Friday, February 27, 2009

Warkah Duka Buat Adik Nurin Jazlin


Menemui Allayarhamah adinda Nurin Jazlin yang kini berada di alam barzah, semoga berada di dalam keadaan yang sihat ceria dan senantiasa di bawah kasih-sayang Ilahi.

Tujuan abang menghantar warkah ini kepada adik adalah sekadar untuk bertanya khabar dan mengimbau kenangan sepanjang adik meninggalkan abang dan rakyat Malaysia. Hari ini, hampir 555 hari adik meninggalkan abang dan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian. Namun, tahukah adik bahawa sepanjang tempoh itu pihak polis masih tidak dapat mencari siapa pembunuh adik. Licik sungguh pembunuh sadis itu sehingga polis-polis Malaysia yang terkenal kerana kecekapannya menangani kes-kes yang berprofil tinggi dipermain-mainkan begitu sahaja.

Namun, adik jangan sesekali menyalahkan pihak polis di atas kegagalan ini. Pihak polis tidak bersalah. Mereka ada banyak kerja. Terlalu banyak dik. Untuk pengetahuan adik, semasa pilihanraya P36 Kuala Terengganu baru-baru ini hampir 6000 orang polis dikerahkan semata-mata untuk mengawal keadaan di sana. Itu angka yang rasmi. Yang tidak rasmi dengarnya melebihi 10000. Sebab itulah mereka tidak dapat fokus untuk kes adik. Lagipun mereka dibayar gaji oleh kerajaan. Bukan adik yang membayar gaji mereka. Sebab itulah mereka perlu berkhidmat untuk kerajaan.

Nanti akan ada pilihanraya kecil lagi selepas ini. Pihak polis akan menjadi sangat sibuk sampai hendak makan pun tidak sempat. Pihak polis juga perlu sentiasa memantau dan mengepung ceramah pembangkang dik. Yalah, pembangkang kan jahat. Suka merusuh. Husam pun kuat merusuh. Sebab itulah ramai polis mengepung dia semasa dia ceramah baru-baru ni. Teruk betul pembangkang ni kan dik. 

Pemuda yang kena tembak dari jarak dekat oleh polis di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu dulu pun jahat dik. Adik nak tahu apa kesalahan dia? Dia takbir kuat sangat masa dengar ceramah. Mana boleh takbir kuat-kuat. Mengganggu ketenteraman awam. Sebab tu polis tembak dengan peluru hidup sampai tembus ke paru-paru dia dik. Sepatutnya pemuda tersebut kena julang ‘keris telanjang’ dan jerit ‘Hidup Melayu’ macam dalam Perhimpunan Agung Perasuah. Barulah membawa keharmonian antara kaum di negara kita dan tidak mengganggu ketenteraman awam. Polis pun senang hati. Pembangkang ni ada-ada saja. Tak habis-habis.

Adik pernah jumpa tak kawan adik kat sana yang bernama adik Haserawati Saridi. Dulu dia berusia 9 tahun. Dia murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Tobobon. Adik tau tak Haserawati ditemui mati di kawasan semak semasa nak pergi ke sekolah dia di Kampung Ratau, Menggatal, Kota Kinabalu. Polis kata dia dibunuh dan dirogol juga. Kesian dia dik. Pernah tak adik jumpa dia? 

Seorang lagi nama Siti Nurliyana Shamimi Rosdi. Adik pernah jumpa dia? Siti Nurliyana baru berusia 2 tahun dik. Dia telah diculik, dirogol dan dibunuh pada 6 November 2002 dan telah dijumpai dalam keadaan bogel jam 9 pagi di tebing Sungai Kedah, 500 meter dari rumahnya di Kampung Seberang Terus. Kalau adik nak tahu terdapat kesan koyak pada kemaluan mangsa, selain 40 kesan luka pada badan dan pendarahan dalam otak mangsa, dipercayai akibat dipukul dengan benda keras. Dahsyat betul kan penjahat tu. Tapi abang tak pasti jika pihak polis dah jumpa dan tangkap penjenayah tu. =(

Adik sempat kenal tak dengan adik Nurul Huda Abd Ghani. Dia murid tahun 4. Dia pun menjadi mangsa kerakusan manusia. Kalau adik nak tahu, Adik Huda dirogol dan diliwat secara bergilir-gilir oleh tiga lelaki di Pondok Pengawal Stesen Janakuasa TNB Kg Pekajang, Gelang Patah, Johor Bharu pada 17 Januari 2004. Kisah ini begitu menyentap sanubari penduduk Malaysia sehingga semua orang bising. Kemudian, lama-kelamaan semua senyap kembali seperti sedia kala.

Sebenarnya dik banyak lagi kes kanak-kanak hilang dan menjadi mangsa keganasan manusia yang berhati binatang. Adik Sharlinie, adik Asmawi, dan banyak lagi kanak-kanak yang hilang belum dijumpai. Abang terfikir dalam kes kanak-kanak ni kan, sebenarnya yang bersalah adalah adik dan rakan-rakan adik tu. 

Kenapa? Kerana adik dan rakan-rakan adik yang menjadi mangsa bukan dari kalangan anak-anak pak menteri, dato’, datuk, tan sri, tun dan banyak lagi pembesar. Sekadar anak orang biasa, marhaen kata orang. Buang karan sahaja dik. Jika adik dan rakan-rakan adalah anak-anak pembesar negara, pasti bergegas dan bertungkus-lumus pihak polis itu. 

Adik nak tahu tak masa kes adik tengah hangat dulu, Kementerian Wanita dan Keluarga cadang supaya gubal akta untuk mendakwa ibu-bapa yang dikatakan cuai sehingga anak mereka diculik dan hilang. Ketua bapak polisi negara pula kata undang-undang itu telah lama wujud. Cuma tidak dipraktikkan. Ketua bapak polisi pernah berkata “jika mendapati terdapat elemen cuai sehingga menjurus kepada penculikan Nurin Jazlin, ibu bapa mangsa boleh diambil tindakan undang-undang bawah Akta Perlindungan Kanak-kanak”. 

Senang kan menjadi pembesar. Hari-hari duduk mengangkang dalam bilik selesa dan berhawa dingin, gaji + elaun yang halal sahaja sudah menjangkau berpuluh-puluh ribu, menikmati segala kemudahan, tetapi apabila timbul permasalahan, dengan senang hati mereka memberikan cadangan sekadar untuk melepaskan diri. Semua mahu cuci tangan.

Adik tahu tak sekarang barang-barang keperluan semakin mahal. Semuanya disebabkan harga minyak naik menggila dulu. Yang naikkan harga minyak tu orang gila juga. Sekarang, apabila harga minyak turun, harga barang-barang tidak turun. Kekal mahal macam biasa. Ibu-bapa yang mempunyai banyak tanggungan terpaksa bekerja lebih masa dik. Ada yang terpaksa membuat 2 kerja dalam satu masa. Jika tidak macam mana mereka mahu menyara anak-anak mereka. Ini juga menyebabkan ibu-bapa tidak sempat untuk memantau anak-anak. Institusi keluarga semakin terabai.

Jadi, adik rasa siapa yang bersalah? Oh, yang terbaru rakyat Malaysia dapat hadiah lagi. Barangkali hadiah kerana Perak berjaya ’ditawan’. Hadiahnya tol naik 5-33%. Pembesar yang sedap mengangkang dalam bilik berhawa dingin tadi pasti akan berkata ”kenaikan kadar tol baru itu sebagai sangat kecil”. Adik rasa harga barang akan naik tak dengan kenaikan harga tol ni. Entahlah, adik fikirlah sendiri ye.

Adik tahu apa itu PLKN? Program Laknat Kacau Negara? Eh, bukan. Adik silap tu. PLKN tu Program Latihan Khidmat Negara. Sudah ramai generasi muda daripada rakyat marhaen Malaysia meninggal dunia semasa mengikuti program tu. Yang perempuan ada dirogol. Cuba adik sebut nama-nama anak pembesar negara yang pernah diwajibkan ikut PLKN. Abang pun kurang ingatan di situ. Mungkin kerana abang dah tua. Lagi satu jika adik adalah artis di Malaysia, adik boleh tangguh pergi PLKN tau. Lebih-lebih lagi jika yang jelita dan seksi. Mungkin kerana terikat dengan penggambaran dan persembahan, maka kerajaan beri kelonggaran kepada mereka. Baik betul kerajaan kerana tidak mahu mengganggu periuk nasi rakyat mereka.

Tapi jika adik adalah Ahmad Hafizal Ahmad Fauzi, 18, adik tidak boleh tangguh. Sebab apa? Sebab Ahmad Hafizal orang miskin. Dia tidak popular. Kerja pun tidak glamor. Sekadar bertani dan bersawah di bendang untuk membantu ibunya yang bekerja sebagai pembantu tadika dan adik-adiknya yang masih kecil di Kampung Titi Serong, Kuala Perlis. Ayah dan ibunya dah bercerai. Jadi, dialah yang perlu membantu ibu dan adik-adiknya.

Dia didapati bersalah tidak pergi melapor diri di PLKN. Dia diberikan pilihan samada membayar denda RM600 atau masuk penjara 14 hari. Tapi Ahmad Hafizal pilih 14 hari penjara. Dia pilih penjara bukan kerana di penjara ada Mc Donald dik. Bukan begitu. Ahmad Hafizal pilih penjara kerana dia tidak mampu membayar denda tersebut. Bagaimana Ahmad Hafizal nak bayar denda tersebut, untuk tambang ke mahkamah pun dia tepaksa pinjam duit orang. Ahmad Hafizal hadir ke mahkamah pun tanpa diwakili peguam bela. Siapa nak bela orang miskin yang tiada duit. Menghabiskan beras sahaja dik. 

Begitulah nasib marhaen di Malaysia. Sebab itu ramai yang nak jadi artis. Boleh jadi kaya. Ada yang masuk Gangstarz, Akademi Fantasia, Once In Million, Audition, My Starz LG, dan banyakkkkkk lagi. Jalan pintas syurga dunia.

Rasanya sudah terlalu panjang abang mencoretkan tinta buat adik. Abang rasa cukuplah setakat ini dulu. Jika ada masa lapang nanti abang akan bercerita lagi dengan adik. Abang doakan adik berbahagia ’di sana’, insyallah.

Oh, ya. Terlupa pula abang. Adik ada blog juga tau. Tidak silap abang bapa saudara adik yang buat. Sebagai tanda peringatan, ingatan untuk adik dan juga tanda kegagalan pihak berwajib menangani kes adik Blog adik www.nurinjazlin.blogspot.com. Abang juga akan letakkan gambar adik pada blog abang mulai hari ini.

Sekian, terima kasih.

Ikhlas dariku,

Abang Samudera Tinta
P/s:Bersama-sama kita berdoa dan membaca surah Al-Fatihah buat Adik Nurin, Adik Huda, Adik Nurliyana dan ramai lagi mangsa keganasan kanak-kanak yang masih tidak terbela. Semoga Allah merahmati mereka dan kita semua. Al-Fatihah.


Thursday, February 26, 2009

Ikrar Rakyat Mansuhkan PPSMI


Menyedari bahawa, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ;

1.Bertentangan dengan Akta Pendidikan 1996 dan Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan,

2. Pelaksanaan PPSMI ini akan membunuh Bahasa Melayu dan Bahasa Ibunda yang lain sebagai bahasa ilmu,

3. Pelaksanaan PPSMI menafikan hak pelajar sekolah, khususnya di luar bandar dalam bidang sains dan teknologi.

Maka kami, selaku rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan prihatin terhadap masa depan sistem pendidikan dan kedaulatan Negara, berikrar untuk:

1. Komited dalam mendesak kerajaan memansuhkan dasar PPSMI.

2. Berusaha mendaulatkan serta menjunjung Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tanpa mengabaikan kepentingan Bahasa Ibunda yang lain.

3. Bekerjasama mempertahankan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa rasmi Negara

Seterusnya, kami berikrar untuk turun ke Himpunan 100,000 Rakyat Malaysia bagi menyatakan bantahan terhadap PPSMI dan menyerahkan memorandum kepada DYMM Seri Paduka Baginda YDP Agung pada 7 Mac 2009.

(Seperti yang dibacakan oleh saudara Kamaruzzaman, Ketua Pemuda Pas Wilayah dalam Himpunan dan Ikrar Mansuhkan PPSMI di Dewan Perhimpunan Cina, 23 Feb 09 yang lalu)

Tuesday, February 24, 2009

Liputan Forum PPSMI


Dewan Pehimpunan Cina Selangor semalam sekali lagi menjadi saksi akan perhimpunan para pencinta agama dan bangsa. Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), satu badan yang komited memperjuangkan kepentingan Bahasa Melayu menganjurkan satu forum yang dinamakan “Forum Mansuhkan PPSMI” yang membariskan panelis seperti Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Timb Pengerusi PKR Syed Hussin Ali (menggantikan saudara Anwar Ibrahim), Presiden GMP Datuk Hassan Ahmad, Presiden TERAS Cikgu Azmi Abdul Hamid, Dinsman, wakil mahasiswa, NGO dan ramai lagi.

Aku, Odeng dan Pokli turut hadir ke forum ini. Hadir kami bersebab. Bak kata orang moden ada misi khas. Misi pertama, ingin melihat sejauh mana respon dan kepekaan orang ramai terhadap perkembangan isu ini di kala Perarakan Keranda 152 semakin hampir. Tarikh 7 Mac tidak sampai 2 minggu pun lagi. Misi kedua adalah rahsia. Tidak boleh dibuka sebelum sampai masanya. =)

Kami sampai lebih kurang jam 8.45malam setelah tercari-cari tempat program selama 20 minit. Ketika kami sampai hadirin masih berlegar-legar di luar dewan kerana program akan bermula lebih kurang jam 9 malam. Pihak polis juga memberikan kerjasama yang baik dengan mengawal keadaan. Namun agak janggal kerana bilangan mereka agak ramai. Bagiku, sepatutnya tidak perlulah ramai sangat. GMP ni orang baik-baik.3,4 orang cukuplah. Tidak pasal-pasal polis kena buat kerja lebih masa. Kasihan mereka. Lagipun ’Tentera Merah’ Unit Amal turut ada bagi membantu mengawal keadaan.

Beginilah suasana yang sempat dirakamkan oleh lensaku.

Sempat menjenguk bilik VIP. Dari kiri Cikgu Azmi, Syed Hussin Ali, Datuk Hassan, Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dan Prof Shahrir Mohd Zain

YB Dr Halimah dan Dr Lo'lo' pun ada

Setelah ucapan alu-aluan pengerusi majlis, Dato’ Abu Bakar Chik, Pengerusi Lujnah Pendidikan Nasional PAS memulakan ucapan. Bersahaja dan tenang sahaja beliau menyampaikan ucapan.

Seterusnya bacaan sajak oleh Dinsman. Penggiat dan aktivis seni. Dia membacakan sajak yang pernah dibacakan semasa PROTES dahulu di Kelana Jaya. Tajuknya mungkin Macam Orang Gila (aku kurang pasti).

Dinsman sedang membacakan sajak

Ini bukan perjuangan bangsa Melayu semata. Ini perjuangan pencinta kebenaran. Milik semua kaum.

Tiadakah setitis perasaan belas ihsan pembesar terhadap masa depan generasi muda ini?

Seterusnya, saudara Hasni Abbas, Setiausaha GMP tampil menyampaikan ucapan. Hasni banyak menyentuh tentang sejarah perjuangan orang terdahulu memperjuangkan Bahasa Melayu. Antara yang menarik perhatianku apabila dia menyatakan Tun Hussein Onn adalah orang yang komited memperjuangkan bahasa. Malah Tun mencadangkan agar dibakar sahaja Perlembagaan 152 andai kerajaan tidak mementingkan Bahasa Melayu. Buat apa susah-susah.

Sayangnya semangat Tun Hussein Onn ini tidak dapat diwarisi oleh anaknya. Jika Tun pejuang bahasa yang komited, anak Tun pula merupakan pejuang dasar PPSMI yang konsisten. Siapa anak Tun itu? Fikirlah sendiri. Baiklah, aku akan beri pembayangnya. Anak Tun Hussein Onn adalah seorang peminat ’keris telanjang’ dan sering menghunus ’keris telanjangnya’ ke udara. Dapat?

Saudara Hasni juga menyatakan Datuk Hassan Ahamd dulu merupakan setiausaha kepada gerakan Perarakan Keranda 152. Di kala pejuang Bahasa Melayu dan sasterawan bangkit mempertahankan Bahasa Melayu. Sekarang beliau kembali dengan menjadi pengerusi GMP. Begitulah sejarah. Sejarah tidak akan pernah membohongi kita.

Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan ikrar oleh sekumpulan anak muda yang diketuai oleh Ketua Pemuda PAS Wilayah, saudara Kamaruzzaman. Ikrar anak muda, ikrar rakyat untuk memansuhkan PPSMI. Aku terfikir andai Jebat masih hidup, tentu sekali dia akan turut bersama-sama di dalam ikrar ini. Pasti!

Anak Muda Memimpin Perubahan (A.D.A.M). Ikrar membela nasib bahasa, menentang dasar PPSMI.

Majlis diteruskan dengan ucapan oleh Presiden Teras, Cikgu Azmi Abdul Hamid. Seperti Cikgu Azmi yang biasa dilihat, beliau tampil segak dengan pakaian seragam wajibnya; berkain pelikat, berbaju melayu dan bersongkok hitam. Ke mana beliau pergi itulah pakaiannya seolah satu menifestasi jati diri agama dan bangsa terpasak kukuh di dalam lubuk dada.

Pidato Cikgu Azmi cukup memukau. Banyak perkara yang disentuh oleh beliau. Katanya pelbagai cara telah digunakan oleh para ahli akademik, sasterawan dan pejuang bahasa untuk meyakinkan kepada kerajaan bahawa dasar PPSMI akan membawa kepada kehancuran umat. Daripada diskusi, persidangan meja bulat, persidangan, seminar dan bermacam-macam lagi. Malangnya pihak kerajaan hanya memandang sepi. Beliau memetik kata-kata Pak Samad iaitu A. Samad Said, “Pemimpin-pemimpin itu mereka mempunyai 1 telinga dan 2 lidah”. Banyak bercakap seperti munafik tetapi langsung tidak mahu mendengar saranan dan sumbangsaran rakyat marhaen.

Cikgu Azmi juga menyeru dengan penuh semangat, “ Andai dengan menjadi Jebat maruah agama dan bangsa bisa dipertahankan, marilah kita bersama-sama menjadi Jebat! ” diikuti tepukan gemuruh para hadirin. Berderau darahku seketika mendengar kata-kata ini. Meremang bulu roma. Adakah terdapat sisa-sisa darah Jebat mengalir di dalam pembuluh darah tubuhku?

Cikgu Azmi bersemangat memberikan pidato. Antara tokoh yang aku kagumi. Tidak pernah takut menyuarakan kebenaran.

Selepas itu, ucapan diteruskan oleh wakil mahasiswa dan Timb Pengerusi Keadilan, Syed Hussin Ali. Ketika ini, jam sudah menunjukkan pukul 11.30 malam. Oleh kerana mempunyai urusan lain yang erlu diselesaikan, kami terpaksa pulang dahulu tanpa sempat mendengar ucapan Tuan Guru Haji Hadi. Memang rugi rasanya, tapi keadaan tidak mengizinkan. Misi kami juga telah berjaya dicapai dengan jayanya, alhamdulillah.

Kami meninggalkan Dewan Perhimpunan Cina dengan tekad untuk terus memperjuangkan Bahasa Melayu. Kami sedar ia bukan sekadar bahasa biasa. Ia adalah lambang jati diri, budaya, sahsiah dan bahasa ilmu umat Melayu. Di dalamnya telah dimurnikan dan diterapkan dengan nilai-nilai kesyumulan serta kesucian ajaran Islam.

Sehingga kini ,masih terngiang-ngiang di telinga pesanan Cikgu Azmi. ” Jika dengan BAHASA BERADAB kita tidak mampu mengajar mereka, biarlah BAHASA JALANAN menjadi galang gantinya. Kita akan ajar mereka di jalan raya”.

Kuala Lumpur, tunggulah saat itu. Biiznillah, gelombang kedua rakyat pasti akan merempuh!

Sunday, February 22, 2009

Pertubuhan Kebangsaan Munafik Bersatu (PEKEMBAR)


Munafikun ada di mana-mana. Akan ada setiap ketika dan zaman. Jika tidak masakan wujud satu surah Munafikun di dalam Al-Quran. Semasa di Maahad, surah ini juga menjadi surah hafalan wajib untuk pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU).

Munafikun ada persatuan mereka sendiri. Namanya Pertubuhan Kebangsaan Munafik Bersatu ataupun PEKEMBAR. Di dalam Bahasa Inggeris pula dipanggil United Munafikun National Organisation ataupun kependekannya..Maaf, aku tidak tegar untuk menulis akronimnya. Apa pula kata orang nanti. Guna sahaja kependekan PEKEMBAR. Bukankah kita adalah pencinta bahasa?

Presiden PEKEMBAR dahulu adalah Abdullah. Tetapi jangan silap. Abdullah bin Ubai bin Sahul namanya. Orangnya cukup licik dan licin. Lebih licin daripada belut yang ditangkap di parit, sungai mahupun kolam komersial untuk dibuat paprik belut.

PEKEMBAR mempunyai taburan ahli yang ramai dan kelengkapan yang sangat baik. Mereka ada mata-mata gelap, polis anti rusuhan, unit persekutuan simpanan dan sebagainya. Pimpinan dan ahli-ahli PEKEMBAR sesekali tidak pernah redha melihat umat Islam dan masyarakat hidup dalam keadaan aman,selamat dan makmur (slogan apa ini!).

Contoh jelas kita boleh tonton pada episod Uhud. Ya, Perang Uhud yang berlaku pada Sabtu, tanggal 7 Syawal, 32 bulan setelah hijrah. Perang yang menyaksikan ramai sahabat terkorban di jalan jihad. Sirah mencatatkan Presiden PEKEMBAR dahulu telah menarik 300 orang tentera yang terdiri dari pengikutnya untuk keluar dari Madinah sebagai tanda kononnya protes terhadap keputusan yang telah dibuat oleh Rasullullah dalam mesyuarat sedangkan sebenarnya ia sebagai satu manifestasi sikap dan sifat sebenar mereka yang dizahirkan oleh Allah. 300 orang tentunya bukan sedikit. Bisa sahaja menimbulkan kegelisahan dan kebimbangan memandangkan jumlah musuh adalah begitu besar, 3000 orang.

Malangnya, ada gerombolan hari ini mengikut jejak PEKEMBAR dahulu. Dalam ketenangan dan kedamaian umat Islam dan masyarakat di sebuah negeri nun di utara, PEKEMBAR moden telah menarik 3 orang tentera pakatan dengan cara yang kotor. Hasilnya, kita dapat lihat dengan jelas keadaan di negeri tersebut. Keadaan yang dahulunya permai dan damai bertukar menjadi tidak stabil. Bermacam-macam rumus dn khabar angin tersebar. Ada tunjuk perasaan, ada yang ditangkap malah sultan dan mufti pula menjadi bahan cemuhan. Rakyat menjadi tidak tenteram. Pelabur-pelabur juga semakin bimbang melihatkan keadaan seolah tiada berpenghujung. Semuanya kerana perbuatan PEKEMBAR.

Sudah menjadi resmi PEKEMBAR melaporkan apa yang yang palsu dan menyorok apa yang benar. Sebaran PEKEMBAR juga sangat baik. PEKEMBAR dahulu ada Utusan Mekah. Manakala PEKEMBAR moden juga ada utusan. Dipanggil Utusan Ma...Maaf,sekali lagi. Masih tidak tegar untuk menulis nama penuhnya.

Justeru, media dan sebaran PEKEMBAR sangat cekap memutarbelitkan isu. Jika di negeri yang terletak di utara itu, yang diperbesar-besarkan dan dimainkan setiap hari adalah isu DERHAKA. Isu sebenar iaitu RAMPASAN KUASA ditutup kejap di dalam tempayan dosa. Di sebalik mereka yang mula mencetuskan huru hara, dituduhnya pula speaker sengaja cuba mencetuskan kacau-bilau. Tak ke bangang namanya tu (ayat Ustaz Ismail Kamus) !

Dalam isu Kugan pula yang dipertontonkan hari-hari adalah isu menceroboh rumah mayat. Seolah itulah isu yang besar dan sebenar. Sedangkan isu tahanan yang diseksa dan keadaan mayat yang dalam keadaan menyayat hati disapu rapi di bawah permaidani ketololan. Malah media PEKEMBAR juga memarahi orang yang membela Kugan kerana dikatakan membela penjenayah. Yang menjadi kemusykilan, bilakah pula Kugan didapati bersalah oleh mahkamah? Bukankah prinsip undang-undang sekular sekalipun menyatakan one innocent until proven guilty. Sekalipun betul dia merupakan seorang penjenayah, mengapa perlu diperlakukan lebih teruk dari binatang. Yang lebih melucukan apabila terdapat bapak polisi yang mengatakan kematian Kugan disebabkan penyakit. Entahkan asma ataupun paru-paru berair. Ah, sampai ke situ sekali bodohnya!

PEKEMBAR tidak pernah akan redha melihat kenikmatan yang dikecapi oleh rakyat terbanyak. Ada sahaja idea untuk menjahanamkan masyarakat. Apabila kerajaan sebuah negeri yang kaya di Lembah Klang berunding dengan 4 anak syarikat bekalan air untuk membeli perjanjian konsesi mereka, dengan tujuan menyenangkan dan meringankan beban rakyat, mereka tanpa adab terus mengambil jalan pintas dengan berunding secara terus dengan syarikat konsesi tersebut. Diperkudakan SPAN; Suruhanjaya Penaik Air Negara. Dan dengar kata hasil rundingan terus tersebut yang mencecah bilion ringgit, tarif air negeri yang kaya tersebut yang sebelum ini murah (pertama kali bil air di rumah menurun kepada nilai NEGATIF, percayalah!) akan menjadi mahal. Beban pengambilalihan dipindahkan kepada rakyat terbanyak. Satu lagi Projek Kerajaan Barisan Munafik.

PEKEMBAR juga gilakan kemahsyuran. Namun, mereka takut untuk berperang. Bimbang jika terbunuh barangkali. Apabila umat Islam mencapai kemenangan di dalam peperangan, golongan PEKEMBARlah yang akan berada di barisan hadapan untuk memasuki Madinah. Supaya orang melihat mereka sebagai orang yang hebat dan berani. PEKEMBAR sangat dambakan pujian dan sanjungan.

Samalah juga PEKEMBAR moden. Gerakan yang dilakukan senyap dan tersusun. Insan lain yang menjalankan tugas. Namun, apabila dirasakan masa telah sesuai dan betul, maralah salah seorang dari PEKEMBAR ke hadapan. Lengkap bersut hitam, bertali leher dan dikelilingi oleh gerombolan PEKEMBAR yang lain seraya berkata, ”Kita telah mengambil alih kerajaan negeri sekian-kian,” Meleret-leret senyuman, penuh kebanggan seolah dialah pahlawan yang sejati dan terulung. Gerombolan di belakang akan berteriak, ”Hidup PEKEMBAR! Hidup PEKEMBAR,” Bersemangat sekali mereka membodek lelaki bersut hitam itu.

Perkataan moral dan akhlak tiada dalam kamus hidup PEKEMBAR. Mereka bisa sahaja masuk ke rumah kamu dan mengambil gambar kamu sedang tidur. Terselak, terbongkang dan terkangkang. Kemudian? Kemudian mereka akan menyebarkannya kepada orang awam yang diklasifikasikan sebagai ”tontonan umum”. Persetankan sama maruah kerana mereka tidak pernah mengenal apa itu maruah.

Ya, kita harus berjaga-jaga. Kerana PEKEMBAR mempunyai segala kelengkapan, kemudahan dan jentera. Namun, berjaga-jaga bukan bererti kita harus penakut. Jangan lupa kita ada Allah. Kita ada usaha. Kita juga ada doa sebagai senjata. Usaha + doa, insyallah buahnya adalah kejayaan. Dengan syarat Allah merasakan kita telah layak dikurniakan kemenangan.

Mungkin Allah membenarkan perancangan PEKEMBAR berlaku kerana Allah tidak mahu kita berasa selesa dan berehat. Berehat daripada melaksanakan gerakerja Islam ~ amar makruf nahi mungkar. Allah mahu kita tingkatkan perjuangan ini. Bukan hanya ketika dan tertentu sahaja. Dengan kejadian-kejadian yang telah berlaku menjadikan kita sentiasa berwaspada dan bersiap-siaga.

Kita juga untung. Hanya ada 2 pilihan; samada syahid ataupun menang. Tidak perlu pening-pening lagi seperti PEKEMBAR.

Munafik itu akan berlabun dan terus berlabun. Untuk dulu, kini dan selamanya.

Ya, Allah kurniakanlah kami kekuatan!

Friday, February 20, 2009

Buku-Buku Yang Berpesta

Mulanya terasa malas untuk memasukkan entri berkaitan Perasmian Pesta Buku Bangi 2009 semalam. Namun, setelah diminta oleh CiK Suri di ruangan Borak-Borak sampai 2 kali, nampaknya kena buat juga.. =)

Aku sampai ke PKNS Bangi lebih kurang 2.35petang. Terserempak Cik Suri yang baru nak pulang ke pejabatnya. Di tapak perasmian Wusto dan konco-konconya sedang sibuk yang amat. Banyak lagi persediaan perlu dibuat sebelum majlis perasmian bermula jam 5 petang.

Aku membantu sekadarnya. Sekadar yang perlu dan patut.

Gambar sebelum program. Cuba cari apakah kesilapan yang terdapat di dalam backdrop yang aku hasilkan itu.

Ahli jawatankuasa yang Bersih, Cekap dan Amanah..Err, sesuai tak slogan itu?

Mereka yang berdedikasi dan komited. Odeng pula cuba menunjukkan kekacakan beliau.

Walaupun nampak serius pengerusi majlis itu, tapi ini baru raptai.

Lebih kurang 6.00 petang barulah program boleh dimulakan. Perasmi tiba agak lewat. Mungkin kerana kesesakan jalan raya. Oh, ya. Perasmi pesta buku adalah YB Tn Ir Iskandar Abdul Samad, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan, Dan Setinggan Selangor. YB Dr Halimah tidak dapat datang saat-saat akhir.

"Mengumumkan ketibaan YB Iskandar Abdul Samad. Hadirin mohon berdiri," umum Pengerusi Majlis. Di tengah-tengah YB Dr Iskandar Abdul Samad, di sebelah kiri adalah Adun Bangi, YB Dr Shafie Abu Bakar, di sebelah kanan adalah Dr Tajol, Ahli Majlis Perbandaran Kajang manakala aku yang tengah pegang kamera.

Memohon keberkatan dari Ilahi dan dijauhkan dari maksiat. Amin.

Dr Tajol memberi ucapan.

YB Dr Shafie pula memberikan ucapan. Kata YB, kita akan ubah imej Tasik Cempaka (pernah masuk dalam mastika dulu kan) dari tempat maksiat kepada laman ilmu dan seni budaya. Akan ada diskusi ilmiah dan tempat persembahan seni budaya yang "romantis" seperti puisi, sajak dan sebagainya. Entah, tapi aku lebih berminat cadangan yang kedua.hehe..

Gambar YB Iskandar sedang memberikan ucapan diambil dari pandangan seekor lebah. Bzzzz, Bzzzz..YB Iskandar menekankan akan pentingnya pembudayaan ilmu dan kerajann negeri akan memperkembangkan konsep bandar ilmu ke seluruh Selangor. Eloklah tu YB. Mana yang baik kami sokong. Yang tak baik kami hentam je.

Perasmian. Potong-potong reben. Aku kurang bernasib baik. Mendapat posisi salah untuk menangkap gambar.

Persembahan nasyid daripada Anak-anak Council Homes. Jelas, mereka lebih comel jika dibandingkan dengan Heliza AF6 dan Siti Nurhaliza. Mereka juga lebih jujur berbanding Aiman, Naib Juara Akademi Nasyid, Hafiz Hamidun serta kumpulan yang berselindung di sebalik jenama nasyid pop untuk menghasilkan serta mempersembahkan lagu-lagu lagha.

Terlupa pula. Dalam majlis ini juga diadakan pelancaran Buletin Bangi dan Skim Wakaf Buku serta Al-Quran. Sebagai pengisian Bangi Bandar Ilmu.

Penyampaian hadiah buat perasmi, YB Iskandar.

Pada pukul 7 petang majlis pun tamat dengan YB Iskandar dijemput melawat tapak pameran dan seterusnya dijemput menikmati jamuan di bilik jamuan bersama jemputan dan para ajk.

Menu jamuan adalah mee kari, kueh mueh dan buahan-buahan. Tapi mee kari itu bertukar menjadi warna merah selepas seketika. Aku teringat dulu kes mee yang dicampur asid borik. Macam tu lah merahnya. Tapi makan juga sebab lapar. Perasmi dan VIP pun selamba je. Bedal je la.

Jemput semua datang ke Pesta Buku Bangi. Bermula 18 Feb - 1 Mac 2009. Jom!

~ Membudayakan Amalan Membaca ~

Thursday, February 19, 2009

Doa Amalan Untuk Wanita/Perempuan/Muslimat

Membuat kerja memang meletihkan. Jika bermalas-malasan di atas katil, tidak pula meletihkan. Kenapa agaknya ya..

Bagi meleraikan seketika ketegangan minda dalam menaip tugasan, aku menyelongkar almari mayaku dan menjumpai satu fail yang telah aku kerat dan tampal daripada laman web Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman. Berkenaan doa khusus dari Hadis Sohih. Khusus bagi mengelakkan daripada DIROGOL dan DICABUL.

Entri berkenaan doa ini di dalam laman web Ustaz Zaharuddin bertarikh 12 Ramadhan 1428 H/24 September 2008. Ustaz Zaharuddin juga amat menggalakkan agar doa ini disebarkan. Memandangkan fail ini telah terperuk sahaja sebelum ini di dalam almari mayaku, maka aku berhasrat menyiarkannya semula bagi menyahut seruan Ustaz Zaharuddin. Mungkin juga ada yang terlepas pandang dan tak terlihat sebelum ini. Mari kongsi dan sebarkan bersama;




Kata Ustaz Zaharuddin doa ini bersyarat. Tidak boleh sewenang-wenangnya. Antara syaratnya adalah doa ini bersifat tawassul dengan amal soleh kita, iaitu apabila diikat dengan imannya dengan Allah s.w.t dan RasulNya dan telah dijaga kehormatannya dan sudah tentu auratnya.

Tanpa diikat tentang kewajiban untuk beriman dengan Allah dan rasulNya dan menutup aurat, doa ini masih amat digalakkan untuk dilakukan, cuma jaminan seolah-olah lebih pasti bagi yang apa yang dikatanya (dalam doa ini) menepati apa yang sebenarnya penampilan fizikal anda

Justeru, jika berbaju kebaya terbelah, baju sendat menampakkan susuk tubuh, berpakaian nipis seolah telanjang, bersolek canggih seperti artis..sudah tentu doa ini sahaja belum cukup mampu menjaga kita. Bukan kerana Allah s.w.t tidak mampu, tetapi Allah s.w.t tidak anggap wanita itu layak dek kerana kedegilannya sendiri.

Sendiri mao ingatlah kak!

~ Sampaikan dariku walau sepotong ayat ~

Wednesday, February 18, 2009

Hikmah Diskusi

Salam Ukhuwwah,

Dalam perlaksanaan gerakerja kecil, agak besar, mahupun yang sangat besar, kita tidak dapat tidak perlu melalui proses diskusi ataupun musyawarah. Ini bagi memastikan gerakerja tersebut menjadi lebih baik dan lancar. 2 akal lebih baik dari 1 akal. Contohnya pada Gambar 1. Ia adalah hasil kerja 1 akal.

Gambar 1

Namun, setelah menjalani proses musyawarah, ia telah menjadi seperti Gambar 2;

Gambar 2

Mungkin hasilan tersebut bukan yang paling sempurna tapi sekurang-kurangnya ia adalah lebih baik berbanding yang terdahulu selepas mengalami proses kritikan dan penambahan idea-idea baru. Itulah pentingnya berdiskusi di dalam organisasi ataupun lebih sedap disebut berjemaah. Masing-masing mempunyai peranan tersendiri dan saling menampung kekurangan antara satu sama lain umpama sebuah binaan.

Namun, ada juga musyawarah yang membawa kepada kehancuran. Buktinya, lihat sahaja Datuk Seri Abu Jahal dan para Tan Sri, Dato', Datuk, Tun, Toh Puan, Datin pembesar daripada Barisan Musyrikin Quraisy yang sentiasa berbincang untuk menjahanamkan Nabi Muhammad dan ugama Islam.

Gerombolan musyrikin Mekah awalnya menawarkan Rasulullah jawatan sebagai Perdana Menteri (bukan setakat exco je). Ditolak. Ditawarkan wang (mungkin RM50 juta, Ringgit Mekah). Ditolak juga. Ditawarkan wanita jelita (ala Miss Universe barangkali). Pun ditolak juga. Sehingga Rasullullah bersabda jika diletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku, baginda tidak sesekali meninggalkan kerja Islam.

Pelbagai perkara lagi yang telah mereka lakukan dalam menentang Islam hatta kepada peringkat membunuh Baginda. Apabila negara islam Madinah wujud penentangan mereka dilebarkan dengan pakatan jahat bersama bani-bani dan qabilah-qabilah lain sambil dibantu para munafikun. Jelasnya apa yang dapat dilihat, gerakerja yang mereka lakukan menuntut suatu perancangan yang rapi dan itu perlu dilakukan melalui musyawarah. Inilah contoh musyawarah yang jelek dan jahat.

Terdapat 2 kesimpulan di sini;

Pertama, proses diskusi @ musyawarah penting dalam menjalankan dan melicinkan gerakerja. Apatah lagi jika gerakerja tersebut ke arah menegakkan syiar dan hukum Allah. Mungkin kata-kata " KEBATILAN yang tersusun akan mengalahkan KEBENARAN yang tidak tersusun" boleh dijadikan panduan.

Kedua, dijemput semua sahabat yang berkelapangan ke Pesta Buku Bangi. Banyak aktiviti menarik. Perasmiannya 19 Feb, esok oleh YB Dr Halimah Ali. Insyallah, ada persembahan nasyid dari adik-adik Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI). Saudara, mengapa tak jemput artis Akademi Fantasi buat persembahan? Oh, tidak boleh. Kerana kita dan mereka adalah 2 aliran berbeza. Kita ingin menyebarkan ilmu manakala mereka kilang menyebarkan maksiat. Air dan minyak tidak bercampur kecuali ditambah SURFAKTAN.

Ketiga, kita hendaklah sentiasa. Eh, bukan tadi ada 2 kesimpulan je. Ya, ada 2 sahaja. Jadi, tiada kesimpulan ketiga.. =)

P/s;Jemput semua hadir ke Pesta Buku Bangi 2009..

Monday, February 16, 2009

Gelombang Ganas PPSMI


Berdasarkan secebis pengalaman kerdil diri...

3 tahun lalu, ketika sibuk bergelut dengan projek disertasi tahun akhir, sahabatku meminta aku menggantinya untuk mengajar tuisyen di rumah ataupun Home Tuition. Rakanku terpaksa berhenti terus. Ada komitmen lain katanya.

Aku keberatan dan cuba menolak cara baik. Namun, melihatkan betapa bersungguh-sungguhnya sahabatku itu, aku cair. Akur. Kata rakanku, mengajar mudah sahaja. Pergi sahaja waktu pagi isnin dan rabu ke rumah pelajar itu di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi dan mengajar Sains dan Matematik Tingkatan 2.

Baiklah. Aku memulakan sesi pengajaran yang pertama. Berjumpa anak muridku di rumahnya. Orangnya kecil sahaja walaupun sudah Tingkatan 2. Ahmad namanya. Setelah sedikit sesi suai kenal, aku memulakan pengajaran pertama; subjek Matematik.

Buku-buku rujukan dan latihan semuanya dibekalkan oleh rakanku tadi. Semestinya dalam Bahasa Inggeris. Oleh itu, tidak dapat tidak aku mesti mengajar dalam Bahasa Inggeris.

Sebaik aku menuturkan ayat pertama (dalam Bahasa Inggeris), Ahmad menyampuk, ”Cikgu, boleh ajar dalam Bahasa Melayu tak? Susah la nak faham dalam English,”.

”Susah? Kenapa susah pulak? Kan mat belajar kat sekolah dalam English,”aku bertanya. Sedikit hairan.

”Tak paham la cikgu. Kitaorang belajar kat sekolah pun tak faham sangat,” Ahmad menambah.

”Habis,macamana Mat belajar kalau tak faham,” aku bertanya lagi.

”Mana yang kitaorang faham kita buatlah. Mana yang tak faham buat taktau je,” Ahmad menjawab. Jujur.

Gedegang! Ibarat sebutir bom jatuh ke atas kepala aku. Terkesima seketika. Kehilangan kata-kata.

Mengapa terkesima? Ya, terkesima kerana kata-kata itu aku dengar dalam keadaan aku berada di Bandar Baru Bangi, bandar elit Melayu (kononnya). Tambahan, Ahmad bersekolah si salah sebuah sekolah menengah elit di Bandar Baru Bangi manakala ibu dan bapanya daripada golongan terpelajar dengan jawatan yang baik.

Jika Ahmad yang bersekolah di BANDAR Baru Bangi boleh lemas dilambung gelora ganas PPSMI, aku terbayangkan nasib murid-murid di pedalaman Gua Musang, Cerok Tok Kun, Baling, Sabah dan Serawak. Bagaimana nasib mereka. Adakah mereka senasib Ahmad ataupun jauh lebih parah. Jika ini dibiarkan berterusan, bagaimana nasib anak bangsaku kelak?

Sepanjang aku mengajar Ahmad, aku akui dia bijak. Cepat menangkap apa yang aku ajarkan. Amat baik budaknya. Cuma mungkin IBLIS PPSMI menghalang dan membantutkan perkembangan mindanya.

Teringat perbualanku bersama ibu tercinta semasa pulang ke kampung dahulu. Ibuku merupakan seorang kerani di sebuah sekolah yang terletak di sebuah pekan. (Perbualan asal dalam loghat Kelantan, namun telah dialih bahasa)

”Ma, cane cikgu-cikgu mengajar sains dan matematik kat sekolah ma,” aku bertanya.

”Ma pun tak pastilah. Tapi ramai juga yang komplen. Susah. Cikgu sains dan matematik kena ikuti kursus bahasa inggeris. Tapi ada sorang cikgu pakar sains minta berhenti terus sebab dia taknak ikuti kursus bahasa inggeris. Sayang juga sebab dia cikgu pakar. Lagipun dia dah tua. Tak larat nak belajar bahasa inggeris semula,”

Oh, Tuhan! Mala petaka apakah ini!

Aku pernah membuka buku teks Sains adikku. Masih di sekolah rendah dalam tahun 5. Menurut pemerhatianku (jika tidak silap) apa yang dipelajari oleh adikku di dalam subjek Sains tersebut merupakan silibus sama yang aku pelajari dalam tingkatan 2 dahulu di Maahad.

Cuma bezanya aku belajar dalam Bahasa Melayu manakala dia belajar di dalam Bahasa Inggeris. Aku hanya perlu untuk MEMAHAMI KONSEP subjek manakala adikku perlu memahami makna dalam Bahasa Inggeris terlebih dahulu sebelum memahami konsep subjek.

2 kerja dalam satu masa dalam keadaan keluarga kami dan masyarakat sekitar bukan penutur Bahasa Inggeris di rumah. Kemungkinan lama kelamaan mereka mungkin akan berasa bosan dengan pelajaran Sains dan Matematik malah membencinya terus!

Oh, ya. Satu kes lagi. Sahabatku yang turut terlibat dalam PPSMI. Mengajar di salah sebuah sekolah di Ampang. Apabila ditanya tentang cara dia mengajar, turut memberi jawapan yang sama. Mengajar dalam Bahasa Melayu. Atas permintaan murid dan kelemahan dirinya juga yang kurang fasih berbahasa Inggeris.

Nah, nampak atau tidak? Murid dan para guru majoriti tertekan dengan IBLIS PPSMI.

Atas hujah apa lagi mereka beria-ria mempertahankan IBLIS PPSMI?

Pernah juga terdengar khabar bahawa PPSMI adalah satu projek lumayan, anugerah khas buat kroni tercinta. Melalui cetakan buku-buku teks dan rujukan baru PPSMI, anjuran kursus PPSMI, penjenamaan PPSMI dan sebagainya. Ratusan juta mampu diratah barangkali. Maaf, aku tiada bukti. Sekadar mendengar cerita dan hikayat.

Walau apa pun alasannya, aku tetap menentang PPSMI. Andai diizinkan ALLAH, aku akan turun di Perarakan Keranda 152, 7 Mac 2009 menyatakan hasrat hati dan bantahan terhadap PPSMI. Ayuh, para guru, ahli akademik, mahasiswa, murid-murid sekolah dan seluruh rakyat Malaysia kita bersatu! Demi masa depan agama dan anak bangsa tercinta!

Ayuh! Katakan Tidak Kepada PPSMI!!

Sunday, February 15, 2009

Sambutan Tahun Baru Cina Pakatan Rakyat, Bandar Baru Bangi

Semalam, sebelum memasuki bilik mesyuarat biro di Pusat Khidmat Masyarakat Bangi, aku diberi satu kad jemputan oleh Lina. Kad jemputan itu agak unik. Tulisan Cina campur Melayu. Rupanya kad jemputan Sambutan Tahun Baru Cina Anjuran PAS, DAP dan PKR. 14 Feb 09 di Taman Bukit Mewah, Kajang. Padang bersebelahan Surau Islah. Bermula 5 petang - 8 malam.

Aku merenung kad tersebut lagi. "Jangan bimbang, caterer orang Islam lah. Ana jaga bahagian sate. Diaorang tak cukup kakitangan,"tambah Lina meleraikan persoalan yang terbuku di mindaku.

Pantas aku menjawab, "Insyallah, jika tiada halangan ana turun,". Makan percuma bro! Rezeki jangan ditolak.. =)

Usai perjumpaan biro, aku bergegas ke rumah Pokli. Mengajak Pokli menaiki MyVinya untuk ke sana. Pokli setuju.

Pokli berpakaian agak tsiqah; Berbaju kemeja, berkopiah putih dan berseluar slack hitam manakala aku lebih santai; memakai seluar kelabu Siput Babi (Snails) dan t-shirt bertulis P036 Kuala Terengganu Hok Kite yang berwarna hijau.

Kami sampai di sana pada 6.30 petang. Beginilah suasana yang dapat direkodkan untuk perkongsian.


Keadaan di padang dari kacamata kami yang baru sampai(walaupun kami tak berkaca mata)

Tempat sate yang menjadi tumpuan

Pejuang-pejuang sate..

Tak menang tangan akak-akak dan abang-abang kita

Ikatan simpul mati atau sekadar ikatan bebenang??

Adun Bangi, YB Dr Shafie berbaju batik merah dan Ahli Parlimen Serdang, YB Teo Nie Ching sedang membahagikan angpau (Perhatian, untuk 12 tahun ke bawah sahaja! Bapak budak sila mampir ke sisi)

YB Dr Shafie dan YB Teo tersenyum ceria. Makluman, YB Teo masih lagi muda dan juga BUJANG. Uhuk, uhuk, uhuk! (Tidak pasti mengapa aku tiba-tiba batuk)

Berbaju batik hitam ADUN KAJANG. Lebih senang dikenali dengan nama glamor beliau Cikgu Lee..

Abang Amir sedang mengedarkan Buletin Pas Serdang. Siap posing lagi tuh!

India, Cina, Melayu semua bersatu hati. Yang memegang mikrofon adalah Abang Rosli. Selalu jadi Pengerusi Majlis bila ada program.

Gaya wajib Pokli setiap kali mengambil gambar (sebab tu aku malas nak bergambar dengan Pokli)

Remang senja petang sebelum kami pulang.

Oh, ya. Aku juga sempat mengambil sekeping gambar petugas-petugas daripada Nisa'. Nak siarkan takut depa segan plak. Maklumlah Nisa' ni kan pemalu dan beradab. Tak macam Puteri. Tak semenggah. Ops, maafkan hamba Puteri. Mohon derhaka.

Lebih kurang 7.15 malam kami pulang ke rumah dengan iringan doa, "Ya Allah, kekalkanlah keamanan dan keutuhan ini di bawah redha dan maghfirahMu,".

Amin..

Saturday, February 14, 2009

14 Feb 09 - Happy Palestine Day


Mengapa bersusah-payah?Tukarkan sahaja frasa Happy Valentine Day yang haram kepada Happy Palestine Day. Bezanya hanya pada patah perkataan Valen dan Pales. Wang untuk membeli bunga buat sang kekasih, sumbangkan sahaja kepada tabung Palestin.

Jangan sampai nanti mereka mengadukan perbuatan kita ini kepada Nabi Muhammad di sana. Jangan! Jangan sesekali benarkan mereka membawa kes ini di hadapan Hakim Yang Maha Adil. Tak terjawab kita nanti! Sungguh!

Lebih baik mengingati penderitaan dan kesengsaraan saudaramu di Palestin. Hidupmu pasti akan diberkati, insyallah.

Solidariti umat Islam sedunia menyokong HAMAS dan rakyat Palestin di Gaza. Everyday is Palestine Day!

Rise For Gaza!! Hidup HAMAS!!
Related Posts with Thumbnails