Sunday, March 8, 2009

Letak Satu Gambar Dulu Lah

Macam pernah nampak je kain rentang ni. Tapi di mana ya?

Tentu semua dah baca laporan atau berita berkaitan Perhimpunan 100,000 Rakyat Membantah PPSMI. Aku pun pergi juga.Hehe..

Ingat nak tulis malam ni tapi ada hal pulak tadi. Esok-esok lah tulis. Dah tak larat.

Masih terdapat sedikit batuk-batuk kesan gas kimia yang nyaman tadi. Perhimpunan ni memang bagus. Walaupun tidak sebesar BERSIH, namun sangat berbaloi mengikutinya, alhamdulillah syukur.

Nak tidur dah. Nanti labun lagi ya..

Friday, March 6, 2009

Derita Dan Kehancuran Anak Bangsa !!

Hentikan segera projek Barisan Munafik menghancurkan anak bangsa! Mansuhkan PPSMI!!



Seminar Halatuju Dasar Pengajaran Dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) Dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan 2009. 14 Mac 2009.Para pembentang kertas kerja yang hebat dan berkaliber. Untuk menyertai klik di sini.

Thursday, March 5, 2009

Engkau Marahkan Siapa?


Suatu petang yang lebat disirami hujan dan agak sejuk. 2 sahabat sedang berteleku di bilik yang diselubungi kedinginan.

"Susah lah sekarang ni. Tiap-tiap petang hujan. Nak pergi mana-mana pun susah," bentak seorang pemuda berbaju jingga. Sedikit marah nadanya.

Teman di sebelahnya tersenyum seraya menyampuk, "Sahabatku, mengapa ni. Sabarlah. Tak perlu marah-marah," nasihatnya.

"Bukan apa. Aku nak pergi Kajang lah petang ni. Ada hal. Terpaksa batalkan sebab hujan," jawabnya sambil mendengus.

"Sahabat, cuba fikir sejenak. Siapa sebenarnya yang engkau marahkan. Adakah engkau marahkan hujan? Itu salah sama sekali. Hujan itu makhluk. Ia tiada kuasa. Atau engkau marahkan pembawa titisan hujan. Itu pun tidak kena sebab pembawa titisan hujan itu juga makhluk. Lemah dan tiada kuasa. Atau mungkin engkau marahkan Khaliq, Pencipta hujan dan pembawa titisan hujan itu. Yang mengarahkan titisan hujan melalui pembawa titisan hujan untuk turun di mana-mana yang Dia arahkan. Dia yang mentakdirkan segalanya hatta sehelai daun yang jatuh dari sebatang pokok pun termasuk di dalam perancangan-Nya. Baiklah, sekarang tentukan siapa sebenarnya yang engkau marahkan," Temannya mengakhiri bicara. Agak panjang labunnya. Namun, senyuman tidak pernah lekang dari bibirnya.

Pemuda berbaju jingga itu terdiam. Memikirkan sesuatu barangkali.

Andai pemuda berbaju jingga itu tahu akan hakikat kepada siapa amarah itu ditujukan, usahkan hendak berbicara, hendak terlintas di hati pun dia tidak akan sesekali berani.

~ Sampaikan dariku walau sepotong ayat ~

Wednesday, March 4, 2009

Ini Bukan Rusuhan, Ini Bukan Demonstrasi, Ini adalah Perhimpunan Cinta Luar Biasa


1.Perhimpunan Aman 100000 Rakyat Mansuhkan PPSMI akan diadakan dalam sedikit masa lagi. Sayugia untuk menyemak kembali persediaan dan peranan kita dalam perhimpunan cinta luar biasa ini.

1.1Tarikh : 7 Mac 1983
1.2Masa : 2 Petang
1.3Tempat : Istana Negara

2.Gerakan Mansuhkan GMP telah menetapkan tiga tempat berkumpul sebelum masing-masing berarak ke Istana Negara. Tempat-tempat tersebut adalah :

2.1.Pusat Perniagaan SOGO
2.2.Pasar Seni (Central Market)
2.3.Masjid Negara

3.Warna tema : PUTIH - simbolika pembersihan Sains dan Matematik daripada PPSMI

4.Pimpinan-pimpinan yang akan hadir;

4.1.Dato’ Dr Hassan Ahmad
4.2.Y.B Dato’ Seri Anwar Ibrahim
4.3.Y.B Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang
4.4.Y.B Lim Kit Siang
4.5.Dato' A. Samad Said
4.6.Prof Emeritus Dato’ Nik Safiah Karim
4.7.Prof Dr Shahrir Mohd Zain
4.8.Prof Emeritus Abdullah Hassan
4.9.Pimpinan Pakatan Rakyat Seluruh Malaysia
4.10.Pimpinan Jaringan Siswazah Malaysia (JASA)
4.11.Pimpinan dan ahli PEKEMBAR yang menentang dasar PPSMI
4.12.Seluruh rakyat Malaysia yang cintakan kebenaran

5.Perhimpunan ini telah mendapat sokongan dan dokongan pelbagai persatuan, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun individu. Antaranya;

5.1.Majlis Permuafakatan Persatuan Ibubapa & Guru Nasional (PIBGN) yang mempunyai 8000 persatuan PIBG di seluruh negara
5.2. Suara Rakyat Malaysia(SUARAM) bersama 53 persatuan lain telah turut sama menyokong GMP
5.3.Jaringan Siswazah Malaysia (JASA)
5.4.Makcik jual kuih dekat Shell Sekyen Bangi
5.5.Pakcik Perpustakaan UKM
5.6.Persatuan dan badan bukan kerajaan yang cintakan kebenaran
5.7.Seluruh rakyat Malaysia yang cintakan kebenaran

6.Peserta adalah dilarang sama sekali membawa barang-barang yang berbahaya seperti senjata, peralatan tajam dan lain-lain lagi. Sebarang simbol parti juga tidak dibenarkan.

7.Digalakkan membawa tuala kecil dan air mineral

8.Digalakkan datang awal dan menaiki kenderaan awam

9.Diingatkan bahawa perhimpunan ini adalah perhimpunan aman. Takkanlah A. Samad Said nak merusuh pulak! Logik lah sikit fikir tu..

(Diambil dan diolah semula secara bebas dari Suhaizan Kaiyat)


Monday, March 2, 2009

BERSIH Semalam; Di Situ Wujud Akidah & Tawakal





Himpunan Aman 100,000 Rakyat Membantah PPSMI tinggal beberapa hari lagi. Lebih kurang seminggu menuju ke 7 Mac. Apabila disebut himpunan aman, fikiranku tidak dapat lari daripada mengingati BERSIH, himpunan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil tanggal 10 Nov 2007 yang lalu. BERSIH yang meninggalkan kenangan terindah yang tidak mungkin aku lupakan selagi hayat dikandung badan.

Dalam almari bajuku masih tersimpan kemas t-shirt kuning itu walaupun sudah sedikit kusam. Kuning BERSIH. Kuning sebagai lambang luahan cinta para pencari kebenaran dan keadilan yang tiada bertepi.

Banyak yang aku pelajari daripada BERSIH. Bermula daripada ukhuwah, kasih-sayang, cinta, sehinggalah kepada pengajaran akidah dan kebergantungan makhluk kepada Khaliq Yang Maha Agung. Sungguh.

BERSIH telah mentakdirkan aku untuk bersama-sama kumpulan di Masjid Jamek. Diketuai Oleh Dr Hatta Yusuf.Ya, kumpulan yang paling teruk dikepung dan terpaksa bertempur dengan unit simpanan persekutuan (FRU). Ingat wartawan Al-Jazeera yang disembur oleh air kimia semasa membuat liputan? Di situlah aku dan para pencinta lain turut sama menyedut akan nyamannya tembakan gas kimia. Perasaannya sukar digambarkan. Hanya yang sudah merasainya akan tahu betapa nikmatnya semburan air dan gas kimia itu.

Seperti yang aku nyatakan, BERSIH memperlihatkan aku apa itu erti cinta sebenar. Saling melindungi di antara satu sama lain semacam kami adalah satu keluarga yang besar. Memang cukup besar. Di saat FRU sibuk menyiram kami dengan pancutan air kimia dan menembak gas kimia, dalam keperitan menahan kesan air dan gas kimia yang menjalar ke seluruh tubuh, kami saling berkongsi garam yang dibawa; penawar keperitan air kimia yang disembur.

Garam diletakkan di bawah lidah akan melegakan sedikit kesan air dan gas kimia itu. Kami yang saling tidak mengenali tidak segan silu untuk berkongsi garam dan air mineral antara satu sama lain seolah telah lama kenal. Semacam sahabat tersangat karib. Melihat sahabat lain tidak berdaya, datang seseorang menawarkan minuman dan pertolongan. Ternyata, BERSIH berjaya menanggalkankan pakaian materialistik umat dan digantikan dengan baju persaudaraan. Pakaian ukhuwah.

Terdapat satu babak yang cukup mengesankan hatiku. Sehingga sekarang pun. Bilamana kami sedang cuba mara ke Dataran Merdeka. Namun, di simpang menghala ke dataran telah dihalang. Di hadapan kami berhimpun gerombolan FRU bersama trak water canonnya. Muncung water canon betul-betul menghala ke arah kami. Dr Hatta yang memimpin kumpulan kembali memberikan kata-kata semangat.

Laungan “Daulat Tuanku“, “Lailahaillallah“, “Allahuakbar“ semakin memanaskan situasi. Aku terdengar Dr Hatta mengarahkan pembantunya menelefon kumpulan yang telah sampai di Istana Negara. “Walau apa yang terjadi, minta diaorang tunggu kita. Jangan serahkan lagi memorandum sebelum kita sampai...“

Sekonyong-konyong trak water canon bergerak mara ke hadapan dan terus menembak ’pelurunya’ ke arah kami. Kelam kabut kami berlari melindungkan diri. Aku berlari ke arah tepi dan masuk ke ruangan hadapan sebuah bangunan yang berbumbung. Lebih kurang 25-30 orang sahabat-sahabat lain berlindung di sini.

Belum puas kami menarik nafas di situ, datang sekumpulan polis dari arah kiri dan kanan bangunan. Kami tidak dapat lari. Kami telah terkepung! Ketika ni aku sudah mula terbayangkan Black Maria, balai polis, lokap dan ibu serta ayahku. Polis dengan lantang mengarahkan semua duduk. Sebaik sahaja duduk, sahabat-sahabat di situ terus melaungkan kalimah keramat “Lailahaillallah“ beramai-ramai dengan begitu kuat. Penuh bersemangat dan dan begitu menggegarkan. Subhanallah, terpana aku seketika. Begitu kental iman serta rasa kebergantungan mereka terhadap ALLAH walaupun dalam situasi cemas seperti itu.

Lantas, aku berasa bersalah. Amat bersalah dengan Allah. Teramat malu dengan diri sendiri. Masakan tidak, di saat genting begitu, aku lebih teringatkan makhluk berbanding Khaliq. Membesarkan ciptaan melebihi Pencipta. Memang aku tidak kenal akan sahabat-sahabat di situ. Namun, aku bersyukur ke hadrat Allah kerana menemukan aku dengan mereka.

Mereka yang tersangat hebat. Mereka memberikan pengajaran yang berguna kepadaku; dalam apa jua situasi hanya Allah Yang Maha Esa semata-mata tempat mengadu dan bergantung harap. Maha Esanya Allah membawa maksud tiada sekutu bagi-Nya. Tiada bandingan Allah Taala itu walau dengan apa jua sekalipun. Mengenangkan kembali akan detik-detik ini, mudah sahaja mengundang rasa sebak bertamu. Mengingatkanku akan betapa agungnya nikmat Allah Taala. Ya, Allah ampunilah dosa-dosa ku itu. Jangan sesekali engkau campakkan aku ke dalam jurang kesyirikan. Aku bertaubat hanya kepada-Mu.

Itulah secebis pengalaman yang sangat berbekas di dalam hatiku. Jika ingin diceritakan semuanya, tersangat panjang. Aku ada buat sedikit catatan. Kurang lebih 7 mukasurat semuanya. Aku namakannya Hikayat Cinta Luar Biasa. Hikayat orang biasa yang mempunyai cinta luar biasa. Cinta kebenaran. Cinta keadilan dan bencikan kezaliman. Cinta yang disandarkan hanya kepada Pemilik Segala Cinta.

Ya Allah, aku sedar. Teramat sedar bahawa aku tidak layak sedikit pun untuk menagih cinta-Mu. Namun, apalah sudi kiranya Engkau memberikanku sedikit daripada keampunan-Mu walau sekadar sisa-sisanya. Semoga apa yang aku lakukan semata-mata hanya kerana-Mu.

BERSIH itu indah. Namun, Yang Maha Indah itu adalah zat-Nya Yang Maha Agung. Yang membenarkan BERSIH yang indah lagi bersejarah itu berlaku.

2 Sudah, 3 Lagi Bakal Menyusul


United yang menakjubkan.

Sudah:

1.Piala Juara Kelab Dunia

2.Piala Carling Cup* (Seperti dalam gambar. Menang 4-1 lawan Spurs)

Bakal Menyusul:

1. Piala Juara Eropah (UCL)

2.Piala F.A

3.Liga Perdana Barclays

Glory, Glory Manchester United!

Sunday, March 1, 2009

Pindah Rumah Baru

Assalamualaikum wbt,

Samudera Tinta sedang dalam proses perpindahan ke rumah baru. Ke rumah yang lebih selesa. Walaupun tidak banyak bahan-bahan yang harus diangkut, namun agak memenatkan juga. Terima kasih di atas sokongan sahabat-sahabat sekalian.

Jika terdapat sebarang kesulitan atau permasalahan dengan rumah baru ini harap dapat beritahu diriku ya. Biasalah rumah baru. Banyak yang perlu dilihat dan diperhatikan.

Semoga dengan penghijrahan ini akan menyemarakkan lagi usaha dakwah kita bersama di alam siber ini.

~ Perjuangan Harus Diteruskan ~

Friday, February 27, 2009

Warkah Duka Buat Adik Nurin Jazlin


Menemui Allayarhamah adinda Nurin Jazlin yang kini berada di alam barzah, semoga berada di dalam keadaan yang sihat ceria dan senantiasa di bawah kasih-sayang Ilahi.

Tujuan abang menghantar warkah ini kepada adik adalah sekadar untuk bertanya khabar dan mengimbau kenangan sepanjang adik meninggalkan abang dan rakyat Malaysia. Hari ini, hampir 555 hari adik meninggalkan abang dan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian. Namun, tahukah adik bahawa sepanjang tempoh itu pihak polis masih tidak dapat mencari siapa pembunuh adik. Licik sungguh pembunuh sadis itu sehingga polis-polis Malaysia yang terkenal kerana kecekapannya menangani kes-kes yang berprofil tinggi dipermain-mainkan begitu sahaja.

Namun, adik jangan sesekali menyalahkan pihak polis di atas kegagalan ini. Pihak polis tidak bersalah. Mereka ada banyak kerja. Terlalu banyak dik. Untuk pengetahuan adik, semasa pilihanraya P36 Kuala Terengganu baru-baru ini hampir 6000 orang polis dikerahkan semata-mata untuk mengawal keadaan di sana. Itu angka yang rasmi. Yang tidak rasmi dengarnya melebihi 10000. Sebab itulah mereka tidak dapat fokus untuk kes adik. Lagipun mereka dibayar gaji oleh kerajaan. Bukan adik yang membayar gaji mereka. Sebab itulah mereka perlu berkhidmat untuk kerajaan.

Nanti akan ada pilihanraya kecil lagi selepas ini. Pihak polis akan menjadi sangat sibuk sampai hendak makan pun tidak sempat. Pihak polis juga perlu sentiasa memantau dan mengepung ceramah pembangkang dik. Yalah, pembangkang kan jahat. Suka merusuh. Husam pun kuat merusuh. Sebab itulah ramai polis mengepung dia semasa dia ceramah baru-baru ni. Teruk betul pembangkang ni kan dik. 

Pemuda yang kena tembak dari jarak dekat oleh polis di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu dulu pun jahat dik. Adik nak tahu apa kesalahan dia? Dia takbir kuat sangat masa dengar ceramah. Mana boleh takbir kuat-kuat. Mengganggu ketenteraman awam. Sebab tu polis tembak dengan peluru hidup sampai tembus ke paru-paru dia dik. Sepatutnya pemuda tersebut kena julang ‘keris telanjang’ dan jerit ‘Hidup Melayu’ macam dalam Perhimpunan Agung Perasuah. Barulah membawa keharmonian antara kaum di negara kita dan tidak mengganggu ketenteraman awam. Polis pun senang hati. Pembangkang ni ada-ada saja. Tak habis-habis.

Adik pernah jumpa tak kawan adik kat sana yang bernama adik Haserawati Saridi. Dulu dia berusia 9 tahun. Dia murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Tobobon. Adik tau tak Haserawati ditemui mati di kawasan semak semasa nak pergi ke sekolah dia di Kampung Ratau, Menggatal, Kota Kinabalu. Polis kata dia dibunuh dan dirogol juga. Kesian dia dik. Pernah tak adik jumpa dia? 

Seorang lagi nama Siti Nurliyana Shamimi Rosdi. Adik pernah jumpa dia? Siti Nurliyana baru berusia 2 tahun dik. Dia telah diculik, dirogol dan dibunuh pada 6 November 2002 dan telah dijumpai dalam keadaan bogel jam 9 pagi di tebing Sungai Kedah, 500 meter dari rumahnya di Kampung Seberang Terus. Kalau adik nak tahu terdapat kesan koyak pada kemaluan mangsa, selain 40 kesan luka pada badan dan pendarahan dalam otak mangsa, dipercayai akibat dipukul dengan benda keras. Dahsyat betul kan penjahat tu. Tapi abang tak pasti jika pihak polis dah jumpa dan tangkap penjenayah tu. =(

Adik sempat kenal tak dengan adik Nurul Huda Abd Ghani. Dia murid tahun 4. Dia pun menjadi mangsa kerakusan manusia. Kalau adik nak tahu, Adik Huda dirogol dan diliwat secara bergilir-gilir oleh tiga lelaki di Pondok Pengawal Stesen Janakuasa TNB Kg Pekajang, Gelang Patah, Johor Bharu pada 17 Januari 2004. Kisah ini begitu menyentap sanubari penduduk Malaysia sehingga semua orang bising. Kemudian, lama-kelamaan semua senyap kembali seperti sedia kala.

Sebenarnya dik banyak lagi kes kanak-kanak hilang dan menjadi mangsa keganasan manusia yang berhati binatang. Adik Sharlinie, adik Asmawi, dan banyak lagi kanak-kanak yang hilang belum dijumpai. Abang terfikir dalam kes kanak-kanak ni kan, sebenarnya yang bersalah adalah adik dan rakan-rakan adik tu. 

Kenapa? Kerana adik dan rakan-rakan adik yang menjadi mangsa bukan dari kalangan anak-anak pak menteri, dato’, datuk, tan sri, tun dan banyak lagi pembesar. Sekadar anak orang biasa, marhaen kata orang. Buang karan sahaja dik. Jika adik dan rakan-rakan adalah anak-anak pembesar negara, pasti bergegas dan bertungkus-lumus pihak polis itu. 

Adik nak tahu tak masa kes adik tengah hangat dulu, Kementerian Wanita dan Keluarga cadang supaya gubal akta untuk mendakwa ibu-bapa yang dikatakan cuai sehingga anak mereka diculik dan hilang. Ketua bapak polisi negara pula kata undang-undang itu telah lama wujud. Cuma tidak dipraktikkan. Ketua bapak polisi pernah berkata “jika mendapati terdapat elemen cuai sehingga menjurus kepada penculikan Nurin Jazlin, ibu bapa mangsa boleh diambil tindakan undang-undang bawah Akta Perlindungan Kanak-kanak”

Senang kan menjadi pembesar. Hari-hari duduk mengangkang dalam bilik selesa dan berhawa dingin, gaji + elaun yang halal sahaja sudah menjangkau berpuluh-puluh ribu, menikmati segala kemudahan, tetapi apabila timbul permasalahan, dengan senang hati mereka memberikan cadangan sekadar untuk melepaskan diri. Semua mahu cuci tangan.

Adik tahu tak sekarang barang-barang keperluan semakin mahal. Semuanya disebabkan harga minyak naik menggila dulu. Yang naikkan harga minyak tu orang gila juga. Sekarang, apabila harga minyak turun, harga barang-barang tidak turun. Kekal mahal macam biasa. Ibu-bapa yang mempunyai banyak tanggungan terpaksa bekerja lebih masa dik. Ada yang terpaksa membuat 2 kerja dalam satu masa. Jika tidak macam mana mereka mahu menyara anak-anak mereka. Ini juga menyebabkan ibu-bapa tidak sempat untuk memantau anak-anak. Institusi keluarga semakin terabai.

Jadi, adik rasa siapa yang bersalah? Oh, yang terbaru rakyat Malaysia dapat hadiah lagi. Barangkali hadiah kerana Perak berjaya ’ditawan’. Hadiahnya tol naik 5-33%. Pembesar yang sedap mengangkang dalam bilik berhawa dingin tadi pasti akan berkata ”kenaikan kadar tol baru itu sebagai sangat kecil”. Adik rasa harga barang akan naik tak dengan kenaikan harga tol ni. Entahlah, adik fikirlah sendiri ye.

Adik tahu apa itu PLKN? Program Laknat Kacau Negara? Eh, bukan. Adik silap tu. PLKN tu Program Latihan Khidmat Negara. Sudah ramai generasi muda daripada rakyat marhaen Malaysia meninggal dunia semasa mengikuti program tu. Yang perempuan ada dirogol. Cuba adik sebut nama-nama anak pembesar negara yang pernah diwajibkan ikut PLKN. Abang pun kurang ingatan di situ. Mungkin kerana abang dah tua. Lagi satu jika adik adalah artis di Malaysia, adik boleh tangguh pergi PLKN tau. Lebih-lebih lagi jika yang jelita dan seksi. Mungkin kerana terikat dengan penggambaran dan persembahan, maka kerajaan beri kelonggaran kepada mereka. Baik betul kerajaan kerana tidak mahu mengganggu periuk nasi rakyat mereka.

Tapi jika adik adalah Ahmad Hafizal Ahmad Fauzi, 18, adik tidak boleh tangguh. Sebab apa? Sebab Ahmad Hafizal orang miskin. Dia tidak popular. Kerja pun tidak glamor. Sekadar bertani dan bersawah di bendang untuk membantu ibunya yang bekerja sebagai pembantu tadika dan adik-adiknya yang masih kecil di Kampung Titi Serong, Kuala Perlis. Ayah dan ibunya dah bercerai. Jadi, dialah yang perlu membantu ibu dan adik-adiknya.

Dia didapati bersalah tidak pergi melapor diri di PLKN. Dia diberikan pilihan samada membayar denda RM600 atau masuk penjara 14 hari. Tapi Ahmad Hafizal pilih 14 hari penjara. Dia pilih penjara bukan kerana di penjara ada Mc Donald dik. Bukan begitu. Ahmad Hafizal pilih penjara kerana dia tidak mampu membayar denda tersebut. Bagaimana Ahmad Hafizal nak bayar denda tersebut, untuk tambang ke mahkamah pun dia tepaksa pinjam duit orang. Ahmad Hafizal hadir ke mahkamah pun tanpa diwakili peguam bela. Siapa nak bela orang miskin yang tiada duit. Menghabiskan beras sahaja dik. 

Begitulah nasib marhaen di Malaysia. Sebab itu ramai yang nak jadi artis. Boleh jadi kaya. Ada yang masuk Gangstarz, Akademi Fantasia, Once In Million, Audition, My Starz LG, dan banyakkkkkk lagi. Jalan pintas syurga dunia.

Rasanya sudah terlalu panjang abang mencoretkan tinta buat adik. Abang rasa cukuplah setakat ini dulu. Jika ada masa lapang nanti abang akan bercerita lagi dengan adik. Abang doakan adik berbahagia ’di sana’, insyallah.

Oh, ya. Terlupa pula abang. Adik ada blog juga tau. Tidak silap abang bapa saudara adik yang buat. Sebagai tanda peringatan, ingatan untuk adik dan juga tanda kegagalan pihak berwajib menangani kes adik Blog adik www.nurinjazlin.blogspot.com. Abang juga akan letakkan gambar adik pada blog abang mulai hari ini.

Sekian, terima kasih.

Ikhlas dariku,

Abang Samudera Tinta
P/s:Bersama-sama kita berdoa dan membaca surah Al-Fatihah buat Adik Nurin, Adik Huda, Adik Nurliyana dan ramai lagi mangsa keganasan kanak-kanak yang masih tidak terbela. Semoga Allah merahmati mereka dan kita semua. Al-Fatihah.


Thursday, February 26, 2009

Ikrar Rakyat Mansuhkan PPSMI


Menyedari bahawa, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ;

1.Bertentangan dengan Akta Pendidikan 1996 dan Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan,

2. Pelaksanaan PPSMI ini akan membunuh Bahasa Melayu dan Bahasa Ibunda yang lain sebagai bahasa ilmu,

3. Pelaksanaan PPSMI menafikan hak pelajar sekolah, khususnya di luar bandar dalam bidang sains dan teknologi.

Maka kami, selaku rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan prihatin terhadap masa depan sistem pendidikan dan kedaulatan Negara, berikrar untuk:

1. Komited dalam mendesak kerajaan memansuhkan dasar PPSMI.

2. Berusaha mendaulatkan serta menjunjung Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tanpa mengabaikan kepentingan Bahasa Ibunda yang lain.

3. Bekerjasama mempertahankan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa rasmi Negara

Seterusnya, kami berikrar untuk turun ke Himpunan 100,000 Rakyat Malaysia bagi menyatakan bantahan terhadap PPSMI dan menyerahkan memorandum kepada DYMM Seri Paduka Baginda YDP Agung pada 7 Mac 2009.

(Seperti yang dibacakan oleh saudara Kamaruzzaman, Ketua Pemuda Pas Wilayah dalam Himpunan dan Ikrar Mansuhkan PPSMI di Dewan Perhimpunan Cina, 23 Feb 09 yang lalu)

Tuesday, February 24, 2009

Liputan Forum PPSMI


Dewan Pehimpunan Cina Selangor semalam sekali lagi menjadi saksi akan perhimpunan para pencinta agama dan bangsa. Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), satu badan yang komited memperjuangkan kepentingan Bahasa Melayu menganjurkan satu forum yang dinamakan “Forum Mansuhkan PPSMI” yang membariskan panelis seperti Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Timb Pengerusi PKR Syed Hussin Ali (menggantikan saudara Anwar Ibrahim), Presiden GMP Datuk Hassan Ahmad, Presiden TERAS Cikgu Azmi Abdul Hamid, Dinsman, wakil mahasiswa, NGO dan ramai lagi.

Aku, Odeng dan Pokli turut hadir ke forum ini. Hadir kami bersebab. Bak kata orang moden ada misi khas. Misi pertama, ingin melihat sejauh mana respon dan kepekaan orang ramai terhadap perkembangan isu ini di kala Perarakan Keranda 152 semakin hampir. Tarikh 7 Mac tidak sampai 2 minggu pun lagi. Misi kedua adalah rahsia. Tidak boleh dibuka sebelum sampai masanya. =)

Kami sampai lebih kurang jam 8.45malam setelah tercari-cari tempat program selama 20 minit. Ketika kami sampai hadirin masih berlegar-legar di luar dewan kerana program akan bermula lebih kurang jam 9 malam. Pihak polis juga memberikan kerjasama yang baik dengan mengawal keadaan. Namun agak janggal kerana bilangan mereka agak ramai. Bagiku, sepatutnya tidak perlulah ramai sangat. GMP ni orang baik-baik.3,4 orang cukuplah. Tidak pasal-pasal polis kena buat kerja lebih masa. Kasihan mereka. Lagipun ’Tentera Merah’ Unit Amal turut ada bagi membantu mengawal keadaan.

Beginilah suasana yang sempat dirakamkan oleh lensaku.

Sempat menjenguk bilik VIP. Dari kiri Cikgu Azmi, Syed Hussin Ali, Datuk Hassan, Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dan Prof Shahrir Mohd Zain

YB Dr Halimah dan Dr Lo'lo' pun ada

Setelah ucapan alu-aluan pengerusi majlis, Dato’ Abu Bakar Chik, Pengerusi Lujnah Pendidikan Nasional PAS memulakan ucapan. Bersahaja dan tenang sahaja beliau menyampaikan ucapan.

Seterusnya bacaan sajak oleh Dinsman. Penggiat dan aktivis seni. Dia membacakan sajak yang pernah dibacakan semasa PROTES dahulu di Kelana Jaya. Tajuknya mungkin Macam Orang Gila (aku kurang pasti).

Dinsman sedang membacakan sajak

Ini bukan perjuangan bangsa Melayu semata. Ini perjuangan pencinta kebenaran. Milik semua kaum.

Tiadakah setitis perasaan belas ihsan pembesar terhadap masa depan generasi muda ini?

Seterusnya, saudara Hasni Abbas, Setiausaha GMP tampil menyampaikan ucapan. Hasni banyak menyentuh tentang sejarah perjuangan orang terdahulu memperjuangkan Bahasa Melayu. Antara yang menarik perhatianku apabila dia menyatakan Tun Hussein Onn adalah orang yang komited memperjuangkan bahasa. Malah Tun mencadangkan agar dibakar sahaja Perlembagaan 152 andai kerajaan tidak mementingkan Bahasa Melayu. Buat apa susah-susah.

Sayangnya semangat Tun Hussein Onn ini tidak dapat diwarisi oleh anaknya. Jika Tun pejuang bahasa yang komited, anak Tun pula merupakan pejuang dasar PPSMI yang konsisten. Siapa anak Tun itu? Fikirlah sendiri. Baiklah, aku akan beri pembayangnya. Anak Tun Hussein Onn adalah seorang peminat ’keris telanjang’ dan sering menghunus ’keris telanjangnya’ ke udara. Dapat?

Saudara Hasni juga menyatakan Datuk Hassan Ahamd dulu merupakan setiausaha kepada gerakan Perarakan Keranda 152. Di kala pejuang Bahasa Melayu dan sasterawan bangkit mempertahankan Bahasa Melayu. Sekarang beliau kembali dengan menjadi pengerusi GMP. Begitulah sejarah. Sejarah tidak akan pernah membohongi kita.

Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan ikrar oleh sekumpulan anak muda yang diketuai oleh Ketua Pemuda PAS Wilayah, saudara Kamaruzzaman. Ikrar anak muda, ikrar rakyat untuk memansuhkan PPSMI. Aku terfikir andai Jebat masih hidup, tentu sekali dia akan turut bersama-sama di dalam ikrar ini. Pasti!

Anak Muda Memimpin Perubahan (A.D.A.M). Ikrar membela nasib bahasa, menentang dasar PPSMI.

Majlis diteruskan dengan ucapan oleh Presiden Teras, Cikgu Azmi Abdul Hamid. Seperti Cikgu Azmi yang biasa dilihat, beliau tampil segak dengan pakaian seragam wajibnya; berkain pelikat, berbaju melayu dan bersongkok hitam. Ke mana beliau pergi itulah pakaiannya seolah satu menifestasi jati diri agama dan bangsa terpasak kukuh di dalam lubuk dada.

Pidato Cikgu Azmi cukup memukau. Banyak perkara yang disentuh oleh beliau. Katanya pelbagai cara telah digunakan oleh para ahli akademik, sasterawan dan pejuang bahasa untuk meyakinkan kepada kerajaan bahawa dasar PPSMI akan membawa kepada kehancuran umat. Daripada diskusi, persidangan meja bulat, persidangan, seminar dan bermacam-macam lagi. Malangnya pihak kerajaan hanya memandang sepi. Beliau memetik kata-kata Pak Samad iaitu A. Samad Said, “Pemimpin-pemimpin itu mereka mempunyai 1 telinga dan 2 lidah”. Banyak bercakap seperti munafik tetapi langsung tidak mahu mendengar saranan dan sumbangsaran rakyat marhaen.

Cikgu Azmi juga menyeru dengan penuh semangat, “ Andai dengan menjadi Jebat maruah agama dan bangsa bisa dipertahankan, marilah kita bersama-sama menjadi Jebat! ” diikuti tepukan gemuruh para hadirin. Berderau darahku seketika mendengar kata-kata ini. Meremang bulu roma. Adakah terdapat sisa-sisa darah Jebat mengalir di dalam pembuluh darah tubuhku?

Cikgu Azmi bersemangat memberikan pidato. Antara tokoh yang aku kagumi. Tidak pernah takut menyuarakan kebenaran.

Selepas itu, ucapan diteruskan oleh wakil mahasiswa dan Timb Pengerusi Keadilan, Syed Hussin Ali. Ketika ini, jam sudah menunjukkan pukul 11.30 malam. Oleh kerana mempunyai urusan lain yang erlu diselesaikan, kami terpaksa pulang dahulu tanpa sempat mendengar ucapan Tuan Guru Haji Hadi. Memang rugi rasanya, tapi keadaan tidak mengizinkan. Misi kami juga telah berjaya dicapai dengan jayanya, alhamdulillah.

Kami meninggalkan Dewan Perhimpunan Cina dengan tekad untuk terus memperjuangkan Bahasa Melayu. Kami sedar ia bukan sekadar bahasa biasa. Ia adalah lambang jati diri, budaya, sahsiah dan bahasa ilmu umat Melayu. Di dalamnya telah dimurnikan dan diterapkan dengan nilai-nilai kesyumulan serta kesucian ajaran Islam.

Sehingga kini ,masih terngiang-ngiang di telinga pesanan Cikgu Azmi. ” Jika dengan BAHASA BERADAB kita tidak mampu mengajar mereka, biarlah BAHASA JALANAN menjadi galang gantinya. Kita akan ajar mereka di jalan raya”.

Kuala Lumpur, tunggulah saat itu. Biiznillah, gelombang kedua rakyat pasti akan merempuh!
Related Posts with Thumbnails