Sunday, February 8, 2009

Politik Kotor @ Pengotor Politik?


Minggu ini sememangnya minggu yang mendebarkan. Tentu sekali perkara ini merujuk kepada situasi dan keadaan ’rampasan kuasa’ yang berlaku di Perak. Pelbagai maklumat, teori dan andaian berlegar di laman sesawang yang pastinya menuntut kebijakan dan kecerdikan kita menapis mana yang betul, separa betul mahupun langsung tidak betul. Apa pun tulisan ini bukan untuk mengulas secara langsung situasi yang berlaku di Perak. Cuma sedikit pandangan peribadi berkaitan politik itu sendiri.

Penulisan ini tercetus apabila aku terdengar perbualan 2 orang pemuda di sebuah restoran yang agak terkenal di Bandar Baru Bangi. Aku yang kebetulan berada di tepi dengan meja 2 pemuda tersebut mendengar dengan agak jelas akan isi perbincangan mereka. Banyak topik yang mereka bualkan termasuklah hal negeri Perak. Cuma yang menarik perhatianku apabila salah seorang mereka berkata, ”Aku benci la politik. Sanggup buat apa sahaja untuk mencapai matlamat. Memang politik itu kotor”, beritahu pemuda itu bersungguh-sungguh. Sahabatnya turut menyokong dengan menambah, ”Aku pun. Aku memang tak pernah amik tau hal politik-politik ni. Buat sakit kepala je,”.

Mendengar perbualan tersebut lantas terdetik di fakulti mindaku, betul ke politik itu kotor sepertimana yang difahami oleh 2 orang pemuda tadi dan mungkin juga ’anutan’ sebahagian umat Islam yang lain dasawarsa ini. Jika tidak silap perhitunganku, aku pernah mendengar satu kuliah di Surau Annur Bandar Baru Bangi (lupa bila dan siapa penceramah) mengatakan politik di dalam Islam disebut siasah. Siasah itu sendiri mungkin boleh dikatakan juga sebagai pentadbiran/pengurusan. Ini termasuklah pengurusan sesebuah negara, negeri, daerah, kampung, keluarga dan termasuklah pentadbiran dan pengurusan diri sendiri kerana di dalam diri kita terdapat ’sultan’ yang cukup berkuasa untuk menggerakkan seluruh jasad yang dipanggil Latifah Robbaniyyah@hati. Mungkin sebab itulah kita juga pernah mendengar perkataan pengurusan diri iaitu cara bagaimana kita perlu mengatur dan mengurus hidup. Dengan tafsiran politik/siasah tadi wajarkah untuk kita mengatakan kita tidak suka akan politik dan politik itu sangat kotor sedangkan kita sememangnya dituntut untuk berpolitik setiap hari. Sekurang-kurangnya untuk menguruskan kehidupan seharian seseorang individu.

Baiklah, untuk lebih mendapatkan lebih pencerahan dan kepastian rasanya kita perlu menerobos kepada ruang yang lebih jauh iaitu dengan menyelak tabir kehidupan junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. Jika difikirkan bukankah Rasullulah merupakan Perdana Menteri , Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Menteri Kewangan, Menteri Belia Dan Sukan, Menteri Pelajaran dan.....(sambung sendirilah) kepada Negara Islam Madinah. Ini kerana Baginda menjadi merupakan rujukan terulung pada zaman tersebut. Jika ada apa-apa yang berlaku Bagindalah tempat untuk diadukan dan diberitakan segala-galanya memandangkan Rasulullah mendapat tuisyen terus daripada Pemilik Segala Ilmu melalui perantaraan Jibril. Jangan kita lupa Rasullullah juga merupakan seorang sahabat kepada sahabat-sahabatnya, suami kepada isteri-isterinya, bapa kepada anak-anaknya, mentua kepada menantunya, menantu kepada mentuanya malahan cucu kepada cucunda-cucundanya. Nah, lihat secara jelas di situ. Bukankah Rasullulah terlibat secara langsung dalam siasah ataupun dalam bahasa moden dipanggil POLITIK. Andai kita mendakwa politik itu kotor bukankah ini menunjukkan kita telah menuduh susuk tubuh Rasullullah terlibat dengan perkara-perkara kotor sedangkan kita telah sedia maklum akan kemaksuman seorang Rasul. Mana mungkin Allah akan membenarkan kekasih-Nya terjerumus ke dalam perkara kotor dan maksiat. Lantas, mengapa wujud istilah ’politik itu kotor’?

Sebenarnya, bagi saya, tiada istilah Politik Kotor. Yang ada ialah Pengotor Politik ataupun Pengotor Siasah. Bagaimana pula Pengotor Politik itu? Ia membawa maksud seseorang, segerombolan ataupun sekumpulan daripada bani Adam yang berpolitik dengan tidak berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Dalam hal ini yang mengotorkan politik adalah individu atau kumpulan dan bukan politik itu sendiri yang kotor.

Kita ambil analogi mudah; Islam adalah agama yang syumul dan terbaik untuk semua makhluk di dunia dan akhirat. Apabila terdapat muslim (individu yang menganut Islam) contohnya merompak bank, bolehkah kita membuat kesimpulan mudah bahawa agama Islam itu adalah agama yang jahat ataupun ’islam kotor’. Mengapa Islam itu dipersalahkan sedangkan pengotor Islam yang sebenar adalah muslim yang gagal menghayati ajaran Islam. Begitu juga di dalam siasah. Politik tidak bersalah. Yang mengotorkan politik adalah individu yang gagal menghayati cara berpolitik mengikut Al-Quran dan As-Sunnah.

Aku teringat salah seorang sahabat pernah berkata istilah ’politik itu kotor’ sebenarnya merupakan satu indoktrinasi yang sengaja ditanam oleh pihak kuffar supaya umat Islam membenci akan politik dan terus menghindarinya. Mungkin sebab itulah terdapat segelintir muslim yang menolak politik secara total dan hanya tertumpu kepada ibadat dan fadail amal semata-mata. Hmm, jika Islam itu sekadar beribadat di masjid, kenapa agaknya Nabi Muhammad dan para sahabat bersusah payah untuk berhijrah ke Madinah dengan menempuh pelbagai dugaan dan cabaran sedangkan di Mekah pun mereka boleh untuk beribadat. Bukankah lebih baik beribadat diam-diam saja di Mekah.

Sedangkan kita telah maklum hijrah itulah titik peralihan akan kebangkitan Islam hinggakan kalendar Islam dimulakan daripada peristiwa hijrah. Masakan tidak bilamana Madinah memberikan peluang Islam didaulatkan melalui kuasa politik yang memungkinkan hukum Islam dijulang. Kedaulatan undang-undang Islam dengan meletakkannya di tempat yang tertinggi hanya boleh dicapai melalui pemerolehan kekuasaan tertinggi. Kisah kerajaan Kelantan yang ingin melaksanakan undang-undang Hudud tetapi dihalang secara keras oleh Kerajaan Persekutuan melalui ugutan ’akan mengisytiharkan darurat’ andai hudud dilaksanakan adalah contoh klasik yang sama-sama kita boleh ambil iktibar.

Sayugia penganut mazhab ’politik itu kotor’ daripada kalangan umat Islam boleh menyemak dan mengkoreksi kembali fahaman yang mereka anuti itu. Lihat dan fikirlah menggunakan neraca iman bukannya neraca dunia. Meminjam kata-kata daripada iklan sebuah produk minuman yang sedang aku boikot, ”bukalah mata dan bukalah minda, jauh di sudut hati kau kan mengerti”.

Pengakhiran, aku ingin kita sama-sama fikirkan dalam situasi mutakhir ini, bolehkan kita katakan pengotor politik Perak adalah Najib, Hee, Osman, Jama, Nasa dan gerombolan yang terlibat dengan konspirasi tersebut? Habis, takkan pihak istana juga tergolong dalam kumpulan pengotor politik Perak?Payah juga nak bagi jawapan ni....

0 comments:

Related Posts with Thumbnails