Thursday, April 30, 2009

Personaliti Di Sebalik Darah Anda


Aku sudah terlupa menyalin artikel ini dari sumber yang mana. Maafkan daku untuk kelalaian ini. Artikel ini agak menarik perhatianku kerana apabila aku membanding-bandingkan jenis darahku dengan ciri-ciri yang dinyatakan, ternyata hampir 78% tepat. Oh, ya aku daripada golongan darah jenis AB. Orang kata darah jenis AB adalah penerima universal. Maksudnya tidak sukar untuk mencari darah yang sesuai denganku nanti.huhu.

Berikut adalah RAHSIA yang terselindung di sebalik jenis-jenis darah :

JENIS DARAH O 

Individu yang memiliki jenis darah dari kategori ini disifatkan sebagai individu yang setia, sabar dan sentiasa yakin terhadap keupayaan dan kebolehan diri sendiri.

Selain itu individu dari kategori ini juga sering bersifat ingin menjadi ketua walau dalam apa jua perkara yang ingin dilakukan khususnya yang melibatkan kerja-kerja berkumpulan.

Sekiranya menginginkan sesuatu, anda akan berusaha untuk mencapai matlamat tersebut walau dalam apa cara sekalipun.

Ada kalanya anda dikatakan memiliki sifat cemburu yang agak kuat.

Selain itu anda juga terlalu serius dalam persaingan sehinggakan ia mampu memberikan tekanan kepada diri anda sendiri.

Oleh yang demikian anda harus lebih bijak mengawal emosi diri anda agar tidak dikuasai dengan tekanan.

JENIS DARAH A 

Keharmonian dan keamanan adalah matlamat utama dalam hidup anda. Anda gemar melakukan kerja-kerja secara berkumpulan dan anda juga gemar melibatkan diri dengan berpersatuan.

Anda bijak bergaul dengan individu di sekeliling dan ternyata mereka juga sentiasa berasa senang untuk bekerjasama dengan anda.

Sikap sensitif, sabar, dan bertimbang rasa yang ada dalam diri anda itu melambangkan bahawa anda tergolong dalam kategori individu yang memiliki keperibadian penyayang. Walau bagaimanapun ada kalanya anda agak degil dan terlalu kuat bekerja sehinggakan tidak mengendahkan langsung waktu untuk berehat.

Anda harus ingat, kesihatan juga perlu diutamakan. Jangan kerana terlalu leka dengan kerja-kerja anda itu, kesihatan diri pula yang terabai.

JENIS DARAH B 

Sempoi! Itulah ungkapan yang paling rapat dengan anda. Anda lebih selesa dengan kesederhanaan.

Dalam perhubungan pula anda adalah individu yang terlalu jujur dan lebih gemar berterus terang dalam apa jua perkara. Dalam melaksanakan sesuatu tugasan yang diberikan, anda lebih gemar melaksanakannya dengan cara anda sendiri.

Anda adalah individu yang kreatif dan fleksibel, mudah bagi diri anda untuk meletakkan diri sendiri dalam apa jua situasi mahupun kelompok golongan tertentu.

Anda adalah individu yang bijak bersosial. Namun ada kalanya sikap anda yang gemar berdikari dan tidak gemar meminta bantuan orang lain itu, mampu mendatangkan masalah buat diri anda dan sekali gus memperlihatkan kelemahan pada diri sendiri. Anda harus ingat bahawa, tidak semua perkara kita boleh menyelesaikannya secara bersendirian.

JENIS DARAH AB 

Tenang dan bijak mengawal emosi, itulah keperibadian yang jelas terpancar dalam diri individu yang tergolong dalam kategori darah berjenis AB ini.

Anda juga sentiasa menghormati orang lain dan ini menjadikan individu yang berada di sekeliling anda berasa selesa untuk berdampingan dengan anda.

Anda juga memiliki sikap humor semula jadi dalam diri dan sentiasa bersikap menghiburkan dan ceria.

Namun ada satu perkara yang harus anda perbaiki dalam diri anda itu. Anda perlu lebih bijak dan berani untuk membuat keputusan sendiri. Jangan biarkan orang lain membuat keputusan untuk diri anda sendiri.


Monday, April 27, 2009

Berpesta Hujung Minggu

Alhamdulillah, pada hujung minggu yang lalu aku bersama-sama Pokli, Odeng dan Gaban sempat mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur setelah tertangguh hajat itu pada minggu sebelumnya. Dengan menaiki kereta Gaban, kami bertolak daripada Bangi pada pukul 11.00 pagi.

Dalam perjalanan terserempak kenderaan pacuan empat roda ini. Ini mesti petugas-petugas Dr Lo'Lo' Ghazali, Ahli Parlimen Titiwangsa.

Sampai di PWTC pada 12.15 tengahari dengan keadaan parking kereta penuh. Mencari-cari parking sehingga 20 minit. Kemudian, mencari mesin ATM untuk menuntut wang masing-masing.

Buku Adik Madihah sudah keluar.

3 jejaka ini berlagak seolah-olah berminat dengan buku undang-undang. Konon-konon nampak profesional lah tu.haha.

Prof Izi Yahya daripada UPM. Penceramah motivasi selebriti yang sering keluar di Radio Era.

Ustazah selebriti comel yang agak 'jangok' sekarang.

Kumpulan Raihan mempromosikan siri animasi dan komik terbaru mereka, Raihan Rangerz. Sepatutnya gunalah identiti sendiri. Seolah karya saduran sahaja. Tapi mungkin ini satu permulaan yang baik. Boleh diperbaiki dari semasa ke semasa. Tahniah Raihan.

Sudut Karikatur bersama pelukis majalah Gila-Gila. Yang di tengah itu adalah Nud's. Yang lain aku tidak kenal.

Inilah antara buku yang sempat aku borong di gerai pameran Dewan Bahasa Pustaka. Buku Puisi Setitik Darah Di Bilik Bundar adalah buku kedua karya Sasterawan Negara, Prof Dr Muhammad Haji Salleh yang aku miliki selepas buku puisi Aksara Usia. Aku memang meminati puisi-puisi beliau kerana biasanya ia menggabungkan elemen timur dan barat, asia dan eropah. Cukup mengesankan.

Buku Ke Luar Jendela pula memaparkan 55 makalah hasil tulisan Datuk Dr Hassan Ahmad yang pernah tersiar dalam Dewan Masyarakat dan Dewan Budaya. Dengan pengalaman luas Datuk Dr Hassan Ahmad antaranya sebagai Mantan Pengarah DBP, Duta dan Wakil Tetap Malaysia Ke Unesco, Paris, dan Presiden Kumpulan Elektoral Negara Asia Pasifik, menyelak beberapa helaiannya cukup untuk menarik minatku memiliki buku ini. Banyak maklumat berguna dan pemikiran di luar kotak.

Pada mulanya teringin juga untuk membeli karya baru Faisal Tehrani bertajuk Ketupat Cinta dan Menongkah Arus nukilan Cikgu Azizi Abdullah. Namun, memandangkan novel Faisal Tehrani berjudul Bedar Sukma Bisu yang dibeli pada pesta buku lalu belum habis dibaca isi di tengahnya, aku membatalkan hasrat itu (biasanya aku mempunyai satu tabiat buruk apabila membawa sesuatu novel iaitu aku akan membaca sinopsis terlebih dahulu kemudian membaca bab pertama dan terus melompat ke bab terakhir untuk mengetahui kesudahannya. Sungguh teruk kan?). Aku memang meminati gaya penulisan dan lenggok bahasa Faisal Tehrani dan Cikgu Azizi. Tersangat indah lagi mengasyikkan. Mereka juga kaya dengan perbendaharaan kata.

Majalah Milenia Muslim edisi terbaru dan beberapa naskah edisi lama.

Majalah Bola Sepak edisi Nov 08. Aku membelinya sebab ada poster gergasi sebesar pintu Lionel Messi. Tahun lepas dah dapat poster gergasi skuad Manchester United. Tambah koleksi lagi. Selepas ini perlu mencari poster Michael Carrick dan Kaka pula.

Pada pukul 5.50 petang kami selesai membeli-belah di pesta buku dan menuju ke Plaza Mont Kiara untuk sedikit urusan dan bersolat. Gambar di atas adalah bangunan Pusat Sains Negara.

Dalam lif pun nak bergambar ke? Kalau dah gila bergambar tu kat mana-mana pun jadi.

Pertama kali sampai di Plaza Mont Kiara. Di sini ramai pelancong dan orang asing. Minuman keras dijual secara terbuka. Islam Hadhari, Plaza Mont Kiara Bestari.

Pada pukul 7 malam bertolak pulang ke Bangi.

Saturday, April 25, 2009

Tahniah Khalid Ibrahim, Padan Muka Anuar Musa


Aku baru sahaja selesai menonton siaran langsung perlawanan Piala FA antara Qlate lawan Selangor bersama-sama Pokli dan Odeng. Qlate kalah dengan tendangan penalti. Pemain Qlate ambil penalti macam budak-budak Tadika KEMAS yang minum kopi tongkat ali.

Pokli ternyata agak kecewa. Masakan tidak. Kami sama-sama menjerit kegembiraan ketika penyerang Qlate Si Farhan menjaringkan gol pembukaan buat Red Warriors dan sama-sama menutup muka kecewa apabila Amri Yahya menjaringkan gol penyamaan yang agak mudah di atas kelalaian bek. Sepakan penalti menjadi penutup yang pahit buat si manis Cik Siti Wan kembang.

Semasa sedang menonton sesi penyampaian piala yang mengumpulkan Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Pengerusi FAS dan Anuar Musa sebagai Pengerusi KAFA bersama-sama di atas pentas, Pokli tiba-tiba bersuara,

"Eh, nasib baik juga Qlate kalah. Boleh tengok Khalid Ibrahim tersenyum ceria. Cuba bayangkan jika Qlate menang. Tak sanggup kawe nak tengok Anuar Musa senyum-senyum dan gelak-gelak atas pentas sementara Khalid bermuram durja,".

"Baik tengok 'orang kita' senyum daripada 'orang mereka' tersengih-sengih macam kerang busuk," tambah Pokli.

Aku mengiakan perkara tersebut di dalam hati. Betapa aku sudah lama memendam perasaan tidak puas hati terhadap pengurusan KAFA.

Mengapa KAFA masih tidak diserahkan kepada kerajaan negeri Qlate sedangkan persatuan bola sepak negeri lain hampir kesemuanya di bawah pengurusan kerajaan negeri sendiri. Sedari dulu pihak PEKEMBAR lah yang menguruskan KAFA. Sekejap naik dan kemudian merudum. Seumpama yoyo. Banyak penyelewengan kewangan di dalam KAFA telah berlaku lantaran tangan-tangan yang tidak amanah dan perkara ini bukan lagi rahsia yang boleh ditutup dengan nyiru.

Sebab inilah keghairahan aku terhadap pasukan bola sepak Qlate tidak sama seperti kegilaan aku terhadap Manchester United. PEKEMBAR yang menguasai KAFA menjadikan minatku sedikit bersisa. Maaf cakaplah.


Andai Qlate menang malam ini aku akan mengucapkan tahniah kepada semua pemain yang bertungkus-lumus dan oleh kerana Qlate kalah maka aku akan ucapkan PADAN MUKA ANUAR MUSA!

Anuar Musa, jangan sesekali menyangka rakyat sudah lupa peristiwa kurang ajar pertabalan Tengku Ibrahim Inderaputera untuk mengganti Sultan Ismail Petra pada 29 April 1993 di bawah pokok ketapang di Ketereh. Itu tetap tersimpan kemas di dalam diari minda rakyat.

Akhir, jika ada yang mengatakan sukan tiada kaitan dengan politik, maka bersaksilah olehmu sekalian bahawa orang itu adalah seorang yang jahil murakkab.

P/s: Qlate menang aku senang, Qlate kalah pun aku senang. Sungguh senang menjadi Bujang Senang.

Friday, April 24, 2009

TAHNIAH JAMIL KHIR!! HARUSSANI ZAKARIA TOLONG KOMEN !!!


ANUTAN ANAK IBU-BAPA TUKAR AGAMA KEKAL

KUALA LUMPUR 23 April – Kabinet memutuskan bahawa anak kepada pasangan yang menukar agama yang masih di bawah umur hendaklah dibesarkan mengikut agama asal ibu bapa mereka semasa melangsungkan perkahwinan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, mesyuarat semalam turut memutuskan mana-mana pasangan yang memeluk Islam harus menyelesaikan segala isu berkaitan perceraian dan penjagaan anak-anak di mahkamah sivil dan bukannya mahkamah syariah.

Katanya, langkah itu selaras dengan pendirian Kabinet bahawa undang-undang syariah hanya boleh digunakan terhadap perjanjian berkaitan perkahwinan yang dibuat bermula dari tarikh individu itu memeluk Islam dan bukannya sebelum itu.

‘‘Kita juga memutuskan bahawa perkahwinan individu yang memeluk Islam yang dibuat menerusi proses sivil tidak akan terbatal secara automatik.

‘‘Ini bagi memastikan tiada mana-mana pihak yang tidak bersalah diperlakukan secara tidak adil dan mengelak pasangan menggunakan alasan memeluk Islam untuk lari daripada tanggungjawab,’’ katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Beliau memberitahu, keputusan itu dibuat sebagai penyelesaian jangka panjang bagi menangani isu tukar agama dan terbaru berkaitan dengan kes K. Pathmanaban dari Ipoh yang membawa tiga anaknya memeluk Islam, baru-baru ini.

Kata Mohamed Nazri, keputusan itu adalah berdasarkan pandangan jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menyelesaikan kes Pathmanaban atau nama Islam, Mohd. Ridzuan Abdullah, 40.

Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Nasional dan Pengurusan Prestasi), Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon turut disertai Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom; dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Tiga kanak-kanak berkenaan iaitu Tevi Darsiny, 12; Karan Dinesh, 11 dan Prasana Diksa, setahun, yang dibawa memeluk Islam oleh Mohd. Ridzuan pada 12 April lalu dengan hanya menggunakan bukti sijil kelahiran.

Beliau juga telah membuat permohonan untuk mendapatkan hak penjagaan terhadap tiga kanak-kanak terbabit di Mahkamah Syariah.

Bagaimanapun, tindakan Mohd. Ridzuan itu dibantah oleh ibu kanak-kanak berkenaan, M. Indira Ghandi, 35, yang mahukan anak- anaknya kekal dengan agama Hindu.

Dalam pada itu, Mohamed Nazri berkata, walaupun Kabinet telah membuat keputusan, kerajaan tetap bersedia mendengar pandangan rakyat sekiranya mereka berpendapat langkah terbaru itu mempunyai kelemahan.

~ Sumber Utusan Meloya ~

Reaksi Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

PEGUAM SYARIE MAHU KEPUTUSAN DIKAJI

KUALA LUMPUR 23 April – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mahu jemaah menteri mengkaji semula keputusan berhubung status anak-anak kekal menganut agama asal meskipun salah seorang ibu atau bapa mereka memeluk agama lain.

Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang yang terkejut dengan keputusan tersebut berkata, ia seolah-olah menggambarkan adanya usaha campur tangan dalam urusan pentadbiran mahkamah di Malaysia.

Walhal bagi Musa, mahkamah syariah mahupun mahkamah sivil sepatutnya diletakkan sebagai satu entiti yang bebas dalam memutuskan sesuatu pertikaian sama ada yang melibatkan Islam mahupun bukan Islam.

‘‘Sekiranya keputusan ini diteruskan, ia akan mewujudkan satu suasana seolah-olah pihak kehakiman terikat dengan apa yang diputuskan oleh kerajaan. Sedangkan ia tidak sepatutnya dikacau atau diganggu.

‘‘Mahkamah perlu dibiarkan bebas daripada campur tangan mana-mana pihak termasuklah pihak eksekutif (kerajaan). Kebebasan institusi legislatif (mahkamah) perlu dipertahankan,’’ ujar Musa.

Justeru itu, beliau meminta keputusan tersebut ditangguhkan dan dikaji semula dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang awam dan ahli akademik.

~ Sumber Utusan Meloya ~

--------------------------------------------------------------------------------------

Reaksi Samudera Tinta

1.Ternyata aqal makhluk lebih bijak daripada Khaliq. Malaysia Boleh!

2.Inikah projek yang termasuk di dalam slogan SATU MALAYSIA?

3.Kita hanya boleh berhukum dengan perkara zahir. Perkara yang berkaitan batin dan hati di luar kuasa manusia. Pihak kerajaan sungguh bijak (baca:bangang) kerana boleh membaca hati manusia.

4.Mengapa jawatankuasa khas menangani isu orang Islam ini dipengerusikan Koh Tsu Kun? Jawatankuasa ini terdiri daripada 4 orang. Koh Tsu Kun dan Subramaniam bukan Islam. Shahrizat boleh diragui tahap kefahaman Islamnya manakala Jamil Khir bolehlah dikatakan agak faham Islam. Jika keputusan yang telah dibuat ini dilakukan menerusi undian (demokrasi), berdasarkan panel-panel yang ada agaknya siapa yang akan menang? Sudah terang lagi bersuluh akan keputusannya!

5.Dalam konteks Malaysia, Mahkamah Syariah dipandang lekeh. Apabila Mohd. Ridzuan membawa kes ini ke Mahkamah Syariah, tiba-tiba dia diarahkan membawa kes ini ke Mahkamah Sivil pula. Apa cerita bai? RAKYAT DIDAHULUKAN?

6.Setelah keputusan dibuat, barulah KERAjaan 'bersedia mendengar pandangan rakyat sekiranya mereka berpendapat langkah terbaru itu mempunyai kelemahan'. Jika sudah maklum akan kejahilan serta kebodohan sendiri, mengapa awal-awal lagi tidak menjemput bersama di dalam jawatankuasa khas ini pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar perundangan dan ahli akademik? Sepatutnya setelah berbincang secara terperinci dengan segala pihak yang berautoriti barulah keputusan dibuat. PENCAPAIAN DIUTAMAKAN?

7.Sekalung tahniah untuk projek pertama ini buat JAMIL KHIR.

8.HARUSSANI ZAKARIA SILA KOMEN !!!! Saudara bukan dibayar gaji untuk komen pasal bukan Islam baca Al-Quran sahaja.

9.Bodoh tidak boleh diajar, bangang tidak boleh ditegur.

10.Noktah sementara kerana aku sedang BENGANG dan MARAH seperti gambar di atas!

Thursday, April 23, 2009

Sesudah Subuh Yang Lalu


Selesai menunaikan solat subuh pagi tadi entah mengapa mataku terasa begitu berat. Sangat mengantuk. Mungkin akibat berjaga agak lewat pada sebelah malamnya kerana menyiapkan sedikit tugasan. Selepas memasang jam penggera pada telefon bimbitku, aku terus melelapkan mata barang seketika.

Apabila aku membuka mata aku telah berada di sebuah rumah kayu. Penghuni rumah tersebut seperti sedang merayakan sesuatu. Jika tidak silap perhitunganku kenduri kahwin barangkali. Ketika itu aku sedang duduk di hadapan sebuah meja makan bersama-sama 2 orang lain. Salah seorang daripadanya adalah Tuan Guru Nik Aziz. Ya, Tuan Guru Nik Aziz! Aku tidak mengenali pemuda yang seorang lagi.

Kemudian, pemuda tersebut bangun dan meminta diri daripada Tuan Guru untuk ke dapur. Aku mengambil peluang merapati Tuan Guru. Aku menyalami dan mencium tangan beliau. Aku meminta adikku (entah dari mana dia tiba-tiba muncul) mengambil gambar aku dan Tuan Guru. Namun, selepas beberapa kali gambar diambil, hasilnya kurang memuaskan. Banyak yang kabur. Aku sedikit kecewa.

Aku meminta izin Tuan Guru untuk memeluk dan mengucup dahinya. Beliau izinkan. Aku pun memeluk badan kerdilnya yang hangat dan mengucup dahinya yang sejuk itu. Sekonyong-konyomg datang seorang pemuda memegang kamera (lagaknya seperti seorang jurugambar profesional) datang mengambil gambarku dan Tuan Guru. Katanya mahu dibuat kenangan. Aku hanya tersenyum puas. Puas kerana dapat mengabadikan kenangan manis bersama Tuan guru.

Aku merenung wajah mulus Tuan Guru. Aku lihat pada pipi dan lehernya ada warna hijau pucat. Aku tidak tahu mengapa warna hijau pucat itu terdapat pipi dan leher Tuan Guru.

Tuan Guru sihat?, ” aku bertanya khabar. Entah mengapa aku baru bertanya soalan itu. Sepatutnya ia ditanya di awal pertemuan tadi.

Saya sihat, alhamdulillah,” jawab Tuan Guru perlahan.

Tuan Guru, berilah nasihat kepada saya, ” ujarku dengan penuh harapan.

Tanpa berlengah Tuan Guru Nik Aziz mula memberikan tazkirah buatku. Aku berasa sungguh bertuah kerana aku dapat mendengar untaian ilmu daripada mulut Tuan Guru secara berdepan malahan eksklusif untuk diriku seorang sahaja. Aku cukup terpesona dengan aura dan keluhuran budi Tuan Guru melayani marhaen sepertiku.

Dalam keasyikan merenung wajah dan mengutip mutiara ilmu dari Tuan Guru tiba-tiba aku menangkap satu bunyi. Semakin lama semakin kuat. Semakin lama semakin jelas...

Tittttttttt...Tiitttttt...Tiitttttt....Tiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiitttttttttttttttttttt. Rupanya itulah bunyi jam penggera telefon bimbitku yang telah dikunci sebelum tidur tadi mengejutkan aku dari mimpi yang indah. Duhai telefon bimbit, andai kau tahu nilai mimpiku tadi, pasti kau tidak akan tegar hati untuk membangunkan aku.

Dalam kemamaian aku cuba mengimbas kembali tazkirah yang diberikan oleh Tuan Guru tadi. Aku hanya mampu mengingati dua perkara daripada banyak perkara yang beliau nasihatkan. Pertama, hanya Islam lah yang mampu membawa kesejahteraan kepada alam maya ini. Tiada ideologi lain yang mampu menyaingi Islam. Kedua, perjuang dan pertahankanlah Islam itu sepertimana mempertahankan nyawa sendiri. Itu sahaja. Yang lain seolah melayang begitu sahaja. Nama pun mimpi kan.

Aku bingkas bangun mencapai tuala dan menuju ke bilik mandi dengan hati yang berbunga-bunga. Bukan senang mendapat mimpi bertemu ulama. Hebat betul Tuan Guru. Dalam mimpi pun masih sempat memberikan ilmu dan tazkirah.

Cuma mengapa mimpi indah ini hadir ketika tidur kala waktu subuh?

Wednesday, April 22, 2009

Kurang Tarbiah @ Kurang Adab ?


Pemilihan PAS, Maklumat Blog perlu ditapis

Suasana Pemilihan kali ini agak berbeza. Setiap keputusan mesyuarat dan calon yang dilantik akan dimasukkan secara besar-besaran dalam blog oleh individu atau kumpulan tertentu. pemilihan kali ini seakan-akan pesta bagi mereka yang berniat untuk melaga-lagakan kepimpinan dalam PAS.

Yang paling menyedihkan ialah terdapat blog-blog yang menghina peribadi kepimpinan secara terang-terangan sehingga mengetepikan adab-adab dalam berjemaah.

Kepimpinan bukan Maksum dari dosa. Tetapi apa tujuan blogger dan pengkomentar mengkritik secara terbuka.? Kalau tujuan menegur, gunakan saluran yang terbaik seperti mesyuarat Agung Caw. Dan Mesyuarat Agung Kaw.

Kekadang pengkritik pimpinan sekadar mengambil maklumat dari blogger yang kadang kala diragui kesahihannya. Contoh termudah ialah tohmahan yang dikenakan kepada Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharuddin Mat Isa.

Beliau dikatakan seorang yang ingin membawa masuk PAS ke dalam UMNO. Beliau diistilahkan sebagai Pro gabungan dan pelbagai kata nista lagi.

Tidak dinafikan bahawa mungkin Timbalan Presiden PAS ada kelemahan. Tetapi tuduhan bahawa beliau seorang yang pro untuk bergabung dengan UMNO adalah suatu yang tidak boleh diterima.

Timbalan Presiden PAS itu hanya menuruti keputusan jemaah untuk bertemu dengan pimpinan UMNO. Segala butir pertemuan dilaporkan secara detail dalam Mesyuarat PAS Pusat. Beliau bukan bertindak semberono.

Dato’ Seri Tuan Guru Presiden PAS selalu menyebut bahawa kalau PAS ingin membuat keputusan besar, PAS pasti akan membuat sidang muktamar khas bagi mendengar pandangan akar umbi.

Jadi kenapa para blogger hanya mengkritik pertemuan Tim.Presiden atas isu yang telah dipersetujui oleh Mesyuarat PAS Pusat. Kritikan-kritikan ini seakan-akan dilihat seperti ada muslihat tertentu untuk menjatuhkan beliau.

Tulisan ini bukan bermakna untuk mempertahankan Tim. Presiden. Bahkan kalau permintaan majoriti perwakilan nanti untuk menukar timbalan Presiden pun, penulis tidak kisah. Kerana ini adalah permintaan Ahli dari peringkat bawah. Tetapi pemilihan mesti dijauhi dari segala fitnah dan tohmah.

Ketika pertandingan merebut timbalan Presiden antara Ust. Hasan Shukri dan Ust. Nasaruddin. Ust. Hassan begitu hebat dinista dan ditohmah dengan pelbagai-pelbagai isu. Walhal, selepas habis muktamar, segala tohmahan itu hilang begitu sahaja.

Ketika pertandingan merebut timbalan Presiden antara Ust Nasaruddin dan Ust. Harun Taib. Ust Harun di cerca dengan pelbagai cercaan. Walhal, selepas habis muktamar, segala cercaan hilang begitu sahaja.

Kali ini, penulis tidak pasti siapa pula yang akan menjadi mangsa cercaa, hinaan dan tohmahan.

Kalau sebelum ini, segala berita hanya disebarkan dalam bentuk cetak dan SMS. Kini sistem sebaran berjalan dengan lebih canggih.

Penulis tidak faham apa sebenarnya maksud perlunya tranformasi dalam kepimpinan PAS. perkataan tranformasi selalu timbul ketika pemilihan diadakan. Walhal sesiapa pun menang, PAS tetap bergerak dengan seadanya. Tiada perubahan besar dalam PAS.

PAS telah mempunyai dasar yang jelas. Yang tinggal lagi ialah kerjasama antara kepimpinan pusat, negeri, kawasan dan cawangan untuk menyerapkan dasar tersebut ke dalam minda ahli PAS dan masyarakat.

Penulis cukup faham kalau tranformasi kepimpinan dari Al-Marhum Dato’ Asri Muda kepada Al-Marhum Tn Hj, Yusuf Rawa. Tranformasi ketika itu ialah dari kepimpinan yang agak nasionalis kepada kepimpinan Ulamak.

Tapi kali ini, apa maksudnya tranformasi.? Kalau sekadar cadangan strategi baru. Itu bukan tranformasi tapi lebih kepada perubahan strategi yang sentiasa berlaku dalam PAS. cadangan strategi itu tidak memerlukan penukaran kepimpinan secara besar-besaran.

Di musim pemilihan ini, ahli PAS perlu memahami bahawa setiap kritikan terhadap seseorang pemimpin dalam blog perlu ditapis dan disaring. Sebagaimana ulamak terdahulu menapis kesahihan hadis begitu juga dengan ahli PAS.

Sebagaimana kita tidak percaya kepada maklumat yang dipaparkan dalam blog antihusam, begitu juga kita tidak perlu percaya kepada maklumat blog yang mengkritik timbalan presiden PAS secara membabi buta.

Kalau betul ingin tukar kepimpinan, lakukan secara beradab dan penuh hemah. Kepimpinan yang baru mestilah kepimpinan yang sentiasa mengutamakan parti, mematuhi keputusan parti, bergerak selaras dengan arahan parti. walaupun dia bukan ulamak

Kalau seorang pemimpin itu hanya mementingkan populariti, bertindak secara sendirian dan tidak mematuhi arahan mesyuarat, mesyuarat dalam mesyuarat. Pemimpin sebegini wajar ditolak, walaupun dia berstatus ulamak.

Sumber At-Takiri

------------------------------------------------------------------------------------------------

Satu pandangan menarik hasil kupasan Ustaz Zulhilmi Abdul Rahman. Sememangnya dengan kehadiran media baru iaitu medium blog menjadikan suasana muktamar agung PAS lebih berwarna-warni. Pelbagai pihak dilihat cuba membentangkan analisis dan calon-calon kegemaran masing-masing.

Cuma yang aku kurang senang di hatiku adalah timbul pula budaya label melabel di dalam jemaah seolah-olah wujud pelbagai puak-puak yang berbeza di dalam PAS. Perbezaaan pendapat adalah perkara lumrah namun apabila sampai ke peringkat mewujudkan kem-kem tertentu di dalam jemaah Islam, bagiku itu sudah lebih.

Hatiku cukup walang apabila ditulis terdapat kumpulan Profesional-Liberal (Pro-Lib) yang kononnya dikatakan dipimpin oleh Husam yang akan bertembung dengan kumpulan Ustaz-Ulamak yang dipimpin (kononnya) oleh Ustaz Nasharuddin di dalam muktamar nanti. Adakah terdapat pertembungan antara golongan ulama dan profesional di dalam PAS selaku sebuah gerakan Islam? Aku terfikir adakah gerakan Ikhwan Muslimin pernah menghadapi situasi seperti ini? Entahlah, aku tidak pernah mengkajinya. Mungkin kajian dan pembacaan lebih lanjut diperlukan.

Mungkin juga kerana kepelbagaian fikrah dan individu di dalam PAS menyumbang kepada berlakunya situasi ini. Aku teringat kata-kata Ustaz Idris Ahmad di dalam satu program dulu, " Dalam PAS ni kita ada semua golongan. Dari ahli yang tak berus gigi sehinggalah kepada ahli yang ada 2,3 keping PhD". Itulah kata-kata yang sering terngiang di kepalaku yang menunjukkan kesyumulan gerakan PAS. Itulah uniknya PAS. PAS tidak memilih ahli. Tidak mensyaratkan hanya yang ada ijazah, ahli yang tamat belajar di UK atau ahli yang terdiri daripada golongan profesional sahaja.

Kepelbagaian ragam dan tahap berfikir inilah yang agak menyukarkan proses pentarbiyahan. Dengarnya silibus dan program tarbiah sudah disusun dengan baik. Cuma program-program tarbiah kurang diminati oleh ahli berbanding program-program politik lantas menjadikan penyertaan di dalam program tarbiah agak kurang. Ada juga yang merasakan sudah pandai dan cukup ilmu lantaran itu tidak perlu lagi menghadiri usrah, liqa, majlis ilmu dan sebagainya.

Kesannya? Kesan pengabaian tarbiah akan menyebabkan ahli-ahli jahil banyak perkara terutama berkaitan adab-adab berjemaah. Harus disedari bahawa antara ahli dan pemimpin jemaah ada adab yang perlu diikuti dan dipatuhi. Adab menegur pimpinan tidak sama dengan kita menegur sahabat sejemaah. Ada saluran dan etikanya. Bagiku adab ini bukanlah untuk menyekat kebebasan bersuara dan mewujudkan birokrasi. Cuma ia adalah satu mekanisme untuk melicinkan gerak kerja jemaah dan supaya kita tidak sibuk bertikam sesama sendiri di kala musuh bertepuk tangan dan terbahak-bahak melihat kita bercakaran. Kita mungkin mengabaikan MUSUH SEBENAR di kala sibuk bertempur sesama sendiri.

Aku kira aku bukanlah orang yang selayaknya untuk bercakap soal ini. Anggaplah ini sekadar coretan isi hati dari seorang ahli bawahan yang juga merangkap seekor tikus makmal. Walau siapa pun pemimpin yang bakal naik selepas ini, kita doakan mereka mampu membawa gerakan jemaah Islam ini ke puncaknya. Bukan sekadar kemenangan di dunia, malahan kemenangan di akhirat itu yang lebih penting.

Akhirnya, aku petik-petik kata-kata Ustaz Bash dalam usrah terakhir yang sempat aku ikuti 3 minggu lalu, " Di dalam medan Uhud ramai umat Islam yang terkorban namun tidak semua dikira mati syahid. Yang berjuang kerana Allah itulah syuhada'. Manakala yang berjuang kerana bangsa, tanah air, ghanimah dan keduniaan tidak tergolong di dalam syuhada'. Begitulah kita di dalam perjuangan hari ini. Ramai umat yang bersama-sama berjuang di dalam gerakan Islam. Apabila ajal menjemput, barulah kita tahu adakah kita sebenarnya Pejuang Islam atau Pejuang Dunia semata-mata".

Friday, April 17, 2009

Yang Indah


11.40 pagi
Kota Bharu, Qlate

Thursday, April 16, 2009

Surat Tanpa Sampul Buat Datuk Jamil Khir

Menemui Datuk Jamil Khir yang berada di Putrajaya, semoga senantiasa berada di bawah perlindungan Allah selalu. Adapun tujuan saya menghantar surat tak bersampul kepada Datuk adalah untuk sedikit sebanyak membantu tugasan Datuk.

Saya terbaca di dalam Utusan Malaysia baru-baru ini bahawa Datuk ingin menyemak kembali perlaksanaan dasar Islam di Malaysia termasuklah Islam Hadhari. Jadi, saya sebagai seorang rakyat Malaysia yang cintakan negara berasa terpanggil untuk tampil ke hadapan bagi membantu Datuk dalam melaksanakan tanggungjawab ini.

Di bawah saya sertakan beberapa perkara yang boleh membantu Datuk untuk menyemak kembali kewajaran 10 prinsip Islam Hadhari untuk diteruskan di bawah pentadbiran Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan:

1.Keimanan dan Ketakwaan Kepada Allah




2.Kerajaan Adil Dan Beramanah




3.Rakyat Berjiwa Merdeka




4.Penguasaan Ilmu Pengetahuan




5.Pembangunan Ekonomi Seimbang Dan Komprehensif




6.Kehidupan Berkualiti




7.Pembelaan Hak Kumpulan Minoriti Dan Wanita




8.Keutuhan Budaya Dan Moral




9.Pemeliharaan Alam Semula Jadi




10.Kekuatan Pertahanan



Itulah serba sedikit maklumat yang dapat saya kongsikan bersama Datuk. Pada pandangan saya sendiri, saya melihat Islam Hadhari perlu dihapuskan terus dan kita perlu kembali kepada Islam yang sebenar. Islam adalah Islam tanpa perlu dihadharikan. Tidak perlu ada nama serta sifat tambahan kepada Islam kerana Islam itu sudah sempurna dan sesuai untuk setiap zaman. Bagaimanapun saya serahkan segala-galanya kepada kebijaksanaan dan budi bicara Datuk.

Setakat ini dahulu surat saya buat Datuk. Harapannya agar surat kerdil tanpa sampul ini akan dapat sedikit sebanyak membantu Datuk dalam menjalankan tugas. Saya tidak mengharapkan apa-apa ganjaran. Cukuplah sekadar jika diberi peluang makan tengahari di dalam kapal selam Scorpene sekali. Jika tidak, tak mengapalah.

Saya juga mohon maaf kerana surat ini tidak bersampul. Saya tidak mampu membeli sampul surat kerana harganya sangat mahal selepas harga minyak dinaikkan dahulu. Saya mohon maaf sekali lagi

Sekian, terima kasih.

Yang menjalankan tanggungjawab,
Encik Samudera Tinta
(www.samuderatinta.blogspot.com)

Tuesday, April 14, 2009

Mata Rantai



Terkadang aku ingin semulia Ali
Insan terpilih di pembaringan Rasulullah
Sekelumit ragu tiada di hatinya
Allah dan Rasul adalah matlamat

Terkadang aku ingin sehebat Imam Shafie
Menuntun ilmu sehingga tiada sempat berkelamin
Ensaiklopedia rujukan umat
Tawaduk dan rendah hati hiasan budi

Terkadang aku ingin seluhur Al-Banna
Pencetus ulung Ikhwan Muslimin
Mujaddid alaf tiada henti berdakwah
Mengabdikan hidup di jalan perjuangan

Terkadang aku ingin sekental Syeikh Ahmad Yassin
Seorang buta berkerusi roda
Lumpuh tidak berdaya
Namanya sahaja bisa mengecutkan sang zionis

Terkadang aku ingin segagah isi Memali
Berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim
Tidak gentar walau tubuh dihujani ribuan peluru
Senyuman indah menyambut rimbun kesyahidan

Kemudian aku tersedar
Aku perlu menjadi aku
ISLAHKAN DIRIMU DAN SERULAH ORANG LAIN
Mata rantai menjejak akan kemuliaan mereka

Bandar Baru Bangi
13 April 2008
11.32 malam

Sunday, April 12, 2009

Renggo (Arrow) Masuk PAS


MENTERI Besar Kelantan,Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (tengah) bersama Amy Search (kanan) dan Renggo (kiri) pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Belia Sempena Jubli Emas Pemuda Pas Kelantan di Stadium Sultan Muhamad ke IV hari ini.

KOTA BAHARU: Ikon rock negara, Amy Search menafikan telah menyertai parti PAS berikutan sering hadir pada majlis yang dianjurkan parti pembangkang itu termasuk pada Perhimpunan Belia Sempena Jubli Emas Pemuda PAS Kelantan yang diadakan di sini, hari ini.

Desas desus penyanyi rock terkenal itu telah menyertai PAS timbul apabila rakan artisnya Renggo, penyanyi utama kumpulan Arrow, mengumumkan secara rasmi menyertai parti itu dan turut menyerahkan borang keanggotaan PAS kepada Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan pada majlis itu.

"Tidak...saya belum menyertai PAS dan kehadiran saya pada majlis politik ini adalah atas jemputan untuk membuat persembahan sama seperti Renggo.

"Apa yang saya buat perlu difikirkan dengan lebih teliti kerana ia akan menjadi ikutan kepada peminat setia saya.

"Saya memang peminat Tok Guru (Nik Abdul Aziz) tapi belum terfikir untuk menyertai PAS," katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman berkata beliau telah beberapa kali bertemu dengan Menteri Besar Kelantan itu pada beberapa majlis formal dan tidak formal dan bakal mengadakan konsertnya di sini pada Jun depan.

Beliau berkata atas dasar profesional, kehadirannya pada majlis politik seperti itu tidak perlu dipolitikkan dan sebagai artis ia merupakan satu penghargaan apabila diminta membuat persembahan di hadapan Nik Abdul Aziz.

Pada majlis itu Amy dan Renggo atau nama sebenarnya Mohd Zin Ramli turut menyampaikan beberapa lagu popular mereka.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz mengakui begitu tersentuh hati apabila mendengar nyanyian Amy terutama mendendangkan lagu-lagu berentak ketuhanan.

"Sampai mengalir air mata saya mendengar Amy menyanyikan lagu-lagu begini dan apabila artis rock menyampaikan lagu-lagu ketuhanan ia telah menolak tanggapan negatif terhadap mereka," katanya.

Beliau berkata untuk menyampaikan mesej keislaman tidak semestinya hanya para ulama dan tok guru tetapi penyanyi rock juga berupaya menyampaikan mesej yang sama.

"Apa pun kepada penyanyi saya nasihat jangan salah gunakan suara ke jalan yang tidak baik," katanya

~Sumber MStar Online~

Budak Ini Baru 17 Tahun


Sir Alex Ferguson, rasanya saudara tidak perlu buat permanent deal untuk Tevez. Si Kiko yang baru tingkatan 5 ini dah ada.

Daripada bazirkan 32 Million untuk Tevez baik buat topup beli Karim Benzema. Lagi berbaloi.

Saturday, April 11, 2009

Kesyumulan Islam Bukan Dari Aqal Manusia


KUALA LUMPUR 10 April - Kewangan Islam mampu menembusi pasaran negara-negara bukan Islam kerana selain menawarkan potensi perniagaan yang besar ia juga merupakan sistem kewangan kerohanian.

Pensyarah University of South Australia, Prof. Mervyn K. Lewis (gambar) berkata, sistem itu boleh diguna pakai dan direplika di negara-negara bukan Islam kerana ia didapati menepati kehendak pasaran global.


Menurutnya, masyarakat kini dilihat menyedari mengenai kepentingan sistem kewangan Islam berbanding konvensional.

Beliau memberitahu, setakat ini, sistem tersebut praktikal untuk diamalkan memandangkan umat Islam juga terdapat di negara bukan Islam seperti Thailand, Singapura, Filipina, China dan Australia.

''Ia merupakan potensi yang amat baik kerana sistem kewangan Islam merupakan sistem kewangan berasaskan syariah yang menghalang amalan riba dan ini boleh membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi di sesebuah negara.

"Malah, negara-negara barat yang mengamalkan sistem kewangan konvensional sepenuhnya didapati terjerat dan sukar untuk keluar dari masalah krisis ekonomi pada waktu ini.

"Malaysia pula mempunyai dua sistem kewangan yang sedikit sebanyak boleh membantu menyelamatkan pertumbuhan ekonomi di negara ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Lewis berada di Malaysia selama sebulan untuk memenuhi undangan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Universiti Malaya (UM) bagi membentangkan kertas kerja pada seminar yang akan diadakan di UM, di sini bermula 6 April lalu.

Lewis turut menceritakan kejayaan kewangan Islam yang dilaksanakan di Australia melalui Koperasi Komuniti Muslim Australia (MCCA) yang mempunyai dua buah cawangan di Melbourne dan Sydney.

Katanya, melalui MCCA, penduduk Islam di Australia boleh membuat pinjaman untuk pembiayaan perumahan, kenderaan dan peribadi yang berlandaskan syariah Islam.

"Australia mempunyai lebih 300,000 penduduk Muslim dan sistem kewangan Islam amat membantu di sini.

"Selain penduduk Islam, sistem kewangan Islam yang dipraktikkan dalam MCCA turut mempunyai hubung kait dengan salah sebuah institusi kewangan, Credit Union di Australia yang memberi perkhidmatan kepada semua penduduk berbilang agama di negara ini,'' ujarnya.

Ketika ditanya mengenai sesetengah negara Arab yang tidak menerima sebahagian konsep sistem kewangan Islam di negara-negara lain termasuk Malaysia, beliau memberitahu, apa yang boleh dilakukan ialah memantau pelaksanaannya dalam usaha memastikan pematuhan syariah dituruti.

Sumber klik di sini.

~ Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya. {Surah Al-Baqarah, ayat 279}~

~ (Dialah) Tuhan yang mentadbirkan dua timur dan Tuhan yang mentadbirkan dua barat. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)? {Surah Ar-Rahman, ayat 17-18} ~

Friday, April 10, 2009

Memugar Impian Menyemai Harapan


Petang semalam aku membelek-belek nama pembesar yang baru dilantik oleh DS Najib. Kebanyakan dari mereka memang sudah dikenali. Tiada apa yang menarik sehinggalah bola mataku tertancap pada suatu nama, J.A.M.I.L K.H.I.R. Jamil Khir Baharom? Eh, semacam nama yang biasa disebut-sebut semasa aku di Maahad dulu. Kotak fikiranku mula menerawang ke belakang menyelongkar kisah silam.

Oh ya, betullah. Baru aku teringat. Anak Jamil Khir juga bersekolah di Maahad dan turut tinggal di asrama. Jika tidak salah di benakku nama juniorku itu adalah Ahmad Mukhlis Jamil Khir. Dorm yang dihuninya terletak di sebelah dormku. Mukhlis pernah menunjukkan beberapa keping gambar keluarganya kepadaku malahan kisah keluarganya pernah tersiar di dalam majalah Al-Islam. Jamil Khir juga pernah beberapa kali melawat anaknya di asrama dan sebagai salah seorang figur Forum Perdana Ehwal Islam yang selalu keluar di kaca televisyen, tentunya kehadiran beliau menarik perhatian para penghuni asrama untuk bersalam-salaman dengannya.

Begitulah putaran roda kehidupan. Hari ini Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom telah dilantik sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang ditugaskan menjaga Hal Ehwal Agama Islam. Sememangnya satu tugas yang cukup mencabar dan teramat berat. Teramat berat apabila dalam keadaan kerajaan yang ada menganut faham dualisme dalam pentadbiran yang memisahkan antara politik dan agama. Sekularisme yang memenjarakan agama di masjid-masjid dan hanya pada ritual tertentu sahaja. Di dalam politik dan pentadbiran? Jangan mimpi.

Pelbagai isu berkaitan agama yang perlu ditangani oleh Datuk Jamil Khir Baharom dalam konteks Malaysia hari ini. Isu umat Melayu yang murtad, gerakan kristianisasi yang kian menular termasuk di IPT, Suruhanjaya Antara Agama (IFC), Muslim Liberal, kelemahan dan ketidak seragaman undang-undang mahkamah syariah negeri-negeri, institusi agama yang tidak dihormati, gejala sosial dan aklak anak-anak muda yang semakin meruncing, budaya hedonisme dan banyak lagi. Pastinya ia menuntut perhatian dan komitmen yang jitu daripada beliau.

Dengan latar belakang agama yang baik dan rekod pentadbiran yang bagus sebagai Pengarah Kor Agama Tentera Diraja Malaysia (KAGAT), kita mengharapkan agar Datuk Jamil Khir Baharom akan dapat menjalankan amanah yang telah dianugerahkan kepada beliau dengan sebaik mungkin. Komponen Ilmu, iman dan amal yang dimiliki oleh beliau diharapkan mampu menjadi penyuluh untuk menerangi jalan beliau sepanjang menjalankan tugas, insyallah.

Kita juga berharap tidak lagi berlaku kes penghinaan terhadap agama Islam secara terang-terangan yang terlalu menjolok mata di zaman Pak Lah. Sisters In Islam sudah tidak lagi berselindung akan agenda mereka. Malahan ada pembesar yang memiliki kelulusan kedoktoran di dalam bidang agama tanpa segan silu memperlecehkan rukun islam iaitu solat dan zakat. Pembesar yang digelar Ummu Hadhari ini juga berani mempertikaikan hukum potong tangan di dalam Hudud. Lihatlah pada video yang disertakan bersama di bawah.





Harus diingat penghinaan ini masih berterusan kerana Ummu Hadhari sehingga hari ini masih belum menarik balik kata-kata yang pernah diucapkannya ini dan tidak pernah memohon maaf secara terbuka terhadap apa yang telah dilakukannya itu. Yang lebih menarik Ummu Hadhari telah dilantik sebagai Timbalan Menteri. Mungkin benarlah politik itu seni sebarang mungkin.

Tahniah dan takziah diucapkan kepada Datuk Jamil Khir Baharom di atas perlantikan ini. Semoga beban amanah ini akan dapat dipikul dengan sebaik mungkin oleh beliau kerana amanah itu bukanlah suatu kemuliaan sebaliknya suatu bebanan yang akan diperhitungkan kelak. Didoakan ianya akan menjadi satu jambatan buat beliau untuk menerobos pintu syurga Allah kelak, insyallah.

Selamat bertugas buat Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom dan semua menteri kabinet.

Wednesday, April 8, 2009

Bertasbih Dengan Memuji dan Memohon Ampun Kepada-Nya


Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah). Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah berbondong-bondong. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia Maha Menerima taubat-(An-Nasr, Ayat 1-3).

Sekalung tahniah diucapkan buat calon rakyat, YB Dato' Seri Ir Nizar di atas anugerah kemenangan yang dikurniakan Allah itu. Tentunya ini bukan kemenangan PAS. Ini juga bukan kemenangan PKR dan DAP. Ini adalah kemenangan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan kebenaran. Buat petugas-petugas PAS serta para penyumbang kepada perjuangan Islam, semua usaha itu akan mendapat nilaian yang selayaknya di sisi Allah s.w.t, insyallah.


Marilah kita bertasbih dengan memuji dan memohon ampun kepada-Nya di atas kemenangan ini sepertimana yang disyorkan di dalam Surah Al-Nasr. Selayaknya juga untuk kita bersujud syukur di atas pertolongan Khaliq dan tentera-tentera-Nya. Harus diingat sehebat mana pun persiapan dan persediaan kita, jika tiada unsur campur tangan dari Kerajaan Langit, maka ia akan menjadi sia-sia. Uhud dan Hunain telah membentangkan lembaran fakta sejarah yang jelas kepada kita.

Melihat petugas dan rakyat meraikan pesta keadilan menumbangkan kezaliman, aku terimbau kenangan berpesta meraikan kemenangan P36 Kuala Terengganu yang terasa seperti baru semalam berlalu. Di hadapan Hospital Sultanah Zahirah, takbir tidak putus-putus berkumandang. Laungan doa wehdah bersama saudara Azhan Atan merancakkan lagi suasana. Tidak dapat digambarkan dengan perasaan bagaimana keadaan ketika itu. Terasa ingin sahaja bersujud di atas jalan raya yang berkematu itu.

Kemenangan ini tidak harus melekakan kita. Perjalanan dakwah ini masih jauh. Insyallah, kemenangan ini sebagai satu momentum untuk kita bergerak lebih jauh ke hadapan. Kita tetap optimis bahwa masa depan dunia hanyalah dengan Islam.

Kemenangan juga adalah amanah. Amanah berat yang akan dihisab secara terperinci di Mahkamah Allah kelak Yang Maha Adil. Semoga YB Dato' Seri Ir Nizar akan dapat menjalankan tanggungjawab ini dengan sebaiknya, insyallah. Selamat bertugas Dato' Seri.


Akhirnya, dalam meraikan kemenangan ini jangan kita lupakan perjuangan orang terdahulu, mantan ahli parlimen Bukit Gantang Allayarham Ustaz Ruslan Shaharum yang telah menyahut seruan Ilahi. Semoga roh beliau ditempatkan bersama para kekasih-Nya. Marilah kita bersama-sama menghadiahkan Surah Al-Fatihah buat beliau. Al-Fatihah.

ALLAHUAKBAR! ALLAHUAKBAR! ALLAHUAKBAR! Walillahilhamd.

~ Jalan dakwah tidak pernah dihiasi dengan permaidani merah, namun ia sering sahaja menuntut titisan darah merah ~
Related Posts with Thumbnails