Thursday, April 23, 2009

Sesudah Subuh Yang Lalu


Selesai menunaikan solat subuh pagi tadi entah mengapa mataku terasa begitu berat. Sangat mengantuk. Mungkin akibat berjaga agak lewat pada sebelah malamnya kerana menyiapkan sedikit tugasan. Selepas memasang jam penggera pada telefon bimbitku, aku terus melelapkan mata barang seketika.

Apabila aku membuka mata aku telah berada di sebuah rumah kayu. Penghuni rumah tersebut seperti sedang merayakan sesuatu. Jika tidak silap perhitunganku kenduri kahwin barangkali. Ketika itu aku sedang duduk di hadapan sebuah meja makan bersama-sama 2 orang lain. Salah seorang daripadanya adalah Tuan Guru Nik Aziz. Ya, Tuan Guru Nik Aziz! Aku tidak mengenali pemuda yang seorang lagi.

Kemudian, pemuda tersebut bangun dan meminta diri daripada Tuan Guru untuk ke dapur. Aku mengambil peluang merapati Tuan Guru. Aku menyalami dan mencium tangan beliau. Aku meminta adikku (entah dari mana dia tiba-tiba muncul) mengambil gambar aku dan Tuan Guru. Namun, selepas beberapa kali gambar diambil, hasilnya kurang memuaskan. Banyak yang kabur. Aku sedikit kecewa.

Aku meminta izin Tuan Guru untuk memeluk dan mengucup dahinya. Beliau izinkan. Aku pun memeluk badan kerdilnya yang hangat dan mengucup dahinya yang sejuk itu. Sekonyong-konyomg datang seorang pemuda memegang kamera (lagaknya seperti seorang jurugambar profesional) datang mengambil gambarku dan Tuan Guru. Katanya mahu dibuat kenangan. Aku hanya tersenyum puas. Puas kerana dapat mengabadikan kenangan manis bersama Tuan guru.

Aku merenung wajah mulus Tuan Guru. Aku lihat pada pipi dan lehernya ada warna hijau pucat. Aku tidak tahu mengapa warna hijau pucat itu terdapat pipi dan leher Tuan Guru.

Tuan Guru sihat?, ” aku bertanya khabar. Entah mengapa aku baru bertanya soalan itu. Sepatutnya ia ditanya di awal pertemuan tadi.

Saya sihat, alhamdulillah,” jawab Tuan Guru perlahan.

Tuan Guru, berilah nasihat kepada saya, ” ujarku dengan penuh harapan.

Tanpa berlengah Tuan Guru Nik Aziz mula memberikan tazkirah buatku. Aku berasa sungguh bertuah kerana aku dapat mendengar untaian ilmu daripada mulut Tuan Guru secara berdepan malahan eksklusif untuk diriku seorang sahaja. Aku cukup terpesona dengan aura dan keluhuran budi Tuan Guru melayani marhaen sepertiku.

Dalam keasyikan merenung wajah dan mengutip mutiara ilmu dari Tuan Guru tiba-tiba aku menangkap satu bunyi. Semakin lama semakin kuat. Semakin lama semakin jelas...

Tittttttttt...Tiitttttt...Tiitttttt....Tiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiitttttttttttttttttttt. Rupanya itulah bunyi jam penggera telefon bimbitku yang telah dikunci sebelum tidur tadi mengejutkan aku dari mimpi yang indah. Duhai telefon bimbit, andai kau tahu nilai mimpiku tadi, pasti kau tidak akan tegar hati untuk membangunkan aku.

Dalam kemamaian aku cuba mengimbas kembali tazkirah yang diberikan oleh Tuan Guru tadi. Aku hanya mampu mengingati dua perkara daripada banyak perkara yang beliau nasihatkan. Pertama, hanya Islam lah yang mampu membawa kesejahteraan kepada alam maya ini. Tiada ideologi lain yang mampu menyaingi Islam. Kedua, perjuang dan pertahankanlah Islam itu sepertimana mempertahankan nyawa sendiri. Itu sahaja. Yang lain seolah melayang begitu sahaja. Nama pun mimpi kan.

Aku bingkas bangun mencapai tuala dan menuju ke bilik mandi dengan hati yang berbunga-bunga. Bukan senang mendapat mimpi bertemu ulama. Hebat betul Tuan Guru. Dalam mimpi pun masih sempat memberikan ilmu dan tazkirah.

Cuma mengapa mimpi indah ini hadir ketika tidur kala waktu subuh?

4 comments:

BARAN said...

bertuahnya saudara bleh mimpi Tok Guru...

Samudera Tinta said...

Saya tidak pasti jika ia boleh dikatakan bertuah.

Cuma saya sangat berharap jika boleh ditafsirkan mimpi itu membawa maksud saya akan pulang berkhidmat di negeri pimpinan Tok Guru samada dalam jangka masa yang dekat ataupun jauh.

Tetap menyimpan harapan.. =)

xara said...

woh.. kalau saya, dah dekat-dekat subuh tu biasa mimpi ada orang menjerit dan membebel suruh bangun dari tidur dan housemate saya bukanlah jenis yang suka membebel2. jadi, sudah pasti itu mimpi.

Samudera Tinta said...

Itu jika Cik Suri tidur di rumah. Jika tidur di pejabat pula, jika ada yang menjerit dan membebel secara tiba-tiba, agaknya siapa? Orang kah?

Jangan biarkan hidup anda diselubungi misteri.hehe..

Related Posts with Thumbnails