Berdasarkan secebis pengalaman kerdil diri...
3 tahun lalu, ketika sibuk bergelut dengan projek disertasi tahun akhir, sahabatku meminta aku menggantinya untuk mengajar tuisyen di rumah ataupun
Home Tuition. Rakanku terpaksa berhenti terus. Ada komitmen lain katanya.
Aku keberatan dan cuba menolak cara baik. Namun, melihatkan betapa bersungguh-sungguhnya sahabatku itu, aku cair. Akur. Kata rakanku, mengajar mudah sahaja. Pergi sahaja waktu pagi isnin dan rabu ke rumah pelajar itu di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi dan mengajar Sains dan Matematik Tingkatan 2.
Baiklah. Aku memulakan sesi pengajaran yang pertama. Berjumpa anak muridku di rumahnya. Orangnya kecil sahaja walaupun sudah Tingkatan 2. Ahmad namanya. Setelah sedikit sesi suai kenal, aku memulakan pengajaran pertama; subjek Matematik.
Buku-buku rujukan dan latihan semuanya dibekalkan oleh rakanku tadi. Semestinya dalam Bahasa Inggeris. Oleh itu, tidak dapat tidak aku mesti mengajar dalam Bahasa Inggeris.
Sebaik aku menuturkan ayat pertama (dalam Bahasa Inggeris), Ahmad menyampuk,
”Cikgu, boleh ajar dalam Bahasa Melayu tak? Susah la nak faham dalam English,”.”Susah? Kenapa susah pulak? Kan mat belajar kat sekolah dalam English,”aku bertanya. Sedikit hairan.”Tak paham la cikgu. Kitaorang belajar kat sekolah pun tak faham sangat,” Ahmad menambah.”Habis,macamana Mat belajar kalau tak faham,” aku bertanya lagi.”Mana yang kitaorang faham kita buatlah. Mana yang tak faham buat taktau je,” Ahmad menjawab. Jujur.Gedegang! Ibarat sebutir bom jatuh ke atas kepala aku. Terkesima seketika. Kehilangan kata-kata.
Mengapa terkesima? Ya, terkesima kerana kata-kata itu aku dengar dalam keadaan aku berada di Bandar Baru Bangi, bandar elit Melayu (kononnya). Tambahan, Ahmad bersekolah si salah sebuah sekolah menengah elit di Bandar Baru Bangi manakala ibu dan bapanya daripada golongan terpelajar dengan jawatan yang baik.
Jika Ahmad yang bersekolah di BANDAR Baru Bangi boleh lemas dilambung gelora ganas PPSMI, aku terbayangkan nasib murid-murid di pedalaman Gua Musang, Cerok Tok Kun, Baling, Sabah dan Serawak. Bagaimana nasib mereka. Adakah mereka senasib Ahmad ataupun jauh lebih parah. Jika ini dibiarkan berterusan, bagaimana nasib anak bangsaku kelak?
Sepanjang aku mengajar Ahmad, aku akui dia bijak. Cepat menangkap apa yang aku ajarkan. Amat baik budaknya. Cuma mungkin IBLIS PPSMI menghalang dan membantutkan perkembangan mindanya.
Teringat perbualanku bersama ibu tercinta semasa pulang ke kampung dahulu. Ibuku merupakan seorang kerani di sebuah sekolah yang terletak di sebuah pekan. (Perbualan asal dalam loghat Kelantan, namun telah dialih bahasa)
”Ma, cane cikgu-cikgu mengajar sains dan matematik kat sekolah ma,” aku bertanya.”Ma pun tak pastilah. Tapi ramai juga yang komplen. Susah. Cikgu sains dan matematik kena ikuti kursus bahasa inggeris. Tapi ada sorang cikgu pakar sains minta berhenti terus sebab dia taknak ikuti kursus bahasa inggeris. Sayang juga sebab dia cikgu pakar. Lagipun dia dah tua. Tak larat nak belajar bahasa inggeris semula,” Oh, Tuhan! Mala petaka apakah ini!
Aku pernah membuka buku teks Sains adikku. Masih di sekolah rendah dalam tahun 5. Menurut pemerhatianku (jika tidak silap) apa yang dipelajari oleh adikku di dalam subjek Sains tersebut merupakan silibus sama yang aku pelajari dalam tingkatan 2 dahulu di Maahad.
Cuma bezanya aku belajar dalam Bahasa Melayu manakala dia belajar di dalam Bahasa Inggeris. Aku hanya perlu untuk MEMAHAMI KONSEP subjek manakala adikku perlu memahami makna dalam Bahasa Inggeris terlebih dahulu sebelum memahami konsep subjek.
2 kerja dalam satu masa dalam keadaan keluarga kami dan masyarakat sekitar bukan penutur Bahasa Inggeris di rumah. Kemungkinan lama kelamaan mereka mungkin akan berasa bosan dengan pelajaran Sains dan Matematik malah membencinya terus!
Oh, ya. Satu kes lagi. Sahabatku yang turut terlibat dalam PPSMI. Mengajar di salah sebuah sekolah di Ampang. Apabila ditanya tentang cara dia mengajar, turut memberi jawapan yang sama. Mengajar dalam Bahasa Melayu. Atas permintaan murid dan kelemahan dirinya juga yang kurang fasih berbahasa Inggeris.
Nah, nampak atau tidak? Murid dan para guru majoriti tertekan dengan IBLIS PPSMI.
Atas hujah apa lagi mereka beria-ria mempertahankan IBLIS PPSMI?
Pernah juga terdengar khabar bahawa PPSMI adalah satu projek lumayan, anugerah khas buat kroni tercinta. Melalui cetakan buku-buku teks dan rujukan baru PPSMI, anjuran kursus PPSMI, penjenamaan PPSMI dan sebagainya. Ratusan juta mampu diratah barangkali. Maaf, aku tiada bukti. Sekadar mendengar cerita dan hikayat.
Walau apa pun alasannya, aku tetap menentang PPSMI. Andai diizinkan ALLAH, aku akan turun di Perarakan Keranda 152, 7 Mac 2009 menyatakan hasrat hati dan bantahan terhadap PPSMI. Ayuh, para guru, ahli akademik, mahasiswa, murid-murid sekolah dan seluruh rakyat Malaysia kita bersatu! Demi masa depan agama dan anak bangsa tercinta!
Ayuh! Katakan Tidak Kepada PPSMI!!
2 comments:
Salam SamuderaTinta,
Pelajar sekolah, pada umumnya, memang boleh pandai. Hanya sistem pendidikan, termasuk bahasa pengantar, yang menghalang mereka.
Salam Dr,
Mereka yang mengagungkan PPSMI hanya menerima laporan daripada pegawai2 mereka sambil duduk bersandar di dalam pejabat berhawa dingin.
Mereka tidak pernah menyelami derita rakyat terbanyak..
Post a Comment