Friday, February 13, 2009

Air Liurmu Dan Al-Quran



Bagi individu muslim yang biasa membaca Al-Quran tanpa mengira berapa kali kekerapannya, pasti kadangkala mengalami sedikit kesulitan untuk menyelak helaian Al-Quran. Situasi ini adalah sama sahaja apabila kita hendak menyelak surat khabar, majalah mahupun buku dan komik.

Jadi, apa yang kita biasa lakukan untuk mengatasi kesulitan tersebut? Ya, skema sahaja jawapannya. Kebanyakan dari kita akan meletakkan hujung jari telunjuk di hujung lidah dan lebihan air liur yang terlekat di hujung jari akan kita letakkan pada helaian surat khabar, majalah mahupun buku dan komik tadi untuk menyelesaikan sedikit kesulitan itu.

Jika perbuatan meletakkan sisa air liur tersebut pada buku, komik, surat khabar tidak timbul sebarang pertikaian dan persoalan. Namun, jika kita melakukan perbuatan yang sama terhadap helaian kalam suci Al-Quran, adakah isu ini kita boleh anggap sama.

Aku teringat kuliah online yang pernah disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus berkaitan perbuatan ini. Mengikut Ustaz Azhar Idrus adalah HARAM hukumnya kita meletakkan sisa air liur pada helaian Al-Quran bertujuan memudahkan kita menyelaknya. Cuba kita bayangkan apa perasaan kita apabila kita sedang berbicara dengan sahabat kita. Dengan tidak semena-mena sahabat kita memasukkan memasukkan jarinya ke hujung lidah dan menyapu sisa air liur tersebut ke wajah kita. Lantas apa reaksi kita? Silap haribulan ada yang masuk hospital dan mungkin juga berakhir di penjara.

Mengapa? Kerana kita sememangnya berasa jijik ataupun kurang senang dengan air liur orang lain bahkan mungkin juga air liur kita sendiri. Andai sahabat yang sedang bercakap dengan kita tersembur air liur secara tidak sengaja kepada pun kita jijik, inikan pula yang sengaja mahu menyapu air liur ke muka kita.

Begitulah analogi yang boleh dikaitkan dengan Al-Quran. Kita dituntut bersahabat dengan Al-Quran. Apabila kita membaca Al-Quran, sebenarnya kita seolah sedang berinteraksi dengan Al-Quran kerana di dalamnya terdapat peringatan, berita gembira, ancaman dan pelbagai panduan hidup. Adakah kita dianggap beradab apabila ketika ralit berinteraksi bersama Al-Quran tiba-tiba kita menyapu sisa air liur ke wajah Al-Quran semata-mata untuk memudahkan kita. Bukankah itu dianggap biadab dan kurang ajar. Kalam Allah yang diturunkan dari Luh Mahfuz dicemari dengan perkara yang kita sendiri jijik.

Jadi, apa penyelesaiannya? Mudah ! Pertama jika mahu membaca Al-Quran letakkan secawan air biasa di tepi. Jika terasa sukar untuk membelek helaian Al-Quran, celup sahaja di dalam air tersebut dan selaklah. Itu jauh lebih baik berbanding air liur. Mungkin ada yang berhujah, ”Alah, lecehla nak sediakan air dulu sebelum baca Quran. Susah! Banyak keje plak,”. Ya, bagi kita umat akhir zaman yang qalbu kita telah dilitupi debu-debu materialistik, perkara sekecil itu pun akan dianggap payah dan membebankan.

Kita tidak pernah terfikir betapa susahnya Nabi Muhammad S.A.W ketika menerima wahyu dahulu daripada Jibril. Sehingga berpeluh-peluh dahi baginda. Menggigil-gigil badan baginda sehingga diselimutkan. Betapa beratnya amanah Al-Quran. Pernahkah sekali terdetik di sanubari kita jerit perih sahabat-sahabat baginda dan para tabi’ tabiin mengumpul dan menyalin Al-Quran, meletakkan tanda, baris dan sebagainya sehinggalah sampai kepada kita senaskah Al-Quran lengkap pada hari ini. Bandingkan sedikit usaha kita untuk memuliakan Al-Quran ini berbanding usaha sahabat dan ulama terdahulu. Ibarat langit dan bumi gamaknya bahkan mungkin lebih jauh dari itu.

Kedua, boleh sahaja membaca Al-Quran melalui telefon tangan, PDA ataupun komputer. Pasti tak perlu guna air liur lagi.. =)

Kesimpulannya, marilah kita bersama-sama bersahabat dengan Al-Quran dan memuliakan Al-Quran selayak dengan ketinggian maqam Kalamullah.

~ Sampaikan daripadaku walau sepotong ayat ~

Muat turun mp3 kuliah agama di Maktabaty

Marhaen Tua

Seorang wanita india tua
Putih rambutnya
Seribu kedutnya
Hampir bongkok dua badannya

Uniform jingga pudar
Cermin mata yang kusam
Setia menggenggam penyapu
Penyodok berkarat di kiri
Plastik hitam teman di sisi

Terik matahari
Dingin kehujanan
Tidak bisa melunturkan semangatmu
Tidak mampu merobek tekadmu
Demi sesuap rezeki

Masih ada lagikah suaminya
Di mana pula anak-anaknya
Ataupun dia dibuang oleh menantunya
Saudara-maranya pula bagaimana

Monolog hatiku melepaskan keluhan
Betapa kejamnya materialistik
Tidak pernah memilih mangsa
Hatta marhaen tua yang semakin tidak berdaya

2.29 pagi
Jumaat, 13 Februari 2009
Bandar Baru Bangi

Larut Malam Tiada Bintang

Entah mengapa mata aku begitu sukar untuk lelap malam ni. Barangkali penangan kopi yang diminum selepas isya tadi cukup kuat. Biasanya tidak begini. Dari pukul 12 tengah malam sehinggalah pukul 1.30pagi berguling-guling cuba melelapkan mata. Sayangnya gagal.

Lantas aku cuba menulis sesuatu. Sekurang-kurangnya masa tidak terbuang begitu sahaja. Memetik kata-kata Dr Abdul Wahab, moga-moga ada manfaatnya. Lalu terhasillah sebuah karya larut malam, Marhaen Tua. hehe..

P/s:Jika ada tip untuk memudahkan tidur apabila waktu perlu tidur bolehlah dikongsikan bersama. Namun, cadangan supaya makan ubat tidur dan ubat batuk yang kuat tidak akan dipertimbangkan sama sekali. =)

Thursday, February 12, 2009

Zambry, Kenapa Tak Iklan Kerja Kosong Tu??

Sebelum ini aku masih boleh bersabar dengan 'MB' Perak, Zambry walaupun pelbagai pihak menghentam beliau. Namun setelah membaca di dalam Malaysiakini berkaitan perlantikan 3 penasihat baru, aku menjadi marah.

Masakan tidak! Di dalam keadaan rakyat yang banyak dilanda kegawatan ekonomi dan kehilangan kerja, tiba-tiba Zambry melantik tiga orang penasihat tanpa mengiklankannya di dalam surat khabar mahupun laman sesawang. Sepatutnya, Zambry perlu mengiklankan kekosongan jawatan penasihat kepada MB bertaraf exco tersebut untuk membolehkan rakyat yang telah dibuang kerja, tiada kerja mahupun yang masih menganggur untuk mencuba. Mana boleh main lantik je.

Letaklah apa kriteria yang diperlukan untuk menjadi penasihat bertaraf exco. Mahu yang ada ijazah, diploma, sebagai contoh. Ataupun mahukan yang pandai toing, toing. Tak kesahla andai borang permohonan jawatan penasihat itu perlukan tandatangan pengesahan daripada Jawatankuasa Kacau Kampung Persekutuan. Yang penting, kene IKLANKAN!!

Aku pasti jika diiklankan kekosongan jawatan tersebut (vacancy kata orang puteh), pasti ramai yang akan cuba untuk memohon. Dengan jumlah tersebut gaji bulanan RM15,000, elauan percutian (RM20,000), sebuah kereta berserta pemandu, elaun bayaran bil bulanan (RM1,000), elaun pakaian bulanan (RM3,500) dan lesen untuk memiliki senjatapi, siapa tak nak! Lumayan yang amat tu. Eh, sekejap! Siap ada lesen memiliki senjatapi? C4 termasuk dalam senjatapi juga ke? Patutlaaa...

Kesimpulannya, Zambry telah berlaku zalim kepada rakyat Perak dan Malaysia kerana tidak mengiklankan jawatan-jawatan kosong tersebut.

Tanah Di Perak;Siapa Jahat?

Petikan ini aku dedikasikan kepada yang masih tak habis-habis menimbulkan isu tanah di Perak yang jelas merupakan fitnah semata-mata. Berikut merupakan jawapan MB Perak, Dato Seri Ir Nizar. Juga boleh dicapai di dalam blog Dato Seri.

Assalamualaikum

Kepada semua yang telah memberi komen tak kira manis ke pedas, kutuk
ke puji ke,dsbnya, saya ambil kesempatan ini mengucapkan tahniah dan
jutaan terima kasih kerana sudi kunjung dan beri komen serta kritikan.

Sebenarnya dalam mesyuarat exco kerajaan PR Perak ini ada di hadiri
oleh 3 orang pegawai kanan yang cukup berpengalaman sebagai Ex-Officio.
Ini dibuat bagi membimbing serta menasihati semua ahli MMK supaya
tidak buat keputusan yang berlanggaran atau bercanggah dengan setiap
perundangan dan ketetapan negara dan negeri.

Oleh yg demikian setiap keputusan yang dibuat adalah melalui proses
yang menyeluruh dan merujuk kepada mereka.

Kedua ,Semua ketua jabatan teknikal negeri memberi komen dan input
tentang setiap permohonan terutama hal ehwal tanah, perlombongan,
pelaburan dsbnya. Mereka juga akan menasihati jemaah exco dalam
membuat keputusan.

Ketiga, setiap kali sebelum bermesyuarat exco, semua kertas baru
untuk kelulusan atau penolakan akan dipersembahkan kepada kebawah Duli Yang
Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak atau Raja Muda , Raja Dr Nazrin
Shah. Lagipun, setiap keputusan yang dibuat pada mesyuarat exco
sebelumnya juga akan dibentang minitnya kepada DYMM Sultan.

Tohmahan sahabat mengenai "gadai tanah" kpda Cina atau seumpamanya
tidak berasas sama sekali dan hanya menunjukan kurang hemah serta bijak
dalam membuat dakwaan tersebut. Sekali gus memperkecilkan kewibawaan semua
institusi kerajaan yang terlibat.

Untuk pengetahuan semua, saya ingin menyatakan sedikit maklumat yang
mana puluhan ribu ekar tanah kerajaan serta tanah rizab melayu yang
di gadai dan dijual kepada kaum lain oleh kerajaan terdahulu sebagaimana
UMNO menggadaikan Singapura, Pulau Pinang, Batu Putih, Sebahagian
Pulau di Langkawi atau Pulau Pangkor Baru.

Sebahagian tanah kerajaan dan rizab melayu yang melayang ketangan
cina akibat kecerdikan kerajaan terdahulu ialah:

1. 22,000 ekar ( Ya! Dua Puluh Dua RIBU ekar) tanah kerajaan di gadai
kepada gergasi KLK di Lekir, Manjung.

2. 5,000 ekar di Bruas

3. 1500 ekar kepada MCA di Bandar Baru , Kampar (UTAR)

4. 12,000 ekar kepada semua petani cina di Coldstream , Bikam, Bidor

5. Dan banyak lagi jumlah kecilan diseluruh negeri.

6. 200 ekar tapak kilang simin Perak Hanjoong (sekarang YTL kerana di
gadai oleh pemimpin UMNO kepada YTL! ) Ini ntanah rizab melayu di
Padang Rengas, Kuala Kangsar dekat Hiway!

Kerajaan PR berjaya menghentikan penggadaian tanah kerajaan di
beberapa lokasi komersial ditengah bandar ipoh, taiping, bidor , kinta, dan
Perak Tengah pada pertengahan bulan Mac 2008, tarikh kerajaan PR ambil
alih,oleh kerana tanah tersebut telah dijanjikan kepada towkay- towkay
jika sekiranya BN kembali berkuasa pada 9 Mac 2008 (selepas PRU-12).

Sebenarnya penganugerahan hak milik selamanya kepada 102,000 lot
kampong tersusun (kebanyakan melayu), 47,000 lot kampong baru (kebanyakan
cina) dan sebilangan kecil kampong adat (orang asli), adalah janji PAS
dalam manifesto PRU-12.Bukan janji DAP!. DAP tiada manifesto ketika itu di
Perak.

Seandainya semua keluarga kampong baru (47,000) menerima anugerah hak
milik selamanya, ianya hanya melibatkan sejumlah tanah tak lebih dari
3000 ekar . Ya! tak lebih tiga ribu ekar. Oleh kerana tanah lot di
kampong baru jauh lebih kecil saiznya. Kerajaan akan memperolehi
tanmbahan revenue (oleh kerana kenaikan kadar premium tanah )
sejumlah RM330 juta. Nilaian tanah akan menjadi RM1.6 billion dipasaran dan
tanah tersebut boleh disandarkan ke bank komersial oleh tuan milik jika di
tukar kepada hak milik selamanya. Mereka boleh buat pinjaman dan
membina rumah yang kekal dan cantik kerana tiada kebimbangan tanah mereka
akan dirampas dimasa akan datang. Ini cuma kampong baru, belum lagi
kampong tersusun!

Cuba bandingkan dengan jumlah keluasan tanah yang digadai oleh
kerajaan dahulu.! Kerajaan Perak tiada dapat apa-apa bahkan kerugian
berjuta-juta dan putih biji mata kita orang melayu sebagaimana melihat "kecerdikan
" pimpinan UMNO gadai Singapura, Penang dll.

Saya amat berharap menghebahkan perkara sebenar kepada rakyat Perak
khususnya kaum saya orang melayu, akan pengkhianatan pimpinan UMNO
sewaktu mereka berkuasa dahulu.Namun hajat ini tidak kesampaian
kerana TM Radio Perak FM tak bagi kerana di milik UMNO, (agaknya!).

Wednesday, February 11, 2009

Pembesar...

Petikan sajak Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh daripada buku Aksara Usia Edisi Khas Sasterawan Negara (Edisi Kedua)


Dia tidak mungkin salah
Kerana dia pembesar
Setiap patah katanya dikutip
Sepuluh perakam suara
Wartawan latihan yang belajar mencari makan

Maka suaranya memanat keyakinan
Menjawab soalan dengan rasa kebenaran
yang diambil dari partinya

Semua yang tidak hadir
Dilakar sebagai musuh
Yang melawan bangsa
Walau samar masih bersalah

Dia membetulkan topinya
Dan merenung wartawan cantik
Serta terus memperagakan kuasa
Yang dibantu ejekan dan kuasa

Dia mengupas ekonomi
Seperti dia mengarahkan kebudayaan
Kerana semuanya dalam bidang kuasa pembesar

Dia sering menyanyi di tv
Kerana itu kegemarannya
Selain diwawancarai setiap hari

Dan sempadan negeri pun mengecut
Dengan bakatnya
Dia juga dapat mengarah manusia

Di akhir hayatnya
Dia diangkat menjadi dewa
Namun dia orang yang luwes
Hampir pilihnaraya
Sut indahnya
Digantikan pakaian masjid
Dan janji sumbangan peribadinya

Tuesday, February 10, 2009

Pantun Jepun

Leraikan tension menaip sekejap..

Pulau Hokkaido jauh ketengah 
Gunung Fuji bercabang tiga 
Hancur Raksaser dikandung tanah 
Ultraman yg baik dikenang jua. 

Dua tiga Raksaser berlari 
Maner nak samer Raksaser Kero 
Dua tiga Ultraman boleh kucari 
Maner nak samer Ultraman Taro. 

Kalau roboh Kota Narita 
Papan di Tokyo Ultraman dirikan 
Kalau sungguh itu keje Raksasa 
Badan dan kepaler dier Ultraman 'fire'kan. 

Kajang Ultraman kajang berlipat 
Kajang Raksaser mengkuang layu 
Kalau Ultraman Ace tak cukup kuat 
Ultraman Neos datang membantu. 

Buai laju-laju 
Sampai Pokok Sena 
Apa dalam baju? 
Lampu Ultraman nyaler. 

Mengata dulang paku serpih 
Mengata Raksaser 
Ultraman pulak yang lebih-lebih. 

Sudah gaharu cendana pula 
Sudahlah kalah di'fire' pula. 

Orang berbudi kiter berbahaser 
'Fire' diberi pada raksaser.

Isu Perak : Penjelasan Mudah, Penjelasan Susah Dan Penjelasan Bervideo

Bagi sesiapa yang masih kurang faham ataupun sengaja buat-buat tak faham akan situasi di Perak, aku berikan 4 pilihan. Pertama, boleh melihat ulasan yang dibuat oleh saudara Abdullah Karim, seorang peguam muda daripada Pahang yang cuba mempermudahkan perkara ini tanpa melibatkan istilah undang-undang yang memeningkan kepala. Berikut adalah ulasan beliau yang aku telah salin tampal;

Saya cuba untuk menjelaskan secara ringkas dan mudah tanpa terikat menggunakan jargon dan istilah undang-undang yang mengelirukan ramai layman.

Dalam hal ini, TIDAK TERDAPAT dalam mana-mana peruntukan samada di dalam Perlembagaan Persekutuan atau pun Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak yang memberi kuasa kepada Sultan Perak atau mana-mana Raja Melayu yang lain untuk memecat Menteri Besar atau Perdana Menteri. Yang ada hanyalah kuasa melantik, namun ianya bukanlah mutlak kerana Raja hanya boleh melantik dari kalangan ADUN yang pada pandangannya mendapat kepercayaan dari majoriti Ahli DUN tersebut.

Disinilah isu undang-undang perlembagaan yang menghantui para jurist sejak sekain lama, timbul kembali. Kali ini di Perak pula. Secara ringkas, berdasarkan kepada autoriti kes Stephen Kalong Ningkan (dan secara spesifik Fasal 16(6) Undang-Undang Tubuh Perak) dan kemudian diulang oleh banyak ahli undang-undang, seseorang Menteri Besar hanya boleh diberhentikan dengan dua cara, iaitu : 1) Dia sendiri meletak jawatan secara sukarela, dan 2) Dia dijatuhkan dengan undi tidak percaya yang mesti dilakukan di dalam DUN (menurut kes Kalong Ningkan)

Perkara ini lah yang menimbulkan pertikaian terhadap keputusan Raja Azlan tempohari. Benar, Baginda berkuasa untuk tidak memperkenankan pembubaran DUN Perak, namun baginda tidak seharusnya menitahkan YAB DS Nizar meletakkan jawatan dan juga terus melantik Dr Zambry Kadir sebagai Menteri Besar yang baru. Ini kerana, kita tidak pasti apakah benar DS Nizar sudah hilang kepercayaan dalam DUN Perak dan apakah benar Dr Zambry mendapat kepercayaan majoriti dalam DUN Perak.

Berdasarkan autoriti yang ada, satu Sidang DUN sepatutnya dipanggil bagi menguji apakah DS Nizar masih mempunyai sokongan dalam DUN Perak.

PR mengatakan dan berhujah bahawa sokongan majoriti yang didakwa diperolehi BN adalah dipertikaikan memandangkan kedudukan dalam DUN Perak sekarang adalah 28-28. Ini disebabkan kedudukan tiga orang ADUN yang melompat dari PKR dan DAP masih dipertikaikan statusnya oleh kerana mereka ada menandatangani surat meletak jawatan tanpa tarikh pada tahun lepas sekiranya mereka melompat parti. Soal surat itu sah atau tidak adalah di bawah bidangkuasa mahkamah dan bukannya SPR.

Memandangkan SPR telah bertindak seolah-olah dirinya mahkamah, maka di sana masih timbul kesangsian tentang kedudukan tiga orang tersebut. Berdasarkan kepada Perkara 51 Perlembagaan Persekutuan yang kemudiannya telah dimasukkan ke dalam peruntukan Perlembagaan Negeri-negeri (sebagaimana kehendak Jadual 8 PP), apabila sahaja SPR dimaklumkan terdapatnya kekosongan di dalam DUN, maka SPR perlu mengisytiharkan kekosongan tersebut dan Pilihanraya Kecil mesti diadakan di dalam tempoh 60 hari. SPR tidak boleh untuk memeriksa atau meneliti atau membatalkan makluman yang dbuat oleh Speaker tersebut bahkan SPR adalah terikat dengannya. Namun, kejadian di Perak menunjukkan SPR telah melanggar perlembagaan. Speaker Perak kemudiannya telah memfailkan kes ini di Mahkamah Tinggi Ipoh.

Berbalik kepada soal MB tadi dan Raja tadi, memandangkan terdapat banyaknya keraguan dalam hal status majoriti sokongan kepada BN ini, maka amatlah wajar bagi Raja Perak untuk mempernankan supaya DUN Perak dibubarkan bagi membolahkran rakyat Perak membuat pilihan mereka once and for all. 

Raja Perak bukan sahaja menolak memberi perkenan untuk membubarkan DUN, bahkan Baginda bertindak diluar undang-undang dengan mengarahkan DS Nizar meletak jawatan dan melantik pula Dr Zambry sebagai MB dalam kedaan kita semua tidak jelas benarkah DS Nizar telah hilang sokongan dalam DUN Perak.

Justeru, memang tepatlah jika PR mengambil tindakan untuk mecabar keuputusan tersebut di Mahkamah Tinggi dan tepatlah juga keputusan DS Nizar untuk tidak meletakkan jawatan dan secara teknikalnya, memandangkan DS Nizar masih belum meletak jawatan dan masih belum dijatuhkan dengan undi tidak percaya dalam DUN Perak, maka DS Nizar masih kekal sebagai MB Perak.

Kedua, jika mahukan penjelasan yang mungkin agak kompleks tentang kesahihan Ir Nizar sebagai MB Perak, boleh lihat di blog Tengku Razaleigh, seorang ahli UMNO. Diulangi sekali lagi; seorang ahli UMNO. Sila lihat di bawah tajuk The Rule Of Law ataupun klik di sini.

Ketiga, jika inginkan penjelasan daripada pakar perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari bersama-sama Shamsul Iskandar dan YB Khalid Samad sila tonton di TV Antara.

Keempat, Jika masih tidak mahu ambil peduli ataupun buat bodoh, pergi sahaja tonton cerita Spa Q musim kedua. Sesuai dengan tahap pemikiran orang tersebut.

Al-Fatihah Buat Almarhum MP Bukit Gantang

Bersama-sama kita bacakan Al-Fatihah buat pejuang gerakan Islam, PAS Almarhum Ustaz Ruslan Shaharum yang telah kembali ke rahmatullah. Kita sama-sama doakan semoga roh almarhum diletakkan bersama-sama para kekasihNya dan sedang tersenyum di sisi roh pejuang-pejuang Islam yang lain, insyallah.

Aku pernah mengikuti tazkirah dan kuliah yang disampaikan oleh almarhum di Surau Annur Bandar Baru Bangi. Gaya beliau yang bersahaja dan kerap tersenyum amat menyenangkan hati. Malahan almarhum pernah membawa selori buah durian dari Bukit Gantang untuk dijual kepada jemaah Surau Annur bagi menampung perbelanjaan tabung Parlimen Bukit Gantang. Kata almarhum, durian Bukit Gantang antara yang terbaik di Malaysia. Begitulah perjuangan dan tekad seorang pejuang Islam.

Ustaz Haron Din di dalam kuliah beliau semalam menyatakan Ustaz Ruslan Shaharum antara pengasas Darussyifa Cawangan Ipoh dan Ustaz Haron Din amat rapat dengan almarhum. Menurut Ustaz Haron Din sebagai MP pembangkang, kewangan dan elaun yang sepatutnya diperolehi oleh beliau dinafikan oleh kerajaan pusat. Hmm, untung betul almarhum. Nanti boleh mengadu kat mahkamah Allah yang pastinya Maha Adil tentang kezaliman yang menimpa almarhum selama ini. Jawab lah nanti kat sana wahai geng 'Pirates Of Perakeean'. Ustaz Haron juga menyeru hadirin yang hadir di Darussyifa semalam untuk menyumbang duit bagi meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga almarhum.

Harimau mati meninggalkan belang, pejuang Islam mati meninggalkan nama yang harum. Nama almarhum pasti akan tercatat dalam senarai pejuang PAS yang komited sehingga akhir hayat beliau. Hasil penulisan almarhum boleh dilayari di sini.

Al-fatihah buat almarhum.

Sunday, February 8, 2009

Politik Kotor @ Pengotor Politik?


Minggu ini sememangnya minggu yang mendebarkan. Tentu sekali perkara ini merujuk kepada situasi dan keadaan ’rampasan kuasa’ yang berlaku di Perak. Pelbagai maklumat, teori dan andaian berlegar di laman sesawang yang pastinya menuntut kebijakan dan kecerdikan kita menapis mana yang betul, separa betul mahupun langsung tidak betul. Apa pun tulisan ini bukan untuk mengulas secara langsung situasi yang berlaku di Perak. Cuma sedikit pandangan peribadi berkaitan politik itu sendiri.

Penulisan ini tercetus apabila aku terdengar perbualan 2 orang pemuda di sebuah restoran yang agak terkenal di Bandar Baru Bangi. Aku yang kebetulan berada di tepi dengan meja 2 pemuda tersebut mendengar dengan agak jelas akan isi perbincangan mereka. Banyak topik yang mereka bualkan termasuklah hal negeri Perak. Cuma yang menarik perhatianku apabila salah seorang mereka berkata, ”Aku benci la politik. Sanggup buat apa sahaja untuk mencapai matlamat. Memang politik itu kotor”, beritahu pemuda itu bersungguh-sungguh. Sahabatnya turut menyokong dengan menambah, ”Aku pun. Aku memang tak pernah amik tau hal politik-politik ni. Buat sakit kepala je,”.

Mendengar perbualan tersebut lantas terdetik di fakulti mindaku, betul ke politik itu kotor sepertimana yang difahami oleh 2 orang pemuda tadi dan mungkin juga ’anutan’ sebahagian umat Islam yang lain dasawarsa ini. Jika tidak silap perhitunganku, aku pernah mendengar satu kuliah di Surau Annur Bandar Baru Bangi (lupa bila dan siapa penceramah) mengatakan politik di dalam Islam disebut siasah. Siasah itu sendiri mungkin boleh dikatakan juga sebagai pentadbiran/pengurusan. Ini termasuklah pengurusan sesebuah negara, negeri, daerah, kampung, keluarga dan termasuklah pentadbiran dan pengurusan diri sendiri kerana di dalam diri kita terdapat ’sultan’ yang cukup berkuasa untuk menggerakkan seluruh jasad yang dipanggil Latifah Robbaniyyah@hati. Mungkin sebab itulah kita juga pernah mendengar perkataan pengurusan diri iaitu cara bagaimana kita perlu mengatur dan mengurus hidup. Dengan tafsiran politik/siasah tadi wajarkah untuk kita mengatakan kita tidak suka akan politik dan politik itu sangat kotor sedangkan kita sememangnya dituntut untuk berpolitik setiap hari. Sekurang-kurangnya untuk menguruskan kehidupan seharian seseorang individu.

Baiklah, untuk lebih mendapatkan lebih pencerahan dan kepastian rasanya kita perlu menerobos kepada ruang yang lebih jauh iaitu dengan menyelak tabir kehidupan junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. Jika difikirkan bukankah Rasullulah merupakan Perdana Menteri , Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Menteri Kewangan, Menteri Belia Dan Sukan, Menteri Pelajaran dan.....(sambung sendirilah) kepada Negara Islam Madinah. Ini kerana Baginda menjadi merupakan rujukan terulung pada zaman tersebut. Jika ada apa-apa yang berlaku Bagindalah tempat untuk diadukan dan diberitakan segala-galanya memandangkan Rasulullah mendapat tuisyen terus daripada Pemilik Segala Ilmu melalui perantaraan Jibril. Jangan kita lupa Rasullullah juga merupakan seorang sahabat kepada sahabat-sahabatnya, suami kepada isteri-isterinya, bapa kepada anak-anaknya, mentua kepada menantunya, menantu kepada mentuanya malahan cucu kepada cucunda-cucundanya. Nah, lihat secara jelas di situ. Bukankah Rasullulah terlibat secara langsung dalam siasah ataupun dalam bahasa moden dipanggil POLITIK. Andai kita mendakwa politik itu kotor bukankah ini menunjukkan kita telah menuduh susuk tubuh Rasullullah terlibat dengan perkara-perkara kotor sedangkan kita telah sedia maklum akan kemaksuman seorang Rasul. Mana mungkin Allah akan membenarkan kekasih-Nya terjerumus ke dalam perkara kotor dan maksiat. Lantas, mengapa wujud istilah ’politik itu kotor’?

Sebenarnya, bagi saya, tiada istilah Politik Kotor. Yang ada ialah Pengotor Politik ataupun Pengotor Siasah. Bagaimana pula Pengotor Politik itu? Ia membawa maksud seseorang, segerombolan ataupun sekumpulan daripada bani Adam yang berpolitik dengan tidak berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Dalam hal ini yang mengotorkan politik adalah individu atau kumpulan dan bukan politik itu sendiri yang kotor.

Kita ambil analogi mudah; Islam adalah agama yang syumul dan terbaik untuk semua makhluk di dunia dan akhirat. Apabila terdapat muslim (individu yang menganut Islam) contohnya merompak bank, bolehkah kita membuat kesimpulan mudah bahawa agama Islam itu adalah agama yang jahat ataupun ’islam kotor’. Mengapa Islam itu dipersalahkan sedangkan pengotor Islam yang sebenar adalah muslim yang gagal menghayati ajaran Islam. Begitu juga di dalam siasah. Politik tidak bersalah. Yang mengotorkan politik adalah individu yang gagal menghayati cara berpolitik mengikut Al-Quran dan As-Sunnah.

Aku teringat salah seorang sahabat pernah berkata istilah ’politik itu kotor’ sebenarnya merupakan satu indoktrinasi yang sengaja ditanam oleh pihak kuffar supaya umat Islam membenci akan politik dan terus menghindarinya. Mungkin sebab itulah terdapat segelintir muslim yang menolak politik secara total dan hanya tertumpu kepada ibadat dan fadail amal semata-mata. Hmm, jika Islam itu sekadar beribadat di masjid, kenapa agaknya Nabi Muhammad dan para sahabat bersusah payah untuk berhijrah ke Madinah dengan menempuh pelbagai dugaan dan cabaran sedangkan di Mekah pun mereka boleh untuk beribadat. Bukankah lebih baik beribadat diam-diam saja di Mekah.

Sedangkan kita telah maklum hijrah itulah titik peralihan akan kebangkitan Islam hinggakan kalendar Islam dimulakan daripada peristiwa hijrah. Masakan tidak bilamana Madinah memberikan peluang Islam didaulatkan melalui kuasa politik yang memungkinkan hukum Islam dijulang. Kedaulatan undang-undang Islam dengan meletakkannya di tempat yang tertinggi hanya boleh dicapai melalui pemerolehan kekuasaan tertinggi. Kisah kerajaan Kelantan yang ingin melaksanakan undang-undang Hudud tetapi dihalang secara keras oleh Kerajaan Persekutuan melalui ugutan ’akan mengisytiharkan darurat’ andai hudud dilaksanakan adalah contoh klasik yang sama-sama kita boleh ambil iktibar.

Sayugia penganut mazhab ’politik itu kotor’ daripada kalangan umat Islam boleh menyemak dan mengkoreksi kembali fahaman yang mereka anuti itu. Lihat dan fikirlah menggunakan neraca iman bukannya neraca dunia. Meminjam kata-kata daripada iklan sebuah produk minuman yang sedang aku boikot, ”bukalah mata dan bukalah minda, jauh di sudut hati kau kan mengerti”.

Pengakhiran, aku ingin kita sama-sama fikirkan dalam situasi mutakhir ini, bolehkan kita katakan pengotor politik Perak adalah Najib, Hee, Osman, Jama, Nasa dan gerombolan yang terlibat dengan konspirasi tersebut? Habis, takkan pihak istana juga tergolong dalam kumpulan pengotor politik Perak?Payah juga nak bagi jawapan ni....
Related Posts with Thumbnails