Friday, February 13, 2009

Air Liurmu Dan Al-Quran



Bagi individu muslim yang biasa membaca Al-Quran tanpa mengira berapa kali kekerapannya, pasti kadangkala mengalami sedikit kesulitan untuk menyelak helaian Al-Quran. Situasi ini adalah sama sahaja apabila kita hendak menyelak surat khabar, majalah mahupun buku dan komik.

Jadi, apa yang kita biasa lakukan untuk mengatasi kesulitan tersebut? Ya, skema sahaja jawapannya. Kebanyakan dari kita akan meletakkan hujung jari telunjuk di hujung lidah dan lebihan air liur yang terlekat di hujung jari akan kita letakkan pada helaian surat khabar, majalah mahupun buku dan komik tadi untuk menyelesaikan sedikit kesulitan itu.

Jika perbuatan meletakkan sisa air liur tersebut pada buku, komik, surat khabar tidak timbul sebarang pertikaian dan persoalan. Namun, jika kita melakukan perbuatan yang sama terhadap helaian kalam suci Al-Quran, adakah isu ini kita boleh anggap sama.

Aku teringat kuliah online yang pernah disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus berkaitan perbuatan ini. Mengikut Ustaz Azhar Idrus adalah HARAM hukumnya kita meletakkan sisa air liur pada helaian Al-Quran bertujuan memudahkan kita menyelaknya. Cuba kita bayangkan apa perasaan kita apabila kita sedang berbicara dengan sahabat kita. Dengan tidak semena-mena sahabat kita memasukkan memasukkan jarinya ke hujung lidah dan menyapu sisa air liur tersebut ke wajah kita. Lantas apa reaksi kita? Silap haribulan ada yang masuk hospital dan mungkin juga berakhir di penjara.

Mengapa? Kerana kita sememangnya berasa jijik ataupun kurang senang dengan air liur orang lain bahkan mungkin juga air liur kita sendiri. Andai sahabat yang sedang bercakap dengan kita tersembur air liur secara tidak sengaja kepada pun kita jijik, inikan pula yang sengaja mahu menyapu air liur ke muka kita.

Begitulah analogi yang boleh dikaitkan dengan Al-Quran. Kita dituntut bersahabat dengan Al-Quran. Apabila kita membaca Al-Quran, sebenarnya kita seolah sedang berinteraksi dengan Al-Quran kerana di dalamnya terdapat peringatan, berita gembira, ancaman dan pelbagai panduan hidup. Adakah kita dianggap beradab apabila ketika ralit berinteraksi bersama Al-Quran tiba-tiba kita menyapu sisa air liur ke wajah Al-Quran semata-mata untuk memudahkan kita. Bukankah itu dianggap biadab dan kurang ajar. Kalam Allah yang diturunkan dari Luh Mahfuz dicemari dengan perkara yang kita sendiri jijik.

Jadi, apa penyelesaiannya? Mudah ! Pertama jika mahu membaca Al-Quran letakkan secawan air biasa di tepi. Jika terasa sukar untuk membelek helaian Al-Quran, celup sahaja di dalam air tersebut dan selaklah. Itu jauh lebih baik berbanding air liur. Mungkin ada yang berhujah, ”Alah, lecehla nak sediakan air dulu sebelum baca Quran. Susah! Banyak keje plak,”. Ya, bagi kita umat akhir zaman yang qalbu kita telah dilitupi debu-debu materialistik, perkara sekecil itu pun akan dianggap payah dan membebankan.

Kita tidak pernah terfikir betapa susahnya Nabi Muhammad S.A.W ketika menerima wahyu dahulu daripada Jibril. Sehingga berpeluh-peluh dahi baginda. Menggigil-gigil badan baginda sehingga diselimutkan. Betapa beratnya amanah Al-Quran. Pernahkah sekali terdetik di sanubari kita jerit perih sahabat-sahabat baginda dan para tabi’ tabiin mengumpul dan menyalin Al-Quran, meletakkan tanda, baris dan sebagainya sehinggalah sampai kepada kita senaskah Al-Quran lengkap pada hari ini. Bandingkan sedikit usaha kita untuk memuliakan Al-Quran ini berbanding usaha sahabat dan ulama terdahulu. Ibarat langit dan bumi gamaknya bahkan mungkin lebih jauh dari itu.

Kedua, boleh sahaja membaca Al-Quran melalui telefon tangan, PDA ataupun komputer. Pasti tak perlu guna air liur lagi.. =)

Kesimpulannya, marilah kita bersama-sama bersahabat dengan Al-Quran dan memuliakan Al-Quran selayak dengan ketinggian maqam Kalamullah.

~ Sampaikan daripadaku walau sepotong ayat ~

Muat turun mp3 kuliah agama di Maktabaty

2 comments:

Nora Mazfa Jenillah Husayy said...

tahniah.tulisan yang bagus.
jagn lupa jadi followers at norapalestina. tq

Samudera Tinta said...

Salam Nora, syukran sudi singgah ke teratak ambo ini..

Segala puja dan puji hanya milik Allah..

Related Posts with Thumbnails