bertanya khabar dan mengimbau kenangan sepanjang adik meninggalkan abang dan rakyat Malaysia. Hari ini, hampir 555 hari adik meninggalkan abang dan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian. Namun, tahukah adik bahawa sepanjang tempoh itu pihak polis masih tidak dapat mencari siapa pembunuh adik. Licik sungguh pembunuh sadis itu sehingga polis-polis Malaysia yang terkenal kerana kecekapannya menangani kes-kes yang berprofil tinggi dipermain-mainkan begitu sahaja.

Namun, adik jangan sesekali menyalahkan pihak polis di atas kegagalan ini. Pihak polis tidak bersalah. Mereka ada banyak kerja. Terlalu banyak dik. Untuk pengetahuan adik, semasa pilihanraya P36 Kuala Terengganu baru-baru ini hampir 6000 orang polis dikerahkan semata-mata untuk mengawal keadaan di sana. Itu angka yang rasmi. Yang tidak rasmi dengarnya melebihi 10000. Sebab itulah mereka tidak dapat fokus untuk kes adik. Lagipun mereka dibayar gaji oleh kerajaan. Bukan adik yang membayar gaji mereka. Sebab itulah mereka perlu berkhidmat untuk kerajaan.

Nanti akan ada pilihanraya kecil lagi selepas ini. Pihak polis akan menjadi sangat sibuk sampai hendak makan pun tidak sempat. Pihak polis juga perlu sentiasa memantau dan mengepung ceramah pembangkang dik. Yalah, pembangkang kan jahat. Suka merusuh. Husam pun kuat merusuh. Sebab itulah ramai polis mengepung dia semasa dia ceramah baru-baru ni. Teruk betul pembangkang ni kan dik. 

Pemuda yang kena tembak dari jarak dekat oleh polis di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu dulu pun jahat dik. Adik nak tahu apa kesalahan dia? Dia takbir kuat sangat masa dengar ceramah. Mana boleh takbir kuat-kuat. Mengganggu ketenteraman awam. Sebab tu polis tembak dengan peluru hidup sampai tembus ke paru-paru dia dik. Sepatutnya pemuda tersebut kena julang ‘keris telanjang’ dan jerit ‘Hidup Melayu’ macam dalam Perhimpunan Agung Perasuah. Barulah membawa keharmonian antara kaum di negara kita dan tidak mengganggu ketenteraman awam. Polis pun senang hati. Pembangkang ni ada-ada saja. Tak habis-habis.

Adik pernah jumpa tak kawan adik kat sana yang bernama adik Haserawati Saridi. Dulu dia berusia 9 tahun. Dia murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Tobobon. Adik tau tak Haserawati ditemui mati di kawasan semak semasa nak pergi ke sekolah dia di Kampung Ratau, Menggatal, Kota Kinabalu. Polis kata dia dibunuh dan dirogol juga. Kesian dia dik. Pernah tak adik jumpa dia? 

Seorang lagi nama Siti Nurliyana Shamimi Rosdi. Adik pernah jumpa dia? Siti Nurliyana baru berusia 2 tahun dik. Dia telah diculik, dirogol dan dibunuh pada 6 November 2002 dan telah dijumpai dalam keadaan bogel jam 9 pagi di tebing Sungai Kedah, 500 meter dari rumahnya di Kampung Seberang Terus. Kalau adik nak tahu terdapat kesan koyak pada kemaluan mangsa, selain 40 kesan luka pada badan dan pendarahan dalam otak mangsa, dipercayai akibat dipukul dengan benda keras. Dahsyat betul kan penjahat tu. Tapi abang tak pasti jika pihak polis dah jumpa dan tangkap penjenayah tu. =(

Adik sempat kenal tak dengan adik Nurul Huda Abd Ghani. Dia murid tahun 4. Dia pun menjadi mangsa kerakusan manusia. Kalau adik nak tahu, Adik Huda dirogol dan diliwat secara bergilir-gilir oleh tiga lelaki di Pondok Pengawal Stesen Janakuasa TNB Kg Pekajang, Gelang Patah, Johor Bharu pada 17 Januari 2004. Kisah ini begitu menyentap sanubari penduduk Malaysia sehingga semua orang bising. Kemudian, lama-kelamaan semua senyap kembali seperti sedia kala.

Sebenarnya dik banyak lagi kes kanak-kanak hilang dan menjadi mangsa keganasan manusia yang berhati binatang. Adik Sharlinie, adik Asmawi, dan banyak lagi kanak-kanak yang hilang belum dijumpai. Abang terfikir dalam kes kanak-kanak ni kan, sebenarnya yang bersalah adalah adik dan rakan-rakan adik tu. 

Kenapa? Kerana adik dan rakan-rakan adik yang menjadi mangsa bukan dari kalangan anak-anak pak menteri, dato’, datuk, tan sri, tun dan banyak lagi pembesar. Sekadar anak orang biasa, marhaen kata orang. Buang karan sahaja dik. Jika adik dan rakan-rakan adalah anak-anak pembesar negara, pasti bergegas dan bertungkus-lumus pihak polis itu. 

Adik nak tahu tak masa kes adik tengah hangat dulu, Kementerian Wanita dan Keluarga cadang supaya gubal akta untuk mendakwa ibu-bapa yang dikatakan cuai sehingga anak mereka diculik dan hilang. Ketua bapak polisi negara pula kata undang-undang itu telah lama wujud. Cuma tidak dipraktikkan. Ketua bapak polisi pernah berkata “jika mendapati terdapat elemen cuai sehingga menjurus kepada penculikan Nurin Jazlin, ibu bapa mangsa boleh diambil tindakan undang-undang bawah Akta Perlindungan Kanak-kanak”

Senang kan menjadi pembesar. Hari-hari duduk mengangkang dalam bilik selesa dan berhawa dingin, gaji + elaun yang halal sahaja sudah menjangkau berpuluh-puluh ribu, menikmati segala kemudahan, tetapi apabila timbul permasalahan, dengan senang hati mereka memberikan cadangan sekadar untuk melepaskan diri. Semua mahu cuci tangan.

Adik tahu tak sekarang barang-barang keperluan semakin mahal. Semuanya disebabkan harga minyak naik menggila dulu. Yang naikkan harga minyak tu orang gila juga. Sekarang, apabila harga minyak turun, harga barang-barang tidak turun. Kekal mahal macam biasa. Ibu-bapa yang mempunyai banyak tanggungan terpaksa bekerja lebih masa dik. Ada yang terpaksa membuat 2 kerja dalam satu masa. Jika tidak macam mana mereka mahu menyara anak-anak mereka. Ini juga menyebabkan ibu-bapa tidak sempat untuk memantau anak-anak. Institusi keluarga semakin terabai.

Jadi, adik rasa siapa yang bersalah? Oh, yang terbaru rakyat Malaysia dapat hadiah lagi. Barangkali hadiah kerana Perak berjaya ’ditawan’. Hadiahnya tol naik 5-33%. Pembesar yang sedap mengangkang dalam bilik berhawa dingin tadi pasti akan berkata ”kenaikan kadar tol baru itu sebagai sangat kecil”. Adik rasa harga barang akan naik tak dengan kenaikan harga tol ni. Entahlah, adik fikirlah sendiri ye.

Adik tahu apa itu PLKN? Program Laknat Kacau Negara? Eh, bukan. Adik silap tu. PLKN tu Program Latihan Khidmat Negara. Sudah ramai generasi muda daripada rakyat marhaen Malaysia meninggal dunia semasa mengikuti program tu. Yang perempuan ada dirogol. Cuba adik sebut nama-nama anak pembesar negara yang pernah diwajibkan ikut PLKN. Abang pun kurang ingatan di situ. Mungkin kerana abang dah tua. Lagi satu jika adik adalah artis di Malaysia, adik boleh tangguh pergi PLKN tau. Lebih-lebih lagi jika yang jelita dan seksi. Mungkin kerana terikat dengan penggambaran dan persembahan, maka kerajaan beri kelonggaran kepada mereka. Baik betul kerajaan kerana tidak mahu mengganggu periuk nasi rakyat mereka.

Tapi jika adik adalah Ahmad Hafizal Ahmad Fauzi, 18, adik tidak boleh tangguh. Sebab apa? Sebab Ahmad Hafizal orang miskin. Dia tidak popular. Kerja pun tidak glamor. Sekadar bertani dan bersawah di bendang untuk membantu ibunya yang bekerja sebagai pembantu tadika dan adik-adiknya yang masih kecil di Kampung Titi Serong, Kuala Perlis. Ayah dan ibunya dah bercerai. Jadi, dialah yang perlu membantu ibu dan adik-adiknya.

Dia didapati bersalah tidak pergi melapor diri di PLKN. Dia diberikan pilihan samada membayar denda RM600 atau masuk penjara 14 hari. Tapi Ahmad Hafizal pilih 14 hari penjara. Dia pilih penjara bukan kerana di penjara ada Mc Donald dik. Bukan begitu. Ahmad Hafizal pilih penjara kerana dia tidak mampu membayar denda tersebut. Bagaimana Ahmad Hafizal nak bayar denda tersebut, untuk tambang ke mahkamah pun dia tepaksa pinjam duit orang. Ahmad Hafizal hadir ke mahkamah pun tanpa diwakili peguam bela. Siapa nak bela orang miskin yang tiada duit. Menghabiskan beras sahaja dik. 

Begitulah nasib marhaen di Malaysia. Sebab itu ramai yang nak jadi artis. Boleh jadi kaya. Ada yang masuk Gangstarz, Akademi Fantasia, Once In Million, Audition, My Starz LG, dan banyakkkkkk lagi. Jalan pintas syurga dunia.

Rasanya sudah terlalu panjang abang mencoretkan tinta buat adik. Abang rasa cukuplah setakat ini dulu. Jika ada masa lapang nanti abang akan bercerita lagi dengan adik. Abang doakan adik berbahagia ’di sana’, insyallah.

Oh, ya. Terlupa pula abang. Adik ada blog juga tau. Tidak silap abang bapa saudara adik yang buat. Sebagai tanda peringatan, ingatan untuk adik dan juga tanda kegagalan pihak berwajib menangani kes adik Blog adik www.nurinjazlin.blogspot.com. Abang juga akan letakkan gambar adik pada blog abang mulai hari ini.

Sekian, terima kasih.

Ikhlas dariku,

Abang Samudera Tinta
P/s:Bersama-sama kita berdoa dan membaca surah Al-Fatihah buat Adik Nurin, Adik Huda, Adik Nurliyana dan ramai lagi mangsa keganasan kanak-kanak yang masih tidak terbela. Semoga Allah merahmati mereka dan kita semua. Al-Fatihah.


Thursday, May 22, 2008

Mengapa Berblog?

Rupa-rupanya bidang blog ini juga menuntut kesabaran! Masakan tidak, baru tadi aku selesai menaip lebih kurang 3 perenggan entry baru, namun akibat tersilap teknik semasa save, entry tersebut terus hilang, lantas membazirkan masaku selama 15 minit yang aku gunakan untuk menaip entry tersebut. Ish, sabar je lah! Kang tak pasal-pasal ada yang berhenti terus berblog.. =)
Berbalik kepada soalan tadi mengapa berblog? Ini adalah soalan biasa ditanya kepada mereka yang berhasrat untuk berblog ataupun yang baru memasuki dunia blog. Jika ditanya kepadaku secara peribadi, bagiku blog merupakan satu medium untuk meluahkan apa yang tersimpan di minda dan hati.
Lagipun bagi diriku, "sang tikus makmal" yang duniaku hanyalah dinding konkrit empat segi dan menghambakan seluruh hariku di dalam makmal yang kadangkala menggembirakan (apabila eksperimen yang dibuat menjadi) dan kadangkala menyedihkan (banyak faktor, mungkin aku boleh kongsikan kemudian), dengan berblog aku boleh melepaskan segala tekanan dan faktor-faktor lain yang menghimpit dadaku. Kerna melalui penulisan kita mampu menyalurkan dan mempamerkan perasaan kita.
Jadi, aku harap ini akan menjadi titik permulaan yang baik kepada ku. Semoga terus menjadi motivasi kepadaku untuk terus menghabiskan saki-baki perjuangan di bumi Bangi yang indah ini.. =)
Don't give up! Go Kimone!

Selamat Datang Ke Dunia Blog!

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera,

Saya adalah Kimone Al-Kindi. Sedang cuba-cuba untuk melibatkan diri dalam dunia bloggers. Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada diri saya sendiri kerana telah berjaya melibatkan diri dalam salah satu media yang cukup efektif dasawarsa ini. Tak Caye? Cube tanya Menteri Penerangan yang baru, Shabery Chik.. =)
Semoga terus istiqamah dalam berblog.
Go, go Kimone!!
Related Posts with Thumbnails