Thursday, April 2, 2009

Operasi Couple @ Ops Couple !


Ah, sudah 11.25 malam rupanya,” bisik hatiku setelah menjeling melihat jam yang tergantung di dinding bilik. Keasyikan menyelesaikan tutoran Kimia Organik menyebabkan aku hampir terlupa akan tanggungjawabku.

Aku menutup nota dan buku rujukan Kimia Organik seraya berpaling kepada Kay yang juga sedang menyiapkan tutorannya, “Kay, jom turun. Dah boleh mula operasi ni”.

Baiklah. Aku pergi ajak diaorang. Ko turun dulu. Tunggu kat tempat biasa,” ujar Kay tanpa berlengah sambil membetulkan bajunya yang sedikit berkedut. Kay memang agak cermat orangnya.

Okay, aku tunggu kat bawah ya. Jangan lambat sangat,”. Aku terus mengatur langkah menuju ke tingkat bawah bangunan kolej yang mempunyai 4 tingkat itu. Aku agak bernasib baik kerana menginap di bilik yang terletak di tingkat dua.

Tidak sampai dua minit aku sudah tercongok di tingkat bawah. Suasana pada malam itu agak tenang. Angin bertiup lembut dan bulan seakan-akan malu untuk berkongsi sinarnya bersama penghuni Kolej Kediaman 11 Universiti Malaya yang menempatkan pelajar-pelajar matrikulasi Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM) dan pelajar Rancangan Pelajar Ke Jepun (RPKJ). Sang awan bergerak perlahan-lahan sambil sesekali menutupi sang rembulan yang keseorangan kesunyian.

Itulah rembulan yang dikongsi oleh semua umat manusia. Tidak kira di mana umat manusia tinggal di atas muka bumi. Lantaran, mengapa kita harus bertelagah sesama umat sedangkan kita berkongsi rembulan yang sama daripada anugerah Ilahi. Hatiku bermonolog cuba berfalsafah. Harapnya bukan falsampah.

Kimone, jauh termenung. Ingat sapa tu? Sudahlah, dah lewat ni,” Lamunanku dikejutkan oleh sapaan Qme yang turut bersama-samanya Kay, Jijoi, Poje, Syuk, Peng dan Riri. Entah bila mereka sampai. Aku pun tidak menyedarinya. Aku hanya tersenyum sambil mengangkat kening berkali-kali. Masak benar dengan perangai Qme yang kuat mengusik.

Dengan ucapan Basmallah dan sedikit doa, kami memulakan Ops Couple. Nun di bawah tempat letak kenderaan, di suatu sudut terlihat sepasang pasangan lelaki dan perempuan sedang bercengkerama. Sang lelaki memegang tangan perempuan sambil mengelus-ngelus lembut. Mereka berbual mesra dan tertawa bahagia. Kelihatan sungguh romantis.

Kedua-duanya duduk tersangat rapat. Seumpama kembar siam yang sukar dipisahkan jika bisa dibuat perumpamaan. Apa yang pasti kedua-duanya belum berkahwin kerana aku kenal keduanya. Satu dewan kuliah denganku daripada aliran Sains Hayat. Tanpa berlengah kami menuju ke arah mereka.

SAHABAT ASASIAN 02-03 semasa program Pra-TAMPAN di Sungai Congkak. Yang paling tinggi di tengah-tengah tersebut adalah naqib usrah kami, Akhi Yus.

Assalamualaikum warahmatullah,” kami memberikan salam.

Ucapan salam kami tidak bersambut. Mungkin mereka sengaja buat pekak. Mereka terus dengan perbualan mereka.

Assalamualaikum warahmatullah, ” sekali lagi kami memberikan salam.

Waalaikumussalam. Ya, ada apa? ” barulah mereka menyahut perlahan dengan muka yang kurang senang.

Waktu dah lewat malam ni. Tidak elok untuk seorang gadis dan anak teruna duduk berdua-duaan begini. Eloknya naik ke bilik masing-masing sekarang, “ Kay memberikan nasihat dan saranan.

Rilekslah. Nanti kami naiklah. Belum habis bincang ni, ” jawab sang lelaki. Ego dan hagah lagaknya.

Seeloknya sekarang. Tak baik duduk di luar malam-malam ni. Nanti masuk angin, ” Aku menambah. Menggunakan pendekatan sinis dan humor. Kami terus memandang mereka. Tajam.

Okaylah, okaylah. Korang ni tak boleh tengok orang senanglah. Okaylah ayang, jumpa esok kat kuliah. Banyak pengacaulah kat sini, ” jawab sang lelaki sambil bangun dan memberikan salam perpisahan sementara buat kekasihnya. Kedua-duanya menunjukkan reaksi muka tidak puas hati dan bengang. Muncung dan mencebik. Kami mengiringi perpisahan mereka dengan senyuman manis. Selesai satu tugas.

Kami bergerak lagi ke padang permainan bola tampar. Ada sepasang lagi pasangan di situ. Entah apa yang mereka bualkan di tempat yang samar-samar cahayanya itu. Nak dikatakan perbincangan berkaitan pelajaran agak tidak logik kerana gelanggang tersebut hanya diterangi oleh cahaya lampu neon yang kekuningan. Langsung tidak kondusif sebagai tempat belajar. Mungkin pasangan tersebut menyedari kehadiran kami, beberapa meter sebelum sampai ke tempat mereka, mereka telah pun bangun dan mula bergerak meninggalkan gelanggang bola tampar tersebut. Alhamdulillah syukur. Allah memudahkan tugas kami walaupun wajah mereka ketika itu lebih masam daripada cuka nipah!

Jam sudah menghampiri 11.55 malam. Berhampiran blok penginapan perempuan terdapat beberapa orang perempuan berbaju kurung, berjubah dan bertudung labuh sopan sedang menjalankan tugasan seperti yang sedang kami lakukan. Mereka adalah Syafa (Allayarhamah), Mariah, Farahiah, Madihah dan beberapa orang lagi. Mereka dan kami adalah antara tenaga penggerak Ops Couple, salah satu program di bawah Jawatankuasa Biah Solehah yang bernaung di bawah Biro Kerohanian dan Dakwah bagi Kolej Kediaman Kesebelas.

Kerja dakwah amar makrur nahi mungkar perlu dilakukan secara berjemaah agar kesannya lebih efektif. Bahasa lainnya dilakukan secara berorganisasi. Jika dilakukan secara individu, impaknya mungkin agak minimum dan tidak besar lebih-lebih lagi tugasan seperti Ops Couple ini. Allayarham Ustaz Nik Man yang mengajar subjek Balaghah semasa aku di tingkatan 4 Sains Mekah di Maahad dulu selalu berpesan ”Yadullah Fauqal Jamaah”. Terjemahan secara harfiah membawa maksud ”Tangan Allah di atas para jemaah” . Maksud ‘Tangan Allah’ adalah pertolongan Allah sentiasa bersama mereka yang berada di dalam organisasi/jemaah/gerakan Islam. Analogi mudah, lidi seberkas adalah lebih sukar untuk dipatahkan berbanding sebatang lidi.

Surah Al-A'raf, ayat 164 dan terjemahannya.

Nun di dalam kafe yang menjadi tempat bersantap penghuni kolej masih terdapat sekumpulan penghuni kolej yang sedang belajar secara berkumpulan. Berlainan jantina. 3 lelaki dan 3 perempuan. Kami menghampiri kumpulan tersebut. Mereka buat-buat tidak nampak.

Assalamualaikum warahmatullah. Minta maaf kawan-kawan. Dah lewat ni. Mungkin boleh sambung esok study group, ” Syuk memulakan bicara.

Mereka membisu seribu bahasa. Tidak melayan. Konon-kononnya khusyuk dan tekun belajar. Taktik itu tidak berkesan terhadap kami. Sudah basi.

Kawan-kawan, peraturan kolej tidak membenarkan pelajar-pelajar berada di luar kawasan kediaman selepas pukul 12 malam. Nanti pak guard datang kena marah pula, ” Kay cuba berdiplomasi. Itulah cara yang terbaik kerana kami hanya boleh menasihati. Tiada kuasa memaksa atau menangkap.

Setelah hampir 5 minit membisu barulah masing-masing mengemaskan buku dan peralatan, bangun lalu meninggalkan kafe tersebut. Ekpresi muka tidak perlu diceritakan lagi. Sama sahaja dengan pasangan-pasangan yang telah kami nasihati sebelum ini.

Okay, sudah beres. Semua belangkas dan makhluk-makhluk lain sudah naik. Boleh balik skang, ” kataku. Kami beriringin berjalan sebelum masing-masing pulang ke bilik masing-masing.

Operasi ini dilakukan 2,3 kali seminggu. Sekurang-kurangnya ia mengingatkan para pelajar dan para belangkas bahawa mereka tidak berwenang di kolej ini dalam pergaulan kerana sentiasa ada mata yang memerhatikan samada Khaliq mahupun makhluk.

Kembali ke bilik, di antara kami ada yang kembali menyambung membuat tutoran dan ada yang menyambung pembacaan. Kerana kami sedar selain tugasan dakwah, kami juga adalah pelajar sepertimana pelajar-pelajar lain di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya. Kami juga harapan para ibu-bapa di kampung yang tidak pernah putus mendoakan kejayaan.

Lusa atau tulat kami akan melakukan lagi operasi yang sama.

5 comments:

BARAN said...

bila lelaki dam perempuan berdua-duaan,makhluk ketiga adalah syaitan.tahniah atas usaha saudara mencegah zina.semoga di teruskan.

Samudera Tinta said...

Dr Siti,

Usaha tersebut hanya berjaya dilakukan di PASUM. Di instutusi spt UKM sgt sukar kerana pihak pentadbiran sendiri menggalakkan aktiviti dan program ke arah itu. Mahasiswa dihanyutkan dengan budaya hedonisme, jauh meninggalkan budaya ilmu.

Jika ada mahasiswa cuba menerapkan program2 Islam, maka pelbagai halangan ditemuhi dan akan dicop pembangkang.

Samudera Tinta said...

Saudari Raudhah,

Program Ops Couple dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar, Jawatankuasa Biah Solehah. Kerana Pusat asasi sains adalah pusat matrikulasi. bukan bawah pentadbiran UM(walaupun berada di dalam UM).

Pihak pentadbiran pusat asasi sains dan kolej kesebelas UM tidak menghalang kami melakukan aktiviti ini.

Jika PASUM berada di bawah UM, mungkin aktiviti ini tidak akan dibenarkan dan akan diambil tindakan.

P/s:ini pengalaman saya semasa mengikuti program matrikulasi di PASUM 6 tahun lalu.

BARAN said...

ye ke macam tu ? sy ingatkan UKM warok. sy pun dulu dapat tawaran ke UKM gak.tapi sesat plak datang negara soviet union.

Samudera Tinta said...

Drsiti,

Sekarang boleh kata semua IPTA di Malaysia begitu. Pembudayaan ilmu kurang. Hiburan yang banyak. Termasuklah UKM. Saya diberitahu oleh sahabat UIA pun teruk sosialnya.

Bagus juga dapat duduk negara soviet union. Kat negara sendiri dalam masjid pun polis tembak gas pemedih mata. Lagi teruk dari yahudi.

Memetik kata-kata Syeikh Muhammad Abduh yang berbunyi,'Aku melihat Islam tanpa orang Islam di Barat dan aku melihat orang Islam tanpa Islam di Timur'..

=)

Related Posts with Thumbnails