Monday, March 2, 2009

BERSIH Semalam; Di Situ Wujud Akidah & Tawakal





Himpunan Aman 100,000 Rakyat Membantah PPSMI tinggal beberapa hari lagi. Lebih kurang seminggu menuju ke 7 Mac. Apabila disebut himpunan aman, fikiranku tidak dapat lari daripada mengingati BERSIH, himpunan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil tanggal 10 Nov 2007 yang lalu. BERSIH yang meninggalkan kenangan terindah yang tidak mungkin aku lupakan selagi hayat dikandung badan.

Dalam almari bajuku masih tersimpan kemas t-shirt kuning itu walaupun sudah sedikit kusam. Kuning BERSIH. Kuning sebagai lambang luahan cinta para pencari kebenaran dan keadilan yang tiada bertepi.

Banyak yang aku pelajari daripada BERSIH. Bermula daripada ukhuwah, kasih-sayang, cinta, sehinggalah kepada pengajaran akidah dan kebergantungan makhluk kepada Khaliq Yang Maha Agung. Sungguh.

BERSIH telah mentakdirkan aku untuk bersama-sama kumpulan di Masjid Jamek. Diketuai Oleh Dr Hatta Yusuf.Ya, kumpulan yang paling teruk dikepung dan terpaksa bertempur dengan unit simpanan persekutuan (FRU). Ingat wartawan Al-Jazeera yang disembur oleh air kimia semasa membuat liputan? Di situlah aku dan para pencinta lain turut sama menyedut akan nyamannya tembakan gas kimia. Perasaannya sukar digambarkan. Hanya yang sudah merasainya akan tahu betapa nikmatnya semburan air dan gas kimia itu.

Seperti yang aku nyatakan, BERSIH memperlihatkan aku apa itu erti cinta sebenar. Saling melindungi di antara satu sama lain semacam kami adalah satu keluarga yang besar. Memang cukup besar. Di saat FRU sibuk menyiram kami dengan pancutan air kimia dan menembak gas kimia, dalam keperitan menahan kesan air dan gas kimia yang menjalar ke seluruh tubuh, kami saling berkongsi garam yang dibawa; penawar keperitan air kimia yang disembur.

Garam diletakkan di bawah lidah akan melegakan sedikit kesan air dan gas kimia itu. Kami yang saling tidak mengenali tidak segan silu untuk berkongsi garam dan air mineral antara satu sama lain seolah telah lama kenal. Semacam sahabat tersangat karib. Melihat sahabat lain tidak berdaya, datang seseorang menawarkan minuman dan pertolongan. Ternyata, BERSIH berjaya menanggalkankan pakaian materialistik umat dan digantikan dengan baju persaudaraan. Pakaian ukhuwah.

Terdapat satu babak yang cukup mengesankan hatiku. Sehingga sekarang pun. Bilamana kami sedang cuba mara ke Dataran Merdeka. Namun, di simpang menghala ke dataran telah dihalang. Di hadapan kami berhimpun gerombolan FRU bersama trak water canonnya. Muncung water canon betul-betul menghala ke arah kami. Dr Hatta yang memimpin kumpulan kembali memberikan kata-kata semangat.

Laungan “Daulat Tuanku“, “Lailahaillallah“, “Allahuakbar“ semakin memanaskan situasi. Aku terdengar Dr Hatta mengarahkan pembantunya menelefon kumpulan yang telah sampai di Istana Negara. “Walau apa yang terjadi, minta diaorang tunggu kita. Jangan serahkan lagi memorandum sebelum kita sampai...“

Sekonyong-konyong trak water canon bergerak mara ke hadapan dan terus menembak ’pelurunya’ ke arah kami. Kelam kabut kami berlari melindungkan diri. Aku berlari ke arah tepi dan masuk ke ruangan hadapan sebuah bangunan yang berbumbung. Lebih kurang 25-30 orang sahabat-sahabat lain berlindung di sini.

Belum puas kami menarik nafas di situ, datang sekumpulan polis dari arah kiri dan kanan bangunan. Kami tidak dapat lari. Kami telah terkepung! Ketika ni aku sudah mula terbayangkan Black Maria, balai polis, lokap dan ibu serta ayahku. Polis dengan lantang mengarahkan semua duduk. Sebaik sahaja duduk, sahabat-sahabat di situ terus melaungkan kalimah keramat “Lailahaillallah“ beramai-ramai dengan begitu kuat. Penuh bersemangat dan dan begitu menggegarkan. Subhanallah, terpana aku seketika. Begitu kental iman serta rasa kebergantungan mereka terhadap ALLAH walaupun dalam situasi cemas seperti itu.

Lantas, aku berasa bersalah. Amat bersalah dengan Allah. Teramat malu dengan diri sendiri. Masakan tidak, di saat genting begitu, aku lebih teringatkan makhluk berbanding Khaliq. Membesarkan ciptaan melebihi Pencipta. Memang aku tidak kenal akan sahabat-sahabat di situ. Namun, aku bersyukur ke hadrat Allah kerana menemukan aku dengan mereka.

Mereka yang tersangat hebat. Mereka memberikan pengajaran yang berguna kepadaku; dalam apa jua situasi hanya Allah Yang Maha Esa semata-mata tempat mengadu dan bergantung harap. Maha Esanya Allah membawa maksud tiada sekutu bagi-Nya. Tiada bandingan Allah Taala itu walau dengan apa jua sekalipun. Mengenangkan kembali akan detik-detik ini, mudah sahaja mengundang rasa sebak bertamu. Mengingatkanku akan betapa agungnya nikmat Allah Taala. Ya, Allah ampunilah dosa-dosa ku itu. Jangan sesekali engkau campakkan aku ke dalam jurang kesyirikan. Aku bertaubat hanya kepada-Mu.

Itulah secebis pengalaman yang sangat berbekas di dalam hatiku. Jika ingin diceritakan semuanya, tersangat panjang. Aku ada buat sedikit catatan. Kurang lebih 7 mukasurat semuanya. Aku namakannya Hikayat Cinta Luar Biasa. Hikayat orang biasa yang mempunyai cinta luar biasa. Cinta kebenaran. Cinta keadilan dan bencikan kezaliman. Cinta yang disandarkan hanya kepada Pemilik Segala Cinta.

Ya Allah, aku sedar. Teramat sedar bahawa aku tidak layak sedikit pun untuk menagih cinta-Mu. Namun, apalah sudi kiranya Engkau memberikanku sedikit daripada keampunan-Mu walau sekadar sisa-sisanya. Semoga apa yang aku lakukan semata-mata hanya kerana-Mu.

BERSIH itu indah. Namun, Yang Maha Indah itu adalah zat-Nya Yang Maha Agung. Yang membenarkan BERSIH yang indah lagi bersejarah itu berlaku.

7 comments:

ahmad humairi said...

Apa jua yang datang....rahmat Allah sentiasa bersama. Kita sering diperingatkan dengan kata-kata "ada hikmah disebalik ..." ...semoga kita tabah menghadapinya.

nasikerabupetro said...

Salam ziarah kembali...

Catatan yang menyentuh hati.
Saya sebak!
Saya insaf...

Astaghfirullah...
Moga-moga keampunanNya sentiasa dipohon.
Semoga kita istiqamah juga...

Anonymous said...

Salam ziarah,ya akhi.

Menarik tulisan saudara.InsyaAllah,ana akan cuba menceduk seberapa banyak pelajaran yang baik dari sini.

Salam Persahabatan dari jauh.

Samudera Tinta said...

Salam Ukhuwah,

Ahmad Humairi@Bulan,
Benar. Setiap apa peristiwa yang berlaku ada rahmat Allah. Cuma terkadang kita buta untuk menilainya kerana mata hati kita telah dilitupi noda-noda materialistik dan hedonisme.

Said,
Hati yang bersih mudah tersentuh dengan kebenaran. Bersyukurlah jika saudara mempunyai hati seperti itu. Ya, semoga Allah akan merahmati dan mengampunkan kita semua.

Akhi Warkahraudhah,
Terima kasih. Silakan. Saya dengan senang hati amat mengalu-alukannya. Ianya dari DIA.. =)

Terima kasih semua kerana sudi ziarah samuderatinta.

Teruskan perjuangan!

BARAN said...
This comment has been removed by the author.
BARAN said...

salams..pengalaman indah buat saudara...kuatnya semagat perpaduan.

Samudera Tinta said...

Salm drsiti,

Pengalaman terindah yang akan terakam sampai bila-bila insyallah.. =)

Related Posts with Thumbnails