MENTERI Besar Kelantan,Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (tengah) bersama Amy Search (kanan) dan Renggo (kiri) pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Belia Sempena Jubli Emas Pemuda Pas Kelantan di Stadium Sultan Muhamad ke IV hari ini.
KOTA BAHARU: Ikon rock negara, Amy Search menafikan telah menyertai parti PAS berikutan sering hadir pada majlis yang dianjurkan parti pembangkang itu termasuk pada Perhimpunan Belia Sempena Jubli Emas Pemuda PAS Kelantan yang diadakan di sini, hari ini.
Desas desus penyanyi rock terkenal itu telah menyertai PAS timbul apabila rakan artisnya Renggo, penyanyi utama kumpulan Arrow, mengumumkan secara rasmi menyertai parti itu dan turut menyerahkan borang keanggotaan PAS kepada Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan pada majlis itu.
"Tidak...saya belum menyertai PAS dan kehadiran saya pada majlis politik ini adalah atas jemputan untuk membuat persembahan sama seperti Renggo.
"Apa yang saya buat perlu difikirkan dengan lebih teliti kerana ia akan menjadi ikutan kepada peminat setia saya.
"Saya memang peminat Tok Guru (Nik Abdul Aziz) tapi belum terfikir untuk menyertai PAS," katanya kepada pemberita selepas majlis itu.
Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman berkata beliau telah beberapa kali bertemu dengan Menteri Besar Kelantan itu pada beberapa majlis formal dan tidak formal dan bakal mengadakan konsertnya di sini pada Jun depan.
Beliau berkata atas dasar profesional, kehadirannya pada majlis politik seperti itu tidak perlu dipolitikkan dan sebagai artis ia merupakan satu penghargaan apabila diminta membuat persembahan di hadapan Nik Abdul Aziz.
Pada majlis itu Amy dan Renggo atau nama sebenarnya Mohd Zin Ramli turut menyampaikan beberapa lagu popular mereka.
Sementara itu, Nik Abdul Aziz mengakui begitu tersentuh hati apabila mendengar nyanyian Amy terutama mendendangkan lagu-lagu berentak ketuhanan.
"Sampai mengalir air mata saya mendengar Amy menyanyikan lagu-lagu begini dan apabila artis rock menyampaikan lagu-lagu ketuhanan ia telah menolak tanggapan negatif terhadap mereka," katanya.
Beliau berkata untuk menyampaikan mesej keislaman tidak semestinya hanya para ulama dan tok guru tetapi penyanyi rock juga berupaya menyampaikan mesej yang sama.
"Apa pun kepada penyanyi saya nasihat jangan salah gunakan suara ke jalan yang tidak baik," katanya
~Sumber MStar Online~
4 comments:
boleh tahan jugak Tok Guru ye..siap dengar lagu rock lagi.hehe.saya sangat bersetuju dgn Tok Guru...suara yg dianugerahkan juga boleh digunakan untuk jalan dakwah.Macam sami yusuf yang best.he..
Ibarat pisau. jika diguna untuk untuk memasak, maka ramai akan dapat menfaat. tapi jika digunakan untuk membunuh, ramai yang akan dapat kecelakaan.
Lepas ni nak layan lagu rock ketuhanan juga lah.
sy tgh nak ingt lagu renggo yg popular masa zaman skolah dulu.. pakcik driver bas skolah suka sgt lagu dia. nak kena bgtau pakcik tu la psl berita ni.
Inas,
Seingat saya lagu kumpulan Arrow dulu jenis yang jiwang sengau.memang tangkap lentok punya.hehe..
Saudari dikira bernasib baik jika masih dapat berjumpa pakcik pemandu bas itu..
Post a Comment