Monday, April 6, 2009

Sedarlah, Kita Hanya Meminjam!


Tinta sejarah mencatatkan pada tahun 1972, Menteri Pelajaran Parti Dacing, Khir Johari telah menghapuskan penggunaan tulisan Jawi di sekolah-sekolah. Tindakan itu tentu sahaja akan mewujudkan 3 kelompok utama; Penyokong, Penentang dan Tidak Peduli. Situasi yang sama dihadapi apabila dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan. Penyokong adalah ahli-ahli Parti Dacing dan kroni, Penentang adalah pejuang bahasa, ulama dan pencinta kebenaran manakala Tidak Peduli adalah ’lembu-lembu’ yang keluar pagi mencari makanan mengisi perut dan pulang petang untuk berehat di kandang.

Kesan penghapusan tulisan jawi telah dapat kita lihat dengan jelas selepas 20 tahun perlaksanaannya. Umat Melayu yang dulunya sinonim dengan Al-Quran, mula tergagap-gagap membaca Al-Quran dan lama-kelamaan mereka mula menjauhinya. Fobia dengan bacaan Al-Quran. Pada tahun 2009, gambar yang tertera di atas membuktikan segala-galanya.

Jika anda tidak nampak apakah kesilapan yang terdapat di dalam gambar tersebut, takziah diucapkan. Ternyata anda adalah mangsa keadaan. Sepanduk yang dibuat dalam bahasa jawi tersebut yang mungkin bertujuan mengingatkan orang ramai bahawa mereka adalah pembela Islam, telah mendedahkan kepada ahli parti mereka sendiri akan bahana tindakan pimpinan Parti Dacing terdahulu yang rakus menghapuskan tulisan jawi.

Terfikir di benakku adakah Bahasa Melayu akan mengalami sama nasib yang sama dengan tulisan jawi akibat dipukul badai PPSMI. Bayangkan pada tahun 2030 bila mana Bahasa Inggeris menjadi bahasa utama di Malaysia. Pada ketika itu ada pilihan raya kecil di Bukit Guntung. Parti Kati Senget (Parti Dacing telah pupus) menaikkan sepanduk dan cuba mengingatkan umat Melayu bahawa mereka adalah pembela Melayu. Lalu dieja perkataan ’Emalan’ di atas sepanduk tersebut kerana menganggap ianya ejaan yang betul untuk perkataan ’Amalan’. Mustahilkah perkara ini untuk berlaku? Tentunya tidak sama sekali kerana gambar di atas adalah bukti yang jelas lagi sahih!

Sayugia untuk kita menginsafi bahawa bahasa merupakan khazanah yang kita pinjam daripada anak cucu kita dan generasi akan datang. Adab dan adat meminjam barang, kita tidak boleh memperlakukannya sesuka hati tanpa ada pengawasan. Ibarat kita meminjam kereta sahabat kita, maka patutkah kita mengecat warna baru, menukar tayar dan yang lebih teruk menjualnya di kedai kereta terpakai. Tentu sahaja tidak boleh kerana ia bukan milik kita. Kurang ajar dan biadab namanya jika diperlakukan begitu.

Begitu juga isu tulisan jawi dan Bahasa Melayu. Sebagaimana kita menerima khazanah tersebut secara elok daripada generasi terdahulu, maka seharusnya kita memulangkannya secara baik kepada generasi akan datang. Namun, realiti yang berlaku hari ini sungguh menjengkelkan. Setelah berjaya merosakkan tulisan jawi, maka gerakan menghapuskan khazanah Bahasa Melayu pula diteruskan oleh parti yang sama.

Apakah sebenarnya matlamat mereka? Terdetik juga di hatiku adakah ini satu modus operandi menjauhkan umat Melayu dari Islam. Sebagaimana yang kita maklum, banyak ilmu-ilmu agama dahulu tersebar melalui tulisan jawi. Dengan terhapusnya tulisan jawi, maka umat Melayu sudah tidak mampu lagi membaca buku-buku dan kitab-kitab jawi. Penyebaran ilmu Islam melalui tulisan jawi sudah berjaya dihentikan. Misi berjaya!

Namun, yang menjadi lawak jenaka adalah setelah berjaya menghapuskan tulisan jawi, maka diperkenalkan pula JQAF untuk memandaikan budak-budak sekolah dalam Jawi, Al-Quran dan Fardhu Ain. Entahlah, mungkin lembu-lembu peliharaan Pakcik Kordee di Bukit Gantang sedang tertawa berdekah-dekah dan berguling-guling melihat tindakan cerdik Parti Dacing ini.


Bahasa Melayu juga merupakan bahasa penyebaran ilmu Islam bagi umat Melayu. Banyak buku-buku, kitab-kitab dan karya-karya ulama terkenal terdahulu telah diterjemah ke dalam Bahasa Melayu. Dengan menjauhkan umat Melayu daripada Bahasa Melayu, penyebaran bahan-bahan ilmu Islam dalam Bahasa Melayu akan dapat dihentikan dan disekat secara mutlak kerana orang sudah tidak minat membaca bahan dalam bacaan Melayu terutama generasi muda.

Akhir kalam, marilah kita merenung kembali akan khazanah bangsa yang kian terhakis dari hari ke hari ini. Tanyalah lubuk hati kita yang paling dalam; jika segala khazanah bangsa yang ada ini terkubur, apakah yang akan kita wariskan kepada generasi pewaris kita kelak.

Adakah kita hanya ingin mewariskan 'monyet-monyet' yang sentiasa menganga-ngangakan mulut mereka minta disuapkan sesuatu?


Tepuk dada, tanya iman!

~ Gambar pertama diambil daripada Akira ~

13 comments:

Marniyati said...

Tidak keterlaluan rasanya jika saya berpendapat bahawa Program J-Qaf adalah program untuk menutup dan membaiki kesilapan yang pernah berlaku.

Sama seperti yang dikatakan oleh Menteri Pendidikan kita beberapa minggu lagu - KPM sedang mengkaji satu program yang lebih baik bagi menggantikan KBSR. Mereka tidak akan sesekali mengaku bahawa KBSR telah GAGAL!

Itulah yang sebenarnya berlaku hingga wujudnya J-Qaf.

Tunggulah 10 atau 20 tahun lagi, akan ada satu lagi program baru muncul untuk bahasa Melayu. Ketika itu, mereka sebenarnya mengakui bahawa ppsmi memang berjaya membunuh bahasa Melayu walaupun tidak mungkin kata pengakuan itu dilafazkan.

Samudera Tinta said...

Saudari Marni,

Itulah permainan minda mereka. Mengaku bersalah bagi mereka bererti kalah. Dengan memperkenalkan program J-QAF secara rasminya mengiktiraf pengkhianatan mereka terhadap tulisan jawi yang sekaligus berkaitan dengan Al-Quran dan Fardhu Ain.

Selain itu, saya diberitahu program J-QAF adalah untuk menutup mulut pelajar-pelajar yang pulang dari Timur Tengah kerana kebanyakan yang pulang dari sana melawan kerajaan. Namun selepas mendapat gaji > RM2000 dari program J-QAF, masing-masing berdiam diri. Tidak berani lagi berjuang menegakkan kebenaran. Jika berdegil dipecat pula. Namun, bukan semua bersikap demikian. Masih ada yang bagus.

Ya, saya bersetuju 10@20 tahun lagi akan ada program memperkasa Bahasa Melayu seperti J-QAF hari ini. Mungkin kita sudah boleh mula fikirkan apakah namanya untuk memabantu memudahkan pihak kementerian.hehe..

Basuh Baju said...

hmm.. sejujurnya mmg sistem pendidikan kita gagal.. PPSMI adalah hanya satu sebab. tapi plg penting sekali sistem penididkan kita yg sgt tepu, tidak menggalakkan pelajar berfikir, guru2 dinilai bukan berdasarkan merit sebaliknya mengikut kuota dan hubungan politik..

berkaitan isu ini, aku rasa BM akan tetap kekal. tetapi bukan BM yg indah atau sebutan yg betul yg akan dituturkan oleh pelajar2 kita. sebaliknya BM yg dirojakkan.. tak payah tnggu 10-20 thn, skrg ni pun dah boleh nampak..

BARAN said...

mujur saya masih berminat baca novel2 melayu.he..(basuh baju)BM dirojakkan ? sy terasa..isk2

nizamtoha said...

Pelajar kita yang pergi luar negarakan belajar math sains dalam bahasa inggeris..hehehe tu yg nak kena PPSMI...-pandangan Bijak Pandai

Sdr Samudera,
Just paste code video youtube yang ada < embed > tu kat ruang edit HTML kat Post.mudah sgt la sheikh

Samudera Tinta said...

Saudara Basuh Baju,

Sistem pendidikan kita sering menjadi mangsa permainan org2 politik. Setiap kali menteri baru dilantik, ada sahaja dasar baru diperkenalkan. Kononya untuk memandaikan budak-budak. Anak-anak kecil di sekolah menjadi tikus makmal dan bahan eksperimen.

Sistem pendidikan kita juga hanya menghasilkan robot-robot tanpa jiwa. Di saat kita bercakap modal insan dan minda kelas pertama, media, ibu bapa dan pihak sekolah masih berbangga-bangga dengan berapa bilangan A yang diperolehi. Apa guna mendapat 50A sekalipun andai jiwa kosong. Sebab itu timbil kes doktor tidak mahu merawat pesakit kerana pesakit tidak membayar wang. Produk yang kita hasilkan adalah robot tanpa perasaan dan jiwa.

Jika masuk ke mesyuarat agensi kerajaan mereka lebih selesa menggunakan bahasa inggeris walaupun ahli-ahli mejlis mesyuarat tesebut semuanya melayu dan terdapat seorang india yang fasih berbahasa melayu.

Solusi kepada masalah ini adalah JATUHKAN PARTI DACING SENGET!!!

Samudera Tinta said...

Drsiti,

Sastera melayu memang indah. terutama karya-karya sasterawan negara. Tahniah kerana masih berminat.. =)

Saudara nizamtoha,

Jika yang pergi ke rusia pula akan belajar dalam bahasa rusia. Jadi patutkan kita cadangkan supaya sains dan math diajar dalam bahasa rusia?

Terima kasih di atas tutorial tersebut. Saya telah melakukan cubaan dan berjaya.hehe..

Marniyati said...

Ya, sangat benar! Pelajar perubatan kita di Moscow pun menentang ppsmi. Kata mereka, belajar di Moscow tidak perlukan bahasa Inggeris!

Baca di sini:
http://hafizuddinawang.blogspot.com/

Samudera Tinta said...

Saya sudah melihatnya. Terima kasih di atas perkongsian saudari Marni.

Kebenaran akan tetap wujud si hati sanubari setiap insan.

Anonymous said...

Ape yang salah kat banner BN tu?

Samudera Tinta said...

Anonymous,

Adakah saudara/i juga adalah mangsa keadaaan? (gurau sahaja)

Yang salah adalah perkataan Amalan. Ia berasal daripada bahasa arab. ejaannya adalah dengan huruf 'ain' bukan huruf 'alif' seperti yang tertera di banner berdacing senget itu.

Terima kasih sudi ziarah walaupun tidak sudi bertaaruf.

=)

kima said...

Assalamualaikum
Tak semua perkataan arab dieja dengan ejaan asal arab dalam tulisan jawi. Ada yang telah dimelayukan. Tapi tak tahulah sama ada perkataan amal dieja dengan ejaan asal arab atau dieja dengan ejaan melayu (kene semak daftar ejaan jawi dulu, tapi sebelum tu kene cari dulu daftar tu, tapi sebelum tu kene pikir kat mane letak daftar tu, tapi.... ). Yang pasti, kalau isu ini Datuk Samudera panaskan sampai peringkat kebangsaan pasti ejaan amal dimasukkan dalam kategori dimelayukan.

p/s : Ada berapa tapi semuanya?

Samudera Tinta said...

Waalaikumussalam

Saudara Kima,

Jika ramai yang keliru bukankah sepatutnya tulisan jawi diperkasakan semenjak dari dahulu. Bukannya dihapuskan seperti yang telah dilakukan.

Umat keliru kerana pemerintah tidak cakna. Pemerintah tidak cakna menatijahkan umat keliru. Pening bukan?

Terima kasih sudi melawat.

Related Posts with Thumbnails