Friday, March 20, 2009

Jong Kako Dan Lain-Lain Jong

Jong Kako adalah antara insan penting di dalam bekwoh di Qlate. Sama juga seperti pentingnya peranan yang dimainkan oleh Jong Gulai, Jong Basuh dan lain-lain jong. Di sini ingin aku kongsikan beberapa gambar menarik sempena perkahwinan sepupuku 17 Mac 09 yang lalu.



Ini adalah Jong Gulai. Namanya Moksu. Biasanya Jong Gulai terdiri daripada mereka ang sudah berumur kerana mereka memiliki kemahiran memasak gulai kawah yang hebat dan melazatkan.


Gulai kawah yang telah masak dan siap untuk dihidangkan kepada para tetamu. Ada rahsia yang tersembuyi di sebalik gulai kawah itu.


Inilah tugas Jong Kako. Kiranya tugasnya lebih kurang pelayanlah. Tambah lauk jika berkurang, memastikan pinggan dan gelas sentiasa cukup, mengelap meja tetamu dan lain-lain tugas adhoc.


Dari kanan Acar Timun, Ayam Masak Merah, Ikan Kering, dan Gulai Kawah. Sayang sunggguh tiada Teresek atau Kerabu Jantung Pisang. Jika ada pasti lebih 'nyakut'.


Jong Kako yang berdedikasi dan begitu komited dari awal hingga ke akhir.


Ini adalah 'bledo' yang berwarna hijau dan merah. Sungguh enak dimakan begitu sahaja.


Setelah gulai fasa pertama masak, maka sesi kedua penggulaian dilakukan. Gulai fasa kedua ini melibatkan tulang-temulang dan gear box. Memang tak ingat la Jong Gulai. Pakar habis!


Barisan Jong Basuh terdiri daripada gadis pingitan. Sebenarnya semua mereka adalah saudara dan sepupu-sepupuku.


Pecah rahsia! Inilah antara ramuan penting yang menjadikan gulai kawah pada hari tersebut sangat sedap dan 'kaw-kaw' terutama kuahnya. Patutlah aku tengok ramai tetamu sampai 2,3 pinggan tambah. Hampir 2 botol setengah BUDU dituang oleh Jong Gulai. Tabikla kat Jong Gulai.


Ketibaan pengantin lelaki dengan gerombolannya. 'Shot' untuk pengantin dari kameraku hanya sekeping ini sahaja kerana yang lain aku kurang berminat. Rasanya semua orang sudah boleh membayangkan bagaimana rupa pengantin perempuan. Sepertimana ciri-ciri tipikal perkahwinan melayu, pengantin perempuan akan memakai baju kebaya (menampakkan bentuk badan), mekap muka setebal 30 inci, kening berwarna biru, alis mata yang lentik (padahal tambah yang palsu) dan bibir yang merah menyala seumpana watak antagonis filem Batman, The Joker. Konsep 'Biar Mati Anak, Jangan Mati Adat'. Pening-pening lalat aku dibuatnya.


Tugas sebagai Jong Kako membolehkan aku mengambil gambar ini. Kelihatan Adun Wakaf Bharu, YB Che Abdullah Nawi atau lebih mesra dikenali dengan nama Che Lah. Walaupun ini adalah majlis rakyat biasa dan tidaklah besar-besaran, namun YB sudi juga turun. Jika semua YB Bulan Purnama begini, alamatnya tak dapatlah PEKEMBAR nak merampas Qlateku yang tercinta ini sampai bila-bila.


Makan secara berselerak tanpa perlu terikat kepada protokol dan peraturan. Aku suka gaya dan cara ini.

Majlis perkahwinan di kampung adalah agak berbeza di bandar-bandar. Jika di bandar mereka ada waktu yang khusus. Contohnya jika jamuan bermula dari 12-4 petang, pada pukul 3.15 pihak caterer sudah mula mengemas-ngemas meja dan peralatan. Masa itu wang! Teringat semasa menghadiri perkahwinan sahabatku di Seremban. Kami tiba agak lewat. Kira-kira 4.30 petang. Semasa kami sedang makan, semua meja di sekeliling kami di bawah khemah telah dikemaskan dan hanya meja yang sedang kami duduki satu-satunya yang masih tinggal. Semua petugas caterer merenung kami yang sedang makan dan memerhatikan kami sambil membuat muka tidak puas hati. Terasa seperti seorang pesalah juvana pula.

Jika di kampung, datanglah pukul berapa pun. Pukul 6.30 petang pun masih akan dilayan dan disediakan jamuan yang sepatutnya.

Selepas selesai kenduri, tuan rumah akan membekalkan Jong Kako, Jong Gulai, Jong Basuh dan lain-lain jong dengan lauk-pauk yang masih berbaki dan sedikit cenderahati sebagai tanda penghargaan. Amalan bergotong-royong dan bantu-membantu masih lagi menjadi amalan dan praktis masyarakat di kampungku khususnya dan Qlate amnya. Semoga amalan yang baik dan mulia ini akan kekal sehingga bila-bila, insyallah.
Daftar kata;
1)Jong Kako - rasanya boleh diterjemahkan sebagai penanggah
2)Jong Gulai - tukang gulai
3)Jong Basuh - tukang basuh
4)Bekwoh - berasal daripada perkataan Bahasa Inggeris 'bigwork' ataupun kenduri. Ini membuktikan rakyat Qlate tidak menolak BI cuma mereka menentang PPSMI yang disaluti ketololan.
5)Bledo - agar-agar ataupun lengkong. Rasanya nama bledo jauh lebih unik dan sedap. Eheh!

14 comments:

HBM Consultant said...

Ahah, teringat pula budaya kenduri kahwin di kampung saya. Budaya masyarakat Jawa pula menerima tetamu sejak hari Sabtu petang (sehari sebelum majlis) sehinggalah ke waktu maghrib hari Ahad (hari berlangsungnya kenduri). Bahkan kadangkala sehingga jam 10 malam pun masih ada tetamu! =)

Mungkin itu sebabnya ramai orang tua tidak suka guna 'caterer' - mengikat masa tetamu yang ingin hadir.

Samudera Tinta said...

Budaya di kampung masih lagi mengamalkan budaya bantu-membantu dan bergotong-royong. Kecil, besar, tua, muda semua berganding bahu dalam menjayakan kenduri-kendara.Senang hati kita melihat dan merasai pengalaman itu.

Penggunaan 'caterer' memang mengikat tetamu. Kadang2 tetamu yang datang agak lewat kerana tinggal jauh, tidak sempat makan. Kasihan juga. Apa boleh buat. Itulah tuntutan hidup di bandar. Semua orang sibuk dan masa itu wang.

Mungkin saudari Marni boleh menulis perihal kisah perkahwinan masayarakat jawa yang unik itu untuk pengetahuan bersama.

Xara said...

kalau di kampung saya, biasanya yang tukang basuh pinggan adalah para pemuda kampung umur belasan hingga 30an. Tukang jaga air - remaja lelaki umur belasan hingga ke bawah. Penanggah pula di kalangan lelaki berusia belasan dan ke atas. Jawatan ni pakcik2 pun pegang. Tukang masak pula dijuarai makcik-makcik. Tapi ada juga pakcik yang terer. Tukang potong-potong bawang, sayur dan seumpamanya adalah para wanita. Jika ada sembelih lembu, para bapa-bapa yang menyiangnya. Anak-anak remaja perempuan? Entah, selalunya dok berkepit dalam bilik pengantin. Entah apa dibuatnya dalam tu?

Samudera Tinta said...

Cik Xara a.k.a Suri,

Tugas dan tanggungjawab yang saudari ceritakan itu bersifat waqie dan murunnah. Tidak tetap dan Bergantung kepada keadaan semasa ketika itu.

Kebetulan pada ketika itu ramai anak gadis dan anak-anak muda (yang rajin) hanya beberapa orang. Jadi, tugas sebagai penanggah lebih sesuai diisi oleh lelaki.

Anak-anak remaja perempuan berkepit dok berkepit dalam bilik pengantin mungkin kerana sedang berangan-angan bila agaknya tiba masa meeka duduk di tempat tersebut.huhu..

P/s:Cik Suri mungkin boleh tulis apa yang akan berlaku pada bulan 5 nanti..

BARAN said...

Powernye budu

Anonymous said...

musim cuti sekolah adalah musim gulaikawah...xde surut perut..pah sor sor...

Xara said...

Chait. bulan 5 tu gosip semata tau!

Samudera Tinta said...

Dr Siti, pembuat budu lebih power dari budu itu sendiri.hehe..

Awesulong, kalu makan gulai kawah bnyak2 bahaya jugok. Naik daroh.

Cik Suri, gosip yang diulang selalu akan menjadi benar juga akhirnya.ahaks!

Anonymous said...

sungguh menarik cerita encik samuderatinta.. saya pun duduk di kawsn kampung, dan adat di kg saye lebih kurang mcm ape yg diceritakan oleh saudari Marni dan kak suri(eh, bukan kite setempat ke kak suri..hehe..org banting mmg best!!)

memang betul..perihal perkahwinan masyarakat jawa nie agak unik dan kdngkala memeningkan..

lagi pening bile sesetengah org melayu yg terlalu terikut2 ngan adat yg entahape2..

biar mati adat,jangan mati anak..kehkehkeh

Samudera Tinta said...

Rupanya Cik Xara dan Cik Eyamujahidah sekampung. Patutlah perangai sama sahaja.hehe..mungkin sekapal juga dengan cikgu wan saiful agaknya.. =)

Diharapkan agar generasi muda yang mempunyai fikrah islam dapat mengikis adat-adat yang bercanggah dan digantikan dengan sesuatu yang murni dari ajaran islam, insyallah..

"Biar mati adat dan anak, jangan mati Islam"

Anonymous said...

ye betul tue..biar mati adat dan anak, jangan sampai Islam yang tergadai..

ye, cik mujahidah sekapal ngan ustaz wan saiful cik xara dan juge cik mantan unit teknikal seminar(cik fiza tarmizi)..rupe2nye ramai juga org banting dalam JASA ea..hahaha..
(^,^)v

Samudera Tinta said...

Owh, Cik Fizah juga?Baru tahu rupa-rupanyanya ramai kroni-kroni Banting dalam JASA.

Mungkin juga boleh ditubuhkan JASA cawangan Banting untuk kebaikan masyarakat Banting. Perlu diusulkan dalam AGM nanti.

Vote 4 JASA Cawangan Banting!!hehe..

Nora Mazfa Jenillah Husayy said...

teringat waktu perkahwinan sepupu di kampung pasir pekan , kelate jugak, geng2 jong kako dapat baju dengan tulisan depan "JONG KAKO" - sumbangan pengantin - hanya geng2 lelaki sahaja yang pakai...memang comel giler!!

Samudera Tinta said...

Saudari Nora,

Saya belum pernah lihat baju yang tertulis jong kako tersebut. Satu idea yang baik mungkin.

Related Posts with Thumbnails