Tuesday, February 24, 2009

Liputan Forum PPSMI


Dewan Pehimpunan Cina Selangor semalam sekali lagi menjadi saksi akan perhimpunan para pencinta agama dan bangsa. Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), satu badan yang komited memperjuangkan kepentingan Bahasa Melayu menganjurkan satu forum yang dinamakan “Forum Mansuhkan PPSMI” yang membariskan panelis seperti Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Timb Pengerusi PKR Syed Hussin Ali (menggantikan saudara Anwar Ibrahim), Presiden GMP Datuk Hassan Ahmad, Presiden TERAS Cikgu Azmi Abdul Hamid, Dinsman, wakil mahasiswa, NGO dan ramai lagi.

Aku, Odeng dan Pokli turut hadir ke forum ini. Hadir kami bersebab. Bak kata orang moden ada misi khas. Misi pertama, ingin melihat sejauh mana respon dan kepekaan orang ramai terhadap perkembangan isu ini di kala Perarakan Keranda 152 semakin hampir. Tarikh 7 Mac tidak sampai 2 minggu pun lagi. Misi kedua adalah rahsia. Tidak boleh dibuka sebelum sampai masanya. =)

Kami sampai lebih kurang jam 8.45malam setelah tercari-cari tempat program selama 20 minit. Ketika kami sampai hadirin masih berlegar-legar di luar dewan kerana program akan bermula lebih kurang jam 9 malam. Pihak polis juga memberikan kerjasama yang baik dengan mengawal keadaan. Namun agak janggal kerana bilangan mereka agak ramai. Bagiku, sepatutnya tidak perlulah ramai sangat. GMP ni orang baik-baik.3,4 orang cukuplah. Tidak pasal-pasal polis kena buat kerja lebih masa. Kasihan mereka. Lagipun ’Tentera Merah’ Unit Amal turut ada bagi membantu mengawal keadaan.

Beginilah suasana yang sempat dirakamkan oleh lensaku.

Sempat menjenguk bilik VIP. Dari kiri Cikgu Azmi, Syed Hussin Ali, Datuk Hassan, Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dan Prof Shahrir Mohd Zain

YB Dr Halimah dan Dr Lo'lo' pun ada

Setelah ucapan alu-aluan pengerusi majlis, Dato’ Abu Bakar Chik, Pengerusi Lujnah Pendidikan Nasional PAS memulakan ucapan. Bersahaja dan tenang sahaja beliau menyampaikan ucapan.

Seterusnya bacaan sajak oleh Dinsman. Penggiat dan aktivis seni. Dia membacakan sajak yang pernah dibacakan semasa PROTES dahulu di Kelana Jaya. Tajuknya mungkin Macam Orang Gila (aku kurang pasti).

Dinsman sedang membacakan sajak

Ini bukan perjuangan bangsa Melayu semata. Ini perjuangan pencinta kebenaran. Milik semua kaum.

Tiadakah setitis perasaan belas ihsan pembesar terhadap masa depan generasi muda ini?

Seterusnya, saudara Hasni Abbas, Setiausaha GMP tampil menyampaikan ucapan. Hasni banyak menyentuh tentang sejarah perjuangan orang terdahulu memperjuangkan Bahasa Melayu. Antara yang menarik perhatianku apabila dia menyatakan Tun Hussein Onn adalah orang yang komited memperjuangkan bahasa. Malah Tun mencadangkan agar dibakar sahaja Perlembagaan 152 andai kerajaan tidak mementingkan Bahasa Melayu. Buat apa susah-susah.

Sayangnya semangat Tun Hussein Onn ini tidak dapat diwarisi oleh anaknya. Jika Tun pejuang bahasa yang komited, anak Tun pula merupakan pejuang dasar PPSMI yang konsisten. Siapa anak Tun itu? Fikirlah sendiri. Baiklah, aku akan beri pembayangnya. Anak Tun Hussein Onn adalah seorang peminat ’keris telanjang’ dan sering menghunus ’keris telanjangnya’ ke udara. Dapat?

Saudara Hasni juga menyatakan Datuk Hassan Ahamd dulu merupakan setiausaha kepada gerakan Perarakan Keranda 152. Di kala pejuang Bahasa Melayu dan sasterawan bangkit mempertahankan Bahasa Melayu. Sekarang beliau kembali dengan menjadi pengerusi GMP. Begitulah sejarah. Sejarah tidak akan pernah membohongi kita.

Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan ikrar oleh sekumpulan anak muda yang diketuai oleh Ketua Pemuda PAS Wilayah, saudara Kamaruzzaman. Ikrar anak muda, ikrar rakyat untuk memansuhkan PPSMI. Aku terfikir andai Jebat masih hidup, tentu sekali dia akan turut bersama-sama di dalam ikrar ini. Pasti!

Anak Muda Memimpin Perubahan (A.D.A.M). Ikrar membela nasib bahasa, menentang dasar PPSMI.

Majlis diteruskan dengan ucapan oleh Presiden Teras, Cikgu Azmi Abdul Hamid. Seperti Cikgu Azmi yang biasa dilihat, beliau tampil segak dengan pakaian seragam wajibnya; berkain pelikat, berbaju melayu dan bersongkok hitam. Ke mana beliau pergi itulah pakaiannya seolah satu menifestasi jati diri agama dan bangsa terpasak kukuh di dalam lubuk dada.

Pidato Cikgu Azmi cukup memukau. Banyak perkara yang disentuh oleh beliau. Katanya pelbagai cara telah digunakan oleh para ahli akademik, sasterawan dan pejuang bahasa untuk meyakinkan kepada kerajaan bahawa dasar PPSMI akan membawa kepada kehancuran umat. Daripada diskusi, persidangan meja bulat, persidangan, seminar dan bermacam-macam lagi. Malangnya pihak kerajaan hanya memandang sepi. Beliau memetik kata-kata Pak Samad iaitu A. Samad Said, “Pemimpin-pemimpin itu mereka mempunyai 1 telinga dan 2 lidah”. Banyak bercakap seperti munafik tetapi langsung tidak mahu mendengar saranan dan sumbangsaran rakyat marhaen.

Cikgu Azmi juga menyeru dengan penuh semangat, “ Andai dengan menjadi Jebat maruah agama dan bangsa bisa dipertahankan, marilah kita bersama-sama menjadi Jebat! ” diikuti tepukan gemuruh para hadirin. Berderau darahku seketika mendengar kata-kata ini. Meremang bulu roma. Adakah terdapat sisa-sisa darah Jebat mengalir di dalam pembuluh darah tubuhku?

Cikgu Azmi bersemangat memberikan pidato. Antara tokoh yang aku kagumi. Tidak pernah takut menyuarakan kebenaran.

Selepas itu, ucapan diteruskan oleh wakil mahasiswa dan Timb Pengerusi Keadilan, Syed Hussin Ali. Ketika ini, jam sudah menunjukkan pukul 11.30 malam. Oleh kerana mempunyai urusan lain yang erlu diselesaikan, kami terpaksa pulang dahulu tanpa sempat mendengar ucapan Tuan Guru Haji Hadi. Memang rugi rasanya, tapi keadaan tidak mengizinkan. Misi kami juga telah berjaya dicapai dengan jayanya, alhamdulillah.

Kami meninggalkan Dewan Perhimpunan Cina dengan tekad untuk terus memperjuangkan Bahasa Melayu. Kami sedar ia bukan sekadar bahasa biasa. Ia adalah lambang jati diri, budaya, sahsiah dan bahasa ilmu umat Melayu. Di dalamnya telah dimurnikan dan diterapkan dengan nilai-nilai kesyumulan serta kesucian ajaran Islam.

Sehingga kini ,masih terngiang-ngiang di telinga pesanan Cikgu Azmi. ” Jika dengan BAHASA BERADAB kita tidak mampu mengajar mereka, biarlah BAHASA JALANAN menjadi galang gantinya. Kita akan ajar mereka di jalan raya”.

Kuala Lumpur, tunggulah saat itu. Biiznillah, gelombang kedua rakyat pasti akan merempuh!

8 comments:

Anonymous said...

Kalau ikutkan hati, memang nak turut serta... tetapi tidak mengapa, di Istana Negara nanti, Insyaallah...

Samudera Tinta said...

Ya anonymus,

Di istana negara nanti insyallah kita berhimpun. Himpunan Cinta..

BARAN said...

salams samudera tinta..tahniah pd semua.sy x thu pun kewujudan PPSMI.hebat mcm ni skali.bagus usaha parti2 alternatif ni.semoga berjaya.

Samudera Tinta said...

Salam drsiti,

Rasanya sekarang bukan lagi layak dipanggil parti alternatif, tapi parti pilihan utama rakyat Malaysia, Pakatan Rakyat. PEKEMBAR plak yang jadi alternatif loni.. =)

P/s:berkaitan ruangan comment drsiti, boleh cuba tukar 'setting' pada 'comments'. Ada 2 pilihan.

1)'comment form placement'. tukar dari 'embedded below post' kepada 'full page' atau 'pop-up window'..jika full page mcm saya ni.

2)jika tak mahu tukar dari 'embedded below post' itu, cuba padamkan fungsi 'show word verification for comments'..

Saya tidak pasti ia berhasil atau tidak tapi cuba dulu. saya pun tak reti sgt..masih mentah dan belajar..

Qirmumtaz said...

qM belajar2 membaca n3 yang panjang lebar...cuba-cuba tanam minat=)

Samudera Tinta said...

qM, terima kasih ziarah..bagusla qM cuba-cuba membaca entri pjg2..baca pelan2.

saya masih tidak dapat membuat entri pendek.. =)

Asrol said...

salam
dalam posting ini, ada 1 gambar anak kecil,itu anak blogger kulup sakah

http://akuoku.blogspot.com/

http://kulupsakah.blogspot.com/

apa apa pun, semoga ikatan silaturahim antara kita semua kekal mesra.


wassalam
asrol , blogger rakyat

Samudera Tinta said...

Salam asrol,

Terima kasih di atas makluman. saya tidak tahu pun cikgu affendi ada blog. terima kasih sekali lagi.

Semoga ikatan silaturrahim akan berpanjangan, insyallah.

Related Posts with Thumbnails